Monday, August 24, 2015

Apa lagi yang berbaki untuk patriotisme Malaysia? – Syahir Nujaba

Menghampiri detik paling bersejarah buat Malaysia, seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai lapisan masyarakat mula membuat persediaan untuk menyambut kemerdekaan. Persediaan tersebut boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Sama ada dalam bentuk fizikal seperti kibaran bendera-bendera, mahupun dalam bentuk mujarad seperti kajian-kajian sejarah.

Di celah keghairahan ini, Islam tidak ketinggalan dalam memberikan makna kepada sebuah erti kemerdekaan.

Islam di Malaysia, sebelum ini dianggap sebagai agama yang anti-establishment terhadap kemerdekaan negara. Manakan tidak, laungan-laungan kritik sering kali berkumandang daripada pro-Islamis yang berpandangan Malaysia bukanlah negara Islam.

Bermula daripada isu arak, pusat hiburan, judi, hinggalah gaya hidup pemimpin-pemimpin Malaysia, semua itu tidak memberikan imej yang Islamik.

Hasilnya, ramailah ustaz-ustazah yang tidak menekankan kepentingan menghargai sebuah kemerdekaan. Ini sekali gus menjadikan kelompok yang kuat agama tidak cukup patriotik.

Bagaimanapun, di sudut lain dunia, seorang tokoh gerakan Islam abad yang lalu membawa idea wataniyyah dan qaumiyyah.

Beliau yang dikenali sebagai pengasas Ikhwan Muslimun, Hasan al-Banna, membezakan antara konsep wataniyyah dengan qaumiyyah.

Hal ini kerana, fenomena yang berlaku di Malaysia ini sebenarnya sudah berlaku terlebih dahulu di bumi Mesir.

Bagi menjernihkan pemikiran pejuang Islam di negaranya, beliau menulis satu risalah menyentuh secara langsung berkenaan masalah pemikiran ini.

Menurut beliau, adalah 2 perkara sangat berbeza orang yang memperjuangkan wataniyyah dan qaumiyyah.

Qaumiyyah adalah semangat yang wujud berasaskan jenis kaum kita dilahirkan. Semangat seperti ini tidak selari dengan Islam.

Ia mirip semangat asobiyyah masyarakat Arab yang begitu fanatik dengan kabilah masing-masing. Semangat seperti ini dilihat semakin membarah apabila terbentuknya parti-parti politik dan gerakan Islam yang pelbagai.

Akhirnya, semakin yang asalnya berpunca daripada asobiyyah, bertukar kepada qaumiyyah, dan terus berevolusi menjadi semangat hizbiyyah.

Kini, kita bukan sahaja mengalami masalah kelompok yang fanatik dengan keturunan keluarga, bahkan juga fanatik dengan kaum serta organisasi yang mereka sertai. Semua ini menyeru kepada perpecahan.

Kata beliau, selari dengan roh syariah adalah semangat wataniyyah. Walaupun semangat wataniyyah ini muncul selepas era khilafah, namun pada beliau, negara-negara yang terbentuk selepas kejatuhan khilafah ini terlebih penting untuk dibangunkan dahulu sebelum menyeru kepada semangat khilafah.

Kebijaksanaan beliau dalam menawan emosi para Islamis ini akhirnya berjaya membezakan gerakan Ikhwan Muslimin dengan gerakan ekstrem dan pengganas yang lain.

Melalui semangat ini, para pejuang Islam digalakkan agar memperjuangkan Islam dalam kerangka kenegaraan yang sah dan harmoni.

Inilah juga semangat yang Rasulullah terapkan dalam piagam Madinah, di mana baginda meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan negara di bahu setiap rakyatnya, baik Muslim mahupun bukan Muslim.

Pengkhianatan terhadap negara tidak diukur dengan agama, namun dengan perlakuan khianat itu sendiri yang tidak berkompromi.

Ini jelas berlaku dalam peristiwa Bani Quraizah yang Rasulullah kejar dan hukum mereka setelah mereka mengkhianati rakyat Madinah dalam Perang Khandaq.

Cuma, sudah menjadi suratan pada ketika itu, yang melakukan pengkhianatan adalah penganut Yahudi. Jika Muslim yang melakukan perkara tersebut, pastilah Rasulullah mengambil tindakan yang sama!

Merujuk kembali kepada situasi di Malaysia, pengkhianatan demi pengkhianatan terus berlaku. Dengan tohmah mencapai tahap “beyond reasonable doubt” daripada kes-kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pemecatan jawatan-jawatan penting, hinggalah kepada nilai ringgit yang kian jatuh, sambutan kemerdekaan tahun ini kelihatannya semakin hambar.

Semangat wataniyyah yang semaksud dengan semangat patriotisme ini kelihatannya semakin layu baik dalam kalangan pemuda dan golongan veteran. Hal ini kerana, semangat patriotisme ini lahir daripada 2 unsur.

Unsur pertama adalah sejarah. Mengenang perjuangan generasi terdahulu, cukup membuatkan kita insaf untuk menghargai pengorbanan darah, nyawa, harta serta keluarga mereka demi memerdekakan negara.

Bahkan, dengan menghayati sejarahlah kita akan cuba sedaya upaya kita untuk membawa Malaysia ini pada landasan yang mereka asaskan. Kita lihat, berapa ramai pemimpin yang tidak celik sejarah akhirnya memesongkan negara ini daripada idealisme asalnya.

Unsur kedua yang menjadikan seorang rakyat sangat cintakan negara adalah apa yang mereka sedang dan akan nikmati di negara sendiri, yang mereka tidak boleh dapat di negara lain.

Elemen ini sangat penting bahkan terbukti pada era kebangkitan Eropah serta Jepun. Nikmat keselesaan dan kemewahan, di samping nama negara berada di persada dunia, adalah kebanggaan yang membuahkan putik cinta terhadap negara. Hilangnya unsur ini, elemen sejarah menjadi sia-sia. Ia hanya akan jadi kenangan yang semakin dilupakan.

Untuk itu, apabila kita melakukan refleksi terhadap Malaysia, adakah kedua-dua unsur ini masih segar dalam negara kita?

Malaysia memiliki sejarah yang sangat gemilang. Namun untuk unsur yang kedua, apa yang masih berbaki?

Setelah orang luar lebih kaya daripada rakyat tempatan sendiri, negara luar menawarkan gaji yang lebih lumayan, kos sara hidup semakin tinggi disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga rumah yang semakin menggila, hutang negara yang tidak siuman, nama negara pula saban hari dimalukan, apa lagi yang berbaki?

Jawapannya adalah semangat untuk membetulkan keadaan yang semakin runcing ini. Itu sahajalah yang berbaki untuk rakyat Malaysia tahun ini untuk menyambut kemerdekaan dengan semangat nahyu ‘anil munkar, iaitu mencegah kemungkaran.

Mencegah bukan sahaja rasuah yang tidak terkawal, tapi juga urus tadbir negara yang kian merosot dan dipenuhi dengan pengampu-pengampu kerajaan.

Semangat ini seharusnya dilihat positif oleh pemimpin-pemimpin negara sebagai refleksi terhadap rasa sayangnya rakyat daripada melihat negara ini terus jatuh dan dikhianati oleh penyangak-penyangak.

Oleh itu, bangkitlah rakyat Malaysia. Bangkit untuk lebih celik politik. Bukan dengan emosi dan persepsi, tetapi dengan ilmu dan hujah. Tiada tema lebih cocok dengan kemerdekaan tahun ini, selain terus bersatu mencegah kemungkaran!

No comments:

Post a Comment