Tuesday, October 27, 2015

Maqasid Syariah Sebagai Solusi Dalam Membentuk Malaysia Rahmah - Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

“Sungguh, bagi kaum Saba` ada tanda (kebesaran Allah) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun disebelah kanan dan di sebelah kiri, (kepada mereka dikatakan), “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) oleh Tuhanmu dan bersyukurlah. (Negerimu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun” (Surah Saba`:15)

Negara yang makmur, sejahtera, harmoni dan rahmah menjadi satu impian yang paling besar bagi individu yang sangat sensitif dengan nilai-nilai kemuliaan, nilai kehidupan berteraskan syariah dan sistem tadbir urus negara yang baik dan berkesan. Malangnya, situasi negara kita yang sedia ada ini, masih lagi jauh daripada kriteria dan kedudukan sebuah negara rahmah yang kita impikan itu.

Dewasa ini, keadaan masyarakat yang semakin bergolak dek peredaran zaman, semakin pincang dek pengaruh budaya asing dan barat, kerakusan dan tamak haloba, ketidakadilan dalam mengurus tadbir negara, tidak amanah dengan tanggungjawab yang dipikul, nilai-nlai kemanusiaan yang semakin terhakis, institusi masyarakat yang pincang, syariah dipinggirkan dan agama dijadikan permainan.

Di mana sebenarnya kedudukan kita sebagai umat yang mulia? Sepatutnya sebagai sebaik-baik umat, hati kita sememangnya tidak boleh menerima perkara ini dengan rela, kita pasti tidak boleh berdiam diri dengan keparahan dan kepincangan yang semakin berleluasa ini. Tindakan dan langkah pengislahan itu harus dijalankan secara menyeluruh dan konsisten.

Para pembaca sekalian, dalam usaha membentuk negara Malaysia yang lebih berkebajikan, sejahtera, harmoni dan rahmah, kita perlu meletakkan syariat Allah itu yang pertama berbanding yang lain. Peranan Maqasid Syariah itu cukup besar dalam proses pengislahan negara kepada yang lebih baik.

Negara rahmah berasaskan Maqasid Syariah ialah sebuah negara yang akan menyediakan ruang, suasana dan linkungan pemeliharaan tuntutan-tuntutan syariah kepada manusia dan alam, manusia dan dunia, pemeliharaan, pengekalan sehingga negara mampu berkembang mekar sebagai negara yang makmur, negara makruf dan ehsan, negara yang berkat, dilindungi dan dicucuri rahmah.

Negara yang rahmah juga negara yang akan memelihara, mengekalkan dan menyuburkan nilai-nilai kehidupan manusia, diri manusia, masyarakat manusia dan seterusnya linkungan kehidupan manusia. Tuntutan maqasid syariah dan matlamatnya adalah untuk memelihara dan mengembangkan 5 fakulti atau item yang berikut:

1- Agama (al-din)
2- Nyawa (al-nafs)
3- Kehormatan dan maruah (al-muruah)
4- Akal (al-aql)
5- Harta (al-mal)

Sheikh Yusof Al Qardhawi menambah 2 lagi fakulti atau item, iaitu kebebasan (al- hurriyyah) dan kesamarataan (al-musaawah). Ia sangat releven untuk kehidupan masyarakat dunia hari ini yang mana kebebasan dan kesamaraatan semakin dipinggirkan. Hadirnya Sheikh Yusof Qardhawi, meletakkan dua penambahan ini menjadikan Maqasid Syariah semakin releven dan bertepatan dengan peredaran zaman.

Tahap capaian pemeliharaan dan pengembangan kesemua fakulti ini dalam ruang lingkup sebuah Negara yang rahmah perlulah mencapai tahap makmur, kaya dan kuat yang memungkinkannya membantu negara-negara lain serta umat islam. Prinsip pemeliharaan ini berlaku sejajar dengan tuntutan dan kehendak siyasah syariyyah yang menerangkan kepada kita tugas pemerintah, menguruskan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara dengan adil dan patuh syariat, bagi menegakkan masa depan islam di dalam negara.

“Siyasah syariyyah merupakan pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama dengan semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah”.

Saya tertarik dengan Ucapan Dasar Dr Mohd Parid Bin Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia di Perhimpunan Tahunan IKRAM 2015 yang berlangsung di IDCC Shah Alam pada 24 Oktober 2015 baru-baru ini yang bertemakan “Memacu Perubahan Malaysia Rahmah Berasaskan Maqasid Syariah”, beliau menyebut:

Di dalam usaha membentuk Malaysia yang rahmah, IKRAM menggariskan dua fasa yang perlu dilalui iaitu Pertama, fasa peralihan iaitu fasa ‘Kepimpinan Mukmin Kompeten dan Berintegriti’. Malaysia pada waktu itu diharapkan berjalan di atas landasan demokrasi yang matang, perlembagaan persekutuannya dapat dimanfaatkan untuk terus memacu perubahan masyarakat, gerakan islam dapat bekerjasama dan bergandingan, bergerak secara progresif dan inklusif, umat sudah dapat menerima syariah, masyarakat yang menghormati prinsip islam, berdisiplin, berilmu, berakhlak dan penyayang.

Fasa kedua ialah: Fasa ‘Negara Rahmah Mithali’. Negara Malaysia pada waktu itu sudah menjadi ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’ yang memiliki 12 Ciri berikut:

1- Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbak yang berkesan
3- Tadbir urus yang baik
4- Undang-undang yang adil
5- Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6- Institusi keluarga yang utuh
7- Hubungan etnik dan penganut agama yang Harmni
8- Ekonomi yang mampan
9- Agihan kekayaan yang saksama
10- Pembangunan yang lestari
11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
12- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

12 ciri asas inilah adalah ruang lingkup Maqasid Syariah yang perlu kita usahakan. Bukan sahaja dari pihak pemerintah, tetapi juga rakyatnya. Kedua-dua pihak harus bergandingan dan bekerjasama dalam membentuk negara yang lebih sejahtera dan makmur dengan menggerakkan amal dakwah dengan pendekatan rahmatan lil alamin, memelihara hubungan baik dengan masyarakat muslim dan bukan muslim dan membangunkan tapak politik ummah yang kuat di dalam negara untuk kelangsungan demokrasi yang matang.

Maqasid Syariah secara kesimpulannya bertujuan untuk memberi makna kepada kehidupan manusia, segala yang membawa kepada keadilan itu adalah syariah, negara yang bebas jenayah, negara yang bersih, negara yang menjaga kebajikan rakyatnya itulah syariah (Dr Maszlee Malik, 2015).

Ayuh kita sama-sama mengorak langkah ke arah membentuk Malaysia Rahmah berasaskan Maqasid Syariah!

Gandingan PAS dan Umno-BN potensi mewujudkan polarisasi – Wan Salman Wan Sallam

Pengumuman terkini PAS berkenaan kesediaannya bekerjasama dengan UMNO-BN dilihat agak membimbangkan dalam memastikan kewujudan politik dwi parti yang sihat.

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci bagaimana bentuk “kerjasama” itu, tidak pelik untuk diandaikan kerjasama ini berkemungkinan besar bersifat politik; kerjasama ketika pilihan raya khasnya.

Hakikatnya, kewujudan persaingan politik yang sihat dengan kewujudan 2 angkatan politik besar – BN dan Pakatan Rakyat dahulu – pun terancam apabila PAS dan DAP berbuat keputusan untuk tidak lagi bersama sebilik.

Sungguhpun begitu, pada awalnya kita masih lagi b bersikap optimis apabila PKR mencadangkan kepada PAS, melalui Timbalan Presiden Ustaz Tuan Ibrahim Tuan, agar diadakan kerjasama pilihan raya. Kerjasama ini wujud dalam erti kata memastikan perlawanan satu lawan satu dengan BN walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan (PH).

Mungkin ada yang bertanya mengapakah penting PAS sebagai sebuah parti yang bersifat Islam tidak bergabung dengan BN?

Am mengetahui walaupun terdapat lebih daripada 10 parti yang menganggotai BN, yang benar-benar berpengaruh membuat keputusan hanyalah Umno.

Menyedari MCA tidak mampu berperanan besar mempengaruhi hegemoni “penyelamat Melayu” kita melihat berlakunya peralihan undi kaum Cina terutamanya, kepada Pakatan Rakyat pada 2008. Peralihan tersebut yang menjadikan polarisasi kaum mengikut pilihan politik hanya bertambah teruk pada 2013 lalu dengan lebih tergambarnya Melayu memilih BN dan Cina memilih Pakatan.

Secara prinsipnya tiada masalah pun sesiapa hendak memilih parti mana. Namun senario ini dilihat tidak sihat memandangkan parti yang dipilih sebagai pemimpin dan parti yang bertindak sebagai penyemak dan pengimbang tidak mempunyai representasi kaum yang sihat. Hasilnya, setiap kali satu dasar dicadangkan dan setiap kali ia dibangkang, seolah wujud konflik kepentingan mengikut kaum.

Bagaimana pula PAS akan memburukkan lagi keadaan ini apabila bergabung dengan Umno-BN?

Ketika PAS masih dalam Pakatan Rakyat, merekalah yang menjadi representasi sihat Bumiputera–Melayu–Islam bagi sebuah pakatan politik. Malah Pakatan sendiri secara relatifnya pada awal penubuhannya lebih sihat dari segi peranan parti dalam sebuah gabungan politik gergasi. Mereka mempunyai majlis presiden yang mana setiap parti mempunyai suara dan jika ada yang tidak perasan, setiap suara yang mewakili parti komponen mempunyai suara yang lebih signifikan berbanding parti komponen BN selain Umno.

Takdir menimpa dan polarisasi undi mengikut kaum tetap berlaku. PAS pula akhirnya membawa diri dan tidak nampak tanda menerima cadangan PKR iaitu kerjasama pilihan raya.

Selama ini, dengan adanya PAS pun sedia memperlihatkan kecenderungan kaum majoriti negara demokrasi ini terumpan dengan permainan perkauman. Apa pula yang bakal terjadi jika parti ini bergabung pula dengan parti yang awalnya memulakan permainan perkauman demi keuntungan diri sendiri?

Kritikan terhadap idea positif ini bukanlah bertujuan untuk memastikan PAS melakukan sesuatu agar Pakatan Harapan menang dan BN kalah.

Justeru hal ini lebih besar daripada kemenangan satu parti itu.

Kita ingin menyelamatkan Malaysia daripada pihak yang ingin satu kaum sahaja memerintah dan menjadikan Malaysia negara yang corak politiknya bersifat “Melayu lawan kaum lain”.

Kita ingin mengikut semangat perlembagaan yang mengiktiraf kita semua yang lahir di sini, bertungkus lumus menjadikan Malaysia sekaya dan semakmur ini sihat perwakilan politiknya.

Malah lebih teruk untuk dakwah Islam, memandangkan majoriti kaum Melayu di negara ini beragama Islam, apabila terjadi situasi “Melayu lawan kaum lain”, situasi ini akan menggambarkan seolah Muslim ini memang tamak kuasa sedangkan di Malaysia ini lebih 40 % penduduknya ialah bukan Melayu dan Muslim.

Malah 40% peratus bukan Melayu faktor yang menguatkan lagi perlunya penyertaan dan representasi sihat dalam sesebuah gabungan politik memandangkan mereka juga pemegang minoriti yang besar.

Menghargai semua pihak yang menjadikan Malaysia ini merupakan satu dakwah mulia. Maka jika PAS ingin mempertimbangkan gabungan dengan BN, fikirkan semula ke mana anda akan tuju.

Akan sampaikah anda ke tempat yang dituju atau hanya lebih jauh daripadanya?

Islam a religion of mercy – Badlishah Sham Baharin and Maszlee Malik

Much has been said of Islam as a religion of mercy, peace and hope. It is a religion that embraces diversity.

Why then does its followers not adhere to these noble and honourable virtues?

Why the spew of racial hatred from the followers of this great religion as espoused by some Malay Muslim groups resolved on promoting racial discord?

The recent calling of Chinese and Indians with derogatory remarks is testimony to this. They are Muslims and yet words which reflect a deep hatred for other races are still being uttered.

Hence, one must make a difference between Islam as a religion and its followers. Let us take a look at what Islam has to say about this.

Islam has always promoted mercy and peace as a manner for building bridges among races. Allah the Almighty has mentioned this in the Quran whereby He has created mankind into nations and tribes so that they may know each other.

He went on to say that the noblest among you are the most God-fearing, not by skin colour or birth right.

Prophet Muhammad (peace be upon him) embodied this divine revelation in his persona and character. When he arrived in Medina, after the Hijrah from Mecca, the first political document initiated by the Prophet was the “Sahifah Madinah” or commonly known as the Constitution of Medina.

This document, albeit in its primitive form, laid the foundation for a nation state based on citizens’ rights, their responsibilities, sovereignty of Medina, rule of law, recognition of society and religious pluralism and other matters concerning citizenship and laws.

According to Rashid Al-Ghannoushi, the principles which we could extract from this document are the following:

The confirmation of the ummah (nation or community) concept. The Medina constitution reaffirms the status of the Muhajirin, who are immigrants, and the Ansar, who are the natives, as one ummah of the same faith and belief (Article 2).

But, interestingly, the constitution also extended this ummah concept to the non-Muslims such as the Jews in the framework of citizens of Medina. Hence, the Muslims and non-Muslims were considered as one ummah, that is, by virtue of being citizens of Medina (Article 24).

Medina was also an open nation. This means that it can accept anyone as citizens as long as they reside in Medina and willing to protect other citizens. This was stated in Article 1 as the following clause: “This is a document from Muhammad between Mukmin and Muslim from Quraish and the people of Yathrib (Medina) and anyone who joins them and strive to protect Medina with them”.

In addition, any Muslim who lives outside of Medina were also deemed to be citizens based on their loyalty to defend Medina together with other citizens.

The Medina constitution also recognised the reality of a plural society. This can be seen from the fact that every party involved – including the non-Muslims – were mentioned one-by-one in all 47 articles of the constitution.

The non-Muslims were not forced to renounce their religion as contained in Article 20. They must however declare their loyalty to defend and protect Medina from enemy incursion.

At the same time, manifestation of different religions and groups were duly recognised under Article 23 which also stated that any dispute must be referred to Allah and Muhammad.

Interestingly, any party or tribe was allowed to preserve their rules and regulations as prescribed by their customs and culture in any dealings among them, in what has been described as ‘Rab’ah’ (local customs and culture) in the Constitution.

Hence, the Medina Constitution guaranteed the freedom to practise ‘Rab’ah’ amongst the communities so long as it did not usurp the rights of other people and it did not contravene the Islamic principles.

From the above principles, not only it is crystal clear that Islam does not condone racism, it also promotes harmony and well-being among different races and religions.

Recognition of plural society, local customs and traditions and openness of the nation are not alien concepts to Islam.

The notion that Muslims and non-Muslims could be considered as one ummah within the framework of citizens of a country is certainly something which can be built upon to discuss the present context of racial malaise in our country.

Vape: Krisis Sahsiah - Mohd Afiq Mohd Noor

Sejak kebelakangan ini, vapors atau nama lainnya dikenali sebagai e-cigarette (rokok elektronik) menjadi semakin popular bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

E-cigarette pada awalnya bermula hambar ketika ia mula diperkenalkan, namun kini menjadi tumpuan ramai apabila syarikat pengeluarnya mulai menyatakan e-cigarette lebih selamat daripada rokok dan boleh menjadi salah satu langkah untuk berhenti merokok.

Sehingga kini pelbagai kajian yang dilakukan pakar-pakar belum lagi dapat membuktikan sepenuhnya yang e-cigarette ini sama ada berbahaya ataupun selamat untuk digunakan kerana mereka menghadapi banyak cabaran dalam mengumpul data.

Public Health England (PHE) mengeluarkan kenyataan pada Ogos lepas, vaping atau e-cigarette ini adalah 95% lebih selamat daripada rokok. Namun, ia dibidas British Medical Association yang menuntut mereka supaya berhati-hati dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan ketika kajian masih banyak sedang dijalankan.

Hakikat sebenarnya adalah ia tetap berbahaya, cuma kajian awal sahaja mendapati ia lebih selamat daripada rokok. Walau bagaimanapun, kajian yang mendalam masih perlu banyak dilakukan untuk memastikan status sebenarnya.

Dalam pada itu, terdapat kajian-kajian terkini yang membuktikan wap yang terhasil ketika seseorang sedang menghisap vape adalah lebih berbahaya kerana kandungan-kandungannya. Terdapat juga kajian yang menyatakan, vaping sebenarnya tidak membantu pun seseorang itu untuk berhenti merokok.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mufti Wilayah Persekutuan pada bulan Ogos yang lepas juga memfatwakan, penggunaan rokok elektronik atau vapors ini sebagai haram dan seperti yang dijangkakan, ramai yang 'meroyan' dan memperlekehkan fatwa ini.

Takkanlah seseorang mufti itu hendak mengeluarkan fatwa halal atau sekurang-kurangnya harus dengan vapors ini sedangkan padanya terdapat elemen yang merbahaya, merosakkan kesihatan tubuh badan dan pembaziran.

Saya berpendapat langkah mufti ini benar dan tepat pada waktunya dalam usaha mencegah mafsadah (kerosakan) ini daripada terus berleluasa dalam kalangan umat Islam dan bukannya kerana ingin menghukum seseorang semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda:
“Di antara baiknya keislaman seseorang itu adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat.” (HR At-Tirmidzi)

Meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat bermaksud menjauhkan diri daripada pelbagai kesibukan dan kegiatan yang tidak penting dan tidak bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya. Apakah ada manfaat daripada merokok atau menghisap vape? Bukan sahaja tiada manfaat, malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.

Pada hujung minggu yang lalu, berlangsung satu festival yang dipanggil Festival Vape di SACC Shah Alam. Kehadiran yang agak memberangsangkan itu sebenarnya membimbangkan dan menakutkan kerana terbukti vape kini bukan sahaja digemari kaum lelaki tetapi turut menular dalam kalangan wanita.

Populariti vape yang meningkat mendadak dari semasa ke semasa adalah kerana trend dan pengiklanannya, tambahan pula ia mudah dibeli di mana-mana, baik secara langsung mahupun secara online (dalam talian).

Bahkan penularan yang merisaukan ini sudah mula nampak berjangkit kepada golongan belasan tahun yang masih bersekolah kerana alasan yang diberikan adalah mereka tidak merokok tetapi hanya ber'vaping'.

Pada bulan Disember nanti pula akan diadakan satu lagi acara vape di Kuala Lumpur, yang dinamakan Vape Fair 2015. Dikatakan syarikat-syarikat yang terlibat akan memperkenalkan dan mempromosi jenama dan jenis vapors masing-masing. Penganjur seolah-olah mendapat lesen daripada pihak berkuasa untuk mengetengahkan 'rokok baik' ini secara terbuka.

Krisis sahsiah

Rokok, vaping, shisha sebenarnya 'adik-beradik' yang tidak jauh beza antara satu sama lain meskipun ada di antaranya nampak 'baik' sedikit. Tabiat merokok sentiasa menjadi salah satu soalan 'bad habit' dalam borang-borang rasmi selain daripada minum alkohol atau arak. Bahkan doktor juga sering bertanya soalan ini ketika mendapatkan latar belakang pesakit dalam isu sosial diri.

Masalah ini bukan sahaja masalah ia selamat, sihat atau tidak. Tetapi juga masalah dan krisis kepada sahsiah, akhlak dan keperibadian seseorang.

Amatlah memalukan untuk seorang Muslim mengabaikan aspek ini sedangkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam diturunkan untuk menyempurnakan akhlak. Saya yakin agama-agama lain juga bersetuju, tabiat seperti ini tidak dianjurkan ajaran mereka.

Bahkan tanpa menggunakan kaca mata agama pun, kita dapat menilai yang perbuatan ini bukanlah perangai yang baik, cantik dan molek meskipun tidaklah pula dipanggil jahat. Apatah lagi jika ia dilakukan wanita. Ya, ia bukan jenayah, tetapi adakah ia mencerminkan keperibadian atau sahsiah seorang wanita?

Justeru itu, kesungguhan ahli masyarakat termasuk diri dan keluarga serta kerajaan sangat penting untuk berperanan dalam menangani isu ini. Selepas vape ini, mungkin akan muncul lagi produk sejenisnya yang kononnya nampak baik di mata.

Kita tidak nafikan untuk seseorang itu berhenti merokok bukanlah begitu senang. Tetapi usaha yang tidak sekadar batuk di tepi tangga mestilah dilaksanakan bersungguh-sungguh. Ketika negara 'bukan Islam' komited ke arah negara bebas rokok, bagaimana pula dengan tahap kita?

Saya mempunyai beberapa cadangan yang mungkin membantu dan boleh dipertimbangkan pihak berkuasa yang terlibat:

1. Melarang kegiatan penjualan rokok, vapors dan shisha secara terbuka dan hanya boleh dijual di kedai yang diberikan lesen sahaja. Justeru itu, tidak dibenarkan lagi dijual di stesyen minyak, restoran dan kedai-kedai runcit.

2. Meningkatkan lagi harga rokok dan 5% daripada harga jualannya dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan untuk kempen anti-merokok/vaping.

3. Menguatkuasakan larangan vaping dan penjualan vapors kepada masyarakat bawah umur 18 tahun dan melarang daripada merokok dan vaping di hadapan mereka.

4. Menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan majlis agama negeri untuk memanfatkaan hari Jumaat sebagai hari untuk memberi kempen kesedaran kepada masyarakat Muslim. Begitu juga dengan organisasi agama lain.

5. Meningkatkan lagi usaha kempen kesedaran dan klinik berhenti merokok.

Tabiat merokok ringkasnya boleh turun daripada generasi ke genarasi dengan hanya ayah merokok atau vaping di hadapan anak-anaknya.

Jika kita tidak mahu anak-anak kita terlibat, kita boleh memulakannya daripada sekarang untuk membentuk satu generasi baru tanpa rokok, tanpa vaping dan tanpa shisha.

Politik kampus politik nilai – Wan Salman Wan Sallam

Menjelang Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal tiba kurang 24 jam lagi, sedikit sebanyak bahangnya terasa sungguhpun ada pihak mendakwa PRK USIM ini "hambar" dan "tidak berperisa".

Ada betulnya PRK ini sedikit hambar jika kita berlaku jujur pada diri sendiri.

Namun begitu, apabila muncul pihak menimbulkan isu ini, PRK USIM mula sedikit sebanyak menyerlahkan warnanya. Orang mula komen. Orang mula melihat. Orang mula mengenali dan memahami latar belakang calon umum dan calon fakulti masing-masing (walaupun ramai calon fakulti yang menang tanpa bertanding).

Apabila apa yang kita boleh panggil "kesedaran" ini merangsang deria mahasiswa, maka terserlahlah lagi warna terbitan daripada warna asal hasil kecaknaan mereka, "Eh ini calon mana?" "Dia wakil parti mana-mana?" "Ni calon Umno universiti ni, kau nak USIM ni jadi macam Malaysia ke?" (Oops) "Kenapa ada NGO tidak malu taja calon ni? Boikot tajaan dan cubaan sebaran ideologi secara haram ini!"

Seruan ini hakikatnya terjadi di mana sahaja, lebih lagi di IPTA lain yang terang terbuka pertandingan mereka mewakili kumpulan tertentu. Lazimnya di IPTA lain, pertembungan ini adalah antara mereka yang menamakan diri mereka Pro Aspirasi (Pro-A) dan Pro Mahasiswa (Pro-M) walaupun secara teknikalnya mungkin ada nama khas di IPTA masing-masing.

Tidak asing lagi, pertembungan ini dilihat sebagai cubaan mewujudkan mimik politik kepartian nasional yang amnya bersifat dwi parti, sekurangnya ketika Pakatan Rakyat masih wujud sebelum ini dan bertembungnya Pakatan dengan BN.

Amnya, politik dwi parti ini amat bernilai dan menghasilkan kesan buat pembangkang terutamanya kerana dengan wujudnya dua kelompok parti besar; parti yang memerintah akan kurang dominan dan sentiasa dalam proses semakan dan imbangan (checkandbalance).

Namun keadaan tidaklah seideal itu. Ada kalanya hawa nafsu menguasai. Fitnah berleluasa. Asal-usul dipersoal tanpa mempertimbang jasa yang selama ini dicurahkan dan ketokohan dan ketegasan yang dipamerkan. Jauh sekali manifesto yang cuba dipromosikan buat rakyat dan buat rakan, ahli parti sendiri.

Sudahlah sistem politik Westminster ini membazirkan undi calon yang kalah. Akhirnya nilai dan kualiti yang cuba dibawa calon juga musnah kerana nafsu memuncak dan fitnah serta "rasuah halal" berleluasa.

Maka melihat kepada suasana politik nasional sekarang, adakah mimikan ini cara yang terbaik buat warga mahasiswa dan universiti amnya apabila akhirnya, mereka yang menang bukanlah mewakili pihak masing-masing lagi dalam sebuah Parlimen? Tambahan pula, nasib mereka ialah mereka akan menjadi satu pasukan walau dari pelbagai latar belakang bekerja bersama dan menjadi milik mahasiswa.

Menyedari perbezaan hasil PRK institusi pengajian tinggi dan fungsi majlis perwakilan pelajar (MPP) berbanding PRU politik nasional dan Parlimen, maka muncullah gagasan #Harmoni membawa solusi; mengembalikan politik kampus kepada apa yang sepatutnya, bukan sekadar siapa yang sepatutnya.

Amatlah selari dengan impian USIM yang berterusan menegaskan ingin mengintegrasi ilmu aqli dan naqli, #Harmoni sedaya upaya berusaha menyokong usaha ini berlandaskan 10 kriteria "Kampus harmoni menuju negara rahmah".

Hakikatnya, pengamalan kriteria kampus #Harmoni ini bukan hanya akan bermula setelah calon #Harmoni bermula. Justeru gagasan ini sudah pun mula mempamerkan potensinya apabila calon #Harmoni dan jenteranya berterusan mempromosikan budaya politik nilai dalam PRK, selari dengan kriteria keempat kampus #Harmoni.

Tidak cukup dengan itu, #Harmoni ini bukan sekadar projek sekali setahun. Sebaliknya, projek ini merupakan projek berterusan kerana mengimpikan kampus #Harmoni tidak terhenti setakat PRK.

Usaha mengislah kampus sama ada dari segi kebajikan, akhlak, kualiti dan prestasi melibatkan masa dan tenaga semua warga universiti dari peringkat mahasiswa hingga pakar akademik universiti dan pengurusan atasan.

Oleh sebab keperluan memuncak ini, #Harmoni sedia menawarkan solusi dan nafas baharu dalam PRK kali ini.Namun begitu, menang dan kalah ialah adat. Sesiapa yang bertanding harus akur kerana jika semua menang, manakah pertandingannya?

Cuma apa yang menjadi perhatian sama ada pertandingan yang akan disaksikan ini berlaku secara adil atau tidak dan sama ada mereka akan dipilih secara matang atau secara luaran sahaja.Banyak lagi kerja yang perlu kita selesaikan dan kita mahasiswa,dalam institusi pengajian tertinggi awam pertama pada abad ke-21 ini punya integriti dan tiada masa untuk retorik dan pengeliruan murahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, marilah kita semua para mahasiswa USIM berganding bahu sehati dan sejiwa menjalankan tanggungjawab kita untuk turun memilih calon yang kita yakini akan mencerminkan hasrat dan aspirasi kita di universiti Islam kedua di Malaysia ini. Ayuh, buktikan USIM juga mampu menjadi kampus #Harmoni dan diredai Allah!

TPPA – Kenapa kerajaan begitu beriya-iya? - Prof Mohd Nazari Ismail

Susulan selesainya rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) di bandaraya Atlanta, Amerika Syarikat baru-baru ini, perdebatan dan perbincangan berkenaannya semakin hangat. Terdapat banyak isu yang ditimbulkan oleh berbagai pihak. Artikel ini akan membincangkan beberapa isu terpenting sahaja dan akan cuba merungkaikan persoalan kenapakah kerajaan Malaysia begitu beriaya-iya untuk menyertai perjanjian TPPA ini walaupun banyak pihak menentangnya.
Perlu disedari bahawa walaupun kerajaan Malaysia telah bersetuju kepada perjanjian ini, namun kerajaan Malaysia memilih untuk menjadi ahli kepada perjanjian secara rasmi hanya setelah mendapat persetujuan parlimen. Sebenarnya perkara ini juga berlaku di negara lain termasuk Amerika di mana kerajaannya juga perlu mendapat persetujuan kongres nya sebelum ia secara rasmi menjadi ahli TPPA. Oleh itu ramai pihak di negara yang terbabit sekarang sedang giat berusaha untuk mempengaruhi keputusan ini.


Penentangan terhadap TPPA adalah sangat lantang di kalangan beberapa organisasi dan persatuan. MTUC yang mewakili kesatuan buruh menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian ini akan menjejaskan kebajikan pekerja. Persatuan pengguna seperti CAP serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang kos kepada pengguna terutama sekali kos ubat-ubatan akan meningkat dan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga keras menentang TPPA kerana merasakan kebajikan usahawan dan peniaga bumiputera akan terjejas. Pengurusan syarikat dan perbadanan milik kerajaan (GLC) pula bimbang kedudukan mereka akan turut terjejas kerana perjanjian ini akan merubah beberapa peraturan berkaitan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, yang akhirnya akan menguntungkan syarikat asing secara tidak adil.


Akhir sekali satu sebab kenapa perjanjian ini ditentang ialah kerana ianya dikatakan akan menjejaskan kedaulatan negara akibat dari provisi `Investor State Dispute Resolution’ yang membenarkan syarikat asing yang melabur menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa jika syarikat merasakan keuntungan pelaburan mereka terjejas akibat perubahan dalam polisi atau undang-undang negara yang terbabit.


Sebenarnya kesemua kebimbangan mereka adalah mempunyai asas yang sangat kukuh dan sukar untuk dinafikan. Namun perlu disedari juga bahawa penentangan terhadap TPPA juga lantang di negara lain termasuk di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di antara penentang utama TPPA di Amerika Syarikat adalah AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai 56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat. Mereka merasakan bahawa perjanjian ini akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan akan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah seperti Malaysia. Satu lagi persatuan dari barat yang sangat menentang perjanjian ini ialah MSF (Médecins Sans Frontières/Doctors Without Borders). Ini kerana mereka merasakan kos ubat-ubatan akan meningkat di semua negara ahli TPPA termasuk di negara barat akibat terma perjanjian yang akan menyekat proses pengeluaran ubatan generik yang lebih murah. Akibat kempen yang giat oleh banyak organisasi yang menentang TPPA, ramai rakyat Amerika sebenarnya sangat bencikan perjanjian ini. Maka tidak hairanlah kenapa dua calun utama dalam pertandingan merebut jawatan Presiden di Amerika, iaitu Hilary Clinton dari parti Democrat dan Donald Trump dari parti Republican adalah antara penentang utama perjanjian ini, mungkin kerana menyedari bahawa pendirian menentang TPPA akan memastikan mereka akan mendapat banyak sokongan dari kalangan rakyat Amerika.


Persoalan yang timbul ialah jika kebimbangan oleh berbagai pihak di atas adalah kukuh dan berasas, kenapakah kerajaan dari dua belas negara yang terlibat masih meneruskan perjanjian ini? Jawapannya ialah kerana terdapat satu kumpulan yang sangat berpengaruh yang sangat menyokong perjanjian ini iaitu organisasi perniagaan yang berdaya saing tinggi dan kuat dalam pasaran antarabangsa. Di Malaysia, kebanyakan mereka adalah ahli kepada FMM (Federation of Malaysian Manufacturers). Oleh sebab itu, FMM adalah penyokong paling kuat kepada perjanjian TPPA. Sebab utama mereka menyokong perjanjian ini ialah kerana perjanjian ini akan membuka ruang eksport yang lebih luas kepada ahli FMM, terutama dari sektor tekstil, elektronik dan barangan otomotif. Mereka berpendapat perjanjian ini akan membantu mereka meningkatkan pendapatan kerana pasaran baru akan terbuka untuk mereka seperti dari negara Canada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru. Pelaburan juga akan bertambah dan sudah tentu juga peluang pekerjaan dalam sektor mereka. Di samping syarikat di atas, syarikat-syarikat gergasi dalam sektor minyak sawit negara juga menyokong perjanjian ini. Ini kerana mereka merasakan bahawa eksport minyak sawit akan meningkat dengan mendadak akibat peluang pemasaran di negara lain terutama sekali di Amerika Syarikat.


Di Amerika Syarikat pula, penyokong utama kepada perjanjian ini juga adalah dari kalangan syarikat perniagaan yang besar dan kuat, yang mengeskpot ke luar negara seperti dari sektor farmaseutikal dan pertanian. Begitu juga, antara penyokong utama TPPA dari negara New Zealand adalah syarikat pengeskport dalam sektor tenusu sementara dari Canada adalah syarikat pengeksport dari sektor keluaran daging.


Jelas sekali, bahawa kumpulan yang sangat akan mendapat manfaat dari TPPA adalah syarikat perniagaan, terutama sekali dari kalangan syarikat yang besar, dan kuat atau kompetitif dalam pasaran antarabangsa. Di samping itu, kebanyakan dari syarikat ini mempunyai beban hutang yang sangat tinggi akibat dari strategi perkembangan mereka. Beban hutang ini mewajibkan mereka membesarkan saiz pendapatan mereka dan ini hanya akan dapat dilakukan jika saiz pasaran untuk keluaran mereka juga bertambah. TPPA lah yang akan membantu meluaskan saiz pasaran mereka.


Kerajaan dari semua negara pula sangat bergantung kepada syarikat-syarikat ini untuk membantu merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi negara. Oleh itu mereka merasakan bahawa perjanjian ini bukan sahaja akan menambahkan peluang pekerjaan, malah kadar pertumbuhan ekonomi juga akan meningkat. Pendapat mereka diperkukuhkan lagi oleh dapatan dari beberapa kajian. Sebagai contoh sebuah organisasi penyelidikan ekonomi antarabangsa yang berpengaruh iaitu `The Peterson Institute for International Economics’ menyatakan bahawa TPPA berupaya meningkatkan pendapatan sebanyak USD295 billion serta peningkatan perdagangan sebanyak USD1.9 trillion di negara terbabit. Ini kerana bukan sahaja akan wujud liberalisasi dalam eksport dan import bahkan juga liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan teknologi. Dalam kes Malaysia, Peterson Institute meramalkan saiz ekonomi Malaysia (yakni GDP) akan meningkat lebih dari 5 peratus pada tahun 2025 akibat dari perjanjian ini. Jika beberapa negara Asia seperti Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand turut menyertai perjanjian ini nanti (dan menjadikan keahlian berjumlah 17 negara), peratusan ini akan meningkat menjadi lebih dari 10 peratus. Ini sudah tentu adalah satu angka yang sangat memberangsangkan.


Sebaliknya, jika perjanjian ini tidak wujud, kesemua pemimpin politik dari kesemua dua belas negara terlibat merasakan sukar untuk berlakunya pertumbuhan ekonomi di negara mereka. Tambahan pula suasana ekonomi yang terbantut bermakna pendapatan kerajaan juga akan terjejas. Di samping itu hampir kesemua kerajaan ini mempunyai beban hutang yang tinggi dan oleh itu suasana ekonomi yang terbantut akan bermakna kerajaan akan terpaksa melaksanakan langkah berjimat cermat atau meningkatkan kadar cukai untuk menampung perbelanjaan negara. Sudah tentu langkah tersebut adalah tidak popular. Di samping membuat rakyat semakin kecewa terhadap kerajaan, langkah tersebut juga akan tentu sekali menjejaskan sokongan politik rakyat terhadap mereka.


Jelas sekali bahawa isu pertumbuhan ekonomi lah menjadi faktor utama kenapa kerajaan di kesemua dua belas negara yang terlibat dalam TPPA begitu berusaha untuk menjayakan perjanjian ini. Isu ekonomi juga akan memastikan bahawa beberapa negara lain yang belum menjadi ahli termasuk negara China, akan lambat laun memohon untuk turut serta dalam perjanjian TPPA ini. Pemimpin politik di kesemua negara ini semua sedar bahawa pada masa ini garis ukur yang digunakan oleh rakyat untuk menyokong sesebuah kerajaan adalah prestasi ekonomi semata-mata. Walapun kedaulatan negara akan lebih utuh jika sesebuah negara memilih untuk tidak menyertai perjanjian ini, namun sebenarnya mereka juga sedar bahawa jika rakyat merasakan suasana ekonomi adalah tidak baik dan pendapatan mereka tidak bertambah, rakyat akan masih tidak berpuas hati atau marah kepada kerajaan dan akan berusaha untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan kerajaan baru yang dirasakan akan boleh menjamin keadaan ekonomi mereka adalah lebih baik.


Sebenarnya pertumbuhan ekonomi yang akan dialami oleh negara yang terbabit akan menguntungkan sebahagian kecil sahaja dari masyarakat, yang terdiri dari golongan yang sudah kaya, yang sedang mengawal sumber kewangan negara. Di samping itu, seperti yang telah terbukti berlaku di negara maju, pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan akan juga bermakna kenaikan kos kehidupan akibat dari inflasi dan pertumbuhan tahap hutang dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, tahap kebajikan rakyat akan masih terjejas dalam jangka panjang walau pun berlakunya pertumbuhan ekonomi. Namun, ramai yang tidak menyedari hakikat ini dan oleh itu mereka akan tetap menjadikan pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan sebagai isu paling utama. Dan oleh sebab itulah kerajaan di kesemua dua belas negara ahli TPPA, termasuk Malaysia akan berusaha untuk mengesahkan keahlian mereka, sementara yang lain akan berusaha untuk menyertainya di masa akan datang.





Jawaban kepada soalan kenapa kerajaan begitu beriya-iya kepada TPPA ialah kerana, sama ada secara sedar atau tidak sedar, itulah sebenarnya kemahuan sebahagian besar rakyat. Selagi fokus mereka tidak berubah dari isu pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan semata-mata, kerajaan tidak akan berganjak dari berusaha untuk menyertai TPPA.

Sediakan mahasiswa untuk memimpin negara – Syahir Nujaba

Pelbagai senario yang kita dapat lihat dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang berlaku di seluruh negara baru-baru ini.

Amat mengecewakan apabila masih ada insiden yang tidak bertamadun berlaku. Budaya pukul-memukul, kecam mengecam, maki-memaki, masih berlaku walaupun pada era intelektualisme kian meningkat hari ini.

Lebih parah lagi, ia berlaku di universiti yang merupakan simbolik keilmuan yang tinggi.

Melihat keadaan ini, mencetuskan beberapa soalan, antaranya, adakah politik nasional masih menghantui alam kampus hingga ke hari ini? Dan mengapa iklim sebegini tidak berlaku di universiti-universiti negara maju?

Menolak ke tepi golongan yang tidak bertamadun dan langsung tidak memperjuangkan maslahah (kebaikan) bagi warga universiti ini, dalam masa yang sama, golongan yang memperjuangkan kebaikan pula masih terpecah kepada dua.

Sebahagian pihak, secara naifnya cuba untuk menafikan campur tangan politik nasional di peringkat universiti.

Sebahagian pihak pula, secara prejudis membawa sentimen politik nasional ke dalam universiti.

Hasilnya, terbentuklah satu kelompok yang cuba memperjuangkan hak dan kualiti siswa-siswi secara gradual, manakala kelompok yang lagi satu bergerak secara radikal.

Kurangnya semangat saling melengkapi dan menghormati antara dua kelompok ini hanya akan lebih merugikan lagi dunia kampus.

Masakan tidak, pihak gradual melihat pihak radikal sebagai anti-establishment. Manakala pihak radikal pula melihat pihak gradual sebagai pak turut.

Sangka buruk yang membiak dalam kalangan siswa-siswi ini hanya boleh dihapuskan dengan cara mendidik siswa-siswi untuk kembali memperjuangkan matlamat utama dibentuknya sistem politik kampus, iaitu tiada lain, untuk mempersiapkan siswa-siswi untuk mentadbir negara.

Dalam proses pendidikan ini, kita perlu menghalusi dua aspek yang perlu diperbaiki dalam politik kampus.

Yang pertama adalah mentaliti siswa-siswi, dan yang kedua adalah gelanggang yang disediakan pihak universiti untuk siswa-siswi beraksi.

Dari aspek mentaliti siswa-siswi, seharusnya pemain-pemain politik dalam kalangan mereka bersikap lebih progresif. Manifesto yang mereka kempenkan seharusnya lebih dinamik.

Sentiasa mencari-cari lakuna atau kelompangan yang perlu dilengkapi. Manifesto yang bersifat cliche sepatutnya tidak lagi membayangi suasana politik kampus.

Idea-idea baru dan segar perlu keluar daripada akal-akal mereka, dan ini boleh dilakukan dengan merujuk idea-idea yang diperjuangkan siswa-siswi yang berada di negara-negara maju.

Sentimen-sentimen politik nasional, seharusnya tidak dimainkan secara membabi-buta sehingga kepimpinan siswa-siswi meninggalkan perjuangan kebajikan untuk warga universiti.

Menyibukkan diri siswa-siswi dengan sentimen politik nasional hanya akan menjauhkan lagi iklim politik kampus daripada konsep good governance, yang menjadi aras perjuangan siswa-siswi negara maju.

Untuk menghidupkan budaya pemikiran politik yang lebih maju seperti ini, lebih banyak wacana-wacana ilmiyyah perlu dihidupkan di universiti-universiti.

Kalau tidak pun, menjemput pakar-pakar luar yang kontroversi, gerakan siswa-siswi boleh melatih diri masing-masing untuk ke depan, mengupas isu serta autoriti-autoriti berkaitan sebagai proses mendidik warga kampus dan diri sendiri untuk lebih banyak membaca dan mengkaji.

Lebih baik lagi jika pensyarah memberikan tajuk-tajuk kajian kerja kursus subjek yang menyentuh lebih banyak tentang dunia kampus.

Namun itu tidak cukup untuk menyediakan siswa-siswi kita bagi menjadi pelapis pentadbiran negara. Hal ini kerana, gelanggang yang disediakan pihak universiti tidak berorientasikan politik nasional yang menjadi medan sebenar perjuangan mereka kelak.

Mengehadkan kempen serta undi siswa-siswa kepada kuliyyah atau fakulti masing-masing, hanya akan menjerat minda perjuangan siswa-siswi untuk berfikir seputar dunia fakulti semata-mata.

Ini barangkali menyerupai sistem yang digunakan di peringkat nasional yang mengehadkan undi dan kempen di negeri masing-masing.

Namun, elemen yang menyerupai kempen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, yang banyak menyentuh isu-isu di peringkat pusat, tidak dibenarkan di kampus.

Sedangkan, siswa-siswi sepatutnya didedahkan dengan sistem federalisme yang menjadi amalan di negara ini.

Perjuangan siswa-siswi yang terhad kepada isu-isu longkang, kebersihan, kemudahan, serta kebajikan masyarakat kampus, tidak melatih mereka untuk berjuang di peringkat pusat yang membabitkan polisi-polisi universiti yang bersifat menyeluruh, mencakupi pelbagai jabatan, fakulti, serta penempatan pelajar.

Jika ada pun, kerja-kerja dan usaha-usaha tersebut, hanya dibenarkan setelah kabinet kepimpinan pelajar terbentuk.

Sedangkan idea-idea kempen yang bersifat pusat juga sepatutnya dibentangkan kepada warga kampus agar mereka dapat membuat penilaian yang holistik, mencakupi perjuangan peringkat fakulti dan perjuangan di peringkat pusat.

Barangkali sebahagian berhujah yang sistem sedia ada tidak mahu pelajar terlalu terikut-ikut rentak politik nasional. Jika begitu, kenapa tidak pergi lebih jauh, menyediakan gelanggang politik yang beraneka ragam, mengambil model-model sistem politik negara luar seperti sistem unitari atau republik?

Ini lebih menguntungkan negara dari aspek uji-kaji apabila meletakkan universiti sebagai medan percubaan untuk melihat sejauh mana sistem negara lain lebih baik daripada sistem sedia-guna di negara ini.

Misalnya, membuat pilihan raya presiden terasing daripada pilihan raya lokaliti. Keterbukaan pihak universiti untuk memandang alam kampus sebagai negara ujikaji, pastinya memberi hasil kajian yang banyak dalam dunia sains politik.

Lebih kritikal, apabila hak pemenang pilihan raya, yang sepatutnya mendapat kuasa untuk menggubal polisi atau perlembagaan universiti dinafikan. Ya, kita tidak harapkan kuasa itu diberi secara mutlak, menyentuh seluruh pentadbiran universiti. Itu tidak masuk akal!

Namun, memberi kuasa berperlembagaan kepada pemenang, untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan undang-undang universiti, adalah pengalaman yang berharga buat mereka kelak.

Jika di peringkat nasional sudah diadakan parlimen belia sebagai pendedahan awal, mengapa di universiti tidak? Ianya boleh dibuat secara berperingkat, samada suara parlimen ini menduduki tangga nasihat, kemudiannya apabila siswa-siswi sudah terbiasa, tingkatkan peranan parlimen ini ke tangga kuasa dalam menggubal sebahagian polisi-polisi universiti yang terkait dengan idealisme pelajar.

Sikap kerajaan Malaysia yang mencengkam perkembangan universiti-universiti ini untuk bebas membentuk iklim politik masing-masing, adalah tindakan yang bacul dan penakut.

Mengapa mesti dikorbankan masa depan negara yang bergantung banyak atas bahu cerdik pandai universiti ini semata-mata untuk menyelamatkan parti politik tertentu di peringkat nasional?

Berikanlah kepercayaan kepada siswa-siswi ini untuk mencorak permainan politik baru di negara ini. Tidak perlu kerajaan sekat aktiviti politik mereka kerana takut mereka terpengaruh dengan permainan politik nasional.

Percayalah, majoriti siswa-siswi sendiri sudah muak dengan iklim politik nasional.

Mereka mempunyai idealisme sendiri untuk membentuk iklim politik yang baru. Bebaskan mereka!