Tuesday, October 27, 2015

Maqasid Syariah Sebagai Solusi Dalam Membentuk Malaysia Rahmah - Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

“Sungguh, bagi kaum Saba` ada tanda (kebesaran Allah) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun disebelah kanan dan di sebelah kiri, (kepada mereka dikatakan), “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) oleh Tuhanmu dan bersyukurlah. (Negerimu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun” (Surah Saba`:15)

Negara yang makmur, sejahtera, harmoni dan rahmah menjadi satu impian yang paling besar bagi individu yang sangat sensitif dengan nilai-nilai kemuliaan, nilai kehidupan berteraskan syariah dan sistem tadbir urus negara yang baik dan berkesan. Malangnya, situasi negara kita yang sedia ada ini, masih lagi jauh daripada kriteria dan kedudukan sebuah negara rahmah yang kita impikan itu.

Dewasa ini, keadaan masyarakat yang semakin bergolak dek peredaran zaman, semakin pincang dek pengaruh budaya asing dan barat, kerakusan dan tamak haloba, ketidakadilan dalam mengurus tadbir negara, tidak amanah dengan tanggungjawab yang dipikul, nilai-nlai kemanusiaan yang semakin terhakis, institusi masyarakat yang pincang, syariah dipinggirkan dan agama dijadikan permainan.

Di mana sebenarnya kedudukan kita sebagai umat yang mulia? Sepatutnya sebagai sebaik-baik umat, hati kita sememangnya tidak boleh menerima perkara ini dengan rela, kita pasti tidak boleh berdiam diri dengan keparahan dan kepincangan yang semakin berleluasa ini. Tindakan dan langkah pengislahan itu harus dijalankan secara menyeluruh dan konsisten.

Para pembaca sekalian, dalam usaha membentuk negara Malaysia yang lebih berkebajikan, sejahtera, harmoni dan rahmah, kita perlu meletakkan syariat Allah itu yang pertama berbanding yang lain. Peranan Maqasid Syariah itu cukup besar dalam proses pengislahan negara kepada yang lebih baik.

Negara rahmah berasaskan Maqasid Syariah ialah sebuah negara yang akan menyediakan ruang, suasana dan linkungan pemeliharaan tuntutan-tuntutan syariah kepada manusia dan alam, manusia dan dunia, pemeliharaan, pengekalan sehingga negara mampu berkembang mekar sebagai negara yang makmur, negara makruf dan ehsan, negara yang berkat, dilindungi dan dicucuri rahmah.

Negara yang rahmah juga negara yang akan memelihara, mengekalkan dan menyuburkan nilai-nilai kehidupan manusia, diri manusia, masyarakat manusia dan seterusnya linkungan kehidupan manusia. Tuntutan maqasid syariah dan matlamatnya adalah untuk memelihara dan mengembangkan 5 fakulti atau item yang berikut:

1- Agama (al-din)
2- Nyawa (al-nafs)
3- Kehormatan dan maruah (al-muruah)
4- Akal (al-aql)
5- Harta (al-mal)

Sheikh Yusof Al Qardhawi menambah 2 lagi fakulti atau item, iaitu kebebasan (al- hurriyyah) dan kesamarataan (al-musaawah). Ia sangat releven untuk kehidupan masyarakat dunia hari ini yang mana kebebasan dan kesamaraatan semakin dipinggirkan. Hadirnya Sheikh Yusof Qardhawi, meletakkan dua penambahan ini menjadikan Maqasid Syariah semakin releven dan bertepatan dengan peredaran zaman.

Tahap capaian pemeliharaan dan pengembangan kesemua fakulti ini dalam ruang lingkup sebuah Negara yang rahmah perlulah mencapai tahap makmur, kaya dan kuat yang memungkinkannya membantu negara-negara lain serta umat islam. Prinsip pemeliharaan ini berlaku sejajar dengan tuntutan dan kehendak siyasah syariyyah yang menerangkan kepada kita tugas pemerintah, menguruskan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara dengan adil dan patuh syariat, bagi menegakkan masa depan islam di dalam negara.

“Siyasah syariyyah merupakan pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama dengan semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah”.

Saya tertarik dengan Ucapan Dasar Dr Mohd Parid Bin Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia di Perhimpunan Tahunan IKRAM 2015 yang berlangsung di IDCC Shah Alam pada 24 Oktober 2015 baru-baru ini yang bertemakan “Memacu Perubahan Malaysia Rahmah Berasaskan Maqasid Syariah”, beliau menyebut:

Di dalam usaha membentuk Malaysia yang rahmah, IKRAM menggariskan dua fasa yang perlu dilalui iaitu Pertama, fasa peralihan iaitu fasa ‘Kepimpinan Mukmin Kompeten dan Berintegriti’. Malaysia pada waktu itu diharapkan berjalan di atas landasan demokrasi yang matang, perlembagaan persekutuannya dapat dimanfaatkan untuk terus memacu perubahan masyarakat, gerakan islam dapat bekerjasama dan bergandingan, bergerak secara progresif dan inklusif, umat sudah dapat menerima syariah, masyarakat yang menghormati prinsip islam, berdisiplin, berilmu, berakhlak dan penyayang.

Fasa kedua ialah: Fasa ‘Negara Rahmah Mithali’. Negara Malaysia pada waktu itu sudah menjadi ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’ yang memiliki 12 Ciri berikut:

1- Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbak yang berkesan
3- Tadbir urus yang baik
4- Undang-undang yang adil
5- Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6- Institusi keluarga yang utuh
7- Hubungan etnik dan penganut agama yang Harmni
8- Ekonomi yang mampan
9- Agihan kekayaan yang saksama
10- Pembangunan yang lestari
11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
12- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

12 ciri asas inilah adalah ruang lingkup Maqasid Syariah yang perlu kita usahakan. Bukan sahaja dari pihak pemerintah, tetapi juga rakyatnya. Kedua-dua pihak harus bergandingan dan bekerjasama dalam membentuk negara yang lebih sejahtera dan makmur dengan menggerakkan amal dakwah dengan pendekatan rahmatan lil alamin, memelihara hubungan baik dengan masyarakat muslim dan bukan muslim dan membangunkan tapak politik ummah yang kuat di dalam negara untuk kelangsungan demokrasi yang matang.

Maqasid Syariah secara kesimpulannya bertujuan untuk memberi makna kepada kehidupan manusia, segala yang membawa kepada keadilan itu adalah syariah, negara yang bebas jenayah, negara yang bersih, negara yang menjaga kebajikan rakyatnya itulah syariah (Dr Maszlee Malik, 2015).

Ayuh kita sama-sama mengorak langkah ke arah membentuk Malaysia Rahmah berasaskan Maqasid Syariah!

No comments:

Post a Comment