Sunday, September 27, 2015

4 cadang kritik terbuka buat Amanah – Syahir Nujaba’

Pelancaran sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini, cukup meriah. Dengan dewan yang luas, pentas ala-ala peragaan busana, kehadiran penyokong dan pemerhati melimpah hingga ke luar.

Ini permulaan yang baik bagi sebuah parti yang baru bertapak dan bakal menghadapi pilihan raya dalam tempoh lebih kurang 2 tahun dari sekarang. Dalam keasyikan merayakan pencapaian yang gilang-gemilang ini, sikap berhati-hati perlu terus diambil perhatian, agar usaha yang digembleng, tidak berakhir sekelip mata.

Meskipun kita sedia maklum, pimpinan Amanah terdiri daripada tokoh yang sangat berpengalaman. Namun, cadangan terbuka ini diharapkan, jika tidak pun menyantuni pimpinan yang sudah sedia hebat, sekurang-kurangnya ia mampu memberi buah fikiran dan refleksi kepada penyokongnya.

Pertama, memperkukuhkan akar umbi. Kita sedia maklum, undi bukan sesuatu yang boleh kita lobi. Undi, datang daripada sejumlah kepala yang tidak mampu kita kemudi. Dan dalam banyak-banyak kelompok pengundi, pemuda adalah yang tertinggi. Sejumlah kelompok pemuda ini, pendedahan politik yang mereka dapat adalah di peringkat universiti.

Amanah yang juga menampilkan konsep jemaah Islam, pastinya sedar setiap jemaah Islam di peringkat nasional, sudah pun mempunyai organisasi tajaannya yang tersendiri di peringkat kampus. Amanah pula bagaimana? Dengan terkumpulnya sejumlah penyokong muda yang masih ternanti-nanti prospek perjuangan, eloklah Amanah bersegera mengukuhkan akar umbi di peringkat kampus.

Kedua, berhenti mencari publisiti. Cukuplah dengan poster memetik kata-kata tokoh masyarakat, kemudian memperagakannya seakan-akan mereka menjadi ahli Amanah. Ia kelihatan sangat murah! Beberapa rungutan dilakukan tokoh terbabit. Dan apabila mereka membuat penafian terbuka, ia seolah-olah menggambarkan Amanah sangat-sangat kemaruk dan terdesak terhadap perhatian dan sokongan ramai. Tidak salah mengambil petikan kata-kata yang selari dengan roh perjuangan Amanah. Cuma pastikan corak dan penampilan poster tersebut tidak mengundang kontroversi. Binalah kualiti, yang lainnya, biar mereka datang sendiri.

Ketiga, lebih teliti soal penampilan parti. Keputusan Amanah, untuk tidak menggunakan kalimah Arab dalam membuat penampilan dari sudut jawatan, keputusan yang sangat bernas. Hal ini sangat menyantuni permasalahan dunia Melayu yang sangat taksub dengan perkataan Arab. Mereka melihat perkataan Arab sebagai keramat. Untuk itu, perkataan jemaah perlu ditukar kepada organisasi, ulama perlu ditukar kepada sarjana, mursyidul am perlu ditukar kepada penasihat am, dan lain-lain lagi. Ini sekurang-kurangnya dapat membendung budaya taksub yang sedikit sebanyak berpunca daripada kepercayaan keramat bahasa Arab. Bagaimanapun, pemilihan logo parti amat mengecewakan. Ya, memang benar, kita boleh bagi 1001 alasan untuk menggambarkan ia bukan isu besar. Namun kita perlu sedar, audiens kita pelbagai.

Dan sebahagian mereka menganggap ini kualiti pengurusan yang lemah. Bagaimana pemilihan logo yang diadakan pertandingan, tidak diteliti dengan baik? Kita sudah ada pelbagai isu mengenai logo ini, termasuk logo Jakim dan logo kemerdekaan. Tidak cukupkah itu sebagai pengajaran?

Keempat, sedar diri. Sentiasalah berada dalam kesedaran, parti ini datang daripada rakyat, dan kepada rakyat jua ia akan dipulangkan khidmat. Membentuk sebuah parti yang berkonsep jemaah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara mendalam. Kerana konsep jemaah inilah, sebahagian besar aktivis Islam masih gagal untuk menerima parti politik Islam yang baru ini. Isu walak, baiah, rahim tarbiah, siapa lebih lama bertapak; ini semua masalah yang lahir apabila parti politik membawa konsep jemaah. Padahal, dalam sains politik, parti-parti ini sepatutnya menjadi tapak dan platform dalam memenuhi tuntutan fitrah jemaah dalam Malaysia yang ingin memberi sumbangan terhadap politik tanah air.

Amanah perlu sedar, kepelbagaian jemaah dalam negara ini bersifat saling melengkapi. Semangat perjuangan politik yang terdapat dalam keanggotaan jemaah lain, seharusnya tidak boleh dinafikan sebuah parti politik yang datang daripada denyut rintihan rakyat.

Amanah perlu ke depan dalam membentuk iklim politik yang baru. Perlu lebih laju dan pantas daripada PKR, dan DAP yang saban hari merekrut cendekiawan dan tokoh masyarakat. Amanah harapan sejumlah jemaah gerakan Islam yang bertapak di Malaysia. Ini adalah bidang keberhasilan utama Amanah. Kenapa tidak Amanah membuka lembaran baharu, di mana semua penggerak jemaah boleh terus aktif dengan tarbiah jemaah masing-masing dan gunakan Amanah sebagai platform bebas untuk berpolitik?

Tidak salah sekiranya Amanah hendak membina manhaj tarbiah yang tersendiri. Namun untuk kelompok yang sudah pun memiliki manhaj tarbiah masing-masing, biarkan mereka dengan keanggotaan terhadap jemaah masing-masing. Alu salafi bersuara dalam Amanah, mengalu-alukan Abim bersuara dalam Amanah, Ikram bersuara dalam Amanah, tabligh bersuara dalam Amanah. Galak mereka bekerja keras membangunkan Amanah.

Siapa yang lebih kerja, mereka yang akan lebih mendominasi. Tiada istilah hijack, menyelinap membuat pakatan. Tanggapi perbezaan suara ini dengan sangka baik, ia suara rakyat yang bersaing dengan sihat. Jika ini dapat direalisasikan oleh Amanah, tidak hairan suatu hari nanti, Amanah akan mendominasi Pakatan.

Amanah, masih terlalu banyak cabaran untuk diperhatikan. Teruskan berjalan.

Monday, September 21, 2015

Beri peluang kepada pakatan pembangkang baharu – Syed Ibrahim

Saya menghadiri dialog politik tentang Pembangunan Koalisi atau Pakatan di Malaysia anjuran Akademi Keadilan (ArK) dan Penerangan Keadilan pada Ahad 20 September lalu.

Ucaptama disampaikan oleh Presiden PKR dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur Friedrich Naumann Foundation (FnF), Siegfried Herzog.

Manakala sesi dialog dimudahcara oleh Fuziah Salleh, Pengarah dan Pengasas Akademi Keadilan, Ahli Parlimen Kuantan dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Pengarah Projek FnF Malaysia, Moritz Kleine Brockhoff dan Felo Penang Institute, Dr Wong Chin Huat.

Pelaksanaan dialog ini amatlah tepat pada masanya ketika negara sedang menghadapi krisis keyakinan dan ketempangan kepimpinan di bawah Datuk Seri Najib Razak, di samping pakatan pembangkang diambang mengadakan rundingan meja bulat ke arah pembentukan pakatan pembangkang yang baharu.

Rakyat seolah-olah mencari penyelesaian dan cahaya harapan sama ada masih menaruh kepercayaan kepada pakatan BN dan perdana menteri yang diselubungi skandal demi skandal atau kepada pakatan pembangkang yang dianggap rapuh dan tiada kepimpinan.

Mungkin ada yang mengatakan dialog berkenaan agak terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur apabila Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Namun saya tidak percaya begitu. Saya melihat ini adalah kesempatan keemasan untuk masing-masing parti politik pembangkang khususnya dan parti pemerintah amnya, untuk melihat kembali dasar kewujudan pakatan.

Pergi kepada asas dan jawab soalan-soalan asas seperti kenapa perlunya pakatan, apakah perkara asas atau prinsip yang disetujui bersama, apakah had-had dalam pakatan dan apakah cabaran lalu yang boleh diambil pengajaran untuk diatasi.

Dengan erti kata yang lain, cari ruang persamaan dan ketepikan perbezaan dengan aspirasi menjayakannya atas sebab terpenting dan terutama.

Dalam menegaskan perkara ini, Dr Wan Azizah dalam ucaptamanya ketika dialog mengatakan, untuk mencapai kemerdekaan negara malah untuk masa depan negara yang lebih baik, maka ia bergantung kepada "coalition based politics" atau politik berpaksikan pakatan/koalisi.

Menurutnya, pakatan politik yang tulen menuntut pembangunan kerjasama dan kesepakatan sebagai “prinsip pertama politik”.

Ini bermakna polisi dan objektif bersama wajib mengatasi hairaki objektif dan ideologi parti masing-masing iaitu dengan mendahulukan kepentingan rakyat atau warganegara.

“Masa depan Malaysia akan dicorakkan oleh sejauh mana pimpinan parti-parti pembangkang memahami pakatan politik yang berkesan menuntut kesepakatan dan keanjalan yang dipasak kepada Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip demokrasi sejagat,” tambahnya lagi.

“Kita mesti mengatasi kepentingan sempit dan manfaatkan kebijaksanaan bersama daripada kekayaan pengalaman dalam pakatan”, katanya.

Apa yang diungkapkan oleh Dr Wan Azizah ini bukan bermakna beliau tidak memahami krisis politik dalaman parti atau menghargai pengorbanan dan usaha yang dilakukan oleh mana-mana parti atau tokoh parti, namun pada masa dan suasana sekarang, apa yang lebih penting ialah memenuhi harapan rakyat dan selamatkan Malaysia.

Benar, kita boleh lihat dan baca sendiri pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh PAS, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tentang rundingan meja bulat tajaan PKR tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan menegaskan tidak akan menghadiri rundingan meja bulat yang melibatkan DAP dan Amanah kerana menyifatkan persidangan tersebut diadakan dengan tergesa-gesa dan pihaknya belum mengadakan perbincangan dalaman mengenainya.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dilaporkan pernah menolak kemungkinan PAS bekerjasama dalam pakatan baharu pembangkang yang turut dibarisi Amanah dan DAP.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pula dilaporkan berkata kerjasama melibatkan PKR, DAP, Amanah dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang pro pembangkang, akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baharu tanpa PAS.

Kemudian, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh pula dilaporkan berkata DAP tidak mahu menyertai projek Pakatan baharu jika PAS turut diajak menganggotainya. Namun menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, DAP akan hadiri rundingan meja bulat apabila dijemput.

Walaupun kita hormati semua pandangan tersebut tetapi yang jelasnya semua pandangan ini dibuat secara berasingan dan mendahului rundingan meja bulat.

Apakah tidak mungkin sikap keterbukaan, keikhlasan, kehormatan dan berlapang dada dapat dizahirkan untuk menghadiri rundingan berkenaan? Untuk sekurang-kurangnya memberi peluang menyampai dan mendengar pandangan tanpa prasyarat dan syak wasangka yang menebal demi kepentingan rakyat dan negara?

Saya tahu ini tidak mudah tetapi ia tidak mustahil kerana ia pernah berjaya dahulu. Saya bangga dan kagum dengan mereka yang berjiwa besar, sabar dan sanggup ketepikan emosi dan sentimen.

Menurut Dr Wan Azizah, pakatan politik yang formal adalah lazim manakala pakatan sementara pilihan raya atau “electoral pact” merupakan jenis kerjasama politik paling minimum. Ini bermakna jenis dan bentuk pakatan boleh dibincangkan dan diteliti dengan mengatasi apa-apa kekurangan dahulu.

Malah jika ditinjau jenis pakatan di negara Eropah khususnya Jerman, mereka sudah jauh lebih matang dari segi “berpakatan” ini apabila boleh mewujudkan pakatan dengan ahli yang berbeza-beza di peringkat yang berbeza.

Memetik artikel yang pernah ditulis oleh Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP; di Jerman, parti Canselor Angela Merkel, Christian Democratic Union (CDU) menubuhkan kerajaan pakatan dengan Social Democratic Party (SPD) di peringkat Persekutuan manakala blok pembangkang ialah Green Party dan Die Linke.

Namun, bentuk pakatan ini berbeza di peringkat Negeri. Di Negeri Brandenburg, SPD bergabung dengan Die Linke manakala di North Rhine-Westphalia, SPD berkongsi dengan Green Party. Lebih menarik lagi, di Hessen, CDU membentuk kerajaan pakatan dengan Green Party sedangkan kedua-dua parti lahir daripada ideolgi yang bertentangan.

Bagaimana ini boleh berlaku dan apakah ini boleh digunapakai di Malaysia?

Menurut Zairil, ini tidak pelik dan boleh berlaku kerana ia menggambarkan keperluan dan aspirasi peringkat wilayah dan politik yang berbeza-beza. Bukan sahaja negara maju seperti Jerman mengamalkannya tetapi negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipina juga turut mempraktikkan bentuk pakatan tersebut.

Yang menggabungjalinkan mereka walaupun berbeza ideologi ialah kerana setiap pakatan bersifat sementara atau tidak tetap dan tertakluk oleh perjanjian persefahaman yang bertempoh.

Inilah juga yang dinyatakan oleh Seigfried Herzog, Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur, FnF, ketika memberi ucaptama dalam Dialog Politik pada 20 September lalu.

Menurutnya, satu bentuk dokumen perjanjian diperlukan untuk memastikan kelestarian pakatan parti politik.

“Tanpa dokumen perjanjian itu, sesebuah pakatan tidak boleh dibentuk atau bertahan lama”, katanya.

Selain itu, tambahnya, parti-parti yang terlibat perlu bersetuju dengan tempoh masa untuk perjanjian dan struktur tatakelola pakatan berkuatkuasa.

Berpandukan di atas, saya boleh merumuskan syarat asas kepada sesebuah pembentukan pakatan atau gabungan seperti berikut:

Pertama, wujudnya terma rujukan atau dokumen asas perjanjian bertulis (semasa Pakatan Rakyat dahulu, ini ialah apa yang disebutkan sebagai dokumen Kerangka Polisi Bersama);

Kedua, wujudnya dasar dan prinsip bersama yang dipersetujui;

Ketiga, wujudnya struktur tatekelola pakatan termasuk kaedah pembuatan keputusan dan timbangtara yang jelas, dan

Keempat, wujudnya tempoh masa pakatan yang bersesuaian.

Empat sahaja syarat asas tetapi setiap satunya membawa pemberat yang tinggi.

Justeru, dengan masa kurang daripada 24 jam antara tempoh artikel ini ditulis dan rundingan meja bulat pakatan pembangkang baharu, saya berharap di bawah kepimpinan ketua pembangkang dan dengan kehadiran pimpinan parti pembangkang tanpa syak wasangka atau prejudis serta kefahaman terhadap apa yang terpenting dan terutama, maka rundingan meja bulat dapat dijayakan demi kepentingan rakyat dan negara.

Saya akhiri dengan kata-kata penutup Dr Wan Azizah berikut:

"Lastly, we will only succeed if we apply humility, respect and sincerity as the tone of our approach to coalition building. We must go beyond narrow interest and use our collective wisdom from our rich political coalition experience.

On 22 September a round table meeting among key opposition parties may decide if it is a bloc, coalition, electoral pact or just a divided opposition.

On 22 September will be our moment of truth if we continue to deserve the support and mandate to lead all those that have shown what 'Yellow' is and what 'Red' is not.

On 22 September will be our day of reckoning if we move together towards a common future or remain stuck in a self-made political prison of the past.

Finally, a coalition by any name or configuration is just a means to an end which must be a Better Malaysia for All and I end with a quote from Anwar Ibrahim; “Let us put aside all other considerations and differences, and focus upon this great struggle to save Malaysia.”

("Akhir sekali, kami hanya akan berjaya jika kita mengamalkan sikap rendah hati, hormat dan ikhlas sebagaimana bunyi pendekatan kami ke bangunan gabungan. Kita mesti melampaui kepentingan sempit dan menggunakan kebijaksanaan kita bersama daripada pengalaman gabungan kaya politik kita.

Pada 22 September mesyuarat meja bulat di kalangan parti-parti pembangkang utama boleh membuat keputusan jika ia adalah blok, gabungan, pakatan pilihan raya atau hanya pembangkang dibahagikan.

Pada 22 September akan menjadi masa kami yang benar jika kita terus berhak mendapat sokongan dan mandat untuk membawa semua orang-orang yang menunjukkan apa yang “kuning” dan apa yang “merah” adalah tidak.

Pada 22 September akan menjadi hari kami pembalasan jika kita bergerak bersama-sama ke arah masa depan yang sama atau terus terperangkap dalam penjara politik buatan sendiri yang lalu.

Akhir sekali, gabungan dengan apa-apa nama atau konfigurasi adalah hanya satu cara ke akhir yang perlu menjadi Malaysia yang lebih baik untuk semua dan saya berakhir dengan petikan dari Anwar Ibrahim; "Marilah kita mengenepikan segala pertimbangan dan perbezaan lain, dan memberi tumpuan kepada perjuangan yang besar untuk menyelamatkan Malaysia.)

Semoga segala tindak tanduk kita diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah dan mendapat keberkatan dan RahmatNya sebagaimana Nabi merapatkan hubungan antara Auz dan Khazraj, antara Muhajirin dan Ansar.

Menyikapi kerencaman manusia di Malaysia – Harith Roslizar

Mereka yang mengkaji Islam, sumbangannya pada tamadun kemanusiaan dan kesan yang ia tinggalkan, tidak dapat tidak, akan mendapati sumbangan besar Islam di dalam mengangkat karamatul insaan - kemuliaan manusia.

Ayat pertama surah Al-Maidah memasakkan ide dan prinsip ini dengan menegaskan keseluruhan kemanusiaan ini berasal dari jiwa yang satu – Adam a.s. Walau berapa banyak pecahan yang berlaku setelah itu, samada menjadi orang Amerika atau orang Rohingya, menjadi Melayu, Cina atau India, menurut Sheikh Dr Mustafa As-Sibaie, kepelbagaian ini sepatutnya menolak ke arah kerjasama dan li taarafu (saling mengenali satu sama lain dalam suasana yang baik.

Orang Islam sebenarnya diingatkan prinsip kemanusiaan yang abadi ini pada setiap hari Jumaat; pertamanya melalui pengulangan ayat Al-Hujurat ayat 13 dalam pembukaan khutbah Jumaat dan keduanya melalui penyusunan barisan saf solat di dalam masjid yang tidak mengira latar belakang – baik dari sudut keilmuan, bangsa mahu pun kekayaan.

Justeru itu, sebenarnya di dalam Islam, apa sekali pun kepelbagaian yang muncul ia tidak boleh menidakkan kedudukan human dignity ini. Penghormatan terhadap kemanusiaan pada hari ini disebut sebagai human rights – hak asasi manusia.

Sejarah menunjukkan, konsep human rights ini sering di-abuse mereka yang berkuasa atau inginkan kuasa walaupun rakyat di bawah berusaha memelihara prinsipnya. Apa guna mengisytiharkan hak asasi manusia namun kita sendiri menggunakannya sebagai alat untuk matlamat lain?

Apa guna hak asasi itu kita tegakkan hanya untuk orang-orang dalam negara kita namun lain pula kayu ukur yang diguna pakai ketika mana berurusan dengan negara lain. Bukankah ini antara punca besar kepada kerosakan dunia kita pada hari ini?

Islam mengisytiharkan hak asasi manusia ini 1400 tahun dahulu melalui Perjanjian Madinah, sebuah kontrak sosio-politik rentas kaum dan agama. Menurut sebahagian sarjana, ini merupakan pengisyiharan hak asasi manusia pertama di dunia.

Dalam kontrak sosial ini, Rasulullah menggelar keseluruhan rakyat Madinah itu sebagai sebuah Ummah – ia tidak terbatas pada agama, ia berpaksikan komitmen untuk mencapai kemaslahatan dan menjauhkan kemudharatan secara bersama.

Menurut Dr Siddiq Fadzil, Presiden Wadah dan seorang guru masyarakat, “semangat yang mendasarinya adalah untuk membina kesatuan tanpa menghapuskan perbezaan. Agenda besar membina kesatuan dilaksanakan dalam dua tahap penting.

Tahap pertama, membentuk kesatuan keagamaan yang menggabungkan seluruh kabilah dan suku yang beragama Islam. Kesatuan inilah yang disebut ummah diniyyah (umat keagamaan) yang eksklusif. Tahap kedua, membentuk kesatuan politik yang meliputi kaum Muslimin dan bukan-Muslimin.

Kesatuan politik inilah yang disebut ummah siyasiyyah yang sifatnya lebih inklusif, kesatuan yang disemangati kesediaan qabul al-akhar, (menerima orang lain) untuk hidup bersama secara damai dan harmonis. Yahudi yang diiktiraf sebagai ummah diniyyah tersendiri, bergabung dengan umat Muslimin membentuk kesatuan ummah siyasiyyah negara Madinah.”

Sedikit sebanyak, ruh ini wujud pada our founding fathers; samada di pihak kerajaan seperti Tunku Abdul Rahman mahu pun di pihak anti-penjajahan seperti Dr Burhanuddin Helmy, Malaysia ini, tanpa mengira latar belakang agama, budaya atau bangsa adalah Ummah Siyasiyyah yang harus membingkaikan kepelbagaian mereka dengan asas-asas kesatuan. Kita sebenarnya bersetuju untuk hidup bersama dalam keadaan menyedari kerencaman yang ada.

Namun hari ini, di manakah kita dan ke manakah kita mahu pergi?

Bukankah wajar kita kembali kepada asas-asas penubuhan negara kita seperti Rukun Negara, Perlembagaan Negara dan Perjanjian Malaysia 1963?

Sebagai seorang muslim, kita harus menghormati janji dan persepakatan kita. Al-muslimuna ala syurutihim – muslim itu adalah mereka yang berpegang dengan janjinya. Memang saya bersetuju di Malaysia bukan muslim sahaja yang harus diperingatkan untuk menghormati janji yang sama-sama kita buat, namun apakah ada dakwah yang lebih berkesan dari walking our talk?

Saya teringat bagaimana Nabi SAW mengurus siri-siri penentangan Yahudi setelah termeterainya Perjanjian Madinah sebagaimana yang dinukil Dr Rajab As-Sirjani, seorang sarjana besar Islam dari Mesir:

“In spite of all these incidences of rejection and conspiracy, the Prophet maintained his treaties with the Jews and never denied their rights of co-existence as people of the book. It is obvious that the actions of the Prophet (PBUH) never stemmed from personal motives, rather they were dictated by his belief and jurisdiction of Islam, which requires the recognition of others in spite of their denial and rejection.”

Mungkinkah, sebagai seorang rakyat Malaysia, Muslim atau bukan, kita mengambil pelajaran dari contoh Nabi SAW ini?

Saya yakin kita mampu, asalkan kita punya sikap matang dalam mendepani perbezaan lampau dan ada kemahuan tinggi untuk hidup bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.

Saturday, September 19, 2015

Amanah dalam masyarakat Melayu-Islam dan Malaysia – Wan Salman Wan Sallam

Ulangtahun ke-52 Malaysia menandakan hari pertama Parti Amanah Negara (Amanah) lahir mencorakkan persada politik Malaysia.

Melangkah berani dengan pelbagai tohmahan dan caci maki, Amanah terus “degil” dan lahir bermotivasikan sokongan, dorongan dan rintihan rakyat yang gelisah akan scenario politik masa kini.

Bukan rahsia lagi, atas beberapa perkara yang dikira tidak dapat lagi dirunding dalam PAS serta kebobrokan tatakelola serta spekulasi rasuah pemerintah. Rakyat menginginkan lebih daripada sekadar wujudnya “wakil Melayu-Islam”.

Atas kesedaran inilah, golongan yang lebih sederhana dan mengutamakan perdamaian tampil berani dengan membawa mesej yang secara relatifnya antikonservatif dalam pemahaman politik Melayu-Islam dan muncul dengan Gerakan Harapan Baru yang akhirnya melahirkan Amanah.

Cabaran menyantuni Melayu-Islam

Boleh dikatakan kerunsingan paling besar orang Melayu-Islam, selain kemerosotan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup ialah “penyatuan Melayu-Islam”.

Umum diketahui, atas sebab-sebab seperti polemik hudud, fitnah, politik kotor atas nama ulama dan juga pelanggaran perjanjian bersama Pakatan Rakyat yang konsisten pimpinan parti menatijahkan keluarnya ahli-ahli PAS secara beramai-ramai dari parti yang didakwa parti Islam tertua di tanah air ini.

Setelah dilabel pengkhianat dan petualang bahtera perjuangan Islam, individu-individu yang keluar membentuk parti baharu ini kini menghadapi cabaran memastikan mereka benar-benar mewakili nafas dan denyut nadi Melayu masa kini dek saingan PAS dan Umno.

Bolehkah mereka melawan Umno yang dilihat mendominasi kawasan luar bandar dan sering diangkat jaguh ketuanan Melayu? Bagaimana pula mereka mampu menyaingi PAS yang lebih dilihat alim dan mampu “menyelamatkan Melayu dengan Islam”?

Ditambah pula dengan imej moderat mereka yang lazimnya lunak dengan semua kaum, mungkinkah kaum yang mereka sendiri ingin wakili gagal? Tidakkah jika usaha ini gagal, penubuhan Amanah hanyalah bak penubuhan PKR 2?

Membawa seruan rahmah

Percaya atau tidak, stigma inilah yang sering bermain dalam kepala orang Melayu-Islam, lebih-lebih lagi yang teruja dengan idea Islamisme yang memestikan wujudnya negara Islam berdaulat yang biasanya mesti berkriteriakan hudud dan “syariat Islam yang menyeluruh”.

Secara prinsipnya, pemahaman tersebut tidaklah salah secara keseluruhannya. Namun apa yang mungkin agak mengecewakan ialah pemahaman pelaksanaan prinsip Islam yang menganggap Islam itu sendiri punya penyelesaian yang langsung dalam semua bidang.

Maka dalam perjuangan mereka dalam wadah baharu ini, Amanah menggalas tanggungjawab besar untuk menanamkan pemahaman politik yang berlandaskan realiti semasa berprinsipkan matlamat tertinggi syariat Islam (Maqasid Al-Syariah) dalam masa yang sama sentiasa menjaga kebajikan orang Melayu; bukan atas nama “kemuliaan Melayu”, tetapi atas dasar kebajikan yang sememangnya sudah sedia ada dalam prinsip rahmah Islam.

Cabaran ini tidak mustahil untuk dihadapi biarpun ranjau sepanjang perjalanan pasti mendatang.

Dengan tertubuhnya badan amal naungan Amanah iaitu Arif, Amanah dilihat mampu bersedia berkhidmat dan melakukan amal bakti kepada masyarakat. Badan ulama dan pakar akademik Islam mereka, Nunji diyakini mampu memberi nafas baru dalam mengeluarkan fatwa dan pendapat agar bersesuaian dengan realiti hidup majmuk masa kini di Malaysia agar mesej rahmah itu jelas.

Sebagai sebuah parti bongsu yang membawa mesej baharu, mereka akan memerlukan masa untuk membentuk identiti mereka. Juga dalam masa yang sama, mereka juga perlu berterusan mendidik kaum Melayu beragama Islam agar memahami pemahaman dan fatwa Islam yang lebih terkini dan bersifat adil dan kene dengan realiti Malaysia.

Sehubungan itu, kita sebagai rakyat juga harus rasional dalam menilai mereka; pendekatan politik nilai dan bersih dari[ada korupsi serta amanah harus kita buka ruang untuk mereka buktikan.

Akhirnya, jika mereka terbukti berjaya, kita juga yang bakal mengecapi nikmat rahmah yang diimpikan.

Selamat maju jaya buat para pendukung Amanah sekalian!

Wednesday, September 16, 2015

Mengapa releven politik nilai dalam pilihan raya kampus – Nik Fatma Nik Muhamad

Tahun 2015 adalah satu tahun yang signifikan bagi pentas arena politik kampus. Tarikh yang dikeluarkan pihak berkenaan untuk mengawalkan Pilihanraya Kampus di universiti masing-masing cukup urgensi untuk mahasiswa melakukan persiapan dalam tempoh dan masa yang sangat singkat.

Di saat para pelajar baru sedang bertungkus-lumus mendaftar subjek, sedang mereka baru sahaja mengorak langkah mengenali geografi universiti, suasana intelektual, persekitaran atau biah yang mencabar yang akan mereka hadapi, mereka turut merasakan satu suasana yang baru, yang mencabar pemikiran mereka dalam membuat persiapan untuk memilih pimpinan yang terbaik bagi mereka. Tetapi, dengan keadaan yang sangat getir ini, ia tidak menghalang mahasiswa untuk membuat perancangan yang rapi bagi menyambut baik proses demokrasi dalam sistem pilihanraya kampus universiti masing-masing. Syabas saya ucapkan!

Pilihanraya Kampus adalah satu medan untuk mahasiswa itu membentuk ideologi mereka yang matang, menggerakkan ideologi itu dengan penuh hikmah dan mengakhiri perjuangan ideologi tersebut dengan satu pengislahan yang menyeluruh kepada masyarakat kampus khususnya, masyarakat umum amnya.

Pada tahun ini kita dapat lihat juga satu perubahan landskap politik kampus. Para mahasiswa mengharapkan hadirnya satu gelombang baru dalam kerangka membawa kampus menuju suasana yang harmoni, tidak terdidik dengan suasana agresif, meraikan kepelbagaian kelompok, bersikap lebih matang dalam apa jua tindakan, dalam masa yang sama ia akan menyumbang ke arah pembentukan universiti yang terkenal dengan mahasiswanya yang berdaya saing, mentaliti dan minda kelas pertama.

Satu gagasan baru diperkenalkan IKRAM Siswa Nasional, iaitu Gagasan Kampus Harmoni yang mana gagasan ini menekankan 8 aspek yang sangat penting iaitu:
1. Gaya hidup warga kampus yang sihat, mesra dan berakhlak.
2. Warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf
3. Pentadbiran kampus yang cekap dan berkualiti
4. Pengamalan budaya politik nilai dalam pilihan raya kampus
5. Penyuburan budaya ilmu dan intelektualisme
6. Penghasilan mahasiswa berkualiti, berkepimpinan dan berdaya saing
7. Kampus selamat, berkebajikan dan mesra mahasiswa
8. Peranan siswa dalam isu masyarakat, negara dan antarabangsa diiktiraf

Gagasan ini bakal membuka mata semua masyarakat kampus untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan satu projek mengharmonisasikan kampus dengan gaya hidup mahasiswanya yang mesra dan berakhlak, menyuburkan budaya intelektualisma, mengamalkan budaya politik nilai dalam pilihanraya kampus dan sebagainya. Gagasan ini juga bakal merubah suasana kampus ke arah kampus yang berkebajikan, mesra mahasiswa dan selamat.

Menyebut tentang pengamalan politik nilai dalam pilihanraya, suka untuk saya sebutkan di sini, mahasiswa lebih cenderung untuk melihat suasana politik yang berasaskan nilai, jauh dari unsur-unsur yang tidak sihat, pembunuhan karakter, fitnah-memfitnah dan sebagainya yang kesannya lebih besar ialah menatijahkan kemualan kepada sesetengah kelompok mahasiswa untuk bersama dalam proses demokrasi pilihanraya kampus dan menyebabkan peratusan yang turun mengundi menurun.

Politik nilai adalah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dan difokuskan dalam Pilihanraya Kampus. Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh mahupun pembunuhan karakter. Para mahasiswa universiti juga tidak berminat dengan cara perebutan kuasa antara mana-mana kelompok mahasiswa yang bertanding, bahkan apa yang mereka harapkan ialah sejauh manakah calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya itu mampu menjadi suara mereka dalam apa jua perjuangan dan masalah yang dihadapi.

Politik nilai juga membawa mahasiswa untuk lebih fokus untuk menaburkan khidmat yang terbaik kepada masyarakat kampus, termasuklah isu-isu kebajikan, kewangan dan sebagainya. Sesiapa sahaja yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka dialah yang layak untuk diundi, tidak kiralah dia datang dari kelompok mana sekalipun. Selain itu, mahasiswa perlu matang dalam memilih pemimpin mereka, meletakkan asas dan prinsip yang betul, bukannya memilih disebabkan mengikut rakan sekelas, memilih berdasarkan wajah dan sebagainya.

Mahasiswa yang juga bergelar modal insan kelas pertama haruslah bijaksana dalam meletakkan kriteria calon yang dipilih. Pilihlah calon yang mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, tidak agresif sebaliknya professional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan untuk semua, beramanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul dan yang paling penting adalah ‘qawiyyul amin’ seperti yang disebutkan di dalam Al-quran.

Tanggal 17 September 2015, merupakan hari yang bersejarah untuk sesetengah IPT yang akan menghadapi Hari Mengundi Pilihanraya Kampus 2015. Termasuklah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan beberapa universiti lain. Semoga calon yang memenangi pilihanraya ini mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus dan bertindak amanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul tidak lama lagi.

Saya ingin mengucapkan selamat mengundi kepada semua mahasiswa. Bersama kita menyokong budaya politik nilai, matang dan berkebajikan demi melahirkan sebuah kampus yang harmoni.

Selamat memilih! Menuju kampus harmoni!

Kejujuran dalam bingkai kedamaian – Harith Roslizar

Pada suatu hari yang hening, 20 tahun selepas melalui perit getir, suka duka menyampaikan mesej ketuhanan dan kedamaian Islam, habibillah Muhammad SAW kembali ke sebuah kota. Ia kota asal kelahiran baginda dan ia jugalah kota yang menghalaunya.

Di hadapan baginda SAW, terdapat dua pilihan. Samada menggunakan kuasa yang baru dikecapi untuk membunuh, menangkap, memenjara dan perlakuan2 yang seangkatan dengan semua itu atau pun baginda membebaskan insan-insan yang mencerca, menghina dan menyeksanya selama ini.

Mereka sendiri menyedari hakikat ini, lalu ditanya kepada Sang Nabi “Pasti kau akan melakukan sesuatu ke atas kami pada hari ini bukan?” Di dalam hati mungkin ada di kalangan mereka yang berkata “what goes around, comes around..”

“Pergilah kamu semua..” laung Nabi dengan tenang, “..pada hari ini kami semua menjadi insan-insan yang bebas..”.

Nabi pada hari itu mengambil pilihan agong.
Pilihan berdamai. Pilihan masa depan.
Pilihan seorang negarawan.

Jujur dengan sejarah

Ungkapan sebahagian sarjana tidak berapa lama dahulu, “Sejarah ditulis orang yang menang dan berkuasa..”

Namun di era kini dan masa hadapan, sesiapa sahaja akan mampu untuk menukilkan kembali sejarah yang dilalui masing-masing. Maka yang menjadi penting dalam konteks ini adalah kejujuran. Jujur di dalam mengungkap kembali sejarah perjalanan masa lalu - suka mahu pun duka.

Jika kita mampu membudayakan komitmen kepada kejujuran, mungkin sahaja sarjana masa depan akan mengubah ungkapan lalu mengatakan “Sejarah ditulis orang yang jujur, samada mereka menang mahu pun kalah”

Dan persoalan kejujuran ini, tidak dapat tidak, harus kita bingkaikan dengan semangat untuk memelihara keutuhan serta kedamaian dan jauh sekali dari saling menjatuhkan.

Mengambil posisi berdamai

Status quo dunia hari ini mungkin sahaja warisan dari ketidak-adilan masa lalu. Dan peristiwa-peristiwa besar yang buruk lagi menakutkan di masa lalu, sering sahaja kembali menghantui kita di masa kini.

Historical baggage atau beban masa lalu yang dipikulkan di pundak kita generasi hari ini, saya pesan, harus kita sikapi dengan betul, agar dapat kita terus melangkah terus ke hadapan.

Sederhananya, ia memerlukan kita mengambil sikap berdamai dengan beban masa lalu. Berdamai dengan beban masa lalu ini bermakna

1. Berdamai dengan kisah-kisahnya
2. Berdamai dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik-nya

Izinkan saya untuk menggunakan sebuah perkataan malayanized-english yakni Rekonsiliasi untuk menyimpulkan posisi penting ini

Usaha rekonsiliasi ini adalah usaha yang berterusan (al-'amaliah al-mustamirrah) dan harus sentiasa dilakukan agar jiwa (ruh), mentaliti (fikrah) dan suasana (biah) masyarakat sekurang-kurangnya kembali menjadi neutral jika tidak pun menjadi positif.

Mungkin ada benarnya pandangan Ernest Rener yang dikeluarkan pada tahun 1882 lewat risalahnya Making of A Nation, bahawa yang mengikat sekumpulan manusia dalam bernegara adalah wujudnya perasaan kejiwaan yang satu - A Nation is a soul, a spiritual principle.

Bagi saya prinsip "kejiwaan yang satu" ini tertuang dalam dua hakikat yang wajar kita tegakkan lagi hormati

1. Perkongsian naratif besar sejarah yang inklusif dan mengambil kira sumbangan semua pihak
2. Persetujuan untuk berterusan hidup bersama

Maka bicara saya tentang rekonsiliasi ini tersimpul pada dua sisi ini, kita harus benar-benar merasai kita berkongsi sejarah besar dan pengorbanan yang sama dan kita harus benar-benar merasai kita sekarang, mahu untuk hidup bersama.

Barulah jiwa akan kembali damai.
Barulah kita akan mampu untuk bergerak jauh ke hadapan.
Bukankah ini yang kita pelajari dari Nabi sedari awal lagi?

Selamat Hari Malaysia!

Apa yang Melayu perlu takut – Wan Salman Wan Sallam

Masuk sahaja 16 September 2015 esok, genaplah 52 tahun Malaysia menjadi Malaysia. Dalam tidak sedar, sudah lebih separuh dekad negara Persekutuan ini terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Jauh daripada kebetulan, esok juga merupakan “Himpunan Baju Merah” yang berhasrat mengumpulkan segenap orang Melayu untuk ke Kuala Lumpur atas nama “perpaduan Melayu”.

Pun begitu, ada juga pihak yang terlebih dahulu mengadakan siding media mengatakan mereka akan berhimpun untuk “mengajar Cina DAP yang kurang ajar”. Juga diikuti siding itu Umno Kota Bharu, dalam keadaan berbaju merah (sama ada kebetulan mereka Umno atau mengikut semangat perhimpunan itu) berhimpun mengadakan ceramah dan membakar patung pemimpin tertinggi DAP, juga Cina.

Malah seolah-olah dirancang, tidak ramai mana Melayu menyertai Bersih 4 tempoh hari dan lebih kurang dua minggu kemudian, perhimpunan yang mahu mengumpul sejumlah orang Melayu pula diadakan.

Secara peribadi malah mengikut undang-undang juga, saya tiada masalah dengan perhimpunan yang bakal diadakan sebagaimana saya tiada masalah dengan Bersih tempoh hari.

Walaupun layanan berbeza diberikan Ketua Polis Negara terhadap perhimpunan 16 September ini berbanding Bersih yang lalu, secara prinsipnya kita tidak boleh menzalimi orang lain hanya kerana orang lain menzalimi kita kerana dalam Islam sendiri pun, respons tersebut hanya menjauhkan orang daripada hidayah dan mesej kebaikan yang sebenar.

Tetapi apa yang lebih mendukacitakan ialah mesej-mesej yang dibawa menjelang perhimpunan tersebut; mesej-mesej defensif Melayu yang menyalahkan kaum lain atas kelemahan ekonomi dan status sosial dan mesej-mesej menghasut seolah-olah ada suatu kaum yang akan mahu membatalkan dominasi Melayu-Islam di Malaysia ini.

Apa yang Melayu perlu fokus?

Pernahkah kaum Melayu ini sedar walau betapa banyak tindakan defensif yang dilakukan, tindakan ini tidaklah mengubah status sosioekonomi mereka?

Malah dalam kebanyakan keadaan, sebab-sebab yang dilaungkan kebanyakannya hanyalah satu retorik responsif dan disebabkan emosi berbanding fakta.

Dalam ekonomi contohnya, mungkin benar ramai Cina yang memiliki syarikat swasta. Tetapi dalam tindakan kerajaan sendiri sebagaimana ramai maklum, mereka hanya mengayakan sebahagian kroni mereka dan jarang mengadakan tender adil menyebabkan hanya sesetengah Melayu sahaja kaya.

Lebih menyedihkan, apabila disuarakan hal sebegini, mereka katakan pula “Apa salahnya Melayu kaya? Mereka juga yang akan membantu dan banyak menderma!” Kesilapan dalam menilai kes ini menyebabkan kita kabur lalu menyalahkan orang lain berbanding melihat diri sendiri.

Dalam dominasi politik, memang benar lebih ramai Cina kini menyokong DAP berbanding MCA, Gerakan dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Tetapi adakah ini bukti mereka mahu mengalahkan orang Melayu? Adakah hanya kerana mereka bukan MCA yang bersama Umno mereka melawan Melayu? Sejak bila pula Umno itu kita panggil Melayu dan Melayu itu kita panggil Umno?

Hakikatnya Melayu tertipu maka mereka akhirnya ramai mengundi Umno. Akhirnya, terjadilah pembahagian politik mengikut kaum sebagaimana terjadi sekarang dalam keadaan Melayu menyokong Umno dan Cina menyokong DAP.

Bukanlah untuk melakukan generalisasi liar, tetapi inilah yang berlaku amnya.

Cuma malang sekali, apa yang Melayu enggan lihat ialah bagaimana kerusi untuk dipertandingkan dibahagikan dalam BN dan Pakatan. Hakikatnya, DAP mendapat bilangan kerusi paling sedikit untuk dipertandingkan manakala Pas mendapat paling banyak, malah mungkin lebih banyak daripada Umno.

Jika semua mengundi Pas dan PKR pada PRU lalu, tidakkah Melayu yang akan menjadi majoriti dalam Parlimen dalam pakatan pembangkang (atau kerajaan, jika mereka menang)?

Malah jika benar sekali pun DAP ingin menghapuskan Perkara 153, dengan senario Melayu menyokong Pas dan Pas (serta PKR) menjadi majoriti, apakah ahli Parlimen mereka dengan sewenang-wenangnya mahu meluluskan usul tersebut tanpa rancangan ampuh untuk memastikan jurang ekonomi antara kaum kurang terjejas?

Sebagaimana kita tahu lagi, majoriti 2/3 parlimen kini hampir mustahil dan jika usul seperti di atas dan usul memansuhkan perkara yang menjamin Melayu menjadi Perdana Menteri dibawa, apakah jaminan ahli Parlimen Umno akan menyokong mencukupkan 2/3 undi sebagai syarat pemindaan perlembagaan?

Andai Melayu sedar logik ini, mereka akan menyedari juga propaganda “Melayu terancam” dan mentaliti mangsa ini hanyalah untuk mengekalkan hegemoni satu parti politik dan bukannya menyelamatkan orang Melayu.

Jika benar mereka mahu menyelamatkan orang Melayu, mengapa usaha-usaha yang dimulakan Tun Abdul Razak yang bersifat mengutamakan rakyat terhenti dan usaha mengayakan kroni pula yang diperkasa?

Oh tidak, ‘pun’ di atas hanyalah kebetulan.

Apa yang lebih penting ialah Melayu perlu pandai membezakan pihak Melayu yang benar-benar mahu membantu golongan Melayu dengan pihak yang hanya memperguna sentimen Melayu untuk kekal berkuasa untuk diri sendiri.

Ya, saya bukan anti Melayu. Malah saya bangga menjadi Melayu. Jika punya anak nanti, saya ingin menamakan anak saya dengan nama-nama seperti “Tuah” dan “Melati” berbanding nama-nama Arab. Saya juga lebih gemar memakai baju Melayu pada Hari Raya berbanding jubah (walaupun saya tiada masalah orang berjubah). Tetapi ini tidak bermaksud saya suka diperbodohkan berterusan.

Banyak sebenarnya agensi yang memang benar-benar mahu membantu Melayu tanpa mempermainkan sentimen. Antaranya ialah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM). Mereka benar-benar melakukan usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi yang menjadi faktor penting perpaduan nasional.

Akhir sekali, buat semua Melayu, jika ingin sertai perhimpunan esok, silakan. Hak anda sebagai rakyat dalam negara demokrasi ini terjamin malah Ketua Polis pun kata tiada masalah.

Tapi dalam kita mengata orang Melayu dipergunakan, jangan lupa tanya diri sendiri, “Adakah aku diperguna juga?”

Sunday, September 13, 2015

Islam: Antara dakwah dan dakwaan – Syahir Nujaba

Menjadi seorang umat Islam di Malaysia sangat mencabar. Kita bukan saja berdepan dengan satu konsep Islam pada nama dan agama tetapi tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian, bahkan kita juga berdepan dengan satu lagi konsep Islam yang bersifat eksklusif menganggap mereka sahaja yang suci.

Konflik berada antara liberalisme (fahaman yang terlalu longgar) dengan pemikiran ortodoks (fahaman kuno yang sempit), menjadikan komuniti Islam di Malaysia berada dalam kecelaruan identiti sama ada untuk bersikap tegas dan kasar, atau berlembut dan menyantuni.

Kita masih keliru, adakah dengan kelembutan, membuatkan bukan Islam akan memandang rendah atau memberi hormat kepada Islam? Atau jika kita bersikap tegas, adakah bukan Islam akan memandang mulia kepada kita atau menjauhkan diri ketakutan? Dilema ini sering dilihat berulang apabila timbul saja isu perkauman dan keagamaan sama ada sesama Islam atau antara bukan Islam.

Isu terbaru seperti kibaran bendera LGBT di himpunan Bersih 4, tindakan memijak gambar pemimpin Melayu Islam oleh sekelompok kaum Cina, serta gambar viral Alvin Tan mempamerkan tatu kalimah Allah pada belakang pahanya, mengundang reaksi yang pelbagai daripada komuniti Islam di Malaysia. Ada antara mereka yang melihat keadaan ini sebagai ruang dakwah, ada pula yang mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai dakwaan. Jadi, bagaimana kita ingin meletakkan Islam, dalam situasi sebegini antara dakwah dan dakwaan?

Barisan sarjana Islam di Malaysia sendiri pun secara kasarnya terbahagi kepada dua. Kelompok pertama cenderung untuk merujuk hal ini kepada sejarah kegemilangan Islam, pada saat empayarnya menguasai dua per tiga dunia. Tulisan ulama Islam ketika menggambarkan suasana kegemilangan Islam itu, sering merujuk kepada ketegasan pemerintah dalam mengambil tindakan kepada bukan Islam.

Kemenangan demi kemenangan dalam peperangan dan kesalahan jenayah bukan Islam, menunjukkan Islam sebuah agama hebat, berketuanan dan digeruni musuh! Bagi mereka para asatizah ini melihat ini sikap dan pendekatan Islam yang tulen yang perlu diamalkan di Malaysia, kerana Malaysia sebuah negara Islam yang gemilang sejak dulu hingga kini.

Bagaimanapun, kelompok yang kedua melihat keadaan Malaysia sekarang tidak boleh disamakan dengan zaman itu. Mereka mula mencari-cari corak pemerintahan Islam yang semirip dengan senario di Malaysia pada hari ini. Hasil kajian mereka mendapati, corak pemerintahan era Andalusia yang berpusat di Cordoba adalah yang paling sesuai pendekatannya untuk kita terapkan di Malaysia.

Ini kerana, kehidupan Islam dengan bukan Islam pada era itu dilihat sangat harmoni. Ini seterusnya disokong oleh kajian mengenai Jurusalem, serta pertelingkahan yang berlaku antara Umayyah dan 'Abbasiyah yang berlarutan hingga kepada idealisme negara Islam dan negara perang. Kesimpulan kelompok asatizah yang kedua ini melihat Malaysia memerlukan disiplin fikah yang tersendiri, yang tidak terikat dengan mana-mana negara Islam lain.

Kewujudan dua kelompok pemikir Islam ini akhirnya membentuk dua kelompok komuniti Islam yang sangat berbeza pendekatan mereka setiap kali isu-isu berkaitan timbul. Meskipun begitu, masih ada komuniti Islam yang berada di tengah-tengah, tidak memihak, kerana terlalu bingung dengan kedua-dua pandangan kelompok di atas. Mereka takut sekiranya mengikuti kelompok pertama, mereka akan menjadi terlalu radikal dan ekstrem hingga terjebak dengan gerakan yang terbukti sesat seperti Isis dan Syiah.

Dalam masa yang sama, mereka pula tidak mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang longgar agamanya seperti Sister In Islam. Jadi, apakah pendirian paling tepat kita harus ambil?

Berada di tengah adalah jalan paling selamat. Namun ia tidak bererti kita mengambil sikap berkecuali dan berpeluk tubuh semata-mata. Menanggapi isu seperti ini dengan matang dan pada tahap kelajuan responsif yang tinggi mampu untuk menenteramkan keadaan. Namun, caranya bagaimana?

Kita mungkin memiliki pelbagai perbezaan dengan bukan Islam dari sudut syariah. Namun kita dan mereka diciptakan dengan fitrah yang sama. Fitrah keinsanan untuk hidup dalam keadaan aman, makmur dan harmoni. Kita boleh bersatu dengan mereka dalam isu korupsi, salah guna kuasa, tatakelola kenegaraan yang baik, penjagaan alam sekitar, kebajikan rakyat kurang berkemampuan dan lain-lain.

Semua isu ini, tidak perlu dibentengi sempadan agama dan akidah. Inilah yang Allah sebut dalam Surah al-Hujuraat ayat ke 13, agar kita saling mengenali antara kaum walaupun di sisi Allah, orang yang terbaik adalah yang paling bertakwa:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Manakala dalam isu yang kita berselisih, terutamanya pada sikap penganut agama yang suka meniupkan api kemarahan, perlu kita tangani segera dengan cara mengeluarkan kenyataan lengkap mengandungi justifikasi dan pendirian kita yang jelas.

Ini boleh dilakukan sama ada dalam bentuk menyantuni atau menafikan. Misalnya dalam isu yang membabitkan penganut agama Islam yang bersikap ekstrem, kita boleh menafikan dengan perkataan:"Kami memohon maaf sekiranya ada dalam kalangan bukan Islam yang terguris. Ucapan si fulan itu tidak mewakili komuniti Islam keseluruhannya".

Atau dalam isu bukan Islam yang melampau:"Islam sangat melarang cercaan dibuat ke atas tuhan agama lain. Kami menyantuni komuniti bukan Islam agar sama-sama memerangi gejala tidak sihat ini."

Budaya ini jika kita biasakan, lama-kelamaan akan menuntut agama lain juga bersikap matang. Cuma yang kita risaukan sekarang ini, Islam di Malaysia bersifat lebih kebudak-budakan, sedangkan sepatutnya Islamlah yang menjadi rujukan agama lain. Bukankah begitu?

Wednesday, September 9, 2015

Bahagian II: Apa yang selayaknya buat pedofil? – Wan Salman

Seperti dalam filem “Silver Linings Playbook” arahan David O Rusell, lebih ramai menganggap Pat Solotano, penghidap masalah bipolar sebagai beban dan masalah.

Malah dalam kalangan saudaranya sendiri, sahabat yang “serupa” dengannya, Tiffany turut dianggap sebagai pelik dan menjengkelkan apabila mereka berseloroh tentang ubat-ubatan yang perlu mereka ambil sebagai penenang.

Kegagalan masyarakat memahami sifat dan ciri-ciri gangguan mental menyebabkan pesakit gangguan mental menghadapi masa yang lebih sukar berbanding yang sepatutnya.

Stigma masyarakat

Begitu juga dengan penderita pedofil; masyarakat lebih gemar melabel mereka sebagai menakutkan dan tidak dapat diubati lagi.

Mungkin kerana masalah ini berkait langsung dengan tindak-tanduk seksual, stigma ini ditambah teruknya dengan sokongan masyarakat untuk menghukum golongan ini, secara harfiahnya.

Kita jelas dengan prinsip tidak akan menganiaya malah akan membantu sedaya upaya penderita penyakit yang disahkan disiplin perubatan moden lain.

Sebagai contoh, kita tidak akan memenjarakan pesakit diabetes dan penderita masalah jantung walaupun masing-masing tidak mengawal diet gula dan lemak mereka.

Namun begitu, kemungkinan besar berpunca daripada kegagalan masyarakat memahami masalah gangguan mental sebagai masalah yang juga diiktiraf disiplin perubatan moden, pesakit pskiatri terus-menerus sekadar “dimotivasikan” agar “terus mencuba” tanpa membantu mereka dengan lebih dekat.

Lebih teruk, mereka dicemuh dan dipulaukan dalam lingkungan sosial mereka menyebabkan mereka lebih tertekan dan lebih jauh daripada pemulihan.

Hakikatnya, masalah stigma terhadap gangguan mental ini bukanlah hanya di Malaysia. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat juga mengalami masalah ini.

Mahu tidak mahu, pemahaman pedofilia sebagai masalah psikiatri yang rumit dari segi psikologi dan perubatan perlu diperkasakan biarpun mencabar agar dorongan masyarakat dapat dipupuk bagi memberi suasana yang baik terhadap pemulihan golongan pedofil.

Peranan didikan dan kasih sayang ibu bapa

Walaupun dilihat masyarakat secara makro mencemuh golongan pedofil, sebenarnya kebanyakan mereka dibentuk dari kecil untuk membenci golongan ini tanpa syarat, seperti mana dicemuhnya golongan yang kecenderungan seksualnya kepada kaum sejenis.

Sering kali juga, ibu bapa sering mendidik anak betapa teruknya golongan “bernafsu songsang dan pelik” seperti homoseksual dan pedofil ini.

Tidak kurang lagi, terutama dalam keluarga yang kuat latar belakang agamanya akan menambah lagi kebencian anak-anak mereka terhadap golongan ini.

Akhirnya, tertanamlah dalam diri mereka bahawa golongan ini golongan yang dilaknat Allah kerana bernafsu sedemikian rupa sedangkan kita tidak tahu apa yang mereka lalui atau telah lakukan untuk mengawal nafsu mereka.

Lebih teruk lagi ialah jika anak-anak yang ditanamnya kebencian terhadap golongan ini sendiri yang mempunyai nafsu sedemikian.

Oleh sebab mereka tahu betapa bencinya ibu bapa mereka terhadap golongan ini, mereka tidak akan mampu berani meluahkan kerunsingan mereka terhadap kekeliruan nafsu ini dan akhirnya mereka memilih untuk terus mendiamkan diri dan biasanya mereka akan terus melayan nafsu mereka.

Memburukkan lagi keadaan, masyarakat yang dididik sekadar membenci akan terus mencemuh dan mereka akan terus terpencil dan lebih teruk, dihalau masyarakat sekitarnya.

Dalam kita mengajar anak kita baik dan buruk agar kelak dewasa nanti mereka mampu membezakannya, bukan sahaja kita perlu mengajar padahnya.

Kita juga perlu sentiasa mendidik mereka dengan kasih sayang dan panduan yang berhikmah dan berterusan.

Hanya dengan cara ini, mereka dapat membesar memahami dan mendepani isu ini dengan rasional, bukan persepsi streotipikal semata-mata.

Yang lebih penting ialah agar mereka yang mempunyai nafsu sebegini berani berdepan dengan masalah mereka dan cukup berani untuk berkongsi dan dapat dikesan awal.

Pendek kata, pemahaman orang ramai terhadap sifat-sifat dan pengkategorian pedofil ini dalam perubatan dan penyertaan segenap lapisan masyarakat dalam membantu golongan ini adalah amat penting agar kita tidak mengulangi kesilapan mengkelaskan golongan sakit mental lain sebagai penjenayah.

Ingatlah, pesakit haruslah dilayan sebagai pesakit, bukan penjenayah. Jangan hanya kerana stereotaip masyarakat yang tak berasas, anak kita sendiri yang akan dipenjara suatu hari nanti.

Friday, September 4, 2015

Sudahkah politik kampus sedia untuk politik Nasional? – Syahir Nujaba’

Kebelakangan ini, kita dapat melihat bagaimana anak muda bangkit mempersoalkan isu negara. Bahkan, mereka sudah berjaya membina platform masing-masing bagi menyatakan hasrat serta harapan mereka terhadap masa depan negara yang lebih gemilang.

Ditambah pula dengan keraian barisan media dan para veteran yang memberi ruang dan peluang untuk golongan muda terus bersuara, maka fenomena ini sepatutnya dipandang positif sebagai sebuah perkembangan yang sihat. Ini lebih mengujakan apabila ada penganalisis politik yang mula membawa idealisme agar gergasi politik bersara, digantikan dengan muka-muka baru, pemain-pemain yang baru.

Hal ini adalah rentetan daripada fenomena yang berlaku di negara-negara Inggeris yang kini memiliki ahli Parlimen semuda 21 tahun.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan idealisme dan landasan politik seperti ini, kita perlu melihat ke belakang, kembali ke alam kampus sebagai satu langkah muhasabah agar apa yang kita harapkan berlaku, berjalan dengan lebih baik.

2013 adalah tahun yang bersejarah dalam arena politik kampus di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Hal ini kerana, Pilihan Raya Kampus (PRK) pada tahun ini menampilkan calon daripada pelbagai gerakan mahasiswa.

Selama beberapa penggal, pentas politik UIAM dikuasai hanya sebuah gerakan mahasiswa Islam yang benar-benar dominan. Namun kali ini, beberapa gerakan mahasiswa lain sudah mula berani untuk terjun ke pentas politik bagi mendapatkan pengalaman menggerakkan politik kampus.

Seperti biasa, apabila tiba hari pengundian tersebarlah sms-sms yang mengklasifikasikan calon-calon mengikut kelompok-kelompok tertentu. Kemudian, penulis sms akan memberikan nasihat agar memangkah calon yang cuba dipromosikan.

Ironinya, tidak kurang juga sms berbaur fitnah hingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan penyokong. Bual-bual jalanan dipenuhi dengan semangat hizbiyyah (kepuakan) dan sangat sedikit berkisar tentang idea-idea untuk memajukan universiti serta menjaga kebajikan pelajar. Manifesto pula bersifat sangat umum, bahkan ada yang tidak menjejak bumi nyata.

Pun begitu, masih ada sekelompok minoriti mahasiswa yang bersifat neutral, cuba untuk mewujudkan suasana politik yang lebih sihat. Pentas-pentas forum dibuka untuk memberi ruang kepada calon-calon mengetengahkan idealisme masing-masing.

Audien yang hadir, masih ada yang bersikap provokatif. Ada pula yang datang untuk benar-benar mendapatkan penjelasan. Tidak kurang juga terdapat kelompok mahasiswa yang langsung tidak mengambil peduli tentang politik kampus, samaada kerana putus asa, atau sememangnya tidak langsung merasakan kepentingan untuk celik politik sejak di peringkat kampus.

Setelah berlalu episod demi episod sepanjang tempoh PRK, tibalah ke acara kemuncak, di mana mahasiswa menanti-nanti siapakah presiden baru yang bakal memimpin mereka.

Walaupun terdapat kelompok yang tidak mengendahkan politik kampus sejak awal lagi, namun apabila sampai kepada acara keemasan ini, mereka secara tiba-tiba menjadi semakin teruja untuk tahu. Hal tersebut demikian kerana jawatan presiden mahasiswa sememangnya menjadi batu asas untuk menentukan kita sebagai mahasiswa, berada pada generasi siapa.

Menggemparkan apabila presiden kali ini datang daripada gerakan mahasiswa yang tidak dominan. Bahkan beliau merupakan satu-satunya calon daripada organisasinya yang dalam masa yang sama bertanding bukan atas tiket organisasinya sendiri.

Hal ini diputuskan apabila organisasi yang beliau anggotai ingin kekal sebagai badan dakwah dan tarbiyyah yang bersifat neutral dan tidak mahu terlibat secara langsung dengan politik kampus. Mendapat khabaran ini, organisasi mahasiswa yang selama ini dominan dalam menguasai pentas politik kampus, mula berasa tidak selesa. Seolah-olah terdapat satu konspirasi yang dirancang untuk menghapuskan legasi mereka.

Maka terjadilah pelbagai spekulasi dan persepsi dalam kalangan mahasiswa, pensyarah, mahupun kakitangan pentadbiran universiti. Keharmonian antara organisasi gerakan mahasiswa yang selama ini pada aras sederhana, mula bertukar ke aras yang membimbangkan. Hubungan silaturrahim antara mahasiswa yang terbina merentasi semangat kepuakan, kini menjadi suram disebabkan penzahiran sokongan terhadap organisasi masing-masing.

Di sebelah pihak mengesyaki berlakunya manipulasi undian presiden pada majlis yang mengumpulkan semua calon-calon yang menang. Pelbagai cerita yang timbul mengenai prosidur pengundian tersebut, daripada ketelusan peti undi, hinggalah keraguan terhadap mekanisme undian yang dipersetujui ahli-ahli yang berada dalam majlis tersebut.

Hal ini menambah lebih ketegangan apabila kenyataan individu-individu yang terlibat secara langsung dalam pemilihan tersebut bercanggah antara satu sama lain. Tidak kurang juga kewujudan beberapa calon yang membisukan diri menambah lagi rencah spekulasi.

Sementara itu, di peringkat bawahan, sudah berlaku serangan-serangan siber yang menggugat keharmonian hubungan antara organisasi. Lebih mengejutkan, terdapat ancaman konflik mahasiswa di peringkat kampus ini akan berlarutan sehingga ke peringkat nasional, membabitkan badan-badan penaja gerakan masing-masing.

Di sebelah pihak lagi, organisasi yang diwakili presiden tadi hanya mampu mengambil jalan tengah. Tidak menyebelahi mana-mana pihak. Hal ini kerana, kaedah pembuktian serta keterangan-keterangan yang diperolehi sangat meragukan dan mengelirukan.

Kes ini akhirnya sampai ke peringkat di mana, pihak universiti terpaksa melakukan satu tribunal bagi mendapatkan keputusan yang legit (sah) dan terbaik. Setelah beberapa episod dan proses berlaku, akhirnya kedudukan presiden mahasiswa dikekalkan. Dalam keadaan kebinet yang tidak menyatu, kerja-kerja perwakilan pelajar pada peringkat awalnya sukar untuk digerakkan.

Ini adalah secebis kisah pengalaman yang berlaku di UIAM. Pastinya, pengalaman di universiti lain akan berbeza kerana UIAM tidak memiliki demografik yang lebih kompleks berbanding universiti lain yang mempunyai komposisi kaum dan agama yang lebih dinamik.

Dalam kata lain, UIAM boleh diibaratkan seperti Arab Saudi yang tidak pernah dijajah, bahkan tidak mempunyai konflik perkauman yang dahsyat. Barangkali, kerana itu jugalah, sebahagian kepimpinan yang lahir dari UIAM ini kurang terdedah dengan hubungan sosial antara kaum, sekaligus menjadikan mereka lebih bertegas untuk menjaga ketuanan Islam di Malaysia.

Menganalisis pengalaman singkat ini, dapatlah kita senaraikan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki mahasiswa dalam membentuk jati diri menjadi pemimpin masa depan. Antaranya:

• Siyasah Maqsadiyyah, iaitu membawa gagasan politik yang lebih bermatlamat. Rata-rata yang kita dapat lihat, ada yang membawa mesej untuk mendaulatkan Islam. Cuma, persoalan yang timbul adalah, Islam apa lagi yang hendak ditegakkan dalam konteks sebuah universiti Islam yang sudah diiktiraf? Isu-isu Islam yang bagaimana hendak diketengahkan? Ada pula yang membawa gagasan harmoni. Namun tidak dapat menjawab, sudut manakah yang masih tidak harmoni di sebuah universiti Islam yang sangat aktif ini? Seolah-olah, suasana yang ada sekarang terlalu darurat untuk didiami.

• Membawa corak politik yang sesuai dengan perlembagaan serta sistem pilihan raya universiti. Sangat sedikit daripada kalangan mahasiswa yang mengupas soal perlembagaan serta sistem pilihan raya UIAM yang sememangnya berbeza dengan apa yang ada di peringkat nasional. Rata-rata mahasiswa masih terikut-ikut dengan rentak nasional yang menggerakkan politik kepartian, sedangkan itu tidak sesuai dengan politik di universiti.

• Perancangan halatuju politik yang lebih berstruktur, konstruktif, dinamik dan holistik. Sepanjang beberapa penggal di UIAM, agenda-agenda politik sentiasa berubah dari satu penggal ke satu penggal. Agenda-agenda politik tersebut sebahagiannya ada yang sesuai untuk ditukar, ada pula yang sepatutnya dikekalkan kesinambungannya dari penggal terdahulu. Apabila berlaku perubahan agenda yang tidak relevan, ini sekaligus menampakkan pentas politik di kampus tidak lebih sekadar untuk mengangkat individu tertentu, bukan untuk mengangkat agenda politik yang berkesinambungan. Bukan itu sahaja, isu-isu yang ingin dikendali juga mestilah dibahas secara rinci. Menyedihkan apabila calon politik yang diletakkan tidak mempunyai agenda yang kemas, namun dicalonkan kerana potensi merebut kerusi untuk menjadikan masing-masing oragnisasi lebih dominan.

• Memilih pemimpin yang lebih kompeten dan sesuai dengan jawatan serta agenda politik kampus. Entah mengapa, setiap kali pilihan raya, pasti pencapaian akademik diketengahkan. Sedangkan pentas politik bukan pentas akademik. Seharusnya calon-calon yang ditampilkan bukanlah dari kalangan mereka yang cemerlang akademik semata-mata. Tapi insan yang benar-benar mampu untuk buat kerja. Jika mereka seimbang antara akademik dan aktivisme, itu satu bonus. Namun rata-rata yang cemerlang akademik ini kurang semangat juang dan pengorbanannya. Itu belum kita sentuh mengenai pemilihan pemimpin berdasarkan organisasi yang diwakili walaupun calon tersebut tidak mempunyai kompetensi yang mencapai piawai. Hanya kerana dia mewakili oraganisasi yang kita percaya, kita letakkan undian kita atas dasar taqlid buta.

Detik-detik terdekat ini, kita dapat melihat perubahan yang sihat dalam perkembangan politik kampus khususnya di UIAM. Ini semua hasil kesedaran yang digerakkan kelompok-kelompok pemikir yang sanggup untuk berbeza dengan organisasi yang dianggotainya sendiri.

Inilah yang sepatutnya berlaku. Organisasi yang kita anggotai tidak sepatutnya menjadikan kita lebih jumud seperti apa yang dilakukan institusi gereja dan penggerak-penggerak mazhab fekah yang ta’assub. Namun, perubahan iklim politik kampus ini masih terlalu muda dan tidak cukup matang untuk kita harapkan perubahan itu memberi kesan jangka masa pendek kepada negara.

Perjalanannya masih terlalu panjang. Kerja-kerja kesedaran perlu lebih kencang

Wednesday, September 2, 2015

Talak tiga: Penceroboh rumah tangga – Wan Salman Wan Sallam

Seorang ahli Pas kini diisytiharkan bercerai talak tiga (http://www.bharian.com.my/node/79063) hakim Mahkamah Syariah gara-gara baiah pimpinan parti yang sedang mengalami penuyian fikrah dan ahli. Tapisan Allah, bak kata sesetengah pihak sedang berjalan, dan talak tiga inilah antara “harga” yang perlu dibayar jika baiah tersebut sah.

Walau bagaimanapun, yang lebih merisaukan ialah bukan Dr. Hatta sahaja yang berjanji sumpah setia sebegitu rupa; pimpinan atas juga berbaiah sebegitu rupa. Jika dahulu, ramai yang sangka baiah ini acah-acah dan gossip semata.

Manalah logik pimpinan sebuah parti politik yang Islam pada namanya dan lebih tua daripada Malaysia sendiri usianya pnya obsesi yang pelik dengan hal ehwal rumah tangga orang. Rupa-rupanya, obsesi itu memang ada dan hari ini mereka menuntut obsesi itu.

Namun begitu, ada perkara yang perlu kita rakyat yang mengundi ini takutkan lebih daripada fakta pimpinan Pas ini berbaiah sebegitu rupa. Yang lebih menakutkan ialah jika dalam parti sudah pandai menceroboh rumah tangga dan hak individu ahli parti yang sememangnya setia, bagaimana kita boleh percaya penceroboh ini memerintah rakyat ini?

Jika kita dahulu mengecam Tun Dr Mahathir atas kediktatorannya menafikan hak individu dan kebebasan media, sekurang-kurangnya dia tidak paksa Anwar ceraikan Wan Azizah. Tidak pula Najib pernah memaksa Zaid Ibrahim menceraikan isterinya dahulu.

Jika ahli teras sendiri pun boleh dipaksa berbaiah begini, entah apa lagi yang boleh dilakukan tatkala memerintah negara.

Tidak lain tidak bukan, baiah talak tiga ini hanyalah menambah persoalan pengundi akan kompetensi Pas memerintah negara yang memelihara hak individu ini.

Semangat di sekolah, selemah semangat di peringkat nasional – Syahir Nujaba’

Malaysia kebelakangan ini dipenuhi dengan sikap-sikap tidak waras membela kemungkaran secara terang-terangan. Sikap ini terhasil daripada rasa ingin mengampu yang berputik daripada niat untuk mendapatkan habuan daripada pelaku jenayah. Jawatan, kedudukan, harta, projek, serta bermacam kepentingan lain boleh dicapai secara percuma dengan sikap ampu.

Fenomena ini bagaimana pun, sebenarnya membarah di peringkat sekolah. Letak tepi sistem pendidikan yang bermasalah, pelajar-pelajar kini terdedah dengan sikap tidak amanah yang amat membimbangkan.

Ini dapat dilihat pada peringkat pengawas selaku penguatkuasaan di sekolah, yang kini tidak rasa bersalah untuk menutup kemungkaran yang dilakukan oleh rakan mereka. Mereka bukan diugut, tetapi secara rela hati!

Lebih malang lagi apabila pengawas itu sendiri yang berkomplot dengan pesalah pelajar tadi. Jika mereka tidak reda sekalipun dengan perbuatan mungkar tersebut, namun sikap mereka yang takut untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pesalah amatlah mengecewakan.

Hal ini berlaku gara-gara pemilihan pengawas yang tidak bersifat holistik. Kebiasaannya, pengawas dipilih daripada kalangan mereka yang ramai pengikut. Mereka yang rapat dengan guru atau anak-anak kandung guru itu sendiri.

Mereka yang rajin baca buku. Mereka yang lemah lembut dan cemerlang. Semua ciri ini, jika dipiawai kepada semua pengawas, akhirnya akan membentuk satu struktur pengawas yang tidak berani untuk menegur kemungkaran. Persepsi kita pelajar cemerlang peperiksaan boleh melakukan pelbagai kerja adalah silap.

Sepatutnya dalam membentuk diversiti yang seimbang dalam organisasi pengawas, kombinasi lasak dan intelek perlu dinisbahkan secara rinci. Ini bagi menjamin gerak kerja badan disiplin berlaku dengan lancar.

Manakala pada lapisan kedua pula, pelajar-pelajar biasa semakin hilang rasa tanggungjawab untuk membuat aduan kepada guru-guru.

Sikap ini datang daripada perasaan takut terhadap ugutan pesalah, dan juga rasa tidak hirau kepada perbuatan yang mungkar. Terjadinya fenomena ini disebabkan mereka sudah melihat kemungkaran itu sebagai perkara yang lazim dan biasa.

Hingga sampai ke satu tahap, mereka pula yang rasa malu untuk menegur kesalahan, sebaliknya pelaku kesalahan boleh berbangga dengan tindakan negatif mereka itu. Suasana sebegini akhirnya akan membawa kita kepada keadaan yang dapat kita lihat dalam negara hari ini.

Lapisan ketiga adalah sistem pencegahan di sekolah itu sendiri. Mencabut roh atau semangat mencegah kemungkaran ini daripada jasad setiap anggota yang ada di sekolah, kemudian hanya meletakkan tanggungjawab itu ke atas bahu satu-satu badan sahaja, adalah tindakan yang tidak cerdas.

Sekolah yang pada asalnya bertujuan untuk memberi pendidikan yang holistik, kini bertukar menjadi seperti universiti yang menawarkan pelajaran tanpa pendidikan. Seharusnya setiap anggota yang berada dalam sekolah, dari setinggi jawatan hinggalah serendah-rendah jawatan seperti tukang bersih, diberikan ruang untuk memberi pendidikan kepada anak-anak.

Ini penting supaya mereka sedar wujudnya satu jalinan sistem berpadu yang mengawal tingkah laku mereka daripada berbuat perkara yang mungkar.

Bagaimanapun, situasi Malaysia yang kini memiliki badan-badan pencegah kemungkaran yang tidak dapat menjalankan fungsi dengan baik, sudah cukup menggambarkan bagaimana sistem di sekolah-sekolah Malaysia mengalami penyakit yang sama.

Syariat Islam meletakkan semangat mencegah kemungkaran ini kepada dua aspek; psikologi dan sosiologi. Dari sudut psikologi, Islam memasakkan nilai iman sebagai teras kepada pembentengan diri daripada melakukan kemungkaran.

Dalam surah al-Fussilat ayat yang ke-46, Allah menerapkan unsur psikologi jika seseorang melakukan kemungkaran, ia hanya merugikan diri sendiri. Rasa keinsafan yang tercipta inilah yang memandu para sahabat Rasulullah untuk mengaku salah dan tidak menipu di hadapan Rasulullah.

Bahkan Rasulullah dalam kesalahan-kesalahan berbentuk peribadi, melarang umat Islam daripada terus mengintip-intip, mencari kesalahan orang lain. Kerana Islam sentiasa membuka ruang yang luas untuk penganutnya bertaubat kepada Tuhan.

Namun apabila ia membabitkan kesalahan yang terjadi di khalayak ramai dan bersifat umum, Islam tidak pula meletakkan ia pada kedudukan kesalahan peribadi seperti tadi. Dalam perkara ini, Islam menganggap ia sebagai tanggungjawab sosial yang sepatutnya digalas oleh masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.

Di sinilah peranan mencegah kemungkaran secara bertahap, yang terdapat dalam hadis nabi dipraktikkan, dari aras mencegah dengan tangan, kemudian lidah, dan akhir sekali membenci dengan hati. Ada pun mencegah dengan tangan, Islam tampil dengan idea hisbah. Iaitu satu badan penguatkuasaan yang dibentuk oleh kerajaan bagi menjalankan fungsi mencegah kemungkaran.

Hisbah pada hari ini boleh diterjemahkan seperti apa yang kita lihat hari ini sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Audit Negara, dan lain-lain lagi. Ironinya, masih ada segelintir masyarakat Muslim yang beranggapan aktiviti mencegah rasuah adalah bertentangan dengan perintah Allah agar tidak mengumpat dan membuka aib.

Salah faham konsep ini dibimbangi akan membentuk suasana yang tidak kondusif dalam kehidupan beragama seperti yang Islam gariskan. Kerana itu kita perlu berbalik kepada kedudukan sesuatu kesalahan itu sama ada ia bersikap peribadi atau sosial. Jika kesalahan itu berbeza, maka kaedah yang Islam tawarkan untuk menanganinya juga berbeza.

Misalnya makan pada waktu puasa. Jika kemungkaran ini berlaku di luar pengetahuan kita, sebagai Muslim kita dilarang untuk membuat intipan melulu. Namun jika ia mendapat aduan, tidak pula Islam menganggap aduan itu sebagai kesalahan mengumpat.

Bahkan ia dituntut di sisi syarak! Begitu juga jika seseorang dengan bangganya berkongsi gambar di kelab malam pada laman sosial. Maka perbuatan terbuka ini tidak pula dianggap sebagai membuka aib jika dibahaskan dengan tujuan mencegah kemungkaran.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita kembali meningkatkan kesedaran mencegah kemungkaran dari perspektif Islam dalam masyarakat ini dengan memperkukuhkan roh tersebut di peringkat sekolah. Sikap pelajar yang tidak cakna dengan kemungkaran, bahkan berkompromi dengannya dibimbangi akan membentuk iklim Malaysia yang lebih parah.

Tuesday, September 1, 2015

Patuh syariah, tidak mesra fitrah? – Syahir Nujaba’

Alhamdulillah, kesedaran terhadap syariah di negara ini sangat bagus dari sudut pendidikan serta hebahannya. Rakyat Malaysia bukan sahaja mendapat pendedahan syariah di sekolah, tapi juga mendapat pendidikan susulan di kuliah-kuliah ilmu yang dihidupkan oleh masjid dan surau seluruh negara.

Ditambah pula dengan wujudnya institusi kajian syariah, baik di peringkat universiti mahupun industri, ini memberikan nilai tambah terhadap kepatuhan sistem serta masyarakat terhadap syariah.

Istilah patuh syariah sebetulnya dimasyhurkan oleh agamawan dalam bidang perbankan Islam. Bagaimanapun, istilah ini akhirnya diguna secara meluas dalam bidang-bidang yang lain.

Kajian terhadap kepatuhan syariah hari ini membuka peluang kerjaya yang luas dalam industri, sekali gus melahirkan lebih banyak cendekiawan yang menceburi bidang ini.

Hal ini adalah perkembangan yang sihat kerana, setiap produk serta amalan Islam dibawa ke aras yang lebih teliti sebelum diiktiraf sebagai selari dengan kehendak syarak.

Pun begitu, idealisme patuh syariah kebelakangan ini dilihat tidak cukup untuk mensikapi permasalahan masyarakat. Pendekatan patuh syariah yang bersendiri dilihat tidak praktikal dengan situasi semasa.

Ini kerana, wujudnya kelompok agamawan yang sibuk menyeru kepada syariah sehingga menafikan unsur-unsur fitrah insaniah. Dengan sikap berang dan prejudisnya, masyarakat kini menjadi lebih takut untuk mendekati agama dalam menyelesaikan masalah dunia.

Agama kini dilihat tidak lebih sekadar ibadah, yang seterusnya membentuk sekularisme atas nama agama.

Fenomena ini berlaku kerana dua perkara. Pertama, sistem pendidikan agama di negara ini yang bersifat terasing daripada masyarakat dan lebih bersifat teori. Lihat sahajalah di peringkat rendah, pelajar agama bukan sahaja diasingkan daripada kaum lain, bahkan diasingkan mengikut jantina.

Bukanlah ini bermaksud sistem ini salah. Cuma, kurangnya pendedahan pelajar-pelajar ini dengan hubungan lain kaum dan jantina, akhirnya akan menjadikan mereka ini kelompok suci yang menghukum kesalahan kelompok kotor tanpa unsur fitrah.

Disebabkan mereka hidup dalam dunia yang tiada noda, mereka gagal untuk memahami punca tercetusnya sesuatu masalah. Sebaiknya di sebalik sistem pengasingan yang ada ini, program-program kemasyarakatan perlu didedahkan kepada bakal agamawan ini agar mereka lebih terbuka untuk melihat dunia sebenar yang lebih kompleks dari sekadar mengeluarkan fatwa di kamar berhawa dingin.

Faktor kedua yang menyebabkan agamawan suci ini terus bermaharajalela adalah, kurangnya pendedahan terhadap bacaan moden serta bidang ilmu selain syariah.

Kebanyakan pelajar agama ditekankan untuk membaca dan mengkaji kitab-kitab lama hasil warisan ulama tersohor seluruh dunia.

Ini bagi mengekalkan bentuk serta tradisi kajian syariah yang berpaksikan dalil daripada sumber primer, serta legasi menghormati pandangan ulama’ terdahulu. Pendekatan ini sekali gus membentuk satu disiplin ilmu yang mengawal agamawan daripada mencipta sesuatu yang baru di dalam Islam sesuka hati.

Sudah pastilah ia sesuatu yang positif kerana tanpanya, agama Islam akan terdedah kepada penyelewengan seperti apa yang berlaku di dalam agama lain.

Walaupun begitu, ia masih tidak mencukupi jika kita kembali kepada komponen ilmu syariah yang terdiri daripada ibadah dan juga muamalat.

Komponen muamalat yang juga mewakili unsur-unsur sivil dalam syariat Islam membutuhkan pembacaan yang lebih luas daripada pendekatan di atas. Isu-isu sivil yang lebih kompleks, tidak mampu ditanggapi dengan baik jika sekadar merujuk kepada kitab-kitab Arab klasik dari negara-negara timur tengah.

Ia juga tidak akan lengkap difahami jika tidak meluaskan bacaan terhadap bidang-bidang ilmu lain yang sebahagiannya lebih dikuasai oleh bukan Islam dari bukan negara Arab timur tengah.

Ilmu-ilmu seperti psikologi dan kriminologi dalam bidang jenayah, sosiologi dan sains politik dalam kemasyarakatan, ekonomi dan sistem kewangan dalam bidang perbendaharaan, serta undang-undang dan perlembagaan dalam isu-isu perlaksanaan, sepatutnya digabung jalin dengan dapatan-dapatan daripada teks-teks klasikal yang ada dalam kitab-kitab Arab.

Ini penting bagi membentuk fikah baharu dalam rangka membumikan wahyu mengikut situasi yang berbeza dengan dunia Arab.

Bahkan, sarjana Islam yang melalui fasa ini, menulis banyak karya tentang cabang ilmu syariah lain yang diperlukan bagi memastikan fatwa atau ijtihad yang dikeluarkan agamawan benar-benar jitu.

Antara cabang ilmu lain yang berkait adalah Fiqh al-Aulawiyyat (perlaksanaan syariah mengikut keutamaan), Fiqh al-Watan (hukum-hakam bersangkut pendekatan syariah dalam kerangka kenegaraan), Fiqh al-Ma’alaat (menimbang akibat sebelum mewartakan pendapat), Fiqh al-Aqaliyyat (mensikapi hukum-hakam di negara minoriti Muslim), dan Maqasid Syariah (menghalusi kehendak serta tujuan syara).

Kesemua ilmu di atas, baik yang berorientasikan Islam mahupun sistem lain, sangat diperlukan bagi membentuk sebuah pemikiran yang lebih praktikal dan terarah. Selari dengan keperluan zaman, kajian syariah yang terbatas dalam sempadan 4 mazhab, kini perlu diubah kepada kajian merentasi bangsa, negara dan agama.

Inilah yang kita sebutkan sebagai mesra fitrah. Tuntutan untuk agamawan bersikap mesra fitrah ini bukanlah usaha untuk menjadikan agamawan kita lebih liberal.

Jika kita memahami konsep serta falsafah keagamaan, titik temu antara syariah dan fitrah tidak boleh dipisahkan! Kegagalan kita dalam memahami Islam antara fitrah dan syariah, menjadikan kita malaikat-malaikat sekular yang menganggap diri sebagai suci tanpa menyedari kita sebagai agamawan pun menanam satu bentuk sekularisme agama dalam kalangan masyarakat.

Masakan tidak, masalah kenaikan harga barang hanya dikupas dari sudut aqidah, dan meninggalkan sudut ekonomi.

Demonstrasi jalanan ditanggapi dalam kerangka pengharaman menggulingkan khalifah, tapi tidak menyentuh tentang sistem demokrasi. Masalah tekanan hidup hanya disentuh dari sudut kekuatan iman, tidak menyentuh soal psikologi dan sosiologi.

Hudud dijaja dalam rangka teks-teks klasik tanpa melihat kepada sistem perundangan serta perlembagaan sedia ada. Hubungan antara kaum pula sering kali dikupas dalam konteks wilayah, terus meninggalkan aspek madaniyyah.

Berhadapan dengan agamawan sebegini, masyarakat perlu lebih bijak. Menguasai terlebih dahulu falsafah keagamaan dengan memahami kewujudan agama antara ruang lingkup fitrah dan syariah.

Selepas itu, proses-proses desakan perlu dikerah segenap pihak. Penulisan-penulisan daripada agamawan yang bersifat lebih holistik perlu diperbanyakkan agar pandangan agamawan sekular ini akan tenggelam sendiri.

Selain itu, gerakan daripada masyarakat juga mampu memberi impak yang besar terhadap kegelinciran pemikiran ini. Dengan cara memboikot pengisian atau penyampaian mereka, ketiadaan penyokong mampu memberi kesan mendalam terhadap ego mereka.

Usaha-usaha ini sudah pastinya terlebih dahulu perlu dipusatkan untuk membanteras cara fikir yang salah, bukan untuk menjatuhkan mana-mana peribadi. Ini juga adalah sebahagian daripada usaha dakwah dalam memerangi persepsi yang dibentuk oleh cara fikir agamawan yang sekular.

Ini juga adalah usaha untuk membantu rakan-rakan awam kita yang keliru, yang selama ini menganggap semua yang datang daripada ustaz-ustazah adalah benar belaka.

Dengan munculnya ramai asatizah yang berbeza pandangan, kini sudah tiba masanya masyarakat bertindak sebagai penilai dan terus menegur dan membetulkan kelompok agamawan suci ini daripada terus tergelincir dalam menyatakan pandangan mereka.

Kita mengharapkan suatu hari nanti, mereka bukan sahaja patuh syariah, tetapi juga mesra fitrah.

Agamawan dan BERSIH - Nik Mohd Abduh

Antara sebab mengapa manusia tidak berminat dengan agama bukan kerana malasnya mereka untuk mengaji, namun atas faktor agamawan yang sangat cepat menghukum dan pandangan serong agamawan terhadap sesuatu perkara tanpa dilihat dengan kaca mata yang lebih besar.

Dahulunya diharamkan Bersih kerana dakwaan merosakkan harta benda awam, sampah sarap dan gangguan perniagaan, namun setelah semua dakwaan itu meleset, maka, dicarinya pula kesalahan-kesalahan lain, yang mana kesalahan-kesalahan ini langsung tiada kaitannya dengan Bersih, sebagai satu gerakan yang disepakati bersama oleh rakyat.

Dikaitkanlah gereja, cina pijak gambar, bendera LGBT, cina bergambar dengan Abang Mat, dan seumpamanya dengan konklusi inilah ramuan Bersih yang bejat. Sedangkan para agamawan ini tahu sahaja, Bersih bukan bertujuan sedemikian. Dalam 5 tuntutan Bersih, tiada satu pun tuntutan ini yang bercanggahan dengan syarak.

Para agamawan ini pula sedaya upaya menyorokkan kebaikan-kebaikan yang berlaku di sepanjang Bersih diadakan, dengan qiamnya, tazkirahnya, solat jamaienya dan seumpamanya, yang menjadi sebahagian rencana JK Bersih. Sedangkan perkara-perkarayang dibangkitkan hanyalah suatu yang berlaku di luar kawalan / tindakan JK Pelaksana. Para agamawan ini teramat lemah untuk membezakan antara perkara yang disepakati (yang sepatutnya dibincangkan) dan perkara yang tidak disepakati bersama (yang berlaku diluar kawalan) kemudian merumuskan ia merupakan ramuan Bersih yang mengundang azab Allah.

Kemudian setelah itu, keluarlah juga teori-teori sekongkol dengan Kafir untuk jayakan agenda mereka (takfir), cintakan LGBT, cintakan maksiat, wala' kepada kuffar (takfir) dan seumpamanya.

Inilah masalah agamawan, yang menjadikan agama untuk tujuan al-hawa', yang menyelamatkan pemerintah agar terus kekal berkuasa dengan teori mudharat pemerintah lebih ringan, sedangkan mereka tahu, punca sebenar / dalang kepada wujudnya golongan Kassim Ahmad ,SIS , ajaran sesat, LGBT dan seumpamanya inu adalah dari sistem yang rosak, yang mendorong semua ini berlaku.

Bersih dikatakan haram hanya kerana beberapa kelompok manusia yang jahil (bukan dari rencana atau agenda bersih) melakukan sesuatu yang tidak cerdik, manakala Malaysia diibaratkan sebagai Negara Islam (walaupun tempang) lagi Halal sedangkan mudharat kilang arak, kasino dan judi, pelacuran, dan seumpamanya tidak dilihat sebagai mudharat yang cukup kuat menjadi illah sepatutnya diharamkan bagi mereka untuk memanggil Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Saya bukan seorang agamawan, tapi saya sekurang-kurangnya tahu membezakan antara perkara yang diperjuangkan, dengan perkara yang berlaku di luar kawalan.

Nabi menyatakan solidariti kepada Hilf Al-Fudhul kerana ia baik, mahupun ia datang dari golongan kafir (musuh Allah yang paling jahat di dunia ketika itu).

Sepatutnya yang difikirkan untuk dijawab di hadapan Allah adalah, "apakah aku telah menyembunyikan kebaikan yang banyak dengan sengaja dan menzahirkan mafsadah yang sedikit dengan niat memburukkan?"

Wallahualam,

Agama bukan candu untuk mengkhayalkan.
Islamis tidaklah naif untuk membezakan.

P / s: Saya cuba membayangkan bagaimana jika datang segerombolan pelacur (dengan baju seksinya) ke demo Morsi yang dianjurkan agamawan ini, apakah pelacur-pelacur ini akan dihalau dan dipukul agamawan ini, walaupun mereka datang untuk menyatakan solidariti mereka kepada Morsi?

Saya pernah lihat pondan di Mesir, datang ke demo anti Mubarak untuk turut serta bersama-sama Ikhwanul Muslimin menyatakan solidariti rakyat menjatuhkan Mubarak..!

Bagaimana Bersih 4.0 mengajar kita – Syahir Nujaba’

Bersih 4.0 benar-benar mengajar kita kemerdekaan bukan milik sesetengah pihak. Ia bukan milik kerajaan semata-mata, namun hakikatnya ia milik seluruh rakyat Malaysia.

Menyifatkan himpunan Bersih 4.0 sebagai tidak patriotik adalah tidak adil. Kemerdekaan negara ini dicapai dengan semangat perjuangan, dan Bersih membawa mesej perjuangan yang jelas negara ini perlu diurus tadbir dengan berkesan.

Malam pemisah antara himpunan Bersih dengan sambutan kemerdekaan menyaksikan bagaimana Bersih dikendali dengan baik jika dibandingkan dengan kumpulan berbaju merah yang cuba merempuh masuk ke pentas dataran merdeka.

Bersih 4.0 mengajar kita himpunan aman bukanlah sesuatu yang mustahil. Adalah sangat mengejutkan apabila himpunan siri ke-4 ini berlangsung dalam keadaan yang sangat harmoni. Tanpa provokasi serta pengkhianatan daripada pihak yang menyamar sebagai demonstran, Bersih kali ini berjaya dikendalikan dengan baik oleh pihak polis.

Rakyat tidak takut lagi untuk memakai baju Bersih sejak mula, hatta semasa dalam kereta api. Ini berbeza dengan siri-siri yang lalu di mana mereka menyorokkan baju Bersih terlebih dahulu sebelum tiba di kawasan berhimpun.

Kerjasama yang baik antara demonstran dengan pihak polis akhir sekali dizahirkan dengan dendangan lagu yang dinyanyikan bersama-sama oleh pihak demonstran sebagai menghargai jasa pihak polis.

Bersih 4.0 kali ini mengajar kita kesejahteraan hubungan antara kaum bukanlah retorik. Berita-berita mengenai bukan Islam yang terpapar di dada-dada media sebagai tidak selesa dengan laungan azan yang berkumandang, kini kelihatannya bertentangan dengan realiti Bersih.

Bukan Islam di himpunan ini membantu untuk meredakan sorakan, menyediakan ruang, bahkan menawarkan khidmat air wuduk kepada demonstran Muslim yang ingin mendirikan solat. Fenomena ini cukup menguja kerana, iklan yang selama ini mempromosi hubungan antara kaum sebatas unsur manusiawi kini melangkah jauh merentasi unsur ibadah dalam agama masing-masing.

Bersih 4.0 bukan sahaja mengajar kita untuk hidup beragama, tapi juga untuk hidup bertuhan. Masakan tidak, kali ini, rumah-rumah ibadat selain Islam juga turut membuktikan kebersamaan mereka menentang kezaliman dengan menyediakan khidmat hospitaliti kepada para demonstran untuk berteduh dan menyegarkan diri.

Bahkan rumah ibadat agama selain Islam dikatakan membuka ruang yang lebih luas berbanding masjid-masjid yang ada sehingga mereka menyediakan ruang solat khusus bagi tetamu Muslim.

Ini benar-benar mengimbau nostalgia kegemilangan Jurusalem yang pernah suatu ketika dahulu dikenali sebagai The Kingdom of Heaven kerana pelbagai agama hidup harmoni di dalamnya.

Bersih 4.0 kali ini lebih menarik dengan kewujudan kelompok kecil yang berhimpun secara berasingan daripada pentas utama. Mereka ini membawa mesej yang sedikit berbeza, iaitu kehadiran mereka mewakili suara golongan akademik.

Himpunan yang sedikit terasing ini dilangsungkan sedikit berbeza dengan gaya penyampaian yang lebih ilmiah dibandingkan dengan pentas utama yang lebih politikal dan sarkastik.

Kelompok ini percaya, dalam membawa perubahan, semangat politik kepartian sedia ada tidak cukup. Menerapkan unsur ilmu dalam masyarakat bakal membawa kesan perubahan yang lebih kekal dan berpanjangan.

Ini cukup membuktikan himpunan Bersih bukanlah himpunan parti politik semata-mata. Namun ia membuka ruang yang luas untuk dicorakkan oleh kelompok yang ingin mengarus perdanakan idealisme masing-masing.

Bersih 4.0 juga mengajar kita untuk melihat dunia ini dari kaca mata penimbang antara majoriti dan minoriti. Di mana pun bumi dipijak, atas niat yang sesuci mana pun, pasti akan ada kelompok minoriti yang cuba menumpang nama di sebalik seruan kebaikan.

Dalam kes Bersih 4.0, kelibat bendera berfahaman songsang LGBT, serta tindakan beberapa individu yang memijak gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencetuskan pandangan negatif masyarakat awam terhadap Bersih 4.0.

Bagaimanapun, itulah hakikat yang kita perlu sedari, tidak akan pernah wujud persepakatan total dalam isu keagamaan dan kemanusiaan. Ini secara jelas disebut dalam Surah al-Maidah ayat yang ke-48, Allah berkuasa untuk mencipta kesatuan serta-merta, namun sengaja dijadikanNya kita berbeza sebagai ujian agar kita terus berlumba melakukan kebaikan.

Dalam hal ini, seharusnya mereka yang berfahaman suci, berusaha untuk mendominasi himpunan ini sebelum ia dikuasai oleh mereka yang berfahaman songsang, bukan mengambil keputusan untuk lebih mengasingkan diri daripada partisipasi.

Bersih 4.0 dari sisi lainnya mengajar pendakwah Muslim agar lebih berhati-hati apabila membawa diri ke dalam medan dakwah yang lebih mencabar.

Timbulnya beberapa isu seperti non-Muslim berseluar pendek membonceng motosikal Muslim yang berkopiah serta gambar pemimpin Islam dipeluk oleh wanita bukan Muslim, adalah situasi yang tidak elok pada pandangan masyarakat Muslim.

Tindakan pantas memberi keterangan media adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan fitnah berlarutan. Sama ada keterangan itu dalam bentuk memohon maaf atau menafikan secara langsung, respons pantas ini sepatutnya dijadikan amalan.

Dan kita sebagai Muslim yang menyedari suasana sebegitu sangat sukar dikawal, seharusnya lebih bersikap konstruktif agar ia diperbaiki pada masa hadapan. Sikap mengupas isu ini dengan nada sinis dan berunsur humor hanya akan menzahirkan sikap kita yang tidak praktikal.

Bersih 4.0 mengajar kita pemulihan psikologi yang bersikap individu tidak cukup untuk mengubah nasib rakyat secara kumulatif. Pemulihan sosiologi juga penting untuk digerakkan agar perubahan yang lebih holistik dapat dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia.

Kita masih mengharapkan agar, pakar motivasi yang kaya-raya hasil kerja-kerja pemulihan bersifat psikologi ini juga kelak membuktikan mereka juga mengiktiraf pemulihan sosiologi, dengan cara turut menyertai himpunan ini sebagai bukti mereka benar-benar empati terhadap nasib pelanggan mereka.

Bersih 4.0 pastinya membawa pengajaran yang sangat banyak, terutamanya bagi mereka yang berjaya mengikuti himpunan Bersih 4.0 ini secara lengkap.

Namun, senarai di atas ini adalah antara pengajaran yang paling besar kita boleh dapatkan dari himpunan ini. Pun begitu, pengajaran terakhir ini dilihat lebih memberikan kita erti dalam mengambil ibrah daripada peristiwa ini.

Bersih kali ini mengajar kita untuk menilai bagaimana parahnya permainan persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia. Setiap kebaikan dikupas dari sudut yang negatif. Tawaran khidmat wuduk dilihat sebagai tidak ikhlas.

Timbul pula suara-suara “agamawan” amalan itu hanya dibolehkan untuk pesakit. Bahkan lebih lucu, apabila siri-siri sebelum ini tidak disertai oleh kaum Cina dikatakan sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan, kini bertukar pernyataan menjadi sebaliknya apabila penyertaan besar-besaran dari kaum Cina kali ini dianggap sebagai ingin mengambil alih tampuk pemerintahan Melayu pula.

Cukuplah Bersih 4.0 mengajar kita, kelompok yang hasad dan sempit pemikirannya ini takkan pernah berpuas hati dengan apa pun perubahan positif dalam gerakan masyarakat. Pemikiran bersifat anti-establishment sebegini kita harapkan semakin tersisih, tenggelam ditelan zaman, sebagaimana satu masa dahulu, pembedahan dianggap haram dalam agama Islam, kini menjadi amalan arus perdana.

Biarlah sejarah memadamkan nama-nama kelompok ini, seterusnya menaikkan nama-nama mereka yang banyak mengusahakan perpaduan kaum dan kemajuan negara yang tercinta ini.

Perihal Bersih 4 dan PAS yang bakal tersisih - Nazari Noor

Sayang seribu kali sayang, dikala ratusan ribu rakyat turun merayakan pesta demokrasi Bersih 4 di Dataran Merdeka, parti PAS memilih untuk tidak menjadi peserta. Bukan setakat menjadi pemerhati, bahkan PAS memilih untuk menjadi pengkritik kepada program yang dihadiri suku juta rakyat (mengikut sesetengah bancian) tersebut. Tidak dinafikan, mengikut beberapa badan kajian berkecuali, ratusan ribu perserta bersih tersebut majoritinya adalah bukan Melayu, Cina khasnya.

Yang pasti, PAS terperangkap dengan sindrom penafian dan siege mentality. PAS masih belum bersedia menerima hakikat. Hakikat demokrasi akan terus meriah, dan suara rakyat akan tetap lantang.

Sebelum PAS merasai terdorong untuk kekal berbangga dengan sikap berkecuali mereka dan memperlekehkan usaha penganjur, PAS harus memahami beberapa hakikat dan realiti lanskap politik sediada yang memberi natijah dari boikot mereka, antara lain;




Hakikat 1: Nasib 54 kerusi PAS, ditangan 1 juta pemilih bukan Melayu.
PAS jangan lupa akan percaturan berebut kerusi menjelang setiap pilihanraya. Sudah menjadi tradisi PAS dan persepsi umum PAS sangat bermegah dengan jumlah kerusi yang ditandingi (sekaligus membawa mesej kepada rakyat PAS sangat berpengaruh dalam percaturan negosiasi kerusi, dan bukan parti umpama pipi tersorong-sorong dan terhegeh-hegeh mengharapkan ihsan DAP atau PKR untuk menagih jumlah kerusi yang banyak).



Pada PRU13 yang lalu, PAS diberi sejumlah 73 kerusi , jauh melepasi 51 kerusi DAP. Satu pembahagian yang dikira besar dan pengiktirafan kepada PAS sebagai rakan kongsi utama barisan pakatan pembangkang. Pada waktu itu.
Bagaimanapun, semua sudah sedia maklum, pencapaian PAS adalah yang paling tercorot, berbanding rakan kongsi Pakatan Rakyat yang lain.

Dari 73 kerusi parlimen yang di peruntukkan kepada PAS untuk ditandingi pada PRU13, PAS berjaya memungut sejumlah 1,633,389 suara undi.

Satu perkara yang PAS perlu ingat, terdapat lebih 1 juta pengundi bukan Melayu, di seluruh kawasan yang di tandingi PAS. Umum juga mengetahui berbanding Umno/BN, lebih rami kaum bukan Melayu, kaum Cina khasnya yang mengundi Pakatan Rakyat, termasuklah PAS. Dengan kata lain, hasil gabungan dalam Pakatan Rakyat, PAS mendapat limpahan manafaat undi bukan melayu, yang membantu memenangkan calon-calon mereka.

Dari 73 kerusi tersebut, sejumlah 54 kerusi PAS adalah bergantung kepada undian bukan Melayu. Tanpa undi bukan Melayu, PAS tidak mampu memperoleh majoriti yang begitu besar untuk menewaskan Umno, ataupun setidaknya mampu merapatkan jurang defisit majoriti Umno/BN kedalam jangkauan untuk menang.

Tetapi dengan sikap yang merasakan mereka kuat, mampu bersendiri, dan tidak memerlukan ihsan pengundi bukan Melayu, PAS berdepan dengan risiko kehilangan semua 54 kerusi tadi.

Hakikat 2: Nasib 21 kerusi yang dimenangi, belum tentu milik mutlak kelompok konservatif.
Dari 21 kerusi yang dimenangi, sejumlah 13 kerusi sememangnya sudah diiktiraf sebagai kerusi PAS, secara geografi, tradisi mahupun demografi pemilih melayu nya. Bagaimanapun, harus diingat 13 kerusi ini tidak semuanya dikira kerusi selamat untuk PAS. Sekurang-kurangnya 4 kerusi boleh dikira marginal dan masih dalam jangkauan untuk direntap musuh tradisinya, Umno

Dari baki 9 kerusi yang ‘betul-betul selamat’ dari jangkauan Umno itu pula, tidak semuanya boleh dikira sebagai kerusi milik mutlak puak-puak konservatif dalam PAS, mengambilkira pergolakan dalaman dan pengaruh puak-puak progresif yang cuba disingkirkan puak konservatif.

Ringkasnya, dari 21 kerusi yang dimenangi pada PRU13, kerusi yang betul betul boleh dianggap kubu kuat PAS, boleh dikira dengan jari. Selebihnya bole dianggap milik kelompok progresif yang kini sudah mengistihar diri mereka bersama parti baru, ataupun mereka yang sedang bersiap sedia untuk terjun bersama parti baru.

Hakikat 3: PAS akan tersisih
Amat malang jika PAS memilih untuk merasakan diri mereka hebat dan tidak perlu bergabung dengan pihak lain untuk mencari sinergi, hatta dengan parti Harapan Baru yang mereka anggap derhaka dan serpihan itu. Jika PAS masih berdegil dan masih dalam mode penafian, jangan terkejut jika PAS selamat dengan 7 atau 8 kerusi Parlimen, dan berisiko kehilangan negeri kubu tradisi mereka, dan akan tersisih secara semula jadi. Mungkin menerima senasib yang sama seperti parti Saadet Turki yang menafikan kemunculan dan kemaraan parti AKP yang asalnya dianggap serpihan.

Lain lah kalau PAS melihat Umno, sebagai talian hayat politik mereka.

Anda Veteran Politik Atau Anak Muda, Mari Bersama Kami - Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Ketika UMNO menyaksikan kepincangan yang berlaku dalam tubuh mereka sediri, tiba-tiba diisytiharkan kelahiran sebuah parti baru pada 31 Ogos 2015.

Saya percaya ramai ahli UMNO tersangat kecewa dengan apa yang berlaku. Kerakusan teman-teman dan pemimpin-pemimpin mereka terhadap habuan harta, kekayaan dan pangkat sampai ke tahap yang tidak pernah mereka bayangkan dan tidak boleh didiamkan lagi.

Bacalah dan dengarlah coretan hati dan perasaan ahli-ahli UMNO sendiri dalam mesyuarat agung UMNO, dalam forum, fb dan media sosial yang lain meluahkan kekecewaan mereka kepada UMNO yang tidak dapat lagi diperbaiki.

Ramai ahli yang memerhati ada kalangan pemimpin mereka yang pakat-pakat "mark up" harga sesuatu projek awam dan kemudian membiarkan rakyat menanggung setelah kos projek meningkat. Takpa, asalkan ada bahagian untuk diri dan keluarga hidup senang.

Kini ahli-ahli UMNO melihat teman-teman mereka yang makan duit negara atas projek yang tidak bernama dan mereka pun tak tahu.

Dan pada masa yang sama, mereka melihat teman-teman mereka disembelih seorang demi seorang kerana ingin menyekat penyelewengan.

Timbalan Presiden yang telah berjihad dalam UMNO secara ikhlas lebih 30 tahun itu, dijentik keluar dari kabinet tanpa pembelaan, begitu mudah.

Kini ura-ura untuk memecat beliau dari jawatan parti sewenang-wenangnya mungkin akan terjadi.

Ia berlaku semata-mata kerana teman-teman dalam UMNO cuba melakukan perubahan dan cuba melaksanakan Nahi Mungkar.

Mereka dalam UMNO merasa sangat malu terhadap apa yang berlaku.

Nah! Di hadapan rakyat Malaysia, lahirnya sebuah parti baru.

Parti yang menyambung perjuangan para ulama' dan pandai bergaul dan bersepakat dengan kaum Cina, India, masyarakat orang asli, Iban, Kadazan, Murut dan etnik lainnya di Sabah dan Sarawak.

Persis seperti perjuangan Dato' Onn Jaafar, Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan Tun Datuk Patinggi Abd Rahman Ya'kub, yang berpakat dengan berbilang bangsa dan kaum untuk mengisi kemerdekaan satu masa dulu.

Bezanya, parti baru ini, mempunyai cita-cita Islamnya yang lebih tersusun, inklusif untuk semua dan meyakinkan.

Seruannya tidak membawa sesuatu yang memaksa dan menakutkan. Ia juga tidak

membawa sesuatu yang longgar sehingga menghalalkan "meratah" harta negara di atas projek yang tidak bernama.

Atas nama Parti Pekerja yang akan menggunakan nama AMANAH NEGARA; kami dengan perasaan ukhwah ingin mengundang dengan penuh kasih sayang ahli-ahli UMNO untuk berhijrah dan berjuang bersama kami.

Kita sambung perjuangan pimpinan silam dengan penuh AMANAH dan dengan suntikan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Mari semua, tidak kira anda veteran politik yang ilmu dan pengalaman politik anda amat berguna untuk ummah atau anak muda yang miliki idealisme untuk menyumbang dalam usaha pembangunan negara bangsa dan ummah. Anda ada bahagian dan peranan.

Mari kita bersama masyarakat pelbagai bangsa dan agama membina NEGARA Malaysia tercinta.

Satu HARAPAN BARU

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Naib Pengerusi Parti Pekerja
AMANAH NEGARA

1 September 2015