Monday, February 15, 2016

Tahun Baharu Cina dan formula Malaysia baharu – Nik Fatma Nik Muhamad

Hari ini merupakan hari bersejarah dan penting bagi masyarakat Tiong Hua di Malaysia, iaitu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina. Ia merupakan sebuah perayaan berasaskan kebudayaan dan adat bukannya asas kepercayaan atau agama. Semoga tahun monyet ini membawa 1001 kebahagiaan, kesihatan yang baik, serta kemakmuran buat semua.

Dalam kemeriahan sambutan ini, dapat kita ambil iktibar daripada kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia dan mewujudkan suasana yang harmoni dan damai. Pelbagai mesej dapat kita singkap melalui perayaan ini bagi membuka mata masyarakat yang lain tentang pentingnya menghargai dan meraikan perbezaan dan sebagainya.

Menghargai dan meraikan kepelbagaian

Allah menciptakan perbezaan dan kepelbagaian supaya kita dapat saling mengenali antara satu sama lain. Ia selari dengan apa yang diturunkan menerusi kitab panduan orang Islam iaitu Al-Quran, yang mana Allah berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Tidak dapat dinafikan kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk, berbilang keturunan, bangsa dan agama seharusnya bersikap tolak ansur dan bertoleransi, memahami antara satu sama lain, saling menghormati dan sentiasa menjalinkan keharmonian dan keamanan bersama.

Saya tertarik dengan pandangan Dr Harlina Halizah Siraj di dalam artikelnya yang bertajuk “Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian (Appreciating & Celebrating Diversity)”. Beliau menyebutkan manusia dapat menangani kepelbagaian dengan 3 cara utama.

Pertama – bertindak menolak dan membenci apa yang nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza dengannya. Tanggapan tersebut berpunca daripada perasaan takbur, bongkak dan sombong yang bersarang di dalam hati.

Kedua – menerima kepelbagaian sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza. Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan.

Ketiga – meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu kemajuan bersama.

Ini membuktikan betapa pentingnya nilai menghargai dan meraikan kepelbagaian.

Kepelbagaian membentuk kekuatan

Tanggapan “Aku lebih tinggi dan mulia daripada kamu “ atau “I am holier than thou” haruslah dicantas sejak awal supaya ia tidak menatijahkan sesuatu yang berbaur diskriminasi, prejudis dan bias antara satu sama lain kerana kita tahu impak dari tanggapan itu ialah penindasan, ketidakadilan dan persengketaan.

Dan kita tahu manusia tidak kira bangsa dan keturunan sebenarnya banyak berkongsi persamaan dan perbezaan adalah hanya sedikit.

Oleh itu, kemahiran dalam menangani kepelbagaian ini haruslah dikuasai sepenuhnya oleh semua masyarakat di Malaysia supaya kita dapat pastikan kepelbagaian itu merupakan cabang kekuatan bersama dan bukannya satu bebanan atau liabiliti.

Bertitik tolak dari sini, masyarakat Melayu contohnya harus mengambil iktibar dan belajar daripada kelebihan yang ada pada bangsa lain. Kita harus menjauhi prejudis atau prasangka buruk sehingga menyebabkan terhalang daripada menyingkap hikmah dan rahmah yang ada pada bangsa lain.

Mahasiswa agen keharmonian masyarakat kampus

Mahasiswa di universiti juga seharusnya memanfaatkan sebaiknya rakan mahasiswa yang berlainan bangsa dan etnik, supaya dapat menyemarakkan lagi nilai-nilai murni, dan mempromosikan interaksi harmoni dan damai antara mereka di dalam kampus. Mahasiswa Islam seharusnya mengambil peluang ini untuk menyantuni masyarakat yang berbeza agama dan menyebarkan rahmah kepada mereka.

Melalui penganjuran wacana mengenai “Managing Diversity” atau dialog perbandingan agama yang dianjurkan di universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau mana-mana persatuan di universiti akan membuka lebih luas peluang untuk menyebarkan risalah Islam yang syumul ini.

Ini tidak bermakna menggunakan ruang ini hanya semata-mata untuk mempromosikan agama masing-masing, tetapi lebih berfokus untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak seagama untuk memahami bagaimana agama yang dianuti itu mencorak seluruh kehidupan sebagai seorang masyarakat di kampus.

Dan natijah daripada wacana tersebut akan timbullah satu bibit kemesraan, hormat-menghormati dan akan membuahkan keharmonian yang benar-benar subur.

Formula baharu untuk Malaysia

Menyedari kepentingan untuk memupuk semangat toleransi sesama kaum di negara ini, “Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah” harus kita dokong bersama dan berganding bahu dalam merealisasikannya.

Terdapat 12 ciri negara yang rahmah yang digariskan antaranya:

- Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
- Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan.
- Tadbir urus yang baik.
- Undang-undang yang adil.
- Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang.
- Institusi keluarga yang utuh.
- Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni.
- Ekonomi yang mampan.
- Agihan kekayaan yang saksama.
- Pembangunan yang lestari.
- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara.
- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Dalam ciri ke-7 daripada 12 ciri dalam gagasan ini menyebutkan antara ciri negara yang rahmah, adil untuk semua adalah negara yang harmoni dan memelihara sebaiknya hubungan antara etnik dan penganut agama yang berbeza.

Ayuh, kita sebagai rakyat Malaysia harus memulakan langkah mempromosikan dan menyuburkan nilai keharmonian dan kedamaian antara kita. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang rahmah, memelihara prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan memelihara keharmonian etnik yang berbeza.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!

Anwar pejuang gagah, berani dan tabah – Muammar Qaddafi

Genap setahun yang lalu, iaitu pada 9 Februari 2015 mahkamah memutuskan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun kerana didakwa meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Rakyat tahu bahkan dunia tahu Anwar tidak bersalah, namun kerana rosaknya sistem kehakiman di Malaysia, beliau terpenjara, namun jika dijangka beliau akan tunduk, sama sekali salah, ucapan terakhir beliau begitu menikam hakim sehingga menyebabkan mereka panas punggung dan tidak mampu berhadapan dengan yang mereka hukumi.

Antara bait akhir Anwar dalam ucapan tersebut yang menjadi penyuntik semangat anak muda di luar untuk meneruskan perjuangan adalah: "Allah menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!".

Kecekalan Anwar melalui liku-liku perjuangan sungguh dahsyat, bukan semua mampu hadapi sebagaimana beliau, maka tidak hairanlah di usia akhir 60-an beliau masih dianggap idola ramai anak muda dan kekal releven sebagai perdana menteri.

Bagi yang tidak sepenuhnya mengenali Anwar, suka untuk saya menulis menceritakan kepada anda serba sedikit tentang tokoh reformasi ini.

Anwar dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Kampung Ceruk To'Kun Bukit Mertajam. Ibu bapa Anwar kedua-duanya adalah pemimpin politik Umno dan bapanya pernah menjadi ahli Parlimen.

Anwar bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ceruk To'Kun dan kemudiannya di Sekolah Stowell.

Seterusnya Anwar meneruskan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1960-1966. Sifat kepimpinan beliau menyebabkan beliau diangkat menjadi ketua pelajar.

Anwar memasuki Universiti Malaya pada 1967 dan dalam tempoh itulah bakat kepimpinan Anwar mula menonjol.

Pada 1969, berlaku rusuhan kaum (13Mei) dan suasana kampus ketika itu sentiasa membicarakan dan berwacana isu ini.

Anwar mula kenal dan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentang pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Namun pada 1974 ketika Anwar mengetuai tunjuk perasaan anti kemiskinan di Kedah, Dr Mahathir dan Anwar mula mengikut jalan masing-masing dalam perjuangan mereka.

Peristiwa paling besar dalam hidup Anwar adalah pada 1971, iaitu beliau bersama rakan-rakannya menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan ia merupakan gerakan Islam pertama di Malaysia yang tidak menerapkan unsur ketaksuban dan konservatif yang memisahkan dakwah daripada masyarakat.

Pemimpin Umno pertama yang mengiktiraf bakat Anwar adalah Tun Abdul Razak Hussein, apabila bapa Anwar berjumpa Razak pada majlis hari jadi perdana menteri ke-2 itu, beliau mencadangkan kepada bapa Anwar untuk menghantar Anwar ke luar negara dan menuntut dalam bidang perundangan, namun Anwar menolak tawaran tersebut.

Razak berulang kali memujuk Anwar untuk menyertai Umno namun ditegaskan Anwar yang beliau ingin bekerja sendiri tanpa terkongkong mana-mana parti.

Usia belia Anwar dihabiskan untuk aktiviti belia, Razak melantik Anwar menjadi wakil Malaysia ke seminar belia antarabangsa dan tahun berikutnya beliau menjadi ketua belia Malaysia dan seterusnya menjadi ahli penasihat kumpulan belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun begitu Anwar bukanlah obses dalam mendapatkan jawatan mahupun berteori segala bagai dalam usaha perkukuhkan belia,sebaliknya beliau bertindak dengan tangan beliau sendiri untuk membantu belia mendapat pendidikan sewajarnya

Pada 1971, Anwar membantu mengasaskan Yayasan Anda Akademik bagi tujuan membantu pendidikan dalam kalangan pelajar Melayu yang keciciran.

Anwar ketika itu ditawarkan memegang jawatan di dalam PBB dengan gaji AS$2000 sebulan namun beliau menolak dan meneruskan kerja beliau Yayasan Anda dengan gaji AS$250 sebulan.

1982 adalah tahun yang membawa Anwar melangkah lebih jauh dalam bidang politik iaitu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Abim dan menyertai Umno.

Dikhabarkan syura Abim menentang tindakan Anwar bahkan merayu agar Anwar kekal namun apabila satu perjumpaan syura dilakukan selama sehari suntuk, ahli syura bersetuju melepaskan beliau ke dalam Umno.

Penyertaan Anwar ke dalam Umno sememangnya menguntungkan Umno dan tindakan Dr Mahathir membawa masuk Anwar sememangnya dipuji setiap parti komponen Barisan Nasional (BN).

Anwar kemudiannya bertanding dalam pilihan raya umum pada 1982 di kerusi Permatang Pauh dan berjaya merampas kerusi tersebut daripada PAS walaupun calon parti Islam itu yakin akan dapat mengekalkan kerusinya.

Anwar kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri di dalam jabatan perdana menteri dan beliau berfokuskan untuk memajukan ekonomi rakyat miskin yang beliau percaya itu juga adalah sebahagian dari perjuangan Islam.

Antara tugas penting Anwar ketika menjawat jawatan timbalan menteri adalah menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa.

Anwar dalam tempoh yang singkat di dalam Umno melangkah lebih jauh apabila membuat keputusan untuk menandingi jawatan Ketua Pemuda Umno dan beliau menang dengan undi tipis namun pada pemilihan berikutnya beliau menang dengan majoriti besar.

Perjalanan politik Anwar dalam Umno begitu lancar sehinggalah beliau akhirnya berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno dan sekali gus menjadi timbalan perdana menteri.

Namun begitu, kelancaran jalan politik Anwar tidak kekal lama, memang lumrah dalam politik musuh kita bukan sahaja dari luar parti sebaliknya turut ada dari dalam parti sendiri.

Kejayaan Anwar tentu sahaja menimbulkan rasa iri pemimpin Umno lain, tidak hairanlah sejak memasuki Umno Anwar sering diburuk-burukkan melalui surat layang dan sebagainya untuk merenggangkan hubungan beliau dengan Dr Mahathir bahkan Anwar pernah dituduh sebagai ejen PAS yang dihantar untuk merosakkan Umno dari dalam.

Dr Mahathir awalnya tidak mempedulikan tuduhan kepada Anwar namun sedikit demi sedikit beliau termakan jua, apatah lagi kedua-duanya memiliki idealogi berbeza, pernah sekali dalam satu perhimpunan Agung Umno yang menjadi tanda Dr Mahathir mula mencurigai Anwar adalah apabila beliau membicarakan soal pengkhianatan Brutus kepada Ceasar.

Pun begitu, walaupun dilihat ada tanda Anwar bakal menentang Dr Mahathir, namun hakikatnya Anwar menegaskan kesetiaan beliau kepada Dr Mahathir namun tukang adu domba tetap meneruskan bisik-bisik mereka sehinggalah Dr Mahathir akhirnya termakan segalanya.

Walaupun pertembungan Anwar-Dr Mahathir berjaya ditutup, kerana Dr Mahathir pun tidak mampu berbuat apa-apa kerana Anwar tidaklah terbuka menentang beliau, namun krisis ekonomi negara yang berlaku akhirnya sekali gus membawa keluar segala yang tersembunyi.

Krisis ekonomi mendorong Dr Mahathir menggunakan jalan pintas untuk menyelamatkan syarikat besar iaitu dengan menggunakan wang rakyat untuk menyuntik dana dalam syarikat yang sedang nazak namun Anwar, selaku menteri kewangan tidak bersetuju!

Pada Jun 1998, perhimpunan agung Umno berlangsung di PWTC dan ketika itu tersebar satu buku sampah yang menjadi pembuka jalan penyingkiran Anwar, buku yang selayaknya ditulis sang Iblis bertajuk "50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM".

Selain itu pada perhimpunan agung Umno 1998 yang turut menjadi faktor penghangat perang Dr Mahathir-Anwar adalah apabila panglima perang Anwar, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu nepotisme dan kronisme dalam Umno yang selari dengan ucapan Anwar sebelumnya.

Akhirnya segalanya tamat untuk Anwar di dalam Umno, dengan segala drama usung tilam dan kondo tidak siap, serta ugutan dan penyeksaan kepada rakan Anwar untuk menentang Anwar, beliau akhirnya dipenjarakan 6 tahun kerana salah guna kuasa dan 9 tahun kerana kesalahan meliwat.

Pada 2004, tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia, apabila Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh, pembebasan beliau disambut baik rakyat dan pemimpin pembangkang dari PAS dan DAP.

Pada 2006, Anwar mengumumkan beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke-12 namun tindakan Tun Abdullah Ahmad Badawi mempercepatkan tarikh pilihan raya menghalang Anwar untuk bertanding.

Mahupun begitu Anwar masih boleh terus memimpin parti pembangkang dan menyusun strategi yang baik yang membawa kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) menafikan majoriti dua pertiga Umno dan Barisan Nasional.

Pasca PRU12 diwujudkan Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan PKR-DAP-PAS yang seterusnya membawa kemenangan yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pasca pembebasan Anwar beliau berjaya menyatukan parti pembangkang yang berpecah dan itulah yang menjadi faktor utama kemenangan besar parti pembangkang.

Aura kepimpinan Anwar tentu sahaja tidak disenangi musuh bahkan beberapa rakan beliau, ujian yang beliau terpaksa hadapi bukan sedikit, jika senjata hujah tidak dapat menundukkan Anwar, maka senjata fitnah digunakan dan ternyata fitnah tidak mengecewakan tuannya apabila Anwar sekali lagi dipenjarakan pada 2015.

Dengan terpenjaranya Anwar buat kali ke-3,Pakatan Rakyat kembali berpecah, Umno yang lemah boleh tetap duduk selesa, namun begitu perjuangan masih diteruskan melalui Pakatan Harapan, yang sabar menanti kepulangan pemimpin kami.

Buat Anwar, bersabarlah dan semoga tuhan kurniakan kebaikan kepada beliau dan diberi kekuatan untuk kembali memimpin kami tidak lama lagi. Insya Allah anak muda Pakatan Harapan menanti anda.

Februari, mengenang seorang pelopor agung, pejuang reformasi yang dikurung dan Tok Guru yang diusung – Nik Fatma Nik Muhamad

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Assyahid Imam Hasan Albanna.

Februari menjadi bulan yang signifikan dalam mengenang 3 tokoh yang tidak asing lagi untuk masyarakat Malaysia dan dunia.

Kehadiran mereka secara jelas dapat mengubah landskap pemikiran, perjuangan, pemerintahan, pentadbiran dan sebagainya.

Perjuangan yang mereka cipta serta legasi yang mereka tinggalkan masih lagi releven dan terus diperjuangkan dan masih membumi dalam jiwa setiap rakyat yang mahukan perubahan untuk dunia secara amnya dan Malaysia secara khususnya.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, seorang ulamak dan ahli politik yang disegani kawan dan lawan.

“Nyawa kita diumpamakan api pelita yang pada bila-bila masa saja boleh terpadam” (Tuan Guru Nik Aziz)

Pemergian seorang ulamak pada akhir zaman adalah satu kehilangan yang sangat besar yang mana ia adalah antara pemutus kepada pewarisan ilmu yang bermakna.

Tanggal 12 Februari 2015, setahun yang lepas, kita dapat merasai sebuah kehilangan yang besar dalam landskap politik, ilmu, dan kepimpinan ulamak selepas berita kematian Mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Mat tersebar luas di media seluruh dunia.



Hari ini 12 Februari 2016, adalah tarikh memperingati perginya seorang ulamak dan pejuang ini yang disayangi rakyat Malaysia secara amnya, rakyat Kelantan secara khususnya tidak kira Islam atau bukan Islam.

Kehilangannya terus dirasai dan hingga sekarang masih tiada yang dapat menggantikannya.

Kebijaksanaannya dalam berpolitik membuatkan ramai senang mendekatinya tidak kira Islam atau bukan Islam.

Pendekatannya yang sangat ramah dan rahmah, membuatkan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Parti Islam Malaysia (PAS) juga baik dan hubungan antara kaum juga harmoni di saat beliau memimpin parti dan sewaktu di dalam pakatan rakyat.

Beliau juga merupakan “stabilising factor” yang sentiasa mengemukakan resolusi yang terbaik untuk masa depan parti itu.

Prinsipnya yang kuat dan tegas membuatkan parti tersebut muncul sebagai parti yang sangat disegani lawan dan kawan.

Hingga hari ini, masih tiada lagi yang dapat menggantikannya.

Semoga semangat perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus meresap dalam diri anak muda yang cintakan perubahan untuk Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh pejuang reformasi

"Allah menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!" (Anwar Ibrahim, 2015)

Inilah kata-kata terakhir yang diungkapkan dengan penuh berani tokoh reformasi ini di saat beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun kerana didakwa meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Kata-kata tersebut bukan saja bergema di mahkamah pada ketika itu, bahkan ia bergema di dalam hati dan jiwa anak muda dan menjadi penyuntik semangat untuk mereka meneruskan perjuangan untuk kebebasan dan keadilan.

Tanggal 10 Februari 2016, genap 365 hari Datuk Seri Anwar ditahan sebagai tahanan politik.

Kecekalannya dalam menempuh pelbagai liku cabaran dalam perjuangan ini menjadikan beliau diangkat sebagai idola oleh segolongan anak muda yang mahukan perubahan untuk Malaysia.

Bukan semua mampu untuk menghadapi sebagaimana beliau hadapi pada saat ini dan tidak hairanlah, walaupun beliau dipenjara, tetapi masih ramai anak muda di luar sana sedang meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan menumbangkan rejim Umno-BN yang semakin hari semakin terserlah ketidakadilannya dan terlibat dengan pelbagai korupsi.

Cukuplah dengan semangat tokoh ini untuk bangkit memperjuangkan masa depan Malaysia, bersatu bersama rakyat dalam memperjuangkan nasib mereka menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk rakyat Malaysia terus bangkit.

Walaupun jasad terpenjara, tetapi mindanya berlegar di luar sana untuk menyelamatkan dunia keseluruhannya.

Salam perjuangan dan salam reformasi!

Assyahid Imam Hassan Al Banna, mujaddid atau pelopor agung

“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan.”

Ungkapan ini tepat untuk diperkatakan mengenai keperibadian seorang tokoh mujaddid iaitu Assyahid Imam Hassan Al Banna. Walaupun berpuluh tahun Almarhum meninggalkan kita semua, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalam hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Tanggal 12 Februari 1949, berlaku satu sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam.

Pada tarikh itu dunia Islam telah kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam.

Pemergiannya merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.

Beliau mengarang satu kitab iaitu “Risalah Taalim” yang mana kitab tersebut ditulis untuk menyatukan kembali masyarakatnya yang pada ketika itu bergolak dek perbezaan mazhab dan fahaman.

Hadirnya Hasan Albanna untuk menyatukan kembali perpecahan yang berlaku dan menyeimbangkan fahaman atau sikap berlebih-lebihan dalam sesuatau hal dan tindakan serta risalah ini menjadi panduan atau wasilah untuk mengatur dan menyusun kembali landasan Islam.

Kupasan buku ini masih lagi relevan untuk zaman sekarang dan ia menjawab isu terkini yang berlaku pada dunia hari ini.

Ramai aktivis dakwah sedang dalam proses membumikan kandungan buku ini dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat mengembalikan semula fahaman Islam yang syumul atau komprehensif kepada masyarakat melalui interaksi dan qudwah yang ditunjukkan.

Apa yang ditinggalkan Hasan Albanna juga adalah 10 wasiat yang kekal menjadi pedoman dan panduan bagi pejuang agama. 10 wasiatnya ialah:

Jika terdengar azan, maka segeralah bangun untuk menunaikan solat berjemaah walaubagaimana sekalipun keadaan seseorang itu.

Perbanyakkan bacaan al-Quran, selalu membuka kitab-kitab untuk menambah ilmu, pergi ke majlis Ilmu, perbanyakkan zikrullah dan jangan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab yang Fushah kerana Bahasa Arab yang betul (Fushah) adalah lambing (syiar) Islam.

Janganlah bertengkar walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa saja akan tenteram dan tenang.

Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa yang memberi kebajikan.

Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, maka gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Tiga tokoh hebat yang kita kupas di atas membina legasi mereka sendiri dan perjuangan mereka disahut rata-rata masyarakat yang hidup pada zamannya.

Dan sudah tiba masanya sekarang kita pula yang membina hala tuju, visi dan misi yang jelas untuk masa depan ummah, negara dan masyarakat.

Ayuh, mengorak langkah mengambil inspirasi perjuangan 3 tokoh ini!

Pekerja Bangladesh: Risiko banyak, di manakah kewajarannya? - Jufazli S A

SEKITAR 30 minit lalu, saya selesai membaca kenyataan penuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan “Cadangan Memorandum Persefahaman Antara Malaysia Dengan Bangladesh Mengenai Penggajian Pekerja Bangladesh Melalui Mekanisme Kerajaan Plus (MOU G-to-G)”.

Amat mengejutkan setelah membaca kenyataan rasmi itu. Kami semak semula dan baca baik-baik kenyataan media itu. Di akhirnya, kami sebagai rakyat menemui kewajaran untuk tidak bersetuju dengan polisi pekerja asing yang “sangat cerdik” ini.

Amat sukar untuk akal kami menerima membuta tuli bahawa faktor permintaan dan penawaran industri adalah sebab utama 1.5 juta pekerja asing Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini.

Dalam kajian Cervantes-Godoy, D and J. Dewbre (2010), Economic Importance of Agriculture for Poverty Reduction, sektor perladangan penyumbang utama kepada penurunan kadar kemiskinan rakyat luar bandar sejak 1984 hingga 2000-an. Ia melibatkan 52 peratus sumbangan sektor itu dalam menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat ladang di negara ini.

Mengapakah kerajaan cuba membuka peluang pekerjaan kepada pekerja asing khususnya dari Bangladesh yang akan memonopoli pasaran buruh bagi peladangan kelapa sawit di negara ini? Bagaimana nasib kelompok miskin sedia ada untuk melalui fasa peningkatan pendapatan sedangkan bayaran upah murah dipenuhi sumber tenaga asing?

Bukankah ia bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk menyelesaikan isu kemiskinan? Atau, usaha pembasmian kemiskinan sekadar retorik sehingga hak rakyat tempatan dalam sektor perladangan terus dinafi?

Di Sabah, Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Pahang, antara negeri yang ramai rakyat tempatan membina asas ekonomi dengan bergantung penuh kepada sektor peladangan, kira-kira 1.5 juta rakyat tempatan luar bandar mampu memenuhi semua peringkat tenaga sumber yang diperlukan. Jadi, mengapa mesti dipenuhi warga Bangladesh?

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mensasarkan peningkatan jumlah pekerja ladang rakyat tempatan di ladang miliknya sehingga 40 peratus menjelang 2020. Namun, pertambahan 1.5 juta pekerja Bangladesh bertentangan dengan perkara itu.

Ia melebarkan lagi perbezaan jumlah pekerja tempatan dalam sektor perladangan kerana kebergantungan besar kepada pekerja asing. Pada 2009, wakil institusi Lembaga Kemajuan tanah Persekutuan Felda menyatakan sebahagian besar pekerja ladang Felda adalah warga asing dan hanya 18 peratus rakyat tempatan.

Di manakah kewajaran dasar mesra pekerja asing dapat membantu menaikkan pendapatan rakyat ke tahap 40 peratus belum tercapai sumber tenaga tempatan sekaligus menyelesaikan masalah pengangguran serta miskin tegar di negara ini?

Mekanisme G to G plus antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan diperluas ke sektor lain bagi mempercepat urusan permohonan. Mekanisme itu kononnya menjamin kelicinan proses pengambilan pekerja Bangladesh. Pendekatan itu bertentangan dengan perancangan penyelesaian masalah dalam Model Ekonomi Baru (MBE) yang digagaskan Perdana Menteri.

Sebanyak 40 peratus isi rumah Malaysia masih memperoleh pendapatan kurang RM1,500 sebulan. Ketaksamaan pendapatan perlu ditangani dengan giat bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi yang meluas di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar di Semenanjung.

Di manakah political will (keazaman politik) dan jaminan kuasa untuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri serta Perdana Menteri menyelesaikan masalah itu jika peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pertanian dimonopoli pekerja asing?

Mengikut laporan tahunan 2014, dalam Pelan Transformasi Ekonomi Kerajaan, Sistem Insurans Pekerjaan akan diwujudkan sebagai jaminan kepada pekerja tempatan dalam semua sektor. Matlamat utamanya termasuk jaminan pendapatan iaitu mengisi kehilangan pendapatan yang dialami pekerja dan keluarga mereka. Adakah pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh akan menyelesaikan risiko kemiskinan bagi masyarakar peladangan tempatan?

Kerajaan juga berjanji membantu pencarian dan penempatan kerja dalam semua sektor pekerjaan. Mengapa rakyat tempatan tidak diberi peluang menikmati peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Kerajaan Mlaaysia?

Peluang kebolehgajian yang lebih tinggi juga dijanjikan mengikut pengurusan Kementerian Sumber Manusia. Namun, kesan negatif pengambilan buruh asing yang murah akan menyebabkan pekerja tempatan tidak menikmati peluang bayaran upah dalam sektor peladangan yang bersesuaian dengan produktiviti mereka.

Adakah nasib syarikat swasta dan kapitalis serta tauke besar dalam sektor peladangan lebih dilindungi keuntungan mereka berbanding kebajikan dan kenaikan pendapatan kelas peladang tempatan di seluruh negara?

Pilihan Raya Sarawak 2016 dijangka pada April 2016. Kelihatan mekanisme itu seperti tergesa-gesa hendak diluluskan secara bersama antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh. Adakah kemasukan mereka penting untuk menambah ‘pengundi hantu’ di Sarawak dan menyaksikan kemenangan Adenan Satim bersama parti PBB-BN terus meningkat berikutan kemerosotan undi popular dan jumlah kerusi pada pilihan raya DUN 2011?

Siapa empunya sumber ekonomi Malaysia?
Ingatlah, kami sebagai rakyat ada hak untuk menyentuh perkara ini kerana ia berkaitan pasaran kerja industri peladangan di negara ini. Juga melibatkan sektor lain seperti yang dicadangkan mengikut “mekanisme G to G plus” antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh.

Kami berhak menegur secara terbuka berkenaan pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk sebelum rakyat tempatan dinafikan hak oleh pemerintah yang membuat polisi korup. Malaysia adalah negara bagi 28 juta rakyat Malaysia. Bukan hak milik tauke besar dalam sektor peladangan, bukan hak milik parti pemerintah yang dibayar gajinya oleh rakyat dan bukan milik kerajaan Bangladesh. Paling penting, ia bukan hak 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Kami risau, jika penguatkuasaan TPPA bermula pada 018, apakah nasib pekerja tempatan terjamin dengan puluhan juta peluang pekerjaan jika pemerintah korup lebih mesra dengan kepentingan tauke tempatan dan antarabangsa serta mesra pekerja asing yang murah kos upahnya.

Ke mana sebenarnya nasib rakyat hendak kerajaan UMNO BN halakan? Saya tidak yakin pendapatan rakyat menjadi pendapatan tinggi pada 2020 kerana empat tahun berbaki seolah-olah ia hanya retorik dan janji manis.

Kami tidak perlu menjadi ahli politik untuk mengubah polisi ini. Suara kolektif kami akan memastikan perkara itu diubah demi kebaikan rakyat Malaysia keseluruhannya. Tuntasnya. Jadi, kmi merayu manfaatkan 1.5 juta komuniti peladang tempatan untuk memenuhi permintaan industri dalam sektor perladangan.

Enough is enough!

Jika tidak, kami akan menentukan nasib pemerintah hari ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Adakah Dr Mahathir akan dipenjara? – Muammar Qaddafi

Portal The Malaysian Insider melaporkan pihak polis akan memulakan siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas jenayah fitnahnya terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Menurut ketua polis negara pihaknya sudah menerima laporan terhadap Dr Mahathir yang dikatakan mengkritik kredibiliti ketua hakim negara yang menguruskan isu skandal pengurusan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.

Terdahulu peguam negara membersihkan Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan skandal "derma" RM2.6 bilion atas alasan kekurangan bukti dan menutup kes berkaitan penemuan Bank Negara mengenai pengisytiharan tidak tepat 1MDB untuk pelaburannya di luar negara.

Dr Mahathir menegaskan walaupun peguam negara mendakwa Najib tidak bersalah itu tetap itu tidak bermakna apa-apa kerana peguam negara itu hilang kredibiliti beliau sebagai pendakwa utama negara dan Dr Mahathir turut mendakwa Apandi di bawah kawalan Najib.

Ketua polis negara berkata Dr Mahathir akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkenaan fitnah dan memperuntukkan hukuman 2 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perkembangan ini tidaklah mengejutkan, Dr Mahathir bukanlah orang pertama yang didakwa atas kesalahan mengkritik pentadbiran perdana menteri dan tentu sahaja beliau bukanlah orang terakhir yang akan didakwa selagi mana Najib terus berkuasa.

Sebelum Dr Mahathir telah ramai individu didakwa kerana mengkritik dan menegur pentadbiran Najib termasuklah pemimpin parti politik Pakatan Harapan,Mahasiswa, aktivis politik dan peguam.

Lebih menarik, Najib juga bukanlah perdana menteri Malaysia yang pertama menggunakan undang-undang yang ada untuk bertindak terhadap pengkritik dan penentang mereka, bahkan Dr Mahathir juga lebih mendahului Najib dalam mengguna pakai kaedah ini.

Walaupun di awal pentadbiran Dr Mahathir beliau bertindak membebaskan 168 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun kurang 10 tahun pentadbiran beliau, beliau kembali menggunakan ISA terhadap kumpulan yang tidak sehaluan dengan beliau.

Pada tahun 1987, ISA kembali digunakan dan tangkapan pertama adalah melalui Operasi Lalang yang memenjarakan 106 orang dari perbagai parti politik dan sosial antaranya adalah Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Operasi Lalang dikatakan dijalankan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu pertembungan Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga membawa kepada pengharaman Umno walaupun isu ini dikaitkan dengan ketegangan etnik apabila orang cina tidak bersetuju guru yang tidak boleh berbahasa Mandarin mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Penggunaan undang-undang dalam pertahankan kuasa pada zaman Dr Mahathir lebih ketara pada era Reformasi 1998 iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 20 September 1998 sahaja 27 orang telah ditahan di bawah ISA termasuk Anwar pada malam tarikh yang sama.

Sepanjang 21 September hingga 29 September tahun yang sama polis menahan 16 orang penyokong politik Anwar termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi yang ketika itu ketua pemuda Umno. Turut ditahan adalah Saari Sungip dan Kamarudin Jaafar.

Pada Oktober 1998 jumlah tangkapan tidak pula berkurang bahkan semakin bertambah bahkan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga mendapat arahan sekatan daripada mengadakan perjumpaan di rumahnya, perhimpunan politik dan jalanan.

Menulis tentang sejarah Dr Mahathir tidaklah bermakna saya menafikan hak beliau hari ini untuk mengkritik pentadbiran Najib, bahkan dengan prinsip kebebasan bersuara Dr Mahathir hari ini wajar disokong apatah lagi beliau bersuara menentang korupsi dan penyelewengan.

Setiap pemimpin dan bakal pemimpin, seruan saya belajarlah daripada sejarah Dr Mahathir, ambillah kebaikan beliau sebagai teladan, dan keburukan beliau sebagai pengajaran dan ingat anda tidak akan selamanya berada di atas.

Banglapreneur, MoU pekerja Bangladesh-Malaysia – Mujahid Hasanuddin

Kerisauan anak muda terhadap peluang pekerjaan hari ini semakin membimbangkan, apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang memaksa banyak syarikat mula memberhentikan pekerja dan mengecilkan saiz operasi mereka.

Ramai anak muda mula merancang memulakan perniagaan mereka sendiri dengan modal dan masa yang terhad sebagai persiapan menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, tidak sempat hilang kerisauan anak muda mendepani cabaran ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadiahkan 1.5 juta orang pekerja dari Bangladesh lagi bagi merompak peluang pekerjaan dan berniaga daripada anak muda Malaysia.

Ya, saya merujuk kepada draf memorandum persefahaman (MoU) yang baru sahaja diluluskan kerajaan Bangladesh bagi menghantar 1.5 juta rakyat mereka untuk bekerja di Malaysia.

Banyak respons menyatakan betapa mereka tidak bersetuju dengan keputusan ini daripada kesatuan pekerja, kesatuan majikan, parti-parti politik, NGO dan aktivis anak muda.

Mereka berkongsi kerisauan terhadap peluang pekerjaan yang semakin berkurangan, kesan terhadap perkembangan gaji minimum dan tidak kurang juga terhadap masalah jenayah dan sosial yang semakin meningkat di negara kita.

Di penulisan ringkas ini, saya membawakan sudut pandang usahawan baharu dan kesan jangka panjang terhadap usahawan muda di Malaysia.

Walaupun pada dasarnya pekerja asing yang mendapat visa bekerja dilarang berniaga, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Kita harus menerima hakikat yang bilangan warga asing dalam sektor perniagaan semakin hari semakin dominan.

Daripada bidang perkhidmatan, pembinaan, IT, pertanian sehinggalah bidang peruncitan. Jika dahulu mereka sebagai pekerja, hari ini mereka mula menjadi pengusaha.

Budaya korupsi yang dipelajari daripada pengalaman berurusan di Malaysia membolehkan mereka membeli dan menyewa lesen perniagaan warga tempatan untuk berniaga secara “sah” melalui saluran “derma” kepada pemilik lesen atau pelaburan kepada warga tempatan tadi.

Mereka berjaya mengembangkan perusahaan mereka dengan jayanya sehingga menguasai pelbagai sektor perniagaan.

Lambakan ini menyebabkan anak muda Malaysia bukan sahaja perlu bersaing sesama mereka, bahkan perlu bersaing dengan warga asing yang ternyata mampu memberikan harga jauh lebih rendah disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya tanggungan minima, menumpang kemudahan majikan sedia ada, serta kos pekerja yang lebih rendah kerana sistem koperasi yang mereka wujudkan.

Kita harus puji dan belajar kesungguhan yang ditonjolkan dalam menjalankan perniagaan dan bagaimana mereka memanfaatkan bilangan yang ramai dengan menghidupkan koperasi sendiri walaupun tidak berdaftar.

Namun kita harus mengutamakan rakyat kita dengan cara galakan dan pendidikan serta mengurangkan halangan-halangan yang mengganggu proses pembinaan generasi baharu usahawan Malaysia.

Kerajaan BN haruslah bertanggungjawab menangani masalah ini dengan usaha terancang supaya kemasukan warga asing ke Malaysia dapat dikawal.

Kita tidak dapat menafikan terdapat kemungkinan niat atau muslihat yang disembunyikan di sebalik usaha membawa masuk pekerja asing ini.

Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda untuk bersama memberikan tekanan kepada BN untuk membatalkan projek ini demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera. Jangan lupa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimeterai akan menambahkan lagi kesengitan persaingan survival kita.

Jangan disusahkan lagi warga Malaysia dengan lambakan ini sehingga menggadai masa depan anak muda Malaysia.

Amanah,Umno sasar Kelantan – Muammar Qaddafi

Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-14 dijangka lagi 3 tahun, Amanah dan Umno masing masing menunjukkan keyakinan mereka untuk menawan Kelantan daripada penguasaan PAS sejak lebih 25 tahun lalu.

Kedua-dua parti itu dilihat mempunyai potensi yang sama besar untuk merampas Kelantan daripada PAS,ketiadaan Datuk Nik Aziz membuka peluang kepada Umno untuk merampas Kelantan yang selama ini terhalang dek ketokohan bekas mursidul am PAS itu.

Perpecahan dalaman PAS hingga mewujudkan Amanah juga menjadi faktor yang Umno percaya memberi kelebihan kepada mereka untuk merampas kembali Kelantan yang mereka hilang sejak 1990.

Isu dalam negeri pula mungkin tidak memberi kelebihan kepada Umno seperti nasib mangsa banjir Kuala Krai dan skandal balak Kelantan tetapi ia menjadi faktor penolak buat PAS yang memberi kelebihan kepada Umno.

Dua tokoh besar Umno dikatakan akan memimpin Umno Kelantan untuk merampas kembali pentadbiran negeri iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Dato Mustafa Muhammad.

Perlantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai ketua penerangan Umno dilihat untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada parti itu.

Keterlibatan Annuar dalam kelab bola sepak Kelantan justeru mampu memberi publisiti yang baik untuk Ketua pembangkang Dun Kelantan itu.

Maka tidak hairanlah dengan faktor penolak PAS Mustafa Muhammad percaya Umno mampu tawan Kelantan dan kepercayaan beliau disuarakan pada konvensyen Umno Kelantan akhir tahun lepas.

Di pihak Amanah pula mereka dilihat lebih membawa aliran pemikiran politik arwah Nik Aziz yang lebih terkedepan dan mempunyai cita cita besar untuk menumbangkan Umno BN.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula percaya Amanah sudah bersedia mengantikan PAS di Kelantan.

Berdasarkan kajian politik Kelantan, PAS dijangka akan tewas kepada Umno pada Pilihan raya umum Ke-14 dan asas kepada laporan itulah yang meyakinkan Umno mereka mampu merampas kembali Kelantan, jadi Mohamad Sabu berpandangan Amanah perlu menjadi alternatif kepada PAS di Kelantan untuk mengelakkan Kelantan jatuh ke tangan Umno.

Mohammad Sabu yang pernah menjawat jawatan timbalan presiden PAS yang dipetik dari Portal Malaysian Insider mendakwa generasi beliau dulu yang memenangkan PAS di Kelantan jadi mereka tidak akan mengizinkan Umno merampas kembali Kelantan,sehubungan itu beliau merayu rakyat Kelantan yang sudah kecewa dengan PAS untuk tidak mengundi Umno sebaliknya memilih Amanah pada Pru14 akan datang.

Penganalisis politik Nazri Noor pula mendakwa asas pengundi tegar kedua belah parti PAS dan Umno di Kelantan adalah sama kuat,dengan unjuran keputusan pru 2004,pru 2008 dan pru 2013 beliau anggarkan pengundi tegar PAS dan Umno masing-masing 32% manakala beliau menganggarkan sejumlah 300,000 termasuk dalam kategori pengundi terapung yang belum tentu mengundi PAS atau Umno.

300 000 pengundi ini mewakili 36% daripada keseluruhan pengundi di Kelantan.

Maka di sinilah peluang untuk Amanah menapak di Kelantan menggunakan isu negeri dan nasional untuk menarik 36% pengundi terapung itu untuk mengundi mereka.

Kelebihan terbesar Amanah adalah mereka berada dalam satu pasukan yang menjadi ancaman terbesar Umno BN iaitu Pakatan Harapan,maknanya isu nasional yang diperjuangkan secara bersama dalam Pakatan tentu sekali memberi kelebihan kepada nilai politik Amanah.

Kelantan sebenarnya negeri pertama yang Amanah umumkan untuk bertanding iaitu pada akhir tahun lepas melalui kenyataan Mohamad Sabu Amanah sudah bersedia mengantikan Amanah diikuti Selangor awal bulan ini yang mana Amanah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Pas di Selangor.

Najib perlu contohi Umar lebih dari sekadar memecat gabenor - Muammar Qaddafi

Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir disamakan dengan kisah Saidina Umar Al Khattab memecat gabenornya oleh pemimpin Umno lain.

Ya benar, tindakan memecat pemimpin bawahan oleh pemimpin atasan itu tidak salah jika pemimpin atasan merasakan itu yang lebih baik untuk kepimpinannya walaupun pemimpin bawahan itu tidak melakukan kesalahan besar.

Saidina Umar juga pernah memecat panglima perang terbaik Islam Khalid Al Walid sejurus beliau mengambil alih peranan khalifah mengantikan Abu Bakar as-Siddiq.

Maka memecat Mukhriz adalah hak Najib, tidak mengapalah.

Namun suka untuk saya menyeru Najib sebagai pemimpin negara untuk mencontohi Umar lebih daripada sekadar memecat pemimpin bawahan beliau kerana banyak lagi contoh kepimpinan Umar yang wajar dicontohi berbanding 1 tindakan memecat pemimpin bawahan.

Kenyangkan perut rakyat!

Pada zaman pemerintahan Umar, Azerbaijan diperintah seorang gabenor bernama Utbah bin Farqah dan satu hari rakyat beliau menghadiahkan makanan yang sungguh sedap lalu beliau mahu sang Khalifah juga merasainya.

Apabila anak buah Utbah menghantar makanan tersebut kepada Umar, lalu Umar bertanya "Adakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat merasai makanan ini?"

Anak buah Utbah menjawab tidak semua boleh menikmatinya. Lalu Umar menyuruh anak buah Utbah pulang membawa makanan itu dan Umar mengirimkan surat kepada gabenornya,

"Makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada duit ayah dan ibumu! Kenyangkan perut rakyat sebelum engkau mengenyangkan perutmu!"

Kisah Umar yang diabadikan dalam kitab Manaqah Amirul Mukminin karya Ibnu Qayyim ini lebih wajar diikuti Najib dan pemimpin Islam seluruhnya.

Setiap pemimpin harus mengutamakan rakyatnya daripada segala soal, bukan hanya menggunakan slogan rakyat diutamakan tetapi menindas kehidupan rakyat dengan cukai dan undang-undang menindas tetapi sang menteri hidup mewah hasil cukai rakyat.

Kita lihat contoh lain Umar yang wajar dicontohi dalam konteks perut rakyat.

Apabila negara umat Islam didatangi musim kemarau yang panjang sehinggakan ramai rakyat datang ke Madinah untuk mendapatkan bantuan, maka bahan keperluan makin berkurangan dan sampai satu saat Madinah menghadapi kemuncak kelaparan.

Namun, satu hari Umar dihidangkan roti dicelup zaitun, lalu Umar memanggil seorang Badwi untuk makan bersama.

Umar hanya menyuap roti itu apabila Badwi itu terlebih dahulu memakannya lalu kemudian beliau bertanya, "Agaknya kamu tidak pernah menikmati makanan sesedap ini?"

Badwi itu menjawab benar, dia tidak pernah memakannya bahkan sudah lama tidak melihat orang ramai memakannya (kerana kesempitan hidup).

Sejurus mendengarnya Umar bersumpah tidak akan memakan lemak (zaitun) sehinggalah setiap rakyat memakannya.

Kata-kata Umar diabadikan sehingga kini iaitu, "Kalau rakyatku kelaparan, maka aku ingin menjadi orang pertama merasai kelaparan itu, kalau rakyatku kekenyangan, maka aku ingin menjadi orang terakhir merasai kekenyangan itu".

Padahal ketika itu Umar boleh sahaja hidup mewah dengan kekuasaan beliau ketika itu.

Tidak hairanlah seorang sahabat beliau menangis apabila terkenang sikap Umar dengan mengatakan, "Ya Umar,sesungguhnya engkau meletakkan aras yang tinggi dalam kehidupannya yang pastinya menyukarkan pemimpin selepasmu mengikuti jejakmu."

Maka, berbekal sedikit kisah Umar dari 1001 lagi kisah kepimpinan Umar, saya menyeru Najib untuk lebih mengutamakan untuk dirinya mencontohi Umar dalam konteks menjaga perut rakyat berbanding kisah beliau memecat gabenornya.

Thursday, February 4, 2016

Tok Pa tandatangan TPPA hari ini, apa nasib graduan esok? – Nik Fatma Amirah Nik Muhamad

Tahniah dan syabas buat Malaysia yang sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hari ini. Tetapi, persoalannya adakah hari esok untuk graduan?

Persoalan ini masih menjadi tanda tanya setiap mahasiswa atau bakal graduan tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain yang akan menempuh satu survival yang agak mencabar pasca penglibatan Malaysia dalam TPPA ini.

Perbincangan mengenai TPPA hangat diperkatakan di media sosial setelah viral gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian ini di Auckland, New Zealand hari ini.

Sebanyak 12 negara anggota TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Saya tertarik dengan satu kupasan oleh Ketua Biro Penyelidikan IKRAM Prof Mohd Nazari Ismail dalam artikelnya yang diterbitkan The Malaysian Insider bertajuk “TPPA-adakah Amerika akan menjajah Malaysia.”

Beliau menyebut, “yang akan merasa susah dan tertekan adalah golongan pekerja kerana suasana persaingan sengit akan memaksa syarikat-syarikat sentiasa berusaha untuk meminimakan kos sumber manusia dalam usaha memastikan daya saing mereka sentiasa kukuh.

Maka senario permbuangan pekerja (kadangkala dipanggil ‘rightsizing’), pemotongan gaji atau pekerja dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran sama akan berlaku lebih kerap dan meluas termasuk dalam sektor yang pada mulanya mendapat manfaat dari TPPA.”

Maka jelaslah daripada pandangan yang bernas ini, graduan atau pekerja akan mengalami kesusahan dalam mencari peluang pekerjaan akibat tindakan meminimakan kos sumber manusia yang berlaku dan pemotongan gaji pekerja yang akan berlaku secara meluas.

TPPA dan survival graduan negara

Adalah menjadi tanggungjawab graduan untuk menyingkapi sebaiknya isu ini kerana mereka akan menghadapi satu fasa survival yang mencabar selepas tandatangan TPPA ini.

Pertama, konsep atau sistem pendidikan di peringkat universiti perlu dikaji semula supaya ia sesuai untuk menempuh dunia pasca TPPA.

Graduan yang dihasilkan perlulah graduan yang berkualiti, berdaya saing, mempunyai kemahiran dan mampu untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan graduan atau pekerja negara TPPA yang lain.

Seperti yang kita maklum semua orang terbuka luas untuk memasuki Malaysia dan melaksanakan perniagaan dan bersaing antara satu sama lain.

Selain itu, rakyat negara peserta TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan dan syarikat antarabangsa juga boleh mengambil pekerja asing tanpa perlu memenuhi kuota pekerja tempatan seperti yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.

Jadi, jika graduan yang lahir dari sistem pendidikan kita yang kurang efektif, maka mereka akan mengalami masalah untuk bersaing dengan pekerja lain yang jauh lebih baik.

Ke-2, pendidikan untuk rakyat Malaysia haruslah bersifat holistik, bukannya semata-mata ‘exam-oriented’ supaya graduan yang keluar dapat bersaing secara sihat dan menjadi graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja yang lebih meluas.

Ke-3, graduan haruslah melengkapkan diri mereka dengan penguasaan kemahiran atau ‘soft-skill’ seperti penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi yang baik, dan sebagainya.

Ini kerana, dunia hari ini lebih mementingkan kemahiran yang graduan ada, bukan lagi pointer yang tersimpan rapi dalam transkrip universiti. Mereka harus merterjemahkan ilmu dari sudut kemahiran dan praktikal.

Ke-4, sistem pendidikan hari ini haruslah membentuk pelajar, mahasiswa atau graduan yang mampu untuk ‘lifelong continuos learning’. Pembelajaran bukan sahaja semasa zaman menjadi pelajar, bahkan selama-lamanya bagi menempuh dunia yang mencabar pasca TPPA ini.

Ke-5, penglibatan dalam kokurikulum juga penting supaya graduan dapat pendedahan yang lebih luas. Penglibatan sosial bersama masyarakat atau ‘civil society’, penglibatan dalam pembentukan jati diri dan kemampuan mengendalikan program atau ‘event’ yang besar dan memberi impak menjadi bonus untuk graduan.

Dunia hari ini, lebih menekankan aspek kemahiran, pengalaman dan graduan yang ‘multitasking’.

Jadi mahasiswa atau graduan seharusnya melengkapkan diri mereka dengan keupayaan ini supaya mereka dapat bersaing dengan sihat bersama pekerja asing yang dikatakan lebih menguasai kemahiran yang tinggi.

Ayuh graduan, kita bangkit bersedia dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk menempuh fasa survival yang mencabar selepas Malaysia secara rasminya menandatangani TPPA.

Kami para mahasiswa dan graduan sentiasa berdiri teguh untuk rakyat dan negara ini demi nasib dan masa depan Malaysia.

Kita tidak mahu generasi selepas kita merana dan merempat di negara sendiri akibat kecuaian kita!

Wednesday, February 3, 2016

Apa tujuan PAS siar semula berita khalwat Mat Sabu? – Muammar Qaddafi

Portal akhbar rasmi PAS, HarakahDaily beberapa hari l menyiarkan kembali satu artikel yang berusia 21 tahun lepas berkaitan isu khalwat pemimpin pemuda PAS ketika itu, Muhammad Sabu.

Artikel yang bertajuk "PAS serah kepada mahkamah kes khalwat Mohamad Sabu" disiarkan pada 1 Februari kononnya bawah ruangan "Pada hari ini dalam sejarah PAS..." yang mengimbau berita lama.

Artikel ini mendapat kritikan hebat pengguna media sosial kerana dianggap cuba untuk memburuk-burukkan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sebagaimana selalu dilakukan media musuh PAS ketika Mohammad Sabu masih berada dalam parti itu.

Portal Malaysiadateline juga melaporkan sumber dalaman dari Harakah mengaku tindakan HarakahDaily menyiarkan kembali berita itu adalah bertujuan untuk memburukkan individu yang keluar PAS dan menyertai Amanah.

Maka menjadi persoalan besar sekarang, adakah PAS juga sudah begitu terdesak sehingga sanggup bertindak di luar batas ajaran Islam demi perjuangan "so called" Islam mereka?

Adakah matlamat sudah menghalalkan cara buat PAS semata-mata kerana kebencian dan kemarahan kepada individu tertentu?

Atau adakah menurut ajaran Islam yang difahami PAS, adalah tidak salah untuk menyebarkan berita yang menjadi aib orang lain apatah lagi isu tersebut penuh dengan kontroversi dan unsur niat jahat terhadap Mat Sabu.

Adakah PAS senang jika dilayan serupa? Apa pula kata PAS kalau kita siarkan kembali isu kontroversi video seks yang mirip pemimpin kanan PAS? Atau isu yang melibatkan peribadi pemimpin PAS?

Sudah sudahlah PAS, berpolitiklah secara matang dan bermoral, kita bimbang sekiranya reda Allah yang kononnya PAS kejar selama ini bertukar menjadi murka Allah.

Tuesday, February 2, 2016

Polemik Kedah menguji cinta Hadi - Muammar Qaddafi

Berakhirnya jam 12 tengah malam 31 Januari 2016 merupakan satu kemenangan buat Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila perancangan Datuk Seri Najib Razak melalui Datuk Seri Ahmad Bashah gagal sebagaimana yang dirancang.

Najib seakan terlupa siapa lawan beliau, mungkin kerana zahirnya beliau hanya melihat pada sosok Mukhriz selaku pengerusi perhubungan Umno Kedah dan menteri besar Kedah, jadi siapalah Mukhriz dibandingkan Najib iaitu presiden Umno dan perdana menteri Malaysia.

Najib terlupa di belakang Mukhriz adalah pengasas ‘Umno Baru’ dan orang yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Tindakan Najib mahu menyingkirkan Mukhriz pun rakyat sedia maklum bukan kerana sosok Mukhriz itu sendiri tetapi kerana kritikan keras Mahathir terhadap skandal dalam negara yang sedikit sebanyak mengganggu gugat pentadbiran Najib.

Maka secara tidak langsung ini sebenarnya peperangan antara Najib dan Mahathir dimana Mukhriz tersepit di tengahnya.

Kegagalan Najib menerusi Bashah secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada imej politik beliau dan jika usaha mendatang juga gagal maka Najib perlu maklum zahirnya kedudukan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri Malaysia tidaklah seberapa apabila terpaksa tunduk kepada pengerusi perhubungan negeri dan menteri besar sahaja.

Khabar yang mendakwa hanya 8 orang Adun Umno yang bersetuju untuk menukar Mukhriz ternyata benar dan ia sekaligus menutup ruang untuk Najib mengambil langkah seterusnya kecuali beliau (Najib) sanggup meminta bantuan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminjamkan Adun PAS seramai 9 orang bagi mengelakkan malu Najib bertambah besar.

Berbekal dengan sokongan 2 Adun MCA yang dikatakan berkecuali, 9 Adun PAS dan 8 Adun Umno akan membuka ruang kepada Najib menyingkirkan Mukhriz secara sah.

Di sinilah setia kawan PAS teruji, adakah benar mereka mendakwa mereka sudah memaafkan Umno dan sudi bekerjasama kearah kebaikan.

Jika Hadi menolak, mungkin perjuangan hudud mereka juga kelak tidak akan disokong Umno dan jika mereka menerima maka itu sebagai tanda keikhlasan persahabatan parti Islam terbesar dengan parti Melayu terbesar itu.

Pun begitu, sekiranya kerjasama ini dapat dibentuk, Najib tetap berhadapan risiko 2 Adun PAS Kedah yang mendapat jolokan "Harum manis" iaitu kumpulan pro perubahan dan bercita-cita menjatuhkan Umno yang mungkin menolak arahan kerjasama ini.

Pada masa yang sama 2 Adun MCA yang berkecuali ini juga dikhabarkan lebih cenderung kepada kepimpinan Mukhriz dan tidak sebulu dengan Bashah.

Sesuatu yang lebih menarik di Kedah mungkin berlaku jika wujud kerjasama Umno-PAS adalah MCA Kedah mungkin memilih untuk bersama Mukhriz dan tidak lagi sebulu dengan Umno Pusat.

Najib sebenarnya berjaya memecahkan Umno sebagaimana kumpulan pro-ulama dalam PAS memecahkan PAS seterusnya membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah), cuma yang menjadi persoalan adakah wujud tokoh tersingkir dari Umno untuk bertindak serupa menubuhkan parti alternatif kepada rakyat mengantikan parti yang sudah usang dan tua itu.

Sekiranya langkah kerjasama PAS-Umno yang menjadi pilihan terbaik Najib untuk mengelakkan beliau malu besar juga gagal, maka kedua-dua pihak akan menanggung malu juga.

Seterusnya cengkaman Mukhriz terhadap kerusi menteri besar Kedah akan terus kukuh untuk sepenggal ini walaupun secara tidak langsung, Mukhriz adalah menteri besar tidak cukup syarat kerana gagal mendapatkan sokongan sekurangnya-kurangnya 19 Adun Barisan NAsional (BN) dan setiap hari kedudukan beliau adalah tidak selama kecualilah beliau berani mengambil risiko membubarkan DUN dan kembalikan kuasa memilih kepada rakyat negeri Kedah.

Solekan kosmetik mewarnai wajah politik Malaysia - Ahmad Mustaqim Zolkafali

Usahawan kosmetik v usahawan politik

Daripada produk pemakanan kesihatan sehinggalah kepada produk kosmetik, Malaysia terbukti dapat melahirkan para usahawan yang berjaya.

Sumbangan besar para usahawan ini diakui apabila dapat mentransformasi wajah-wajah rakyat Malaysia, menjadi jelitawan. Perkembangan dunia tatarias dan solekan ini bergerak seiringan dengan perkembangan dunia politik.

Hal ini wujud dengan kemunculan usahawan politik dengan inovasi daripada industri kosmetik. Wajah-wajah politik juga boleh ditatarias sehingga ‘flawless’ dan tampak sempurna.

Produk utama usahawan politik adalah dengan menjadikan negara sebagai produk terbaik untuk diperdagangkan dan diperjudikan untuk kepentingan diri.

Tertarik dengan penulisan Kadir Jasin yang pernah merungkai istilah ‘demigod’ dan ‘demagogue’ seterusnya mempersoalkan perdana menteri Malaysia berwajahkan yang mana satu?

Ada apa dengan ‘demigod’ dan ‘demagogue’?

Istilah ‘demigod’ merujuk kepada seorang yang suci yang tidak sesekali membuat kesalahan, Manakala ‘demagogue’ pula bererti seseorang yang rakus mengikut hawa nafsu dan tamak kuasa.

Apa jua kontroversi dalam pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, para penyokongnya tetap melihat pemerintahan Najib bersifat benar kerana parti keramat tersebut mendukung perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

Keramatkah? dan berdosakah?

Kesucian Najib tidak pernah sesekali merobek kepercayaan para penyokongnya disebabkan beliau dipilih tuhan untuk mengemudi parti keramat Melayu tersebut.

Bagi penyokongnya, usaha menukar kepimpinan Najib merupakan dosa besar yang akan membawa azab kepada umat Melayu kerana parti keramat tersebut adalah satu-satunya parti pembela umat Melayu di negara tercinta ini.

Sedar atau tidak sengaja?

Sedar atau tanpa sedar, pengikut setia Najib mengangkat beliau menjadi seorang ‘demigod’. Jika Umno dikatakan parti keramat maka presidennya adalah penjunjung keramat tersebut. Usah sesekali mana-mana pimpinan parti bahkan rakyat marhaen mempersoalkannya.

Transformasi untuk semua!

Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Sosial (PTS) yang terkandung Dasar Transformasi Nasional dikatakan untuk memacu kesejahteraan negara dan rakyat pada 2020.

Namun, transformasi yang dilaksanakan semacam serba tak kena. Pelbagai kontroversi mengenai skandal wang tercetus.

Rakyat tak rasa keberkesanan program transformasi Najib selain transformasi kepimpinan Najib dari ‘demigod’ kepada ‘demagogue’.

Tradisi zaman berzaman

Menjawab segala asakan Tun Dr Mahathir mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib pernah menyatakan beliau tidak pernah mempertikaikan dana parti sewaktu menjadi timbalan presiden Umno.

“Saya tidak pernah bertanya kepadanya (Pak Lah) tentang pembiayaan politik parti selama 6 tahun saya menjadi timbalannya. Bagaimana dia mendapat wang, siapa berikan wang itu semua di bawah budi bicaranya.”

Pada akhirnya, menjadi tradisi zaman berzaman dalam kepimpinan Umno apabila seorang presiden boleh melakukan apa sahaja kerana menjadi presiden bermakna kebal dari dipersoalkan.

Apa kata Tun Dr Mahathir?

Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan kontroversinya beberapa tahun lalu dengan menyatakan, “Lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal.”

Meskipun Umno/Barisan Nasional (BN) terpalit dengan pelbagai bentuk kerosakan, namun Umno/BN lebih baik berbanding parti pembangkang atas faktor lebih dikenali.

Tanpa disedari, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab dengan terbentuknya seorang pemimpin ‘demagogue’ kerana mewajarkan model kepimpinan ‘syaitan yang dikenali’ untuk memerintah serta berkembang biak dalam parti beliau.

Pastinya, pada hari ini, Dr Mahathir cukup menyesal kerana pernah mengangkat dan memberikan ruang kepada Najib untuk berkuasa kerana terhutang budi di atas kebaikan yang pernah dilakukan Tun Abdul Razak, ayahanda Najib.

Hari ni anak kepada Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz, selaku menteri besar Kedah, terpaksa berhadapan dengan raksasa ciptaannya. Maka, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab dengan terciptanya raksasa ‘demagogue’ dalam kepimpinan negara hari ini.

Sebagai persoalan mungkinkah ada ruang kepada rakyat marhaen untuk memilih ‘malaikat yang dikenali’ pula dalam pilihan raya umum akan datang?

Hati-hati dan perlu bijak memilih!

Kini majoriti rakyat Malaysia dibukakan hijab mata mereka mengenai wajah raksasa ‘demagogue’ setelah solekan tersebut kian mencair.

Sebahagian ahli Umno juga tersedar dari lena ‘demigod’ yang mereka saksikan tidak lebih daripada topeng yang menutup ketamakan dan kerakusan.

Buat para penyokong Najib, menyayangi pemimpin tidak bererti harus membisukan diri dari mempersoal, menyanggahi yang salah dan berhenti menyokong yang benar.

Imej parti Umno harus dibersihkan. Tidak akan keramat sesuatu parti jika dipimpin seorang ‘demagogue’. Laungan slogan seperti “Hidup Melayu!” seakan-akan menjadi sebuah jenama solekan buatan Malaysia yang boleh sahaja ditempelkan di muka seorang ‘demigod’ yang berwajahkan ‘demagogue’.

Maka berhati-hatilah dengan slogan itu. Rakyat Malaysia kini tidak mempunyai banyak pilihan. Alternatifnya mungkin ruang harus diberikan pula kepada “malaikat yang tak dikenali.” Ia jauh lebih baik daripada membiarkan negara musnah di tangan seorang ‘demagogue’.

TPPA – Adakah Amerika Akan Menjajah Malaysia? - Prof. Mohd Nazari Ismail

Cadangan perlaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dibahaskan di Parlimen selama dua hari akhirnya telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Januari 2016. Reaksi susulan yang diterima dari berbagai pihak di negara ini dilihat berbeza-beza. Ada pihak yang berasa gembira kerana merasakan bahawa TPPA mampu memastikan ekonomi negara akan terus maju sementara ada pihak yang berasa hiba kerana bagi mereka perjanjian ini adalah salah satu dari usaha Amerika Syarikat untuk menakluki negara-negara lain yang lemah termasuk Malaysia yang akhirnya akan mengakibatkan kesemua rakyat Malaysia menjadi mangsa penjajahan zaman moden.

Adakah tanggapan berkenaan penjajahan Amerika ini benar dan berasas? Terdapat dua perkara yang boleh mempersoalkan hujah di atas.

Pertama sekali ialah penentangan yang sangat kuat terhadap TPPA dari kalangan individu dan organisasi penting di Amerika Syarikat sendiri. Jika TPPA sangat menguntungkan Amerika Syarikat, sudah tentu ia akan mendapat sokongan padu dari semua lapisan masyarakat negara tersebut. Namun sebaliknya didapati TPPA telah ditentang oleh berbagai pihak di Amerika Syarikat termasuk Hillary Clinton dan juga Donald Trump iaitu dua calon utama jawatan presiden Amerika di dalam proses pilihanraya yang sedang berlangsung sekarang. TPPA juga telah ditentang dengan hebat oleh sebuah organisasi yang sangat berpengaruh di Amerika iaitu AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai oleh 56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat. Organisasi ini merasakan bahawa perjanjian TPPA akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah (termasuk Malaysia).

Maka jelaslah di sini bahawa kebanyakan rakyat Amerika terutama sekali dari kalangan pekerja dan golongan bawahan merasakan bahawa TPPA tidak akan menguntungkan mereka. Bahkan kerana itulah kedua-dua calon utama pilihanraya Presiden Amerika di atas juga menentang TPPA kerana mereka tahu pendirian ini akan membuat mereka lebih popular di kalangan pengundi Amerika.

Perkara kedua ialah sokongan yang sangat kuat kepada TPPA oleh banyak pihak di negara selain dari Amerika. Sebagai contoh di Malaysia, TPPA mendapat sokongan yang sangat kuat dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysian Textile Manufacturers Association (MTMA), Malaysian Knitting Manufacturers Association (MKMA), The Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), dan Malaysian Rubber Products Manufacturers' Association (MRPMA) dan beberapa organisasi lain. Di samping itu, beberapa pakar yang mewakili firma-firma di dalam sektor minyak sawit negara juga telah menyuarakan sokongan kuat mereka terhadap perjanjian ini kerana manfaat yang bakal diperolehi. Jika kesannya amat buruk kepada negara, kenapakah pihak-pihak di atas begitu kuat menyokong pelaksanaan TPPA?

Persoalannya sekarang, siapakah sebenarnya yang akan mendapat manfaat dari TPPA ini? Jawapannya ialah bukan negara tertentu tetapi organisasi-organisasi perniagaan yang berdaya saing, tidak kira dari mana negara asal mereka. Organisasi-organisasi ini biasanya adalah syarikat perniagaan yang besar-besar. Ada juga yang kecil dan sederhana yang berdaya saing atau berkait dengan operasi syarikat yang besar ini. Namun oleh kerana dana modal adalah penting di dalam dunia perniagaan sekarang, kebiasaanya organisasi yang berdaya saing adalah yang mempunyai sumber dana yang besar. Kaedah yang digunakan oleh organisasi perniagaan sekarang ialah `pengumpilan kewangan’ (financial leverage) di mana organisasi perniagaan akan menggunakan dana yang dipinjam dari institusi kewangan untuk membiayai operasi mereka. Dengan cara ini sesebuah organisasi akan dapat mengembangkan saiz dan daya saing mereka dengan cepat melalui aktiviti yang tinggi kosnya seperti `R&D’, pengiklanan, logistik dan lain-lain. Pada masa yang sama, skala pengeluaran juga dapat dibesarkan dengan dana yang besar ini dan dengan itu kos pengeluaran per unit akan dapat dikurangkan. Oleh sebab itulah kita dapati di dalam berbagai sektor, firma yang mendominasi pasaran adalah firma yang bersaiz besar. Sebagai contoh, di dalam sektor telekomunikasi, syarikat pengeluar telefon bimbit yang paling berdaya saing adalah syarikat gergasi seperti Samsung, Apple dan Lenovo. Manakala di dalam sektor automotif, firma yang mendominasi industri tersebut adalah Toyota Motor, Volkswagen, Daimler, BMW Group, Honda Motor dan General Motors (GM). Di dalam sektor farmasutikal pula adalah Johnson & Johnson, Novartis, Roche dan Pfizer.

Walaupun jumlah jualan mereka besar, namun persaingan di kalangan firma gergasi ini sendiri sebenarnya adalah amat sengit serta risiko untuk menjadi muflis juga bertambah. Faktor utama ialah beban kewangan mereka yang juga amat besar. Sebagai contoh, semasa krisis sub-prime berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2008, beban hutang GM ialah USD27 billion (atau hampir RM120 billion) dan akibatnya ia hampir jatuh muflis sebelum diselamatkan oleh kerajaan Amerika. Sekarang ini jumlah tanggungan GM adalah USD72 billion manakala jumlah tanggungan semasa Toyota Motors pula ialah USD137 billion. Bagi syarikat farmasutikal terbesar iaitu Johnson & Johnson, beban tanggungan syarikat pada masa ini ialah USD61.3 billion.

Dengan tanggungan kewangan yang sebegitu besar, suasana perniagaan mempunyai risiko yang sangat tinggi. Jika pendapatan tidak mencukupi atau pasaran diambil oleh pesaing, firma yang pada suatu masa dominan dan kuat boleh tiba-tiba menjadi lemah seperti yang telah berlaku kepada syarikat telekomunikasi Blackberry dan Nokia, syarikat penerbangan Northwest Airlines, dan syarikat kereta Saab. Kesemua nama tersebut pada suatu masa pernah masyhur di dalam industri masing-masing tetapi akhirnya tumbang akibat kombinasi faktor kemerosotan pasaran dan beban kewangan yang besar.

Untuk mengelak dari menerima nasib yang sama seperti syarikat-syarikat di atas, maka firma-firma gergasi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meluaskan pasaran mereka ke luar negara masing-masing sambil mempertahankan kedudukan pasaran di negara asal. Hanya dengan cara ini sahaja mereka akan dapat memastikan hasil jualan yang besar diperolehi bagi menambahkan keuntungan supaya dapat membayar dividen yang memuaskan kepada pemilik saham syarikat mereka serta menjelaskan pinjaman atau tanggungan mereka.

Hakikat yang sama juga dihadapi oleh syarikat perniagaan tempatan yang berniaga di arena antarabangsa. Mereka juga memerlukan jualan yang besar melalui pasaran yang besar untuk memastikan keadaan kewangan mereka kukuh. Inilah sebab utama kenapa pengurusan mereka mendesak kerajaan Malaysia supaya melaksanakan perjanjian TPPA secepat mungkin.

Jika firma-firma gergasi juga dalam keadaan tertekan walaupun berdaya saing di dalam arena perniagaan antarabangsa, maka siapakah yang sebenarnya mendapat keuntungan dari pelaksanaan TPPA ini? Jawapannya ialah firma-firma di dalam industri kewangan kerana merekalah yang membekalkan pinjaman dana kepada semua syarikat gergasi antarabangsa tersebut. Bayangkan jumlah bunga (atau interest) yang diperolehi oleh industri ini hasil dari hutang yang berjumlah ribuan billion (atau trillion) yang ditanggung oleh syarikat gergasi dari kesemua dua belas negara yang terlibat. Oleh itu syarikat-syarikat kewangan, sama ada dari Malaysia atau dari Amerika, adalah juga pendokong utama kepada pelaksanaan TPPA nanti kerana perkembangan ekonomi di negara yang terlibat akan bermakna perkembangan keuntungan yang mendadak kepada mereka.

Sementara itu, yang akan merasa susah dan tertekan adalah golongan pekerja kerana suasana persaingan sengit akan memaksa syarikat-syarikat sentiasa berusaha untuk meminimakan kos sumber manusia dalam usaha memastikan dayasaing mereka sentiasa kukuh. Oleh yang demikian senario pembuangan pekerja (kadangkala dipanggil `rightsizing’), pemotongan gaji, atau pekerja dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran yang sama akan berlaku lebih kerap dan meluas di masa akan datang, termasuk di dalam sektor yang pada mulanya mendapat manfaat dari TPPA.

Satu lagi perkara yang tidak disedari oleh ramai orang ialah di dalam sistem kewangan yang diamalkan di seluruh dunia sekarang, setiap kali transaksi pinjaman dari firma perbankan berlaku, maka matawang akan tercipta. Oleh itu pinjaman yang berjumlah bertrillion yang dihulurkan kepada syarikat-syarikat gergasi itu (serta kepada pihak konsumer yang membeli produk mereka) juga akan menambahkan jumlah matawang sebanyak bertrillion juga ke dalam sistem kewangan negara-negara yang terlibat. Jumlah matawang yang banyak ini adalah sebenarnya punca utama kepada suasana inflasi atau kenaikan kos kehidupan. Keadaan ini akan menambahkan kesengsaraan kehidupan kepada ramai pihak terutama sekali dari golongan pekerja yang kurang mahir kerana biasanya pendapatan mereka tidak akan meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan kos kehidupan. Kesan ini telah dapat dilihat di negara-negara yang mempunyai sektor kewangan yang besar seperti Jepun dan Amerika.

Fenomena kenaikan kos kehidupan juga telah menular ke Malaysia. Langkah kerajaan mengenakan cukai GST serta keadaan pekerjaan yang tidak menentu membuat suasana bertambah teruk. Sepatutnya kerajaan dapat membantu jika ia mempunyai tabungan. Malangnya kerajaan kita telah gagal menabung semasa harga minyak tinggi dan pendapatannya lumayan. Akibat dari pengurusan kewangan yang tidak cekap, maka kerajaan sendiri sekarang berhutang sebanyak RM700 billion dan oleh itu sebenarnya tidak mampu membantu kecuali dengan menambah kepada beban hutangnya yang sedia ada atau mengutip cukai tambahan dari rakyat.

Pendek kata melalui TPPA, oleh kerana ianya dilaksanakan di dalam sistem riba yang menjadikan industri hutang sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi, maka secara umumnya ia akan mendatangkan keuntungan lumayan kepada segolongan kecil sahaja iaitu pengurusan atasan dan pemilik saham syarikat yang berdaya saing, serta pengurusan atasan dan pemilik saham dalam industri kewangan di negara-negara yang terlibat, terutama sekali pemilik saham di dalam syarikat kewangan utama di Amerika Syarikat (seperti Goldman Sachs, Morgan Stanley, JPMorgan Chase, Bank of America Merrill Lynch, dan Citigroup).

Bagi kebanyakan golongan pekerja yang tidak mampu menyumbang kepada proses penambahan keuntungan syarikat atau tidak mempunyai kemahiran yang relevan kepada keperluan syarikat, mereka tidak akan dapat mengecapi manfaat secara langsung dari TPPA ini. Bahkan kehidupan mereka akan bertambah sengsara jika mereka di bawah belenggu hutang, sama ada mereka adalah rakyat Amerika Syarikat atau rakyat Malaysia.

Berdasarkan penjelasan di atas maka jelaslah bahawa TPPA tidak akan menyebabkan Amerika Syarikat menjajah Malaysia dan memonopoli semua perniagaan di Malaysia. Apa yang akan berlaku ialah ianya akan mendedahkan Malaysia kepada suasana perniagaan yang sengit yang dimangkinkan oleh industri hutang yang walaupun pada mulanya menghasilkan suasana perniagaan yang rancak dalam sektor tertentu, tetapi pada akhirnya akan menimbulkan berbagai masalah-masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat.

Dengan kata lain, kesejahteraan dan kebajikan masyarakat jangka panjang bukannya ditentukan oleh terlaksana atau tidak terlaksananya TPPA. Sebaliknya ia akan dapat dicapai apabila tiga unsur penting yang berikut wujud:

1. Suasana politik yang lebih demokratik dan telus agar pandangan-pandangan untuk kesejahteraan ummah dapat dibincangkan secara terbuka dan bebas serta mewujudkan peluang yang lebih baik dalam memilih kepimpinan politik yang amanah dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara demi meminimakan pembaziran dan ketirisan.

2. Sistem ekonomi dan kewangan yang bebas dari amalan riba, iaitu yang tidak menjadikan industri hutang sebagai sumber dana untuk membangunkan negara

3. Sistem nilai masyarakat yang tidak materialistik, iaitu yang tidak menggalakkan ahli-ahli masyarakat mengejar kemajuan kebendaan semata-mata lantas menjadikan mereka senang terjebak di dalam perangkap industri hutang.