Tuesday, February 2, 2016

Solekan kosmetik mewarnai wajah politik Malaysia - Ahmad Mustaqim Zolkafali

Usahawan kosmetik v usahawan politik

Daripada produk pemakanan kesihatan sehinggalah kepada produk kosmetik, Malaysia terbukti dapat melahirkan para usahawan yang berjaya.

Sumbangan besar para usahawan ini diakui apabila dapat mentransformasi wajah-wajah rakyat Malaysia, menjadi jelitawan. Perkembangan dunia tatarias dan solekan ini bergerak seiringan dengan perkembangan dunia politik.

Hal ini wujud dengan kemunculan usahawan politik dengan inovasi daripada industri kosmetik. Wajah-wajah politik juga boleh ditatarias sehingga ‘flawless’ dan tampak sempurna.

Produk utama usahawan politik adalah dengan menjadikan negara sebagai produk terbaik untuk diperdagangkan dan diperjudikan untuk kepentingan diri.

Tertarik dengan penulisan Kadir Jasin yang pernah merungkai istilah ‘demigod’ dan ‘demagogue’ seterusnya mempersoalkan perdana menteri Malaysia berwajahkan yang mana satu?

Ada apa dengan ‘demigod’ dan ‘demagogue’?

Istilah ‘demigod’ merujuk kepada seorang yang suci yang tidak sesekali membuat kesalahan, Manakala ‘demagogue’ pula bererti seseorang yang rakus mengikut hawa nafsu dan tamak kuasa.

Apa jua kontroversi dalam pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, para penyokongnya tetap melihat pemerintahan Najib bersifat benar kerana parti keramat tersebut mendukung perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

Keramatkah? dan berdosakah?

Kesucian Najib tidak pernah sesekali merobek kepercayaan para penyokongnya disebabkan beliau dipilih tuhan untuk mengemudi parti keramat Melayu tersebut.

Bagi penyokongnya, usaha menukar kepimpinan Najib merupakan dosa besar yang akan membawa azab kepada umat Melayu kerana parti keramat tersebut adalah satu-satunya parti pembela umat Melayu di negara tercinta ini.

Sedar atau tidak sengaja?

Sedar atau tanpa sedar, pengikut setia Najib mengangkat beliau menjadi seorang ‘demigod’. Jika Umno dikatakan parti keramat maka presidennya adalah penjunjung keramat tersebut. Usah sesekali mana-mana pimpinan parti bahkan rakyat marhaen mempersoalkannya.

Transformasi untuk semua!

Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Sosial (PTS) yang terkandung Dasar Transformasi Nasional dikatakan untuk memacu kesejahteraan negara dan rakyat pada 2020.

Namun, transformasi yang dilaksanakan semacam serba tak kena. Pelbagai kontroversi mengenai skandal wang tercetus.

Rakyat tak rasa keberkesanan program transformasi Najib selain transformasi kepimpinan Najib dari ‘demigod’ kepada ‘demagogue’.

Tradisi zaman berzaman

Menjawab segala asakan Tun Dr Mahathir mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib pernah menyatakan beliau tidak pernah mempertikaikan dana parti sewaktu menjadi timbalan presiden Umno.

“Saya tidak pernah bertanya kepadanya (Pak Lah) tentang pembiayaan politik parti selama 6 tahun saya menjadi timbalannya. Bagaimana dia mendapat wang, siapa berikan wang itu semua di bawah budi bicaranya.”

Pada akhirnya, menjadi tradisi zaman berzaman dalam kepimpinan Umno apabila seorang presiden boleh melakukan apa sahaja kerana menjadi presiden bermakna kebal dari dipersoalkan.

Apa kata Tun Dr Mahathir?

Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan kontroversinya beberapa tahun lalu dengan menyatakan, “Lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal.”

Meskipun Umno/Barisan Nasional (BN) terpalit dengan pelbagai bentuk kerosakan, namun Umno/BN lebih baik berbanding parti pembangkang atas faktor lebih dikenali.

Tanpa disedari, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab dengan terbentuknya seorang pemimpin ‘demagogue’ kerana mewajarkan model kepimpinan ‘syaitan yang dikenali’ untuk memerintah serta berkembang biak dalam parti beliau.

Pastinya, pada hari ini, Dr Mahathir cukup menyesal kerana pernah mengangkat dan memberikan ruang kepada Najib untuk berkuasa kerana terhutang budi di atas kebaikan yang pernah dilakukan Tun Abdul Razak, ayahanda Najib.

Hari ni anak kepada Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz, selaku menteri besar Kedah, terpaksa berhadapan dengan raksasa ciptaannya. Maka, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab dengan terciptanya raksasa ‘demagogue’ dalam kepimpinan negara hari ini.

Sebagai persoalan mungkinkah ada ruang kepada rakyat marhaen untuk memilih ‘malaikat yang dikenali’ pula dalam pilihan raya umum akan datang?

Hati-hati dan perlu bijak memilih!

Kini majoriti rakyat Malaysia dibukakan hijab mata mereka mengenai wajah raksasa ‘demagogue’ setelah solekan tersebut kian mencair.

Sebahagian ahli Umno juga tersedar dari lena ‘demigod’ yang mereka saksikan tidak lebih daripada topeng yang menutup ketamakan dan kerakusan.

Buat para penyokong Najib, menyayangi pemimpin tidak bererti harus membisukan diri dari mempersoal, menyanggahi yang salah dan berhenti menyokong yang benar.

Imej parti Umno harus dibersihkan. Tidak akan keramat sesuatu parti jika dipimpin seorang ‘demagogue’. Laungan slogan seperti “Hidup Melayu!” seakan-akan menjadi sebuah jenama solekan buatan Malaysia yang boleh sahaja ditempelkan di muka seorang ‘demigod’ yang berwajahkan ‘demagogue’.

Maka berhati-hatilah dengan slogan itu. Rakyat Malaysia kini tidak mempunyai banyak pilihan. Alternatifnya mungkin ruang harus diberikan pula kepada “malaikat yang tak dikenali.” Ia jauh lebih baik daripada membiarkan negara musnah di tangan seorang ‘demagogue’.

No comments:

Post a Comment