Wednesday, December 30, 2015

Hadi keliru PAS bercelaru – Muammar Qaddafi

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu merupakan pengalaman pertama saya untuk mengundi dan ketika itu PAS yang bersama sama Pakatan Rakyat menjadi parti pilihan saya berbanding Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketika itu saya memilih PAS dengan harapan PAS mampu bawa perubahan kepada Malaysia dengan lebih baik samada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

Perkembangan semasa PAS hari ini buatkan saya mencongak samada untuk terus mengundi PAS pada pilihan raya seterusnya atau mula mencari alternatif lain untuk diundi.

Semakin hari saya semakin keliru dan pening dengan tindak tanduk PAS dan presidennya.

Walaupun kumpulan profesional disingkirkan secara total pada muktamar Julai lepas, namun hari ini seolah masih ada dua arus pemikiran dalam PAS.

Saya perhati Datuk Seri Hadi Awang,Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Nasrudin Hassan Tantawi, Datuk Takiyuddin dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semacam senada.

Beriya sangat nak menggatal dengan Umno. Dalam hal yang sama, saya lihat pimpinan seperti Iskandar Samad (naib presiden), Tuan Ibrahim (timbalan presiden) dan Idris Ahmad (naib presiden) semacam membawa arus yang bertembung dengan arus Hadi dan kelompok di atas.

Saya melihat semacam ada 2 arus. Arus tengkujuh pantai timur melawan arus negeri selat.

Disebalik 1001 penafian wujudnya usaha penyatuan PAS-Umno termasuk dalam kerjasama politik, rakyat pastinya tertanya tanya kenapa 3 pemimpin tertinggi PAS iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad dan Iskandar Samad secara terbuka menyerang "usaha" yang dinafikan wujud itu?

Bahkan nada Idris selaku naib presiden PAS yang keras menghalau sesiapa yang mahu membawa usaha kerjasama PAS-Umno dari PAS seolah beliau tahu, dengan kapasiti beliau sebagai pimpinan tertinggi parti, usaha ke arah itu wujud.
Kenyataan kenyataan yang menafikan gabungan kedua parti tersebut tidak mampu menghakis persepsi rakyat tentang kecenderungan PAS untuk bersama Umno.

Tambahan sikap PAS terhadap bekas rakan Pakatan mereka yang memustahilkan untuk mereka kembali bersama dalam tempoh masa terdekat dalam berhadapan Umno BN.

Manakala untuk bersendirian dalam PRU14 adalah sesuatu yang boleh menengelamkan PAS dalam arus politik Malaysia selepas PRU14.

Situasi ini dibaca rakyat yang PAS sememangnya sedang cuba menghulur tangan kepada Umno.

Mengimbau pasca PRU 13 lalu,Mursidul Am PAS ketika itu almarhum Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat apabila ditanya soal kerjasama PAS-Umno, beliau dengan tegas menentang bahkan mengatakan akan "ludah" jika ada dalam kalangan pemimpin Umno mahu hulur tangan bekerjasama dengan PAS.

Ironinya sepeningalan Nik Aziz, sebaliknya yang berlaku adalah PAS yang cuba menghulur tangan dalam kerjasama PAS dan Umno.

Perkataan “kerjasama” yang selalu digunakan pemimpin kanan PAS untuk menafikan penggabungan PAS-Umno juga tidak begitu meyakinkan kerana kita faham bukanlah dakwaan sesetengah pihak mengatakan PAS dan Umno akan bergabung sebagaimana Parti Keadilan Nasional (ADIL) dan Parti Rakyat Malaysia ( PRM) lalu membentuk Parti KeADILan Rakyat (PKR)

Sebaliknya "gabung" yang dimaksudkan adalah kerjasama politik PAS bersama Umno untuk menentang Pakatan Harapan atau sekurangnya untuk menentang DAP dan Amanah.

Isu perpaduan ummah yang dibangkitkan seolah bakal membawa kepada persefahaman antara PAS dan Umno untuk bersatu menentang calon bukan Melayu/Islam.

Kita bertambah hairan bilamana dibangkitkan tentanhg DAP yang akan memerintah jika usaha perpaduan ummah ini tidak berjalan lancar.

Rakyat sesungguhnya keliru dengan tindak tanduk PAS berkenaan isu ini, pada awalnya kita diberitahu PAS mahu menjadi penasihat kepada Umno BN, untuk apa?

Adakah agar "Umno BN" boleh dibaiki dan kekal sebagai pemerintah untuk 1 tempoh lagi?

Kemudian diikuti dengan kenyataan mahu bekerjasama dengan Umno dalam isu ummah, apa isunya?

Lawan DAP?

Gayanya PAS cukup galak menyerang DAP seolah cuba mendapat perhatian Umno kepadanya.

Kenyataan dan tindak tanduk yang mengelirukan dari PAS membuatkan saya sudah tidak mampu mencerna pemikiran ulama besar dunia ini dalam merangka strategi politik PAS.

2 Kerja Untuk Atas Kenaikan Kos Hidup? - Prof Nazari Ismail

Saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit komen berkenaan isu berkaitan rakyat kena melakukan beberapa perkerjaan. Isu ini timbul susulan cadangan menteri Ahmad Maslan untuk mengatasi kenaikan kos kehidupan yang semakin rumit sekarang ini. Cadangan beliau mendapat sokongan dari setengah pihak kerana dirasakan bahawa ianya satu realiti yang terpaksa diterima. Namun ramai juga yang mengkritik kerana dirasakan bahawa ianya tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Ini kerana bukan sahaja ramai sekarang yang terpaksa berhempas pulas berkerja siang dan malam walapun hanya mempunyai satu kerja , malahan ramai yang mempunyai masalah untuk mendapat sebarang perkerjaan untuk menyara kehidupan mereka.

Sebenarnya, masalah kenaikan kos kehidupan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Ia juga berlaku di negara lain terutama sekali di negara yang dikatakan maju dari segi pencapaian ekonomi. Sebagai contoh di bandaraya Tokyo di Jepun, ramai yang terpaksa tinggal di dalam rumah yang bukan sahaja kecil bahkan jauh dari tempat kerja kerana kos perumahan begitu tinggi. Sewa apartmen studio adalah lebih kurang RM6 ribu sebulan sementara bagi apartmen satu bilik sewanya adalah lebih kurang RM10 ribu sebulan. Pendapatan perkerja di Jepun secara relatif kepada kos sewa bukannya tinggi sangat. Sebagai contoh purata gaji guru di Jepun ialah lebih kurang RM17,500 sebulan. Ini bermakna lebih dari separuh pendapatan akan habis untuk kos tempat tinggal sahaja. Bagaimana pula dengan kos makan, pakaiaan, pengangkutan, perbelanjaan persekolahan anak dan lain? Kerumitan kehidupan di Jepun lah yang menyebabkan ramai rakyat Jepun yang tidak pulang ke rumah selepas kerja dan tidor di Cyber Café atau di stesen keretapi. Ramai juga yang menjadi gelandangan.

Sebenarnya masalah yang sama juga wujud di negara maju lain seperti Hong Kong, Singapura, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat sekarang terdapat ratusan ribu yang hanya tinggal di dalam khemah yang didirikan secara haram di kawasan tepi bandar kerana ramai yang sudah tidak mampu untuk membayar kos perumahan.

Punca utama masalah kos kehidupan adalah berkait rapat dengan sistem ekonomi yang di amalkan. Di negara maju, sistem ekonomi adalah berdasarkan sistem riba dimana wang diciptakan dengan banyak oleh sistem perbankan yang sentiasa berkembang. Setiap kali pihak bank memberi pinjaman kepada pelanggannya, maka matawang akan dicipta dan oleh itu perkembangan sistem perbankan akan mengakibatkan jumlah matawang meningkat dengan cepat. Jumlah matawang yang banyak inilah yang menjadi faktor utama kepada berlakunya inflasi. Jika sektor perumahan berkembang dengan cepat, sudah tentu inflasi akan menjadi lebih teruk kerana hampir kesemua pembelian rumah adalah dengan cara berhutang. Oleh kerana kos rumah adalah mahal, maka jumlah hutang juga adalah sangat banyak. Di Malaysia sektor perumahan meningkat dengan mendadak dalam beberapa tahun yang lepas. Maka tidaklah hairanlah kenapa tahap hutang isi rumah sekarang sudah meningkat menjadi RM940 billion dan kenapa aset sektor perbankan sudah melepasi angka RM2 trillion. Inilah antara penyumbang utama kenapa kos kehidupan di Malaysia juga meningkat dengan cepat juga. Keadaan sudah tentu akan menjadi lebih teruk apabila pinjaman juga dilakukan oleh syarikat swasta dan kerajaan.

Di samping itu, persaingan sengit diantara syarikat yang berhutang dengan banyak ini mengakibatkan mereka sering terpaksa membuang perkerja atau mengurangkan gaji mereka dan akibatnya purata pendapatan pekerja di Malaysia tidak meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan kos kehidupan.

Jelaslah bahawa penyelesaian masalah kenaikan kos kehidupan bukan lah satu perkara yang senang dan mudah. Ia memerlukan kepada perubahan kepada sistem ekonomi dan kewangan negara. Perubahan sistem ekonomi pula adalah bukannya satu perkara yang dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Ia juga memerlukan kepada perubahan kepada sistem nilai masyarakat supaya tidak mempunyai sikap yang terlampau materialistik atau kebendaan dan suka membeli barang walapun terpaksa berhutang dengan banyak. Kuwujudan sikap kebendaan ini pula berpunca dari penghakisan nilai asas masyarakat yang mengakibatkan ramai yang hidup dengan cara `mengukur baju di badan orang lain’.

Pemimpin kerajaan yang bijak dan matang sepatutnya menyedari hakikat yang diterangkan di atas dan oleh itu tidak akan membuat saranan yang simplistik yang sebenarnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah masyarakat yang rumit ini. Jika komen ini datang dari pemimpin kerajaan yang ditanggapi oleh sebahagian besar masyarakat sebagai kerajaan yang banyak menghabiskan duit rakyat melalui pembaziran dan ketirisan, maka tidak hairanlah kenapa ia mengakibatkan rakyat menjadi lebih marah.

Tetapi rakyat juga harus disedarkan bahawa mereka bukan sahaja memerlukan pemimpin yang amanah yang tidak menyalah guna kuasa dan membazirkan duit rakyat. Mereka juga harus berusaha menukar nilai dan cara hidup mereka supaya dengan itu kita dapat menggantikan sistem ekonomi negara kepada sistem yang lebih baik, yang bebas dari amalan riba dan berpaksi kepada prinsip keadilan sosial dan persaudaraan yang murni.

Sunday, December 27, 2015

Apa maksud ‘Rahmatan lil alamin’ bagi Malaysia? – Nik Fatma Amirah Nik Muhamad

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Surah Al-anbiya`:107).

Tarikh Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW adalah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Setiap tahun pasti rakyat Malaysia menyambutnya dengan penuh kerinduan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan pelbagai tema, dan tahun ini bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.

Kita sudah sedia maklum perutusan Rasulullah adalah pembawa rahmah kepada sekalian alam. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita memahami prinsip rahmah itu dibawa Rasulullah dan apakah erti untuk kita sebagai umatnya?

Mengapakah sambutan ini masih eksklusif berlegar dalam kalangan masyarakat Islam, padahal Rasulullah adalah untuk umat keseluruhannya?

Pertama, saya tertarik apa yang diutarakan dan dikupas Dr Maszlee Malik di dalam bukunya Risalah Pemuda, bab 24, bertajuk “Nilai Sejarah dan Maulid”. Beliau mengupas:

Antara isu yang menjadi polemik ialah isu “Maulid al-Rasul”. Setiap kali kedatangan “maulid”, kini sudah mula polemik tentang bidaah atau tidaknya sambutan tersebut. Ada yang mempertahankan dengan mudah, menuduh lawan mereka tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Dan ada yang menentang pula melemparkan dakwaan lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) dalam mendewakan Nabi.

Jika diteliti, punca pertelingkahan tersebut berpunca daripada apabila mereka menganggap isu maulid itu sebagai sambutan “ritual-spiritual” atau sesuatu yang bersifat keagamaan. Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan. Bagi yang tidak merayakan, seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi.

Ternyata ada jalan keluar untuk isu ini, yang mana perayaan atau sambutan maulid perlu dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual yang ditanggapi selama ini.
Perayaan itu harus dilihat melalui kaca mata satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran. Pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuklah perayaan dan peringataan tarikh-tarikh tersebut.

Apakah yang akan dimanfaatkan umat Islam jika perayaan maulid ini dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya? Tentu banyak sekali manfaatnya, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apa kesannya.

Usaha mempromosi ajaran Nabi Muhammad SAW yang bersikap universal dan kemanusiaan perlu ditonjolkan. Keperibadiannya yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pahlawan perang yang berjaya dan pelbagai ciri kemanusiaan Baginda yang boleh diteladani.

Dan usaha memperingati Nabi Muhammad SAW sepatutnya tidak berlegar-legar dalam kalangan umat Islam semata-mata, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam.

Perayaan berunsur sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan eksklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan “kesempurnaan hidup manusia”.

Di penutup bab ini, Dr Maszlee Malik membuat kesimpulan sudah tiba masanya Islam dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan daripada kesempitan dogma dan acuan golongan jumud yang berkepentingan. Ialam sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat sekalian alam) perlu dijadikan inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan untuk umat Islam semata-mata.

Di dalam kupasan buku Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah karya Ustaz Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, menyebut Micheal H. Hart di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” mengulas mengenai Nabi Muhammad SAW dan meletakkan Baginda sebagai individu paling berpengaruh dengan komennya yang berbunyi:

“My choice of Muhammad to lead the list of the world`s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world`s great religions, and became immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive”.

Ini menunjukkan bukti sarjana dan cendekiawan barat juga memuji dan menghargai kehadiran seorang insan agung dan ia wajar dimanfaatkan orang Islam, khususnya para agamawan untuk menggunakannya bagi menyakinkan masyarakat bukan Islam tentang keistimewaan Baginda, dan ia bertepatan dengan mesej perutusan Rasulullah ke dunia ini sebagai rahmah kepada sekalian alam.

Kedua, bagaimana mesej rahmatan lil alamin dapat dimanfaatkan rakyat Malaysia adalah melalui teladan yang ditunjukkan Rasulullah melalui kebijaksanaanya dalam pengurusan dakwah.

Seperti mana yang kita ketahui, dakwah Rasulullah terbahagi kepada dua peringkat pertama ialah 13 tahun di Mekah dan tempoh kedua adalah selama 10 tahun di Madinah.

Kedua-dua peringkat ini dilalui Rasulullah dengan pelbagai pengurusan yang efektif dan strategi yang sangat bijaksana.

Di dalam buku yang sama, Ustaz Zahiruddin menekankan 5 aspek kekuatan dan kunci efektif dakwah Rasulullah, iaitu disiplin pengurusan wahyu, bijaksana dalam memberikan teladan, bijaksana dalam komunikasi, bijaksana dalam mendekatkan diri dengan pengikut dan bijaksana dalam pengkaderan dan perwakilan yang terpilih dan tepat.

Ketiga, kita juga perlu meneladani kebijaksanan Rasulullah dalam pengurusan politik.

Rasulullah adalah ahli politik terawal dalam sejarah Islam. Bermula dengan satu gerakan yang kecil kemudian Baginda mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah untuk membentuk satu pemerintahan atau dikenali negara Islam pertama di Madinah.

Selain itu, Rasulullah terlibat dengan perundingan, perjanjian dan sebagainya, dan Rasulullah menghadapi isu penentangan daripada kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin. Semuanya dilalui Rasulullah dengan amanah, qudwah yang baik, berdedikasi dan menepati janji.

Ketika Rasulullah menjadi ketua negara Madinah pada ketika itu, Baginda memberi hak kesamarataan sosial kepada semua masyarakat tidak kira Islam mahupun tidak, dan ini satu elemen yang penting yang perlu dimainkan setiap pemimpin kita untuk merealisasikan keadilan, di mana ia cabang daripada Maqasid Syariah dan perlu diletakkan sebagai asas dalam sistem pentadbiran negara.

“Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah Al-Ahzab: 21)

Salam Maulidur Rasul buat semua rakyat Malaysia!

Jadikan Rasulullah sebagai contoh dan teladan dalam pelbagai aspek kehidupan pengurusan, pentadbiran, perniagaan, dakwah, akhlak, politik, ketenteraan, dan keluarga.

Dilema Haji Hadi – Muammar Qaddafi

Kemenangan besar kumpulan kepimpinan pro ulama dalam muktamar Julai lepas yang disangka sebagai kemenangan Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) terhadap seteru politiknya dari dalam PAS berubah menjadi malapetaka buat parti Islam itu.

Kesan paling besar akibat kemenangan itu adalah berpecahnya Pakatan Rakyat apabila muktamar meluluskan usul Perwakilan Pahang, Mokhtar Senik memutuskan hubungan bersama DAP dan seterusnya membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang percaya untuk menang menentang Barisan Nasional (BN) melalui kerjasama politik bersama PKR dan DAP. Kemunculan Amanah pula membawa kepada kewujudan pakatan baharu menggantikan Pakatan Rakyat iaitu Pakatan Harapan.

Walaupun pada peringkat awal PAS berulang kali mendakwa Pakatan Harapan dan Amanah adalah entiti yang lemah dan tidak perlu bersama mereka untuk menawan Putrajaya, namun kini parti Islam itu dan Hadi sebagai presiden mungkin sedar Amanah bersama Pakatan Harapan bukanlah entiti lemah sebaliknya sebuah gabungan yang mampu dan satu-satunya cara mengalahkan Umno BN.

PAS pastinya kembali maklum untuk menguasai Putrajaya mereka perlu kepada gabungan bersama parti lain. Parti yang bergerak sendiri pastinya hanya mampu kekal sebagai pembangkang untuk satu tempoh sangat panjang.

Sikap idealis PAS juga pastinya tidak akan menguntungkan PAS sebaliknya penting untuk PAS masuk sebagai mainstremer. Maka dilema Haji Hadi mungkin juga akan tersangkut antara konsep negara berkebajikan v hudud/negara syariat.

Haji Hadi tahu, untuk PAS maju ke depan, perlu bergabung dan menumpang arus orang lain. Kejayaan besar PAS pada 1990 yang menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan kerana perpecahan dalam Umno sehingga tertubuhnya Semangat 46.

Dalam pilihan raya umum pada 1999 pula PAS menang besar di mana berjaya membawa 27 pemimpin PAS sebagai ahli Parlimen dan menjadi sejarah terbesar PAS bahkan mendapat durian runtuh apabila turut berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan penguasaan di Kelantan kerana perpecahan dalaman Umno dan wujudnya PKR bersama PAS.

Pada 2008 arus tsunami/makkal sakti/hindraf, PAS turut mendapat kelebihan melalui kerjasama politik dengan PKR dan DAP.

PAS tahu, bersendirian PAS tidak mampu pergi ke mana. Hatta dengan isu hangat seperti peristiwa memali, rakyat marah Umno. Dengan isu kafir mengkafir masih kuat dan berpengaruh. Umno BN juga terpalit dalam skandal terbesar negara ketika itu berkaitan BMF. Skandal kewangan yang pertama di Malaysia berlaku pada 1983 apabila didapati BMF memberi pinjaman RM2.5 bilion kepada syarikat yang mempunyai rekod prestasi meragukan.

Skandal itu bertambah hangat dengan pembunuhan seorang pembantu pengurus yang ditugaskan untuk menyiasat transaksi, kebankrapan sebuah syarikat disuntik modalnya oleh BMF. Situasi itu memberi PAS keyakinan untuk berdepan pilihan raya pada 1986 namun malangnya keyakinan PAS pada ketika itu hanya memberi PAS 1 kerusi pada pilihan raya 1986 iaitu kerusi Pengkalan Chepa.

Maka Hadi hanya punya 2 pilihan untuk meningkatkan potensi PAS untuk berkuasa di Putrajaya iaitu sama ada bersama Pakatan Harapan, ataupun BN.

Dan untuk keduanya, ada dilema yang perlu Hadi fikirkan. Jika Haji Hadi pilih bersama Pakatan Harapan, tentu beliau maklum PAS tidak boleh jadi parti dominan. Walaupun mempunyai keahlian paling ramai, PRU13 lalu menyaksikan PAS memperoleh kerusi paling sedikit berbanding 2 sekutunya dalam Pakatan Rakyat. Apatah lagi jika PAS bersama Pakatan Harapan dan terpaksa pula melepaskan kerusi kepada Amanah, tentulah itu sesuatu yang PAS tidak sanggup lakukan.

Bagaimana pula jika mewujudkan kerjasama dengan Umno melalui BN? Adakah PAS mampu menjadi dominan dan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Umno.

Dilema buat PAS jika mereka bersama Umno maka terpaksa dikorbankan kerusi tradisi mereka dan juga tetap perlu korbankan mesej hudud. Umno tentu tidak mahu PAS menjejaskan sokongan terhadap rakan politik mereka di Sabah dan Sarawak dengan konsep hudud PAS.

Walaupun bersama Umno, peluang PAS mendapatkan lebih banyak kerusi adalah sukar kerana banyak kawasan tradisi Melayu diambil alih Umno sebagai wakil mereka. PAS tidak lagi hero di kampung. Propaganda Umno selama ini mengikat Melayu kampung kepada mereka dan tentu saja semua kawasan tradisi milik Umno tanpa sebarang kompromi. Manakala kerusi majoriti Melayu di bandar pula mungkin tidak akan menyebelahi Pas yang telah bersama Umno.

Namun kebersamaan PAS dengan Umno mungkin akan memberi tempat selesa jika Umno kekal memerintah sekurang-kurangnya pimpinan PAS mungkin dapat menjawat posisi penasihat menteri yang membantu menerajui Malaysia.

Berbanding jika kekal bersama Pakatan, untuk PAS mendapat posisi timbalan perdana menteri dan perdana menteri adalah laluan yang agak sukar kerana perlu beratur di belakang PKR dan DAP.

Segalanya buat PAS jalan buntu, bersama Pakatan, ada sesuatu yang perlu PAS korbankan, bersama Umno, juga ada sesuatu yang PAS perlu korbankan. Jika kekal bersendirian, maka jelas yang bakal terkorban adalah PAS, malapetaka akibat keputusan muktamar Julai lepas akan berterusan sehinggalah kerosakan itu dibaiki dengan cermat dan teliti.

Kalau Isis sertai demokrasi – Muammar Qaddafi

Islamic State Iraq Syria (Isis) merupakan gerakan militan islam paling berpengaruh dekad ini mengatasi pengaruh al-Qaeda dan Taliban.

Kejayaan mereka menakluk Kabul dan membunuh hakim yang menjatuhi hukuman mati kepada Saddam Hussein melonjakkan nama mereka dalam kalangan umat Islam manakala insiden insiden pengeboman di Paris, Charlie Hebdo meletakkan mereka sebagai pengganas nombor satu dunia.

Isis memilih jalan kekerasan dan perang sebagai kaedah untuk mereka menegakkan negara Islam, hal yang demikian mengakibatkan ribuan nyawa insan yang tidak bersalah menjadi korban "jihad" mereka.

Ini sekali gus bukan sahaja menjadikan sasaran mereka sebagai musuh mereka, sebaliknya mereka menjadikan setiap yang tidak bersama mereka sebagai musuh yang layak diperangi dan dikorbankan.

Tetapi, adakah jika Isis memilih jalan demokrasi, dunia hari ini akan lebih baik dan aman? Cuba kita bayangkan, kalau Isis sertai demokrasi...

Dalam ucapan ucapan kempen mereka untuk meraih sokongan rakyat, pastinya mereka akan meminta setiap umat Islam memilih mereka, jika sahaja ada umat Islam memilih parti lain, maka mereka itu fasik (berdosa), apatah lagi jika ada umat Islam menyertai parti lain dan menentang mereka yang menjadi wakil Tuhan di muka bumi, maka kafirlah setiap yang bersyahadah tetapi menolak mereka.

Jika ada ahli mereka yang menggunakan akal dan sedia berhujah dengan pihak lawan, maka ahli itu melakukan sesuatu yang sia-sia, mereka mungkin ponteng usrah dan diracuni pemikiran liberal dan sesat.

Bagaimana pula jika wujud parti lain yang turut mendakwa perjuangkan Islam, tidak hairan jika Isis yang sertai demokrasi akan menolak akidah mereka, mengkafirkan mereka bahkan menghalalkan darah mereka kerana menurut pemikiran mereka, perjuangan selain mereka adalah batil, dan perjuangan menentang mereka adalah perjuangan melawan Tuhan.

Bahayanya Isis bukanlah pada sosok mereka, tetapi idea dan pemikiran mereka yang sempit dan taksub, kesannya, agama yang sepatutnya menjadi alat cinta dan pembawa berita gembira, dirubah menjadi alat permusuhan dan perpecahan.

Maka jelaslah, pemikiran Isis ini tidak layak untuk berada di medan sebagai "mujahidin", dan tidak pula sesuai berada di lapangan demokrasi, mereka perlu menjadi sejarah hitam yang tidak boleh kembali ke dunia ini.

Tumbangnya PAS Kelantan – Muammar Qaddafi

Walaupun pada peringkat awal kehadiran Amanah hanya dianggap seperti nyamuk dalam arena politik negara, namun kini PAS seolah terjaga dari khayalan sendiri dan sedar kedudukan mereka sebagai kerajaan Kelantan sebenarnya tergugat jika berlaku 3 penjuru antara PAS, Umno, dan Amanah.

Pun begitu, adakah pemimpin PAS juga sedar mungkin tanpa kehadiran Amanah pun di Kelantan, mereka akan jua tumbang?

Skandal balak Kelantan dan kegagalan menguruskan (dilihat gagal) kesan selepas banjir melanda kelantan akhir tahun lepas, tidak mustahil ada undi PAS Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan beralih kepada parti lain.

Apatah lagi pada tahun ini dibongkarkan gaya hidup mewah pemimpin kerajaan negeri yang memiliki banyak kereta mewah yang berharga ratusan ribu ringgit.

Faktor zuhud akhirnya tidak lagi relevan dan talian hayat terakhir PAS hanyalah hudud sahaja.

Umno Kelantan yang lebih 20 tahun menjadi pembangkang tentunya dilihat lebih bersih berbanding PAS Kelantan, apatah lagi terdapat ura-ura mengatakan tokoh agama Datuk Ashraf Wajdi yang berkemungkinan mengetuai kepimpinan kerajaan Kelantan sekiranya Umno Barisan Nasional menang kelak.

Walaupun bukan angka yang besar yang mungkin beralih pada Umno,namun PAS punyai beberapa kerusi berisiko, iaitu kerusi-kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti kecil.

Antara kerusi yang berisiko adalah N4 Wakaf Bharu (majoriti 978 undi), N11 Tendong (majoriti 978 undi), N15 Gual Periok (majoriti 615 undi), N16 Bukit Tuku (majoriti 879 undi), N22 Jelawat (majoriti 102 undi), N33 Pulau Chondong (majoriti 919 undi), N32 Gaal (majoriti 302 undi), dan N40 Guchil (majoriti 492 undi).

PAS mahu terima atau tidak, potensi ia akan tumbang menjelang PRU14 adalah besar, analisis politik Nazri Mohd Noor dalam rencana beliau di The Malaysian Insider mendakwa PAS dan Umno Kelantan masing masing memiliki 32% pengundi tegar pada PRU14 nanti, pastinya akan mematikan mana mana dakwaan PAS pasti akan terus berkuasa di Kelantan.

Kehadiran Amanah akan memberi alternatif kepada rakyat Kelantan untuk tidak mengundi Umno pada PRU14, kerana besar kemungkinan tanpa Amanah, rakyat yang jelik dengan kepimpinan negeri hari ini akan mengundi Umno, seterusnya memberi peluang untuk Umno mentadbir Kelantan.

Amanah masih mempunyai 36% pengundi berdaftar yang harus mereka yakinkan untuk memilih mereka pada pilihan raya yang akan datang.

Malang berganda buat PAS apabila munculnya Amanah di Kelantan, ia dipimpin bekas pemimpin kanan parti yang tentu sahaja akan membawa keluar penyokong penyokong mereka yang dahulunya tegar bersama parti.

Kehilangan sedikit undi pada PAS pasti akan beri kesan yang besar kepada keputusan pilihan raya yang akan datang.

Walaupun ada yang meramal Amanah tidak akan mampu mendapatkan Kelantan, namun angka yang ada menunjukkan PAS tidak akan lagi menjadi pentadbir kerajaan negeri Kelantan selepas PRU14.

Maka jelaslah jika trend hari ini berterusan,maka PRU14 PAS Kelantan akan tumbang dan digantikan samada oleh Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional.

Mengimbau partisipasi PAS dalam politik Sarawak – Nazri Noor dan Jufazli S.A


PAS mula bertanding dan memasuki Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, mencuba nasib di Parlimen Batang Lupar, yang mana majoriti pengundinya ialah Bumiputera Islam-Sarawak.

Sekali imbas, ia kelihatan sebati dengan DNA politik PAS, namun ia berdepan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang paling dominan di negeri itu, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Hasilnya, PBB jauh meminggirkan PAS dengan peratusan undi majoriti sebanyak 70.7%, berbanding PAS yang hanya memungut 22.6%.

Pada PRU 2004, PAS sekali lagi mencuba nasib, kali ini memilih tempat baharu, Parlimen Batang Sadong, juga bertembung dengan PBB.

Hasilnya, PAS dengan undi popular 8.7%, jauh dipinggirkan PBB yang memungut 91.3% undi popular.

Pada PRU 2008 pula, PAS sekali lagi mencuba di Parlimen Batang Lupar buat kali ke-2 selepas tewas pertama kalinya pada 1999. Sekali lagi, PAS tercorot dengan defisit undi lebih 8,000. Dengan undi popular sekitar 20%.

PRU 2013, menyaksikan PAS dipertanggungjawabkan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk membuktikan diri mereka di 5 kerusi parlimen, Sibuti, Tanjong Manis, Batang Sadong, Kota Samarahan dan Igan.

Walaupun tsunami rakyat memihak kepada PR khasnya di Semenanjung Malaysia, PAS rata-rata dilihat gagal memberi sebarang nilai positif dalam arus politik Sarawak.

PAS teruk dibelasah di Parlimen Tanjong Manis. Calon PAS hilang wang deposit, selepas hanya mengutip 1,571 (11%) undi.

Dua calon lagi Di Batang Sadong dan Igan, nyaris selamat selepas berjaya melepasi tahap 12.5% undi popular dengan 2,017(13%) undi di Batang Sadong dan 1,747 (13%) undi di Igan.

Di Sibuti, walaupun gah dengan undi popular 35%, PAS tewas kepada PBB dengan 6,066 defisit, manakala di Kota Samarahan pula, PAS jauh di belakang PBB dengan defisit 17,401 walaupun dengan 21% undi popular.

Boleh dirumuskan di sini, dikumpulkan statistik penglibatannya dalam 4 PRU, tahap purata undi popular PAS berlegar di sekitar 17%.

Hal ini mengambil kira konteks PAS bertanding sebagai rakan kongsi dalam koalisi PR bukan secara bersendirian.

Pilihan raya negeri

PAS mula melibatkan diri dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 2001 dengan bertanding di 3 kerusi DUN; Semariang, Sadong Jaya dan Beting Maro.

Secara purata ia mengandungi hampir 90% pengundi Melayu/Melanau Islam. Hasilnya, PAS jauh ditinggalkan lawan tradisinya di Sarawak, PBB.

Pada pilihan raya DUN 2006 pula, PAS bertanding satu kerusi di Beting Maro dan sekali lagi tewas dengan parti PBB. 90.99% pengundi ialah pengundi Melayu atau pengundi Melanau Sarawak namun PAS masih gagal menyaingi dominasi parti PBB-BN di Sarawak.

Keputusan DUN Sarawak ke-10 (2011) menunjukkan PAS gagal memenangi sebarang kerusi daripada 5 kerusi yang ditandingi iaitu di kerusi DUN Tanjong Datu, DUN Muara Tuang, DUN Sadong Jaya, DUN Sebuyau dan DUN Beting Maro.

Dikumpulkan semua undi daripada semua calon PAS, jumlahnya kurang daripada 10 ribu. Jika dinisbahkan kepada sejumlah 980 ribu pengundi berdaftar di Sarawak, suara PAS ini tidak lebih daripada 1% sahaja.

Mengapa PAS tidak mendapat tempat di hati majoriti pengundi di Sarawak?

Hasil kajian Strata Centre, jumhur pendapat sarjana tempatan dan penganalisis politik di Sarawak secara kolektif merumuskan, PAS sememangnya tidak relevan lagi untuk bertanding di negeri itu.

Ini kerana, kedudukan masyarakat Bumiputera Muslim di Sarawak dijaga baik parti PBB-BN di Sarawak.

Faktor penaungan parti PBB-BN Sarawak ke atas masyarakat Bumiputera Islam Sarawak juga sudah berlangsung lebih daripada 33 tahun.

Oleh itu, apabila PAS terlalu bergantung dengan senjata “Melayu-Islam” semata-mata, amat sukar untuk menarik hati para pengundi yang pelbagai kaum di negeri.

Walaupun PAS menambah seberapa banyak jumlah kerusi Parlimen dan kerusi DUN, ia tetap tidak mengubah rekod kekalahan PAS dalam tempoh lebih 20 tahun bertapak di Sarawak.

PAS yang membawa nilai konservatif di negeri itu seperti isu hudud dan nilai Melayu-Islam hanya menunjukkan majoriti pengundi kurang mempercayai nilai tersebut.

Nilai progresif dalam sosio budaya pengundi di Sarawak yang lebih menekankan nilai keterbukaan iaitu tidak hanya bergantung dengan nilai-nilai Melayu-Islam semata-mata gagal dibaca dengan baik oleh PAS sendiri.

Mesej daripada analisis di atas, pakatan pembangkang perlu memahami, jika mahu kemenangan dan mengambil alih pemerintahan Umno-BN di Putrajaya, Sarawak tidak boleh diabaikan pada PRU ke-14 dan juga pilihan raya DUN pada 2016.

PAS, rakan tidak strategik

Jika PAS dirasakan sebagai rakan strategik bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi persaingan kuasa ini, kami merasakan ia adalah satu strategi yang salah kerana PAS, dengan imej, pendekatan dan mesej konservatifnya terbukti tidak ada tempat dalam politik Sarawak.

Badi PRU 2004 berulang di Kelantan? – Nazri Noor

Orang Kelantan sering dikaitkan dengan sangat berahi (passionate) dengan politik. Ditambah lagi dengan perangai orang Kelantan yang sering dilihat membawa sentimen anti establishment, tidak takut mengambil risiko dan suka menukar kerajaan setiap 3 atau 4 penggal, percaturan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya lebih mencabar dan mengancam. Terpulang kepada di pihak mana anda berada. Sembilan PRU, 4 kali bertukar kerajaan.

Barisan Nasional (BN) (Parti Perikatan ketika itu) diberi mandat untuk mentadbir Kelantan pada PRU yang pertama pada 1955, tetapi bertahan satu penggal, setelah bertukar tangan pada PRU 1959 kepada PAS yang bertahan 4 penggal (18 tahun). BN berjaya merampas Kelantan pada PRU 1978, akibat krisis dalam politik PAS. Krisis perpecahan dalam Umno pula menyaksikan PAS (bersama S46, parti serpihan Umno) berjaya merampas kembali pada PRU 1990. Umno tewas pada penggal ketiga.

Pada 2004, setelah 14 tahun memerintah, PAS melalui pertarungan paling getir dalam sejarah memasuki penggal ketiga pada PRU11. Secara logik, mengambil kira Terengganu yang lumpuh (selepas diberi peluang memerintah bermula pada PRU 1999), dan juga aura Pak Lah yang menyapu 90% kerusi Parlimen, Kelantan secara rasionalnya dilihat bertukar tangan pada PRU 2004.

Aura Tuan Guru Nik Aziz, dan calon PAS menang 2 undi di DUN Kemuning, dan 34 undi di DUN Kota Lama menyaksikan PAS bertahan dengan 24 kerusi, berbanding 21 untuk Umno. Yang menyelamatkan Kelantan daripada bertukar tangan adalah 36 pengundi!

Tidak lama kemudian, PAS kalah di kerusi Pengkalan Pasir, menjadikan PAS memerintah Kelantan dengan majoriti 1 kerusi. Kelantan terselamat fenomena bertukar kerajaan buat kali kelima. Sehingga saat ini.

Persoalannya, apakah Kelantan bakal menyaksikan pertukaran kerajaan untuk kali kelima dalam sejarah politiknya?

Artikel ini cuba melongkar polemik ini, dan membuat telahan mengambil kira faktor berikut; PRU14, badi 3 penggal; Krisis keyakinan, pusat dan negeri; Anak muda dan pengundi terapung; Amanah, pemain politik baharu.

PRU 2018, badi 3 penggal

PRU14 adalah penggal ketiga selepas PAS melalui saat getir pada PRU11 (2004). Jika PRU diadakan pada 2018, genaplah tempoh 14 tahun, sama kitarannya dengan PRU 1990-2004. Secara logiknya, kemungkinan bertukar kerajaan adalah tinggi.

Krisis keyakinan, pusat dan negeri

Sudah menjadi pengetahuan umum, Dato Seri Najib Razak kini berdepan segala macam persepsi rakyat bukan saja terhadap beliau, malah Umno dan kerajaan BN juga terpalit.

Tetapi, jangan dilupakan, di sebalik krisis keyakinan terhadap Najib dan Umno, kerajaan Kelantan juga berdepan dengan persepsi yang sama, keyakinan rakyat tidak begitu positif.

Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu banjir yang juga dikaitkan dengan isu balak, imej parti yang dilihat tercalar, boleh menjejaskan kedudukan PAS pada PRU14 nanti.

Anak muda dan pengundi terapung

Umum mengetahui, penentu kejayaan (atau kegagalan) kerajaan Kelantan terletak di tangan anak muda, pengundi pertama kali, dan juga pengundi terapung (floaters) yang tidak semestinya penyokong dan pengundi tegar mana-mana parti baik Umno atau PAS.

Rekod menunjukkan, asas pengundi tegar kedua belah parti PAS dan Umno di Kelantan sebenarnya sama kuat, dan sering memberi saingan hebat antara satu sama lain. Pada PRU 2004, beza antara pengundi PAS dan Umno seluruh Kelantan cuma 4,000 orang, kurang 1% daripada jumlah pemilih di Kelantan.

Untuk PRU14, dianggarkan pengundi tegar PAS dan Umno masing-masing 32%. Dan dianggarkan sejumlah 300,000 termasuk dalam kategori pengundi terapung yang belum tentu mengundi PAS atau Umno. Mereka ini terdiri pengundi pertama kali pada PRU14 nanti, serta pengundi pertama kali pada PRU13 lalu, dan sejumlah generasi reformasi, menjadikan mereka 36% daripada pengundi, satu angka yang cukup signifikan, dalam konteks politik Kelantan.

Angka 36% yang bakal memberi impak besar, sama ada kerajaan sedia ada kekal, atau sebaliknya.

Amanah, pemain politik baharu

Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah), hasil serpihan bekas ahli PAS dan gabungan badan atau individu yang tidak terikat dengan mana-mana parti sebelum ini, dilihat membawa sedikit kelainan di arena politik negara, khasnya di Kelantan. Dilihat kepada respons pengundi muda, progresif serta membawa slogan Islam, terutama keahlian terbesar parti setakat ini datangnya dari Kelantan, tidak mustahil parti baru ini akan memberi impak kepada landskap politik Kelantan.

PRU14: PAS 13, Umno 12, Amanah 11, 9 rebutan semua

Kajian awal Strata Centre menggambarkan senario sengit untuk PRU14. Umno dijangka kekal dengan 12 kerusi (hilang 3 kerusi, ditambah 3 kerusi baharu, kekal 12), manakala 13 kerusi PAS adalah selamat daripada rebutan mana-mana parti. Yang selebihnya 20 kerusi akan ditentukan pengundi muda, pengundi pertama kali dan pengundi terapung.

Hasil kajian juga membayangkan tidak mustahil Amanah bakal bertapak di Kelantan dengan 11 kerusi, manakala 9 kerusi selebihnya bakal menyaksikan rebutan 3 penjuru yang sengit.

Jadi, kemungkinan PAS 13 kerusi, Umno 12 kerusi, Amanah 11 kerusi dan 9 kerusi lagi bakal direbut oleh sesiapa saja, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Yang pasti, landskap politik Kelantan bakal berubah. Kita tunggu dan lihat.

Kemana Malaysia mahu dibawa? – Muammar Qaddafi

Slogan dan seruan perpaduan antara melayu mula berkumandang, parti parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (ngo) yang berasaskan kaum mula dilihat saling duduk semeja dan menyalakan semangat perpaduan antara melayu di Malaysia. Musuh tradisi antara dua parti tertua pun mula menghulur tangan kepada pimpinan parti yang disambut dengan gerak badan dan reaksi yang memberangsangkan.

Ngo dan parti politik yang pernah bermusuhan mula berbaik baik dan melupakan segala permusuhan lampau. Pun begitu adakah usaha ini akan membawa kebaikan kepada Malaysia? Atau disebalik teori indah perpaduan sebenarnya akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang porak peranda?

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mana didominasi tiga kaum terbesar iaitu melayu, cina dan india. Usaha penyatuan satu satu kaum sahaja pastinya tidak akan membawa kepada terbentuknya sebuah Malaysia yang harmoni. Sebagai sebuah negara majmuk, usaha perpaduan yang wajar digerakkan adalah perpaduan rakyat Malaysia yang merangkumi kesemua kaum bukannya hanya dikhususkan kepada kaum kaum tertentu sahaja.

Apa yang dibimbangkan adalah sekiranya usaha yang diniatkan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan kaum melayu akan menimbulkan lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan, apatah lagi jika usaha ini turut disertai kelompok pelampau melayu yang sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan pergaduhan antara kaum di dalam negara.

Selepas lebih 50 tahun merdeka, malang buat ibu rakyat negara ini iaitu Malaysia kerana kita "anak anaknya" masih tidak mampu hidup dengan harmoni antara satu sama lain, sikap saling curigai dan sentiasa mencari titik perbezaan.

Dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan yang teruk, rakyat juga menderita dengan kenaikan harga barang dan cukai cukai yang membebankan, apakah yang mampu "perpaduan ummah" ini sumbangkan dalam mengurangkan kemelaratan ini sedangkan punca dan ibu kepada segala kemelaratan rakyat adalah mereka yang turut gigih melaungkan perpaduan melayu?

Rakyat harus bertanya pemimpin mereka,
perpaduan ini untuk apa? Adakah untuk membentuk Malaysia yang gagah dipersada dunia, kalau ya bagaimana? Ataupun perpaduan ini adalah usaha untuk mengekalkan penguasaan parti politik penguasa hari ini, agar cina tidak akan memerintah Malaysia? Khurafat apa pula ini?

Insiden insiden yang melibatkan kaum di Malaysia semakin membimbangkan, baru sahaja reda isu pergaduhan di Low Yat, timbul pula pergaduhan di Kota Raya, kita hairan kenapa pergaduhan yang melibatkan beberapa individu boleh dimanipulasi sesetengah pelampau sebagai satu "perang" antara kaum, lebih malang apabila ia disambut segelintir rakyat Malaysia. Insiden terbaru ini juga seolah dirancang untuk memberi mesej kepada umum yang kaum cina ini menindas orang melayu, maka usaha perpaduan antara PAS dan Umno haruskan disegerakan.

Saya percaya yang negara kita perlukan sekarang adalah perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa,rakyat ini harus bersatu untuk membangunkan negara dan harus bersatu menolak anasir anasir yang boleh mengancam keharmonian negara seperti pelampau kaum dan agama, juga rakyat berbilang kaum harus diajak bersatu untuk menolak pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa. Amat malang buat negara jika seruan perpaduan yang dibuat hanya akan memanjangkan jangka hayat pemimpin dan penguasa yang rasuah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membicarakan soal bagaimana untuk memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di Malaysia, beliau membawa idea "li taarafu" yang dipetik dari Quran Karim yang menyeru untuk umat manusia yang diciptakan Allah berbilang bangsa ini untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain, perbezaan yang wujud kemudiannya kita bukan sahaja harus toleransi, sebaliknya gesa Anwar, kita harus saling hargai antara satu sama lain, barulah kita mampu untuk hidup harmoni dalam masyarakat majmuk ini. Saya hairan bagaimana seseorang yang didakwa sebagai ulama dan sekaligus seorang pemimpin islam, boleh terlepas pandang surah ini sebaliknya lebih selesa untuk menyeru pada penyatuan antara melayu yang mana di dalamnya ada lebai agama, ada alim ulama, tidak kurang ada perompak harta dan pelampau kaum dan agama, kemana mahu mereka bawa Malaysia ini?

Retorik pertemuan sedondon Najib-Hadi – Dr Maszlee Malik

Pertemuan sepentas 2 presiden bagi 2 aparti umat Islam terbesar di Malaysia di dalam acara Multaqa Alumni al-Azhar baru-baru ini menimbulkan pelbagai polemik dan perdebatan, sama ada di media arus perdana, hatta di media sosial.

Pakaian sedondon, nada ucapan yang seiring sekata, dan juga resolusi yang menjurus kepada ‘perpaduan’ di antara Umno dan PAS demi Islam dan bangsa Melayu memberikan impak yang cukup untuk 1001 spekulasi dan ramalan-ramalan dari warga Malaysia.

Di sebalik semua polemik yang ditimbulkan, seperkara yang perlu diakui ialah kedua-dua presiden Umno dan PAS tersebut berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh presiden Umno dan PAS sebelum mereka selepas era Tun Abdul Razak dan Datuk Asri Muda. Hal ini perlu diakui, dan kejayaan mereka perlu diiktiraf.

Mungkin ada yang ingin menyamakan pertemuan 2 presiden tersebut dengan perkongsian sepentas antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Datuk Fadzil Nor.

Dua pertemuan tersebut tidak sama, walaupun kedua-dua pertemuan itu menemukan presiden Umno dan PAS sepentas. Dalam pertemuan Dr Mahathir dan Fadzil, isu utamanya ialah isu Palestin. Penganjurnya pula ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Resolusinya pula ialah berkaitan isu Palestin yang pada waktu kini membuahkan hasil daripada pertemuan tersebut. Pertemuan Dr Mahathir dan Fadzil tidak membawa manifestasi politik, malah kedua-duanya tidak berpakaian sedondon dan tidak pula di kala reputasi politik Dr Mahathir sedang nazak.

Jika ada pihak yang sepatutnya mendapat kredit daripada pertemuan tersebut, maka Abim adalah pihak tersebut.

Pertemuan baru-baru ini memang membawa mesej dan motif politik. Tiada sesiapa dapat menafikan tema pertemuan 2 presiden berpakaian sedondon itu pun sarat dengan isyarat politik.

Malah, resolusi yang dikemukakan juga terang-terangan membawa implikasi politik. Mereka bukannya berbincang di atas isu keperluan kedua-dua parti melawan keganasan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) mahupun Bashar al-Asad di dalam multaqa tersebut.

Kedua-dua presiden juga tidak membicarakan tentang kematian demokrasi dan keadilan di Mesir yang dibunuh oleh rejim Jeneral al-Sisi yang disokong agamawan di universiti al-Azhar.

Mereka juga tidak berbincang tentang cara untuk menangani kemerosotan kualiti graduan al-Azhar mutakhir ini, terutamanya di dalam penguasaan bahasa Arab dan penguasaan ilmu dan alam akademik dan cara untuk mengatasinya.

Walaupun ketiga-tiga isu tersebut merupakan isu yang memerlukan input dan ketegasan alumni al-Azhar di Malaysia, namun kesemuanya tidak menjadi pokok perbincangan di dalam multaqa berkenaan.

Perkara pokok yang menjadi tema ucaptama kedua-dua presiden parti tersebut ialah usaha kerjasama Umno-PAS dan juga kepentingan politik Melayu-Islam bila mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang diasak hebat oleh pihak luar dan dalam partinya sendiri.

Pokoknya, pertemuan tersebut merupakan pertemuan politik yang membawa mesej politik yang jelas. Pertemuan tersebut bakal membawa satu anjakan paradigma di dalam PAS dan juga Umno.

Retorik teologi, ataupun penggunaan wacana agama di dalam menjadikan Umno di pihak yang salah, atau batil dan PAS di pihak yang benar, bakal berakhir dengan penerimaan kedua-dua presiden tersebut terhadap resolusi multaqa berkenaan.

Lebih menarik, amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang selama ini menjadi senjata Umno untuk membuktikan PAS adalah parti ajaran sesat, ataupun parti ekstremis dan pelampau agama juga akan lenyap dan senyap, dan mungkin hanya timbul apabila Umno terdesak pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya sahaja, jika ia diperlukan.

Apa yang pasti, kedua-dua parti yang dilihat daripada segi agama pada suatu waktu dulu sukar untuk bersama ataupun seia sekata kini dapat berkongsi aspirasi dan juga bersetuju untuk melakar masa depan demi kepentingan bersama.

Usah salah faham, persepakatan tersebut bukanlah membawa maksud meleburkan PAS untuk masuk Umno, ataupun membawa masuk PAS ke dalam Barisan Nasional (BN), itu tidak akan berlaku.

Tindakan berkenaan merupakan tindakan “kamikaze” bagi kedua-dua parti tersebut. Umno akan kehilangan rakan-rakan dari Borneo dan parti-parti komponen yang lain, manakala PAS akan kehilangan kerusi Exco di Selangor, dan juga kepentingan segelintir pimpinan mereka di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri tersebut juga.

Ianya pertaruhan yang tidak akan menguntungkan kedua-dua parti tersebut. Apa yang berlaku ialah kemenangan pihak Umno untuk tidak dilabel lagi sebagai pihak menentang agama, pihak yang mengkhianati dan penipu penyokong PAS.

Keuntungan bagi Umno juga ialah berakhirnya label-label bersalah daripada dimensi keagamaan yang sering PAS gunakan dahulu terhadap mereka. Keadaan tersebut akan memberikan kredit kepada Najib untuk menumpukan fokusnya melawan penentangan dari dalam Umno sahaja, terutamanya dari Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekutu-sekutu mereka.

Umno sedar, undi bukan Melayu merupakan “gone case” bagi mereka di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. Maka tumpuan perlu diberikan ialah untuk mengekalkan undi Melayu majoriti mereka yang membawa kepada kemenangan tipis lewat PRU13 yang lalu.

Pertemuan Najib-Hadi adalah merupakan satu usaha penegasan Umno serius di dalam menjaga kepentingan Melayu-Islam dan juga komitmen Umno di dalam melawan DAP dan sekutu mereka yang dicanangkan sebagai musuh Melayu-Islam dan agenda Melayu-Islam di Malaysia.

Keuntungan bagi pihak PAS pula ialah imej mereka kepada penentang tradisi parti berkenaan dari kawasan majoriti Melayu luar bandar akan segera pulih. Kebersamaan presiden PAS dan Najib akan memberikan isyarat positif kepada para pengundi tegar Umno-BN di kalangan Melayu luar bandar.

Congak-congak sesetengah pimpinan PAS, jika keadaan seperti ini berterusan, maka peluang lebih cerah untuk mereka mendapatkan undi Melayu jika Umno semakin berpecah menjelang PRU14 nanti.

Strategi PAS sedar, di dalam PRU14 nanti, undi bukan Melayu bukanlah sasaran mereka. PAS tidak akan mendapat sokongan dari bukan Melayu seumpama 2008 dan 2013 lagi. Maka, mereka perlu mengalihkan tumpuan kepada pengundi Melayu di luar bandar. Maka pertemuan Najib-Hadi merupakan pertaruhan awal ke arah tersebut.

Persoalan yang bermain di minda semua rakyat Malaysia, ke arah manakah persefahaman Umno-PAS yang baru ini? Apakah langkah seterusnya? Apakah hasil dan impak ketara yang boleh dilihat di dalam waktu terdekat ini?

Apakah kesannya terhadap segala skandal dan isu yang sedang dihadapi oleh Najib kini? Apakah kesan persefahaman ini sekadar menyemarakkan lagi retorik kesatuan Melayu-Islam dengan mengetepikan isu utama di dalam politik seperti isu-isu tata kelola?

Isu skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), isu kegagalan teruk projek ternakan lembu suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang memakan ratusan juta duit rakyat, isu ringgit yang jatuh teruk? isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kenaikan taraf hidup rakyat ketika pendapatan isi rumah tidak bertambah?

Isu bauksit di Pahang yang mengancam kesejahteraan rakyat dan alam sekitar, isu Rang Udang-undang MKN yang bakal menyaksikan kuasa eksekutif yang tidak terhingga, isu keterlibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Isis, dan juga pelbagai lagi isu lain yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat teramai di Malaysia?

Apa yang pasti, di Malaysia ini, naratif agama dan bangsa yang diwujudkan merupakan satu elemen penting yang dapat melarikan tumpuan rakyat dari isu sebenar yang mereka hadapi. Selagi keadaan seperti ini berterusan, semakin jauhlah harapan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju dan warga berminda kelas pertama menjelang 2020.

PAS dan Putrajaya – Muammar Qaddafi

Kenyataan terbaru Rafizi Ramli mengatakan pakatan pembangkang memerlukan PAS untuk ke Putrajaya adalah berasas, mereka memerlukan setiap 1 undi untuk memastikan Umno Barisan Nasional (BN) tersungkur pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Permainan persepsi tidak mampu untuk mengatasi angka bila kita mahu berdepan Umno BN.

Walaupun perkembangan Parti Amanah Negara (Amanah) lihat sungguh cemerlang, namun sukar untuk Amanah terus menjadi gergasi dalam arena politik negara. Keberadaan PAS dalam arena selama lebih 50 tahun pastinya mempunyai kekuatan sendiri.

Analisis politik Nazri Noor dalam The Malaysian Insider tidak lama dulu pun menyatakan PAS mempunyai 15% undi tegar, angka cukup besar untuk memastikan BN tumbang di tangan pakatan. Namun kita perlu jelas angka 15% angka yang tidak signifikan jika PAS bergerak sendirian namun masih bercita cita menawan Putrajaya.

Tindakan PKR yang masih mahu PAS terus bersama pakatan pembangkang bukanlah untuk survival politik sebaliknya meningkatkan peluang menumbangkan Umno BN pada PRU14 kelak. Pakatan Harapan hari ini adalah parti masa depan yang mempunyai daya tahan tinggi untuk kekal relevan pada masa akan datang namun hadapi sedikit kesukaran menembusi majoriti pengundi berdaftar dan meyakinkan kepada mereka "anda perlu undi kami demi masa depan negara yang lebih baik".

Persoalan "mahu" bukanlah tepat untuk menggambarkan sikap PKR kepada PAS,sebaliknya ia lebih kepada "perlu". Kalau diikutkan kata "mahu", mustahillah PKR tetap mahu bersama PAS yang sangat banyak rekod membelakangi PKR, rujuk saja isu pertindihan calon pilihan raya lepas di beberapa kerusi DUN termasuk 3 di negeri presiden PAS.

Tidak lupa juga pendedahan tokoh PKR, 6 wakil PAS termasuk pimpinan tertinggi hari ini yang berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum PRU lalu mengatakan hasrat mereka untuk menjadikan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 lalu.

Tindakan PAS membelakangkan PKR terus menerus berlaku selepas PRU13 termasuklah ketika berlakunya kemelut politik Selangor, PAS bertindak menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim yang cuba diturunkan PKR daripada jawatan menteri besar Selangor setelah menerima banyak rungutan wakil rakyat Selangor dek polisi kewangan beliau yang terlalu "berjimat".

PAS juga secara terbuka menolak Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baru menggantikan Khalid. Tindakan PAS membelakangkan PKR berterusan setelah Anwar dipenjarakan dan berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, pimpinan tempatan PAS secara terbuka menolak Wan Azizah yang didakwa menolak hudud bawaan PAS.

Sikap PAS terhadap PKR hanya berubah selepas berlaku perpecahan besar dalam Pakatan Rakyat dan DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS serta wujudnya Amanah iaitu parti yang ditubuhkan kumpulan profesional PAS yang tersingkir secara total menjelang muktamar Julai lepas dan seterusnya membawa kepada usul putus tahaluf bersama DAP diluluskan tanpa bahas.

PAS mula "berbaik-baik" dengan PKR dan menegaskan komitmen mereka bersama Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS dan PKR, pun begitu parti Islam itu masih terus menerus menjadikan DAP dan Amanah sebagai sasaran serangan mereka.

PKR kini sebuah parti yang menyertai 2 gabungan sekali gus dalam satu masa iaitu Pakatan Rakyat bersama PAS dan Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah. PKR sedaya upaya untuk menjadi parti yang membina bukannya parti meruntuhkan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang walaupun usaha untuk menyatukan kembali PAS dan DAP/Amanah dilihat sudah mustahil hari ini.

Usaha PKR perlulah dihormati rakan pakatan termasuk oleh DAP dan Amanah, pun begitu penulis berharap PKR bersiap sedia dengan segala kemungkinan termasuk sekali lagi dibelakangi PAS, kesilapan lalu harus menjadi pedoman buat PKR agar tidak berulang, PKR juga harus ajar rakannya dalam Pakatan Rakyat erti "give and take", disiplin dan penting setiap keputusan diambil parti sendiri seharusnya tidak akan merugikan rakan parti lain dan pentingnya menghadiri setiap mesyuarat bersama dan akur dengan keputusan mesyuarat yang dibuat bersama.

Saturday, December 12, 2015

Najib, jadilah negarawan sejati, bukan seorang pseudo demokrat – Nazri dan Mustaqim

Salah satu ciri seorang ahli politik yang berjiwa besar adalah, selepas terpilih sebagai wakil rakyat, beliau seharusnya berfikir sebagai seorang negarawan.

Berbeza dengan sistem Indonesia atau Amerika Syarikat (ketua negara mereka dipilih secara langsung oleh rakyat), perdana menteri kita dilantik berdasarkan protokol beliau sebagai ketua parti beliau yang menang mudah dalam sistem pilihan raya.

Selepas sah dilantik sebagai perdana menteri, beliau berperanan sebagai perdana menteri untuk seluruh rakyat, bukan untuk partinya sahaja.

Demi mengabsahkan legitimasi beliau sebagai perdana menteri untuk semua, beliau harus dilihat mewakili semua lapisan masyarakat, merentasi sempadan parti politik.

Perdana Menteri sebagai pejuang demokrasi

Bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, seorang Perdana Menteri bukan sahaja harus faham dan memperjuangkan prinsip demokrasi, tetapi harus dilihat memperjuangkan dan mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi.

Salah satu tunggak utama prinsip demokrasi adalah konsep “suara rakyat, kuasa rakyat”.

Ironinya dalam ucapan perdana menteri di Perhimpunan Agung Umno 2015 yang sedang berlangsung, presiden Umno itu menyatakan beliau tidak sesekali membenarkan mana-mana individu tertentu untuk melaksanakan sistem dwi-parti.

Perdana menteri juga menasihati perwakilan dan ahli Umno untuk tidak terperangkap dengan sistem dwi parti tersebut.

Penolakan serta ancaman terhadap pihak yang ingin mewujudkan sistem dwi-parti secara jelasnya menunjukkan beliau mengalami masalah kecelaruan pemahaman terhadap prinsip demokrasi dan nilai inklusif.

Demokrasi dan sistem semak dan imbang

Berbeza dengan sistem diktator dan rejim, cantiknya sistem demokrasi ialah ia memungkinkan hidupnya elemen semak dan imbang.

Blok pembangkang seperti PKR, DAP, dan Amanah merupakan parti yang disahkan penubuhannya serta operasinya diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Maka jika blok pembangkang tersebut bercadang untuk membentuk satu kesatuan ke arah sistem dwi parti yang berdaftar melalui RoS, maka ia bukanlah bercanggah dari segi undang-undang dan prinsip demokrasi.

Bahkan Barisan Nasional (BN) sendiri yang “inklusif” juga membentuk kesatuan bersama 13 parti komponen di bawah satu jenama.

Oleh itu, mengapa memilih kaedah inklusif terpilih dengan menafikan gabungan parti lain dalam satu jenama atas nama prinsip demokrasi.

Maka, usaha pencabulan terhadap prinsip demokrasi menunjukkan prinsip tersebut sekadar retorik dan bercanggah dengan gaya kepimpinan demokratik.

Hakikatnya Najib tidak pernah memahami demokrasi sebaliknya beriman dengan konsep demokrasi palsu atau “pseudo-democracy”.

Indikator preudo-democracy dapat diukur melalui kewujudan oligarki iaitu apabila sebilangan kecil individu menguasai sesebuah negara.

Maka, perdana menteri termasuk dalam ciri oligarki tersebut kerana beliau ditolak oleh veteran Umno, pemimpin Umno di pelbagai lapisan serta menjadi punca kepada kegagalan BN mendapat undi popular dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Tanpa dwi-parti, tidak ada ‘raison d'être’ buat Umno

Sistem dwi parti memberi jaminan terhadap semak imbang kuasa dalam pentadbiran serta mendukung nilai akauntabiliti serta ketelusan tersebut disanggah begitu sahaja.

Ianya umpama senjata dua mata. Jika disalah guna, harus melukakan tuan badan.

Kecenderungan Perdana Menteri terhadap sistem “single party”, buruk padahnya pada Umno. Umno sudah hilang sebab untuk wujud, “raison d'être” nya.

Dan adalah lebih baik jika Umno dibubarkan sahaja di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Dan ketika PRU2008 dulu, di Kedah dan Perak juga.

Malah, di Malaysia juga kerana Umno sudah hilang legitimasi akibat ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

Itulah hakikat pahit yang harus ditelan kerana Umno sudah hilang kelayakan untuk memerintah negara di samping menolak proses ke arah sistem dwi parti.

Demokrasi, transformasi dan ‘pseudo-democracy’

Herodotus menyebut “Democracy has fairest of all descriptions-equality in law. Offices are filled by lot, power is held accountable, and all questions are put up for open debate (Histories).

Persoalannya kini, adakah konsep demokrasi pada zaman “1 Malaysia” dan zaman slogan “transformasi” dilaungkan ini sudah berubah daripada idea awal demokrasi pada zaman Herodotus pada abad ke-5 sebelum Masihi dulu?

Jika benar berjayalah program transformasi yang dijayakan oleh perdana menteri sehingga berjaya mentransformasikan prinsip demokrasi.

Jika telahan ini silap maka pilihan yang ada adalah, Perdana Menteri tidak memahami prinsip demokrasi atau cuba mengaplikasikan konsep “pseudo-democracy” dalam pentadbiran.

Tepuk dada, tanya perdana menteri!

Perdana menteri, jadilah seorang negarawan sejati. Jangan jadi seorang Pseudo Demokrat.

Friday, December 11, 2015

Surat terbuka buat wakil Mahasiswa Nasional Umno 2015 – Wan Salman Wan Sallam

Ke hadapan saudara Muhammad Farhan Khairuddin,

Saya, Wan Salman Wan Sallam, sahabat mahasiswa saudara baru sahaja membaca sebuah laporan (http://www.bharian.com.my/node/104166) daripada portal berita terkemuka Malaysia, Berita Harian yang memberitahu saudara mencadangkan agar pensyarah-pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menimbulkan sentimen menolak Barisan Nasional (BN) dipantau agar tidak mempengaruhi pelajar lain.

Sebelum menyambung curahan hati saya tentang pandangan saudara ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan saudara dalam pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini selain dipilih sebagai presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM bagi sesi baru ini.

Malah saya juga cukup berbangga dengan saudara kerana diangkat sebagai ikon mahasiswa nasional untuk Perhimpunan Agung Umno 2015 ini. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjadi contoh teladan kepada mahasiswa lain dalam sebuah parti yang amat bersejarah dalam penubuhan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Tidak cukup dengan itu, dalam ketika Umno lebih banyak memperlihatkan muka lama, saudara diberi peluang menyinar dalam acara tahunan Umno yang penuh gilang-gemilang ini. Sepatutnya, lebih ramai anak muda mencontohi saudara dalam mengetengahkan bakat mereka dalam aktivisme masyarakat dan politik kerana mahu tidak mahu, mereka juga yang bakal mengganti kepimpinan hari ini.

Sungguhpun begitu saudara Farhan, tahukah saudara betapa sukarnya jalan mahasiswa ini apabila mereka punya idealisme dalam isu-isu tertentu? Jalan mereka ini menjadi sukar kerana mereka memilih berlainan pendapat dengan kebanyakan keputusan dan dasar kerajaan yang memerintah hari ini dan parti-parti mereka.

Saudara Farhan yang saya kasihi kerana Allah,

Benar, saya juga tidak bersetuju apabila ada pensyarah yang sewenang-wenangnya menggunakan pentas akademik dalam kuliah mereka untuk mempengaruhi mahasiswa untuk menolak satu-satu parti atau pihak. Mereka sebagai ahli akademik perlu profesional dan mengutamakan nilai dalam membicarakan idea, bukan sentimen dan pendapat peribadi tidak berasas semata-mata.

Namun begitu saudara, saya suka ingin mengajak saudara mempertimbangkan satu hal; tidakkah saudara juga mahu mencadangkan agar pensyarah-pensyarah yang menimbulkan sentimen menolak Pakatan harapan dan parti-parti bukan komponen BN dipantau juga?

Jika kita pertimbangkan premis di atas, seharusnya kita berlaku adil dalam menetapkan etika penyebaran idea-idea akademik; politik khususnya dalam hal ini. Tidak mengapa, saya serahkan kepada saudara sendiri untuk menjawabnya.

Selain itu saudara Farhan, tahukah saudara jalan saudara untuk berkempen dan berucap dalam parti yang disertai saudara jauh lebih mudah berbanding mereka yang memilih untuk berada pada jalan lain?

Saudara hari ini dengan bangganya bebas malah diangkat pimpinan parti untuk berucap atas nama anak muda, tetapi pimpinan teratas sebuah pertubuhan pelajar pula dipanggil oleh pihak atasan universiti mereka malah menggesa mereka menghentikan aktiviti mereka.

Mereka belum pun sempat mengutarakan idea mereka, terus digesa berhenti melakukan sedemikian. Tidakkah saudara rasa ini sesuatu yang amat tidak adil malah menganiaya mahasiswa?

Tidak cukup dengan itu, sedarkah juga saudara tatkala pelajar luar negara boleh menyertai Kelab Umno luar negara malah berbangga menyertainya, mereka yang menyertai parti lain terpaksa merahsiakan keahlian mereka kerana layanan berbeza terhadap mereka? Bilakah pernah kita mendengar adanya “Kelab PAS luar negara” yang boleh mempromosi aktiviti mereka seberani Kelab Umno luar negara?

Jika benar mahasiswa tidak dibenarkan menyertai politik secara umumnya, mengapa Umno boleh, yang lain pula tidak boleh?

Saudara Farhan yang saya sayangi,

Bukanlah niat saya di sini ingin menolak saudara secara totok, jauh sekali menimbulkan sentimen terhadap Umno yang punya jasanya sendiri walau saya punya banyak percanggahan idea dengan parti itu.

Tetapi saudara Farhan yang saya anggap seperti “abang” dalam aktivisme mahasiswa, saya ingin melahirkan kebimbangan dalam lubuk sanubari saya yang terdalam terhadap kebebasan mahasiswa dalam beraktivisme dan kebebasan mereka memilih idea-idea tertentu selagi tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya menjamin hak rakyat negara tercinta ini.

Sungguh, saya berasa amat bangga apabila akhirnya Umno berani mengetengahkan anak muda seperti saudara untuk berucap di hadapan perwakilan parti segenap usia. Pencapaian saudara ini pastinya akan mengobarkan lagi semangat mahasiswa lain untuk mereka menyumbangkan tenaga mereka demi bangsa, agama dan negara mereka ke arah lebih baik.

Tetapi jika kelahiran idea mereka dihalang malah lebih teruk, mereka dipaksa menghentikan aktivisme mereka hanya kerana berlainan pendapat dengan parti pemerintah semasa, hal ini boleh menyebabkan terbunuhnya keberanian mahasiswa itu bagi memberi idea yang baik demi kesejahteraan negara.

Malah sekatan-sekatan seperti ini juga pastinya akan menyekat ruang dan peluang persaingan dan perkongsian idea yang sihat antara mahasiswa. perkongsian dan persaingan yang sihat berasaskan hujah yang fakta dan akademik inilah juga yang sepatutnya menjadi nilai dan pegangan mahasiswa, sesuai dengan status mereka di gedung ilmu yang bukan semata-mata tempat mencari cinta remaja dan ponteng kelas semata-mata.

Sehubungan itu saudara Farhan, saya daripada Sekretariat Masyarakat Madani, Ikram Siswa Nasional ingin mengajak saudara mempertimbangkan masalah-masalah yang dihadapi mahasiswa-mahasiswa ini.

Malah saya juga menjemput saudara untuk mengadakan perbincangan bersama kami dan juga presiden dan JK Politik Kampus kami agar kita sama-sama dapat menyelesaikan kemelut ini agar karakter dan bakat mahasiswa tidak terbunuh dek sentimen murahan dan kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu baik daripada golongan propembangkang mahupun prokerajaan.

Sekian sahaja coretan saya buat saudara untuk kali ini. Moga kita sama-sama berjaya memaksimumkan kesedaran aktivisme mahasiswa di kampus agar kepimpinan baharu negara ini dicorakkan dengan nilai dan adab serta idea yang mantap. Moga kita sama-sama sempat melihat Malaysia ini sembuh daripada konflik dan masalah walau pada jalan mana pun kita bergerak, insya-Allah.

Khurafat politik Melayu 3: Jika Umno kalah, DAP perintah – Nazri Noor dan Jufazli

"Umno pecah, DAP perintah. Umno kalah, DAP menang. Umno lemah, DAP kuat. Dan juga boleh juga ditafsir sebagai jika Umno kuat, DAP lemah. Gambaran yang cuba diberi ialah Umno sekarang sedang tergugat dan DAP sedang mengasak. Umno menuju kelemahan dan DAP semakin menuju kekuatan."

Satu khurafat dalam pelbagai variasi kalimah yang sering diwiridkan kepada orang Melayu. Malah wirid sebegini masih segar dan hidup sehingga hari ini yang diratibkan bukan saja ketua Pemuda, Wanita, malah presiden sebuah parti yang sedang berkumpul pada minggu ini.

Artikel ini cuba merungkaikan polemik ini dan membuktikan ini semua tidak lebih daripada satu khurafat yang melencong, dan juga sebenarnya bukan saja satu lencongan (daripada isu sebenar) tetapi juga boleh dibuktikan perkara sebaliknya yang menjadi realiti.

Fakta 1: Kerusi yang dimenangi DAP dan 'dap BN' sama kuatnya.

Bagi Umno, musuh orang Melayu ialah DAP. Dan siapa bukan Melayu/Islam dilonggokkan sebagai 'DAP'.

Ya, betul, dalam Pakatan Rakyat ada DAP. Tapi jangan dilupai, dalam BN ada komponen MCA, MIC, Gerakan, PPP, SUPP, LDP, SAPP, SPDP, PBRS, PRS, PBS dan UPKO. Jangan dilupai juga PBB yang bukan Islam. Mereka ini adalah komponen bukan Melayu bukan Islam dalam BN, tak banyak beza dgn DAP. Jadi mengikut formula Umno, mereka ini semua layak dilabel 'DAP'. Jadi untuk konteks ini, kita bezakan istilah DAP (di sebelah PR) dengan 'dap BN' (di sebelah BN).

Pada PRU2013, DAP Berjaya meraih 38 kerusi. Bagaimanapun, selepas kalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, DAP tinggal 37 kerusi.

Di sebelah BN pula, jika dicampur semua kerusi 13 komponen 'dap BN' tersebut, jumlahnya juga 37. Perbandingan mudah boleh digambarkan dengan grafik berikut:

Graf perbandingan kerusi DAP dan 'dap BN'



Jadi 'dap BN' sebenarnya sama kuat dengan DAP. Kalau DAP yang Umno anggap sebagai ancaman kepada negara, Umno juga perlu anggap 'dap BN' sebagai musuh harus dinyahkan. Jadi kalau Umno merasakan diri mereka sedang lemah, dan 'DAP' sedang menguat, Umno secara tidak langsung membayangkan 'dap' dalam BN juga sedang menguat.

Dalam keghairahan Umno ingin mengehadkan kuasa dan kerusi DAP, Umno sebenarnya bersekongkol membiarkan 'dap BN' membolot kerusi.

Fakta 2: Pembahagian kerusi 'dap BN' yang lagi lumayan berbanding DAP.

Pada PRU2013, bahagian yang dituntut DAP untuk bertanding di atas platform PR ialah 51 kerusi. Ditolak 3 calon Melayu (yang mengikut formula Umno, bukan DAP yang original), jumlah yang 'betul-betul DAP' ialah 48 kerusi, bersamaan 22%.

Manakala di sebelah BN, peruntukan untuk calon bukan Melayu bukan Islam ialah 91 kerusi, bersamaan 41%.

Untuk PRU2008 pula, bahagian dituntut DAP untuk bertanding ialah 47 kerusi, bersamaan 21%, manakala di sebelah BN, Umno bermurah hati memberi peruntukan sebanyak 43% kepada komponen 'dap BN', dua kali ganda berbanding apa yang diperuntukkan PR kepada DAP.

Ini boleh digambarkan dengan grafik berikut:

Graf perbandingan peruntukan kerusi yang dipertandingkan untuk DAP dan 'dap BN'



Dalam keghairahan Umno ingin mengekang kuasa DAP, Umno sebenarnya menganugerahkan pembahagian kerusi begitu mewah kepada 'dap BN'. Seperti d sentuh dalam siri sebelum ini, dengan demografi umat Islam kita sebanyak 61%, rasional kuota pembahagian kerusi seharusnya minima 61% untuk Islam, dan maksima untuk bukan Islam cuma 39%. Tetapi Umno amat bermurah hati mengorbankan kuota kerusi Melayu/Islam kepada rakan 'dap BN' mereka, berbanding kes PR, kuota kerusi DAP cuma di tahap 22%, jauh lebih rendah daripada 39%.

Fakta 3: Bila Umno kuat, 'dap BN' yang kuat.

Umno membawa naratif mereka perlukan mandat yang besar, untuk menjadi kuat. Bila Umno kuat, secara naturalnya, DAP akan lemah.

Tetapi fakta dan sejarah membuktikan, pada zaman era keemasan Umno daripada PRU1986 hingga PRU2004, Umno-BN berkuasa dengan purata 80% kerusi di parlimen, 'dap BN' juga semakin kuat. Pada kemuncak kegemilangan Umno-BN dengan 90% kerusi pada PRU2004, 'dap BN' juga sangat dominan dengan 72 kerusi.

Jadi, hujah menguatkan Umno demi untuk melemahkan DAP sebenarnya tidak terjadi. Terbukti, di kala Umno cukup dominan, 'dap BN' juga sangat dominan. Jadi bertambah kuatnya Umno tidak membawa apa-apa manfaat untuk mengekang baik DAP di luar BN atau 'dap dalam BN'.

Fakta 4 : DAP perlu dapatkan 61 kerusi untuk memerintah

Pada PRU2013, pembahagian kerusi untuk dipertandingkan antara parti komponen Pakatan Rakyat adalah: PKR 99, PAS 73, DAP 51.

Umum mengetahui, daripada 51 kerusi yang dipertandingkan, DAP cuma menang 38, yang kemudian menjadi 37 setelah kehilangan kerusi Teluk Intan dalam PRK.

Tuduhan yang sering di gemburkan kepada orang Melayu ialah, jika Umno kalah, DAP akan memerintah Malaysia (dan juga layak menjadi perdana menteri). Ditakdirkan, DAP cukup kuat dan semua DAP berjaya membolot kerusi majoriti pengundi Cina yang ditandingi, maksimum kerusi milik DAP cuma 51. Orang Melayu tidak sepatutnya risau dengan 51 kerusi yang sememangnya milik majoriti Cina ini, tetapi lebih utama untuk difikirkan ialah, ke mana perginya 171 kerusi yang tidak dimiliki DAP. Dan persoalan lebih penting ialah, jenis Melayu/Islam bagaimana yang orang Melayu harus hantar ke Putrajaya untuk mentadbir harta dan khazanah negara, dan menentukan masa depan anak cucu kita.

Dalam sistem majoriti mudah cara Malaysia, mana-mana pihak yang mendapat 112 kerusi dikira pemenang, dan layak menerajui tampuk pemerintahan.

Rakyat biasa pun tentu maklum, DAP tidak mampu berbuat apa-apa dengan 55 kerusi. Mereka masih memerlukan 61 kerusi yang terpaksa dirunding dengan mana-mana parti lain untuk ke Putrajaya. Paling tinggi status DAP selaku rakan kongsi minoriti dalam gabungan baru, jauh sekali menjadi parti majoriti, dan amat jauh sekali untuk layak menjadi perdana menteri. Itu pun kalau dibenarkan perlembagaan.

DAP hantu kepada Umno dan orang Melayu hantu adalah sesuatu yang sinonim dengan budaya dan kepercayaan orang Melayu.

Ringkasnya, segala wirid khurafat tentang bahayanya ancaman DAP jika Umno kalah, adalah satu ratib palsu yang diratibkan untuk menakutkan orang Melayu. DAP umpama hantu yang tidak ada jasad, dan tidak ada kaki, tetapi cukup gerun dan berkesan untuk menakutkan orang Melayu, dan terus mengundi Umno.

Terbukti wirid jika Umno lemah, DAP akan kuat adalah sesuatu yang melencong, dan DAP adalah satu lencongan untuk menakutkan orang Melayu. Dan terbukti juga, walaupun Umno bertambah kuat, 'dap BN' sebenarnya yang menjadi lebih dominan.

Untuk teman yang sedang bersidang, tidak lupa diucapkan selamat “berPAU”.

Khurafat politik Malaysia 2: Islam/Melayu cuma terbela di bawah Umno/BN sahaja – Nazri Noor dan Jufazli S.A

“Islam/Melayu cuma terbela di bawah Umno-Barisan Nasional, dan cuma Umno-BN yang mampu membela Islam/Melayu”. Antara satu lagi wirid khurafat yang sering diratibkan kepada orang Melayu.

Artikel ini cuba merungkai keserabutan polemik khurafat di atas, dan cuba membuktikan ianya satu yang karut dan melencong. Malah artikel ini akan cuba membuktikan realiti dan fakta sebaliknya.

Fakta 1: Melayu/Islam tidak dominan di zaman Umno-BN dominan

Statistik demografi umat Islam di Malaysia ialah 61.3%, boleh di gambarkan dengan grafik berikut;

Sumber: google image

Dari grafik di atas, bolehlah ditafsikran secara logik dan rasionalnya, jumlah perwakilan wakil rakyat Melayu-Muslim di Dewan Rakyat seharusnya ditahap 61%, secara minima. Pencapaian mana-mana pihak di bawah indikator skala demografi 61% ini boleh dikira sebagai gagal atau below par.

Bagaimanapun, fakta dan data membuktikan sejak sekian lama, dari Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1986 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, peratusan wakil rakyat muslim secara purata berada di tahap 56%. Tidak pernah melepasi had 60%.

Dan umum sedia maklum, tempoh 1986 hingga 2004 inilah tempo era keemasan politik Umno-BN yang mendominasi Dewan Rakyat yang secara purata menguasai melebihi 80% perwakilan di Parlimen. Hatta ketika di puncak kegemilangan Umno-BN pada PRU2004 dengan 90% kerusi, suara Melayu/Islam cuma berada di tahap 57%.

Ini membuktikan peruntukan quota 61% perwakilan Muslim di Dewan Rakyat tidak pernah tercapai dan kemungkinan tidak pernah menjadi agenda perdana perjuangan Umno-BN. Dan terbukti Umno-BN tidak pernah bersuara tentang suara Islam/Melayu untuk tempoh 5 penggal mereka mendominasi politik negara.

Fakta 2: Melayu/Islam lebih menonjol bila Pakatan Rakyat mula dominan

Peratus perwakilan suara Melayu/Islam berjaya mencapai tahap 60% untuk pertama kali pada PRU2008. Umum mengetahui PRU2008 menyaksikan Pakatan Rakyat yang utuh memberi saingan yang hebat dan Umno-BN diasak secara serious untuk pertama kali dalam sejarah percaturan politik tanah air. PR berjaya menawan 82 kerusi parlimen, berbanding BN 140 kerusi.

PR terus mara dan Umno-BN terus diasak pada PRU2013, menyaksikan buat pertama kali Umno-BN kalah kiraan undi popular ketinggalan di belakang PR.

Dan buat pertama kali dalam sejarah, peratus perwakilan suara Melayu/Islam di Dewan Rakyat mencecah angka 61%, yang setaraf dengan kadar demografi peratusan orang Islam 61% yang digambarkan dalam grafik di atas.

Ini hanya dicapai setelah PR makin utuh, dan Umno-BN mula hilang dominasi politik dan undi popular mereka. Besar sekali bezanya dengan zaman Umno-BN mendominasi politik negara, di mana tahap pencapaian cuma 56%.

Ini membuktikan Melayu/Islam sebenarnya tidak dominan semasa Umno-BN kuat, tetapi sebaliknya suara Melayu/Islam lebih dominan di zaman Umno-BN merosot dan PR mula utuh.

Fakta 3: Umno tidak serious menampilkan calon wakil rakyat Muslim

Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, satu perbandingan dibuat antara bilangan calon yang diketengahkan Umno-BN berbanding calon PR, boleh digambarkan seperti berikut;




(sumber : google image)

Dari grafik di atas, beberapa pemerhatian dan rumusan berikut boleh dianalisis;

• PR lebih terkehadapan dan lebih serious dalam aspek menonjolkan calon-calon Melayu-Muslim berbanding parti Umno-BN. Umno-BN ketinggalan 10% di belakang PR dalam aspek mengenengahkan calon wakil rakyat Melayu-Muslim. Ini membuktikan Umno-BN sebenarnya tidak serious dalam usaha untuk menonjolkan suara perwakilan Melayu/Islam, berbanding apa yang dibuktikan PR.

• Secara hipotetikal, jika ditakdirkan kesemua calon muslim Umno-BN menang kesemua kerusi yang mereka tandingi, dan kesemua calon muslim pakatan pembangkang kalah semua kerusi yang mereka tandingi, hasilnya seramai 131 orang wakil Melayu/Islam akan diwakili di Parlimen, bersamaan 59%. Masih belum mencecah angka 60%.

Sebaliknya, jika ditakdirkan kesemua calon muslim PR memenangi kerusi yang mereka tandingi, dan kesemua calon muslim Umno-BN kalah di kesemua kerusi yang mereka tandingi, hasilnya seramai 145 orang wakil Melayu/Islami diwakili di Parlimen, 14 orang lebih ramai dari senario kesemua calon muslim Umno-BN yang menang.

Dan yang lebih utama, 145 suara bersamaan 65%, jauh mengatasi kadar minima demografi 61% yang disebutkan di atas.

Rumusannya, quota minima 61% demografi muslim cuma boleh tercapai dan dikekalkan dalam situasi dimana PR lebih utuh dan dominan, berbanding dengan situasi Umno-BN yang dominan dimana peratusan suara Melayu/Islam tidak pernah mencecah 60%.

Pendeknya, suara Melayu/Islam akan lebih terbela dan dominan bilamana PR lebih utuh. Dan usaha mengaitkan Islam/Melayu akan lebih terbela cuma di bawah Umno-BN adalah satu lencongan pemikiran dan khurafat palsu yang perlu diperbetulkan dari minda orang Melayu.

Thursday, December 10, 2015

Khurafat politik Melayu dan masa depan politik Malaysia – Nazri Noor dan Jufazli S.A

Pengundi Melayu umumnya sering dalam dilema.

Kebanyakan mereka sering tersepit di antara gesaan ingin ‘menyahkan’ Umno/Barisan Nasional, atau berdepan dengan risiko kedudukan dominasi Melayu-Islam akan terhakis jika Umno/BN lemah atau tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Saban hari, orang Melayu sering diwiridkan dengan segala macam khurafat politik. Antara wirid kegemaran yang sering dipaparkan di muka akhbar dan kaca televisyen ialah, “Jika pembangkang kuat, suara dan hak Melayu dan Islam akan tergugat”.

Rencana ini cuba merungkai polemik ini dan cuba membuktikan khurafat sedemikian adalah mengarut dan melencong. Malah cuba dibuktikan di sini, fenomena yang sebaliknya akan berlaku dalam scenario jika Umno/BN kecundang pada PRU ke-14.

Trend 7 musim Pilihan Raya Umum, peratusan ahli Parlimen Muslim di Dewan Rakyat yang semakin bertambah.

Pusat kajian STRATA Centre memperincikan data untuk 7 musim pilihan raya dari Pilihan Raya Umum (PRU) 1986 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Kajian tersebut bertujuan untuk mengkaji hubungkait (korelasi) antara jumlah peratusan kerusi yang dimenangi Umno/BN, berbanding jumlah peratusan kerusi ahli Parlimen muslim (Melayu-Muslim/Bumiputera-Muslim Sabah & Sarawak) yang mengisi Dewan Rakyat.

Hasil kajian boleh diringkaskan dan digambarkan secara grafik mudah seperti berikut;




Graf korelasi kerusi Umno/BN vs suara Islam di Dewan Rakyat. Garisan biru untuk jumlah kerusi Umno/BN dan garisan oren untuk jumlah kerusi wakil rakyat Muslim.

Grafik di atas boleh memahamkan kita kepada beberapa rumusan;

• Untuk 5 musim Pilihan Raya Umum (PRU 1986 sehingga PRU 2004), peratusan wakil rakyat muslim (garisan warna oren) sentiasa kekal di bawah paras 60 peratus dengan purata 56.2 peratus.

• Bagi tempoh tersebut, Umno/BN sememangnya memang diiktiraf parti yang cukup kuat dan dominan, dengan purata dominasi kerusi di Parlimen tidak kurang dari 80 peratus (garisan warna biru pekat).

• PRU 2004 menyaksikan ‘fenomena Pak lah’ yang mana Umno/BN membolot 90 peratus dari kerusi Parlimen. Umno/BN mencapai lompatan 14 peratus tambahan kerusi di Parlimen. Walau bagaimanapun, jumlah wakil rakyat muslim masih berada di tahap 57 peratus sahaja. Hal ini menunjukkan tidak ada peningkatan peratusan ahli Parlimen muslim yang memenangi PRU 2004 berbanding PRU 1999. Penambahan ketara kerusi Umno/BN di dalam Dewan Rakyat tidak membawa apa-apa perubahan kepada peratusan kemenangan kerusi wakil rakyat dan suara muslim pada 2004.

• Umumnya mengetahui, sejak sekian lama, Umno/BN mendapat sokongan padu dari pengundi Cina dan pengundi India di Malaysia. Sejak sekian lama, isu ketuanan melayu dan polemik hilang atau kurangnya suara wakil rakyat melayu tidak pernah dijadikan bahan wirid. Namun, tsunami pengundi Cina (dan India) yang bermula pada 2007 merubah keadaan. Pengundi majoriti daripada kaum Cina dan India tidak lagi memihak kepada Umno/BN. Buat pertama kali dalam sejarah, Umno/BN sedar mereka tidak lagi mampu mengharapkan undi China dan India sebagai fixed deposit untuk memenangkan mereka.

• Natijahnya, Umno/BN diberi satu kejutan politik pada PRU 2008. Jumlah kemenangan kerusi Umno/BN menjunam secara drastik ke paras bawah 63 peratus. Ironinya, buat pertama kali dalam sejarah, bilangan wakil rakyat muslim melepasi tahap 60 peratus. Kejatuhan ketara peratus kerusi Umno/BN di parlimen melonjakkan bilangan wakil rakyat muslim kepada 134 orang.

• Fenomena yang sama berkekalan untuk PRU yang diadakan pada 2013, di bawah kerusi Umno/BN terus menjunam ke paras 60 peratus, manakala bilangan wakil rakyat muslim kekal melebihi paras 60 peratus. Bilangan wakil rakyat muslim terus meningkat kepada 136 orang. Tidak dapat dinafikan, perbezaan dan jurang bilangan wakil rakyat Umno/BN berbanding wakil rakyat Pakatan Rakyat ketika itu ialah 97:39. Umno/BN masih dikira mendominasi aspek perwakilan wakil rakyat muslim di dalam dewan rakyat sehingga hari ini.

• Dapatan data juga membuktikan kemenangan calon Pakatan Rakyat di tujuh kawasan Parlimen iaitu di Parlimen Pandan, Parlimen Kota Raja, Parlimen Bandar Tun Razak, Parlimen Lumut, Parlimen Raub, Parlimen Telok Kemang dan Parlimen Bukit Bendera membantu melonjakkan bilangan wakil rakyat muslim dari pakatan pembangkang di Dewan Rakyat. Bayangkan, jika senario 7 kerusi tersebut tidak dimenangi Pakatan Rakyat, tetapi sebaliknya di menangi Umno/BN, suara wakil rakyat muslim cuma seramai 129 orang. 129 orang diterjemahkan kepada 58 peratus, tahap yang sama sebelum PRU2008 yang menjadi status-quo dizaman Umno/BN mendominasi politik Negara, terutama di era 1986 hingga 2008 seperti yang disebut di atas. Bermaksud, menangnya Pakatan Rakyat membantu melonjakkan suara wakil rakyat muslim, tetapi sebaliknya, menangnya Umno/BN membantut pertumbuhan suara wakil rakyat muslim.

Didik wanita maka terdidiklah dunia – Nurul Husna As Saedah Bain

Jika mahu mendidik dunia dan seisinya, maka didiklah wanita. Masakan tidak, daripada seorang wanita dilahirkan pemimpin yang bakal merubah dunia dan daripada seorang wanita juga dapat dilahirkan tangan yang melakukan kerosakan dunia.

Pokok pangkalnya, didik wanita maka terdidiklah dunia.

25 November setiap tahun menjadi hari meningkatkan kesedaran masyarakat dunia bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Isu keganasan terhadap wanita sememangnya berlaku diseluruh dunia melangkaui batas agama, bangsa juga budaya dan isu sejagat ini perlu ditangani kerana kesejahteraan wanita merupakan perkara penting dalam pembinaan negara dan bangsa.

Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon pernah berkata keganasan terhadap wanita merupakan pencabulan hak asasi manusia dan penghalang kepada kesaksamaan gender.

Di Malaysia, daripada 29.34 juta orang, 14.03 juta adalah wanita dan ia meliputi 49.01% penduduk negara.

Tidak dinafikan dalam kita meraikan kejayaan dan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang, namun masih ramai wanita yang masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya kerana diperlakukan dengan pelbagai bentuk keganasan, diskriminasi juga dikasari.

Statistik daripada Polis DiRaja Malaysia, jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan wanita berlaku sepanjang bulan Januari-April 2015 adalah sebanyak 1,236 kes dan hal ini amatlah membimbangkan negara.

Justeru, sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita ini perlulah disambut baik setiap lapisan masyarakat baik lelaki mahupun wanita sendiri untuk meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya melindungi wanita.

“Wanita jika diajar untuk taat, pasti terdidik dunia kerana separuh masyarakat adalah wanita dan separuh lagi dibentuk daripada tangan wanita.”

Selamat menyambut Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita!

Ilmu banyak, perangai buruk? – Raja Ahmad Kamil Raja Sulaiman

Dewasa ini, kita dapat melihat fenomena hilangnya kemuliaan akhlak sebahagian manusia, yang turut melibatkan umat Islam. Perkara ini sememangnya membuatkan kita bimbang dengan realiti pada hari ini. Sedangkan, akhlak adalah medium dakwah yang paling utama, lebih-lebih lagi bagi umat Islam.

Namun, ada satu perkara yang juga tidak kurang seriusnya, iaitu mereka yang mempunyai ilmu yang boleh dikatakan banyak, namun entah di mana silapnya, ada sebahagian daripada mereka mempunyai akhlak yang buruk.

Daripada Abu hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah Sollalllahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Hanyasanya aku diutuskan (antaranya) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” - Hadith Sahih, Riwayat Ahmad

Dalam hadith yang lain, daripada Jarir ibn Abdullah radiallahu ‘anhu, Rasulullah Sollalllahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaknya” – Hadith hasan gharib, riwayat At-tirmizi

Terdapat sebuah kisah tentang seorang ulama salafussoleh yang dinukilkan daripada Kitab Adab al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah(Etika berbeza pendapat dalam isu feqah), karangan Dr. Tolaat Muhammad ‘Afifi yang boleh menjadi teladan buat kita:

“Ali bin Musa al-Haddad menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ahmad bin Hanbal katanya: Suatu hari aku bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad bin Qudamah ketika menghadiri upacara pengkebumian. Setelah ditanam jenazah, kami mendapati seoarang lelaki buta duduk membacakan (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur. Maka berkata Imam Ahmad kepada lelaki buta tersebut: Sesungguhnya membaca (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur adalah bid’ah. Setelah kami keluar dari tanah perkuburan, berkata Imam Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad: Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Ahmad), apa pandangan engkau tentang Mubassyir al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Dia seorang yang dipercayai riwayatnya. Ditanya lagi (Imam Muhammad bin Qudamah): Adakah engkau pernah menulis sesuatu tentangnya?”

“Imam Ahmad membalas: Ya. Lantas Imam Muhammad berkata: Sesungguhnya aku dikhabarkan daripada Abdul Rahman bin al-Ala bin al-Hajjaj dari bapanya, Mubassyir berpesan apabila dia meninggal dunia bacalah di sisi kepalanya dengan permulaan surah al-Baqarah dan penutup surah tersebut. (Kata Imam Muhammad lagi) Ini kerana Mubassyir berkata: Aku mendengar Ibnu Umar berpesan sedemikian. Justeru berkata Imam Ahmad: Maka pergilah dan katakan kepada lelaki buta tadi tiada masalah untuk membaca (al-Quran al-Karim dan zikir-zikir di sisi kubur)”

Dalam kisah di atas, jelas betapa ilmu yang ada di dada dengan jiwa yang halus ditunjangi tauhid, menjadikan seseorang itu mempunyai akhlak yang terpuji dan berkeperibadian hebat. Imam Ahmad bersedia untuk mengubah pendapatnya kerana ada sandaran atau hujah di sebalik perbuatan yang dikritiknya itu. Tidak angkuh dan sombong dengan degil atas pendirian yang diambilnya.

Walaupun dikritik musuh yang tidak sealiran dengannya, amat sukar perkataan keji yang keluar daripada mulutnya. Para ulama yang rabbani menghadapi khilaf dalam berijtihad tentang sesuatu hukum dengan penuh adab dan menghormati antara satu sama lain. Malah, mereka tetap memuji ulama yang mereka kritik itu. Mana mungkin tiada seorang yang tidak ada kebaikan untuk kita sebutkan untuk menjadi teladan orang lain, lebih-lebih lagi seorang yang mempunyai keilmuan yang tinggi.

Namun malangnya, ada yang sanggup menggadai prinsip dan tidak setia dengan kebenaran. Mereka menjual fatwa untuk kepentingan kumpulan, kedudukan, pangkat dan harta. Umat menjadi keliru, bahkan mungkin ada yang terpesong dalam beragama. Justeru, tidaklah menghairankan apabila al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing, melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Firman Allah Azza Wa Jalla, maksudnya:
“Bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. – Surah al-A’raf, QS7:175-176

Ilmu yang dituntut dengan tujuan yang benar akan membawa manusia dalam memanifestasikan rasa kehambaan diri kepada Tuhan. Bukannya menjadikan diri seorang yang takabbur dan riyak.

Allah Ta'ala berfirman:
"..Hanyasanya (orang) yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah ulama(orang yang banyak ilmu)" - Surah Fatir, QS35:28

Sebahagian guru atau pensyarah, juga ibu bapa mengabaikan dalam memberi penekanan terhadap bab adab dan akhlak dalam pendidikan anak muda dan generasi pelapis. yang sangat berkait rapat dengan aqidah dan ibadah. Pendidikan yang mengajar tentang aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih sepatutnya melahirkan seorang muslim yang baik peribadinya untuk merealisasikan tujuan kehidupannya sebagai hamba dan khalifah.

Namun, apabila pendidikan itu "dirogol" dan diabaikan, akhirnya ruh agama sebagai pegangan hidup tidak dirasai umat, membuatkan jantung hati insan kekadang terasa kosong dan kontang, membuatkan seseorang itu hilang prtimbangan dalam tindak tanduknya.

Mengakhiri coretan ringkas ini, ingin dikongsikan satu ungkapan yang boleh sama-sama kita renungkan:

"Ilmu sikit akhlak baik, it is good.
Ilmu banyak akhlak buruk, it is nothing.
Ilmu banyak akhlak baik, it is the best!
Ilmu sikit akhlak buruk, it is indeed the worst!"

Vape bukanlah aspirasi anak muda – Faridunnaim

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan serbuan oleh kementerian kesihatan Malaysia ke atas kedai vape dengan merampas cecair e-rokok bernikotin ini. Ketidakpuasan golongan ultra kiasu ini semakin menjadi-jadi kerana ramai yang bangkit mempertahankan industri vape ini.

Dipetik sedikit sejarah vape, rokok elektronik @ vape yang digunakan sekarang dicipta oleh seorang ahli farmasi China yang bernama Hon Lik pada 2003 dengan menukar nikotin dalam bentuk wap yang dilarutkan dalam cecair “propylene glycol”.

Wap nikotin inilah yang disedut masuk ke dalam paru-paru seterusnya ke aliran darah. Tujuannya untuk memberikan dos nikotin kepada perokok supaya tidak perlu menyedut asap rokok yang lebih banyak bahan kimia bahaya.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah kata kalau kerajaan hendak kutip cukai terus terang sahaja, jangan membuat serbuan dan rampasan secara tiba-tiba. Ini menyebabkan kemarahan anak muda yang menjadikan vape sebagai “lifestyle” mereka sendiri.

Bagaimana KKM boleh buat serbuan dan rampasan sedangkan kabinet tidak mengharamkan vape. Ini yang menjadi tanda tanya kepada semua peniaga dan pengguna vape. Sekali gus memberi amaran Barisan Nasional bakal kehilangan 1 juta pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somansundaram menggesa kerajaan untuk mengikut nasihat KKM yang mengharamkan rokok elektronik.

Pada 30 Oktober 2013, Berita Harian melaporkan, pihaknya masih lagi dalam kajian dan perlu melalui prosedur yang ditetapkan dan akan diuar-uarkan keputusannya kelak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan rokok dan vape bukanlah aspirasi anak muda. Saya bersetuju aspirasi anak muda harus lebih besar dan lebih manfaat kepada orang lain.

Ada baik buruknya vape ini. Ada yang mengatakan vape mampu untuk menghilangkan ketagihan kepada merokok. Ada juga yang ingin menjadikan gaya hidup baru dan ada juga yang malangnya hanya menghabiskan wang ringgit dan pembaziran dengan hanya membeli vape dan menyimpan untuk dibuat koleksi.

Sedar atau tidak, bagi perokok tegar saya meraikan jika ini cara yang terbaik untuk mengurangkan ketagihan terhadap rokok tetapi bagi penghisap vape yang baharu daripada kalangan kanak-kanak, pelajar sekolah dan wanita, ini sangat merisaukan dan sangat menggambarkan kebiadaban mereka apabila mereka menayangkan adegan hembusan vape beramai-ramai.

Sebagai seorang lelaki, pilu dan sayu melihat suasana yang kurang baik di sekeliling sendiri. Sekiranya dahulu wanita Melayu dikenali dengan sangat pemalu, tetapi zaman dan era ini malu wanita sedang dicabuli dan dikotori oleh keseronokan karat-karat dunia.

Merekakah ibu-ibu yang akan melahirkan dan mendidik pemimpin yang akan menggegarkan dunia ibarat "tangan yang mengayun buaian mampu menggoncangkan dunia!".

Peribadi anak muda yang bagaimana?

Apa yang sebenarnya yang kita inginkan daripada anak-anak generasi kita pada hari ini. Sudah layukah mereka dek peredaran zaman yang penuh dengan kesulitan dan kejahilan. Inilah bakal pemimpin generasi masa hadapan yang bakal dilahirkan. Jiwanya kuyu hatinya tidak padu.

Di mana silapnya dalam mencorakkan anak muda hari ini untuk menjadi anak bangsa yang boleh dibanggakan dan diberikan tanggungjawab yang besar. Malu melihat anak muda yang seangkatan yang perjuangan mereka kecil. Negara ini perlu dibina. Negara ini perlu disatu. Negara ini perlu berdiri kukuh untuk kekuatannya.

Memetik kata-kata Soekorno yang merupakan Presiden Indonesia suatu masa dahulu pernah berkata “Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan ku cabut semeru dari akarnya, berikan aku seorang pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia” Nah, masakan tidak, pemuda mempunyai potensi besar untuk digembleng dan digunakan dalam membangunkan dan sebagai “game changer” kepada umat manusia. Seruan saya sebagai salah seorang rakyat.

Sepatutnya Kementerian Kesihatan perlu memberi amaran terlebih dahulu sebelum melakukan operasi serbuan. Kerajaan perlu ambil kira berapa jumlah peniaga vape dan pengguna vape serta berapa kerugian yang dialami oleh peniaga-peniaga vape ini. Hal ini kerana ada dalam kalangan mereka yang telah melaburkan wang mereka untuk memajukan perniagaan ini.

Adakah wang yang dilaburkan oleh mereka akan lebur begitu sahaja. Kerajaan sepatutnya menyediakan inisiatif baru untuk mereka yang telah berjinak-jinak dengan perniagaan ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga seharusnya mengadakan kempen besar-besaran mengenai penggunaan vape dan keburukan yang bakal dialami oleh penghisap vape.

Wahai anak-anak muda yang seangkatan dengan saya, untuk mengubah hidup itu memang payah. Memerlukan kesungguhan, keinginan dan dorongan. Ayuh bersama-sama kita membangun diri agar menjadi lebih baik dan lebih bermanfaat kepada orang lain.

Pembaziran yang berlaku tidak kiralah penghisap vape, rokok mahupun shisha, sangat-sangat tinggi nilainya. Jika sebulan boleh menghabiskan sebanyak RM200-RM300, inilah nilai pembaziran kita.

Tidak cukupkah dengan tekanan kenaikan harga minyak, tol, barang-barang harian dan rumah telah menyebabkan hidup kita serba kekurangan. Jangan ditambah lagi dengan pembaziran untuk yang sekalian kalinya lagi.

Akhir sekali, semua pihak memainkan peranan yang sama penting dalam mengubah masyarakat hari ini. Jangan hanya menuding jari kepada kerajaan dan peniaga mahupun penghisap vape semata-mata. Langkah ini langkah kita bersama untuk ditangani dengan segera.

Saturday, November 7, 2015

Menjawab Penyelewengan Istilah Maqasid Syariah - Nik Mohd Abduh

Sedikit Komentar Berkenaan Isu Tauliyah / Sepakat / Tolong Kafir.

Saya petik dari artikel "Penyelewengan Istilah Maqasid Syariah" :

"...Hakikatnya, tindakan bersepakat dan bersatu sesama muslim dan menjauhi persekutuan dengan pihak-pihak yang menentang ketuanan syarak adalah sabit melalui puluhan nas qatie ayat al-Quran yang jelas lagi terang. Ayat-ayat tentang Wala’ dan Bara’ ini sebenarnya untuk mencapai Maqasid Tabi’ah (kesepakatan, kekuatan kesatuan, kesetiaan sesama muslim) dan Maqasid Asliah sekaligus. Terlalu banyak peristiwa dalam sejarah, apabila persepakatan dengan orang-orang kafir untuk menjatuhkan rakan muslim mengakibatkan bencana politik dan maruah ke atas negara Islam.."

..Apabila puluhan nas qatie ayat al-Quran dan Maqasid yang dibawa oleh nas-nas itu ditinggalkan dan didiamkan, bagaimana boleh dibincangkan lagi tentang Maqasid? Jelaslah, yang dibincangkan bukan Maqasid, tetapi helah politik yang tidak syarie yang mahu disalutkan dengan istilah syarak..."

Saya nak ulas kenyataan di atas dengan menukilkan perkataan (tulisan) Imam Ibn Jarir At-Tabari dalam tafsirnya yang mengulas tentang ayat "tauliyyah al-kafir" yang dijaja sebahagian orang termasuk penulis mengatakan haram bersepakat dan bersatu sesama muslim dan kafir serta ia termasuk halnya Al-Wala' dan Al-Bara', yang secara confirm menjatuhkan keislaman seseorang / dengan kata lain, jatuh kufur (kafir)..

Antara ayat / nas al-quran yang disebut berpuluhan kali ini saya petik satu daripadanya, iaitu dari surah Ali-Imran, 28 yang berbunyi :

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu). (Ali Imran: 28)

Dan ayat-ayat yang semakna dengannya juga disebut dalam Al-Quran di dalam beberapa surah iaitu, Al-Mujadalah: 22, Al-Maidah:51, An-Nisa:144, Al-Mumtahanah:1, Al-Anfal 73 dan At-Taubah:71.

Imam Ibn Jarir At-Tabari Rh ketika mengulas ayat di atas, beliau mengatakan bahawa :

ومعنى ذلك : لا تتخذوا ، أيها المؤمنون ، الكفار ظهرا وأنصارا توالونهم على دينهم ، وتظاهرونهم على المسلمين من دون المؤمنين ، وتدلونهم على عوراتهم ، فإنه من يفعل ذلك " فليس من الله في شيء " يعني بذلك : فقد برئ من الله وبرئ الله منه ، بارتداده عن دينه ودخوله في الكفر

"...Dan makna ayat itu adalah : Janganlah kalian menjadikan, wahai orang-orang mukmin bahawa orang-orang kafir sebagai pelindung dan penolong yang dengan itu kalian menolong mereka atas agama mereka. Menolong mereka untuk memusuhi / memerangi kaum muslimin dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Menunjukkan kepada mereka rahsia kaum muslimin. Barangsiapa yang melakukan itu, ’niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah’. Iaitu : dengan perbuatannya itu, sungguh ia telah berlepas diri dari Allah, dan Allah pun berlepas diri darinya, kerana ia telah murtad dari agama-Nya dan masuk pada kekufuran.."

(lihat : http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=916&idto=916&bk_no=50&ID=922)

Al-Imam menjelaskan bahawa, maksud memberikan "tauliyah" kepada Kafir adalah dengan bersama mereka, atas tujuan memerangi Islam itu sendiri, membuka rahsia-rahsia orang mukmin, atau dengan kata lain menjadi penolong kepada golongan Kafir untuk menindas kaum muslimin, meruntuhkan agama, dan mengkhianati agama itu sendiri. Dengan itu juga, perbuatan "tauliyah" kafir ini haram dan membawa kepada murtad.

Manakala bersepakat dan bekerjasama, serta saling tolong menolong sesama Muslim dan Kafir dalam urusan memperbaiki urus tadbir negara, menarik maslahat dan menolak mudharat demi kesejahteraan rakyat / sesebuah negara itu jelas tidak termasuk dalam ayat-ayat di atas.

Jadi sekiranya penulis dan rakan-rakannya beranggapan bahawa tindakan "para politikus muslim dan badan-badan Islam" yang telah bekerjasama dengan kafir ini ada kaitannya dengan ayat di atas, ketahuilah bahawa penulis telah menuduh bahawa mereka ini telah "irtidad" / murtad dari agama mereka, dan jatuh kafir, berpandukan perkataan At-Tabari Rh tadi. Jika dia tidak memaksudkan demikian, maka, tiada keperluan dia bawakan ayat-ayat di atas.

Kerjasama antara Muslim dan Kafir telah jelas dicontohkan oleh Nabi SAW melalui Sahifah Madinah, di mana kepentingan mempertahankan negara, bangsa, dan seumpamanya merupakan asas penting kepada maqasid syarak, iaitu memelihara agama sendiri.

Hakikatnya, tindakan PAS yang pernah bertahaluf dengan Kafir, mahupun NGO Islam di Malaysia contohnya IKRAM, ABIM atau sebagainya tidaklah termasuk dalam perkara wala' terhadap Kafir. Persepakatan ini dibina bersama dalam memenuhi maqasid syarak sebagaimana kami (muslim) imani, sekalipun jika si Kafir yang bekerjasama ini tidak memahami apa itu maqasid & syarak". Kerana menjaga maslahat negara dan memperbaiki kerosakan yang dibuat pemimpin adalah merupakan jalan / template / tapak yang diperlukan bagi merealisasikan impian meletakkan Islam sebagai panduan negara, dan menegakkan negara "baldah tayyibah wa rabbun ghafur". Bagaimana mungkin syariat dapat ditegakkan di sesebuah negara di tangan seorang yang zalim?

Maka, keadilan, islah, perbaikan negara merupakan wasail kepada tercapainya iqamatud din.

Kembali kepada isu wala’ dan bara’ tadi, saya bawakan juga tafsirannya terhadap satu lagi nas, yang selari maknanya dengan ayat di atas beserta kupasan Imam At-Tabari Rh berkenaan hal ini iaitu merujuk kepada ayat Al;-Qur'an ini :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلْيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوْلِيَآءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُۥ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا

يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kalian mengambil Yahudi dan Nasrani sebagai auliya' (pemimpin, penolong etc) sebahagian mereka dari sebahagian yang lain, barangsiapa yang mengambil mereka sebagai tauliyah, sesungguhnya dia daripada mereka, dan sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum yang zalim.."

فإنه منهم يقول : فإن من تولاهم ونصرَهم على المؤمنين ، فهو من أهل دينهم وملتهم، فإنه لا يتولى متولً أحدًا إلا

وهو به وبدينه وما هو عليه راضٍ. وإذا رضيه ورضي دينَه ، فقد عادى ما خالفه وسَخِطه، وصار حكُمه حُكمَه، ولذلك حَكَم مَنْ حكم من أهل العلم لنصارى بني تغلب في ذبائحهم ونكاح نسائهم وغير ذلك من أمورهم ، بأحكام نصَارَى بني إسرائيل، لموالاتهم إياهم، ورضاهم بملتهم ، ونصرتهم لهم عليها، وإن كانت أنسابهم لأنسابهم مخالفة ، وأصل دينهم لأصل دينهم مفارقًا.

”…sesungguh dia daripada mereka maknanya : maknanya barangsiapa yang menjadikan orang-(orang Yahudi dan Nasrani) dan menolong mereka ke atas orang-orang yang beriman, maka ia adalah dari kalangan ahli agama mereka dan (berpegang) dengan millah mereka (keluar dari agama Isla). Maka sesungguhnya tidaklah ada orang yang menjadikan seseorang sebagai pemimpin melainkan ia bersamanya dan bersama agamanya secara redha. Jika ia meredhainya dan meredhai agamanya, maka ia akan memusuhi apa-apa yang menyelisihinya dan sekaligus membencinya. dia pun kemudian menjadikan hukum orang yang ia ikuti itu menjadi hukumnya juga. Oleh kerana itu, sebahagian mereka yang telah menghukumi di kalangan ahli ilmu (ulama’), terhadap seorang Nasrani dari Bani Taghlab menyerupai sembelihan mereka, menikahi wanita mereka, dan yang selainnya juga dengan hukum orang Nasrani dari Bani Israel, kerana mereka telah menjadikan orang Nasrani dari Bani Israel sebagai pemimpin mereka, meredhai agama mereka, dan menolong mereka untuk menghadapi musuh-musuh mereka. Padahal, nasab Bani Taghlab dengan bani Israel berbeza dan juga asal agama mereka dengan orang Nasrani Bani Israel juga berlainan..”

(lihat : http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=1597&idto=1597&bk_no=50&ID=1605)

Manakala menurut Imam Al-Qurtubi ketika mengulas ayat yang sama, beliau menyebutkan hal yang sama, iaitu tauliyah itu bermaksud memusuhi Islam itu sendiri dengan dibawa ulasannya seperti berikut :

فيه مسألتان :

الأولى : قوله تعالى : اليهود والنصارى أولياء مفعولان ل تتخذوا ; وهذا يدل على قطع الموالاة شرعا ، وقد مضى في " آل عمران " بيان ذلك . ثم قيل : المراد به المنافقون ; المعنى يا أيها الذين آمنوا بظاهرهم ، وكانوا يوالون المشركين ويخبرونهم بأسرار المسلمين ، وقيل : نزلت في أبي لبابة ، عن عكرمة . قال السدي : نزلت في قصة يوم أحد حين خاف المسلمون حتى هم قوم منهم أن يوالوا اليهود والنصارى ، وقيل : نزلت في عبادة بن الصامت وعبد الله بن أبي بن سلول ; فتبرأ عبادة رضي الله عنه من موالاة اليهود ، وتمسك بها ابن أبي وقال : إني أخاف أن تدور الدوائر . بعضهم أولياء بعض مبتدأ وخبره ; وهو يدل على إثبات الشرع الموالاة فيما بينهم حتى يتوارث اليهود والنصارى بعضهم من بعض .

الثانية : قوله تعالى : ومن يتولهم منكم أي : يعضدهم على المسلمين . فإنه منهم [ ص: 158 ] بين تعالى أن حكمه كحكمهم ; وهو يمنع إثبات الميراث للمسلم من المرتد ، وكان الذي تولاهم ابن أبي ثم هذا الحكم باق إلى يوم القيامة في قطع الموالاة ; وقد قال تعالى : ولا تركنوا إلى الذين ظلموا فتمسكم النار وقال تعالى في " آل عمران " : لا يتخذ المؤمنون الكافرين أولياء من دون المؤمنين وقال تعالى : لا تتخذوا بطانة من دونكم وقد مضى القول فيه ، وقيل : إن معنى بعضهم أولياء بعض أي : في النصر ومن يتولهم منكم فإنه منهم شرط وجوابه ; أي : لأنه قد خالف الله تعالى ورسوله كما خالفوا ، ووجبت معاداته كما وجبت معاداتهم ، ووجبت له النار كما وجبت لهم ; فصار منهم أي : من أصحابهم .

(lihat:http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=1199&idto=1199&bk_no=48&ID=621)

Jelas dari perkataan Al-Qurtubi ini, bahawa men”tauliyah” kafir itu adalah dengan maksud pertama “al-munafiqun” yang kerjasama secara jahat dengan kafir iaitu المراد به المنافقون ; المعنى يا أيها الذين آمنوا بظاهرهم ، وكانوا يوالون المشركين ويخبرونهم بأسرار المسلمين, membocorkan rahsia / maklumat penting kaum muslimin, dan yang kedua pula adalah “yang membantu mereka ke atas kaum muslimin”, iaitu golongan muslim yang dari awal memusuhi Islam dan bekerjasama dengan Kafir untuk memerangi Islam, menjatuhkan Islam sebagai mana disebut ومن يتولهم منكم أي : يعضدهم على المسلمين, yang mahu berhukum dengan hukum mereka (hukum orang kafir) dan lain-lainnya.

Maka sesiapa yang jadi munafiq atau bersikap seperti munafiq yang bekerjasama membocorkan maklumat kaum muslimin, serta memerangi kaum muslimin, dia termasuk wala' kepada Kafir. Dan sesiapa yang telah sejak dari awal memusuhi Islam dan bersama dengan Kafir memusuhi Islam, maka dia juga termasuk dalam wala' kepada Kafir, dan tindakannya yang sengaja ini, membawanya kepada kekufuran / kekafirannya dan kemurtadannya terhadap Islam.

Jadi, kita tanyakan, apakah kami yang buat engagement ini termasuk dalam nas tadi, yang membawa kami kepada kemurtadan dan kekufuran? Apakah ahli politik yang mula menghidupkan terma “maqasid syarak” secara amali ini termasuk dalam ayat di atas? Dan lebih penting, beritahulah kami apakah kami telah murtad atas tindakan engagement yang kami lakukan?

Jika dilihat daripada engagement yang dibuat oleh golongan Islamis dengan Kafir di Malaysia, tiada satu pun persetujuan termetrai sesama mereka bahawa kami “mengiktiraf kebenaran agama mereka”, kami “berhukum dengan hukum mereka (millah mereka), kami “sepakat bermusuhan dengan muslim”, kami “sepakat membocorkan maklumat penting muslim”, kami “sepakat menggadaikan negara untuk orang luar”, dan sekian-sekian yang bertentangan dengan syarak.

Bahkan situasi ini / illat kepada pengharaman “tauliyah” ini telahpun dilakukan sebahagiannya oleh kepimpinan yang sedia ada sekarang, yang dianggap sebagai “kurang mafsadah”

Kita juga ingin tanyakan, kenapa keterangan para mufassirin ini disembunyikan dan tidak diperlihatkan, sebaliknya dibuat ulasan yang terpesong dari maksud asal nas-nas yang disebut?

Kita juga hairan, apakah kita mahu mendengar dan percaya pendapat orang yang bermudah-mudahan menuduh kita sebagai berwala' dengan Kafir, yang menyembunyikan pandangan asal ulama' tentang nas-nas wa;a' dan bara' tadi untuk menuduh kita menyalahgunakan terma maqasid syarak?

Dan banyak lagi lah persoalan kita...

Dan saya kembalikan nas Al-Quran ini bagi sesiapa yang menyembunyikan keterangan tafsir para ulama' mufassirin ini sebagaimana dinukilkan beritkut :

Surah al-Baqarah, ayat 159 bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk”.

Apapun, semoga Allah membukakan antara kita semua kebenaran.

Untuk keterangan lanjut para ulama’ mufassirin, sila hubungkan hati para pembaca dengan tafsir para ulama’ yang jujur ini di sini :

http://www.quran7m.com/searchResults/005051.html

Mudah-mudahan kita semua beroleh kebaikan.

Akhukum,

Abu Rumaysa'.