Friday, December 11, 2015

Khurafat politik Malaysia 2: Islam/Melayu cuma terbela di bawah Umno/BN sahaja – Nazri Noor dan Jufazli S.A

“Islam/Melayu cuma terbela di bawah Umno-Barisan Nasional, dan cuma Umno-BN yang mampu membela Islam/Melayu”. Antara satu lagi wirid khurafat yang sering diratibkan kepada orang Melayu.

Artikel ini cuba merungkai keserabutan polemik khurafat di atas, dan cuba membuktikan ianya satu yang karut dan melencong. Malah artikel ini akan cuba membuktikan realiti dan fakta sebaliknya.

Fakta 1: Melayu/Islam tidak dominan di zaman Umno-BN dominan

Statistik demografi umat Islam di Malaysia ialah 61.3%, boleh di gambarkan dengan grafik berikut;

Sumber: google image

Dari grafik di atas, bolehlah ditafsikran secara logik dan rasionalnya, jumlah perwakilan wakil rakyat Melayu-Muslim di Dewan Rakyat seharusnya ditahap 61%, secara minima. Pencapaian mana-mana pihak di bawah indikator skala demografi 61% ini boleh dikira sebagai gagal atau below par.

Bagaimanapun, fakta dan data membuktikan sejak sekian lama, dari Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1986 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, peratusan wakil rakyat muslim secara purata berada di tahap 56%. Tidak pernah melepasi had 60%.

Dan umum sedia maklum, tempoh 1986 hingga 2004 inilah tempo era keemasan politik Umno-BN yang mendominasi Dewan Rakyat yang secara purata menguasai melebihi 80% perwakilan di Parlimen. Hatta ketika di puncak kegemilangan Umno-BN pada PRU2004 dengan 90% kerusi, suara Melayu/Islam cuma berada di tahap 57%.

Ini membuktikan peruntukan quota 61% perwakilan Muslim di Dewan Rakyat tidak pernah tercapai dan kemungkinan tidak pernah menjadi agenda perdana perjuangan Umno-BN. Dan terbukti Umno-BN tidak pernah bersuara tentang suara Islam/Melayu untuk tempoh 5 penggal mereka mendominasi politik negara.

Fakta 2: Melayu/Islam lebih menonjol bila Pakatan Rakyat mula dominan

Peratus perwakilan suara Melayu/Islam berjaya mencapai tahap 60% untuk pertama kali pada PRU2008. Umum mengetahui PRU2008 menyaksikan Pakatan Rakyat yang utuh memberi saingan yang hebat dan Umno-BN diasak secara serious untuk pertama kali dalam sejarah percaturan politik tanah air. PR berjaya menawan 82 kerusi parlimen, berbanding BN 140 kerusi.

PR terus mara dan Umno-BN terus diasak pada PRU2013, menyaksikan buat pertama kali Umno-BN kalah kiraan undi popular ketinggalan di belakang PR.

Dan buat pertama kali dalam sejarah, peratus perwakilan suara Melayu/Islam di Dewan Rakyat mencecah angka 61%, yang setaraf dengan kadar demografi peratusan orang Islam 61% yang digambarkan dalam grafik di atas.

Ini hanya dicapai setelah PR makin utuh, dan Umno-BN mula hilang dominasi politik dan undi popular mereka. Besar sekali bezanya dengan zaman Umno-BN mendominasi politik negara, di mana tahap pencapaian cuma 56%.

Ini membuktikan Melayu/Islam sebenarnya tidak dominan semasa Umno-BN kuat, tetapi sebaliknya suara Melayu/Islam lebih dominan di zaman Umno-BN merosot dan PR mula utuh.

Fakta 3: Umno tidak serious menampilkan calon wakil rakyat Muslim

Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, satu perbandingan dibuat antara bilangan calon yang diketengahkan Umno-BN berbanding calon PR, boleh digambarkan seperti berikut;




(sumber : google image)

Dari grafik di atas, beberapa pemerhatian dan rumusan berikut boleh dianalisis;

• PR lebih terkehadapan dan lebih serious dalam aspek menonjolkan calon-calon Melayu-Muslim berbanding parti Umno-BN. Umno-BN ketinggalan 10% di belakang PR dalam aspek mengenengahkan calon wakil rakyat Melayu-Muslim. Ini membuktikan Umno-BN sebenarnya tidak serious dalam usaha untuk menonjolkan suara perwakilan Melayu/Islam, berbanding apa yang dibuktikan PR.

• Secara hipotetikal, jika ditakdirkan kesemua calon muslim Umno-BN menang kesemua kerusi yang mereka tandingi, dan kesemua calon muslim pakatan pembangkang kalah semua kerusi yang mereka tandingi, hasilnya seramai 131 orang wakil Melayu/Islam akan diwakili di Parlimen, bersamaan 59%. Masih belum mencecah angka 60%.

Sebaliknya, jika ditakdirkan kesemua calon muslim PR memenangi kerusi yang mereka tandingi, dan kesemua calon muslim Umno-BN kalah di kesemua kerusi yang mereka tandingi, hasilnya seramai 145 orang wakil Melayu/Islami diwakili di Parlimen, 14 orang lebih ramai dari senario kesemua calon muslim Umno-BN yang menang.

Dan yang lebih utama, 145 suara bersamaan 65%, jauh mengatasi kadar minima demografi 61% yang disebutkan di atas.

Rumusannya, quota minima 61% demografi muslim cuma boleh tercapai dan dikekalkan dalam situasi dimana PR lebih utuh dan dominan, berbanding dengan situasi Umno-BN yang dominan dimana peratusan suara Melayu/Islam tidak pernah mencecah 60%.

Pendeknya, suara Melayu/Islam akan lebih terbela dan dominan bilamana PR lebih utuh. Dan usaha mengaitkan Islam/Melayu akan lebih terbela cuma di bawah Umno-BN adalah satu lencongan pemikiran dan khurafat palsu yang perlu diperbetulkan dari minda orang Melayu.

No comments:

Post a Comment