Friday, December 11, 2015

Khurafat politik Melayu 3: Jika Umno kalah, DAP perintah – Nazri Noor dan Jufazli

"Umno pecah, DAP perintah. Umno kalah, DAP menang. Umno lemah, DAP kuat. Dan juga boleh juga ditafsir sebagai jika Umno kuat, DAP lemah. Gambaran yang cuba diberi ialah Umno sekarang sedang tergugat dan DAP sedang mengasak. Umno menuju kelemahan dan DAP semakin menuju kekuatan."

Satu khurafat dalam pelbagai variasi kalimah yang sering diwiridkan kepada orang Melayu. Malah wirid sebegini masih segar dan hidup sehingga hari ini yang diratibkan bukan saja ketua Pemuda, Wanita, malah presiden sebuah parti yang sedang berkumpul pada minggu ini.

Artikel ini cuba merungkaikan polemik ini dan membuktikan ini semua tidak lebih daripada satu khurafat yang melencong, dan juga sebenarnya bukan saja satu lencongan (daripada isu sebenar) tetapi juga boleh dibuktikan perkara sebaliknya yang menjadi realiti.

Fakta 1: Kerusi yang dimenangi DAP dan 'dap BN' sama kuatnya.

Bagi Umno, musuh orang Melayu ialah DAP. Dan siapa bukan Melayu/Islam dilonggokkan sebagai 'DAP'.

Ya, betul, dalam Pakatan Rakyat ada DAP. Tapi jangan dilupai, dalam BN ada komponen MCA, MIC, Gerakan, PPP, SUPP, LDP, SAPP, SPDP, PBRS, PRS, PBS dan UPKO. Jangan dilupai juga PBB yang bukan Islam. Mereka ini adalah komponen bukan Melayu bukan Islam dalam BN, tak banyak beza dgn DAP. Jadi mengikut formula Umno, mereka ini semua layak dilabel 'DAP'. Jadi untuk konteks ini, kita bezakan istilah DAP (di sebelah PR) dengan 'dap BN' (di sebelah BN).

Pada PRU2013, DAP Berjaya meraih 38 kerusi. Bagaimanapun, selepas kalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, DAP tinggal 37 kerusi.

Di sebelah BN pula, jika dicampur semua kerusi 13 komponen 'dap BN' tersebut, jumlahnya juga 37. Perbandingan mudah boleh digambarkan dengan grafik berikut:

Graf perbandingan kerusi DAP dan 'dap BN'



Jadi 'dap BN' sebenarnya sama kuat dengan DAP. Kalau DAP yang Umno anggap sebagai ancaman kepada negara, Umno juga perlu anggap 'dap BN' sebagai musuh harus dinyahkan. Jadi kalau Umno merasakan diri mereka sedang lemah, dan 'DAP' sedang menguat, Umno secara tidak langsung membayangkan 'dap' dalam BN juga sedang menguat.

Dalam keghairahan Umno ingin mengehadkan kuasa dan kerusi DAP, Umno sebenarnya bersekongkol membiarkan 'dap BN' membolot kerusi.

Fakta 2: Pembahagian kerusi 'dap BN' yang lagi lumayan berbanding DAP.

Pada PRU2013, bahagian yang dituntut DAP untuk bertanding di atas platform PR ialah 51 kerusi. Ditolak 3 calon Melayu (yang mengikut formula Umno, bukan DAP yang original), jumlah yang 'betul-betul DAP' ialah 48 kerusi, bersamaan 22%.

Manakala di sebelah BN, peruntukan untuk calon bukan Melayu bukan Islam ialah 91 kerusi, bersamaan 41%.

Untuk PRU2008 pula, bahagian dituntut DAP untuk bertanding ialah 47 kerusi, bersamaan 21%, manakala di sebelah BN, Umno bermurah hati memberi peruntukan sebanyak 43% kepada komponen 'dap BN', dua kali ganda berbanding apa yang diperuntukkan PR kepada DAP.

Ini boleh digambarkan dengan grafik berikut:

Graf perbandingan peruntukan kerusi yang dipertandingkan untuk DAP dan 'dap BN'



Dalam keghairahan Umno ingin mengekang kuasa DAP, Umno sebenarnya menganugerahkan pembahagian kerusi begitu mewah kepada 'dap BN'. Seperti d sentuh dalam siri sebelum ini, dengan demografi umat Islam kita sebanyak 61%, rasional kuota pembahagian kerusi seharusnya minima 61% untuk Islam, dan maksima untuk bukan Islam cuma 39%. Tetapi Umno amat bermurah hati mengorbankan kuota kerusi Melayu/Islam kepada rakan 'dap BN' mereka, berbanding kes PR, kuota kerusi DAP cuma di tahap 22%, jauh lebih rendah daripada 39%.

Fakta 3: Bila Umno kuat, 'dap BN' yang kuat.

Umno membawa naratif mereka perlukan mandat yang besar, untuk menjadi kuat. Bila Umno kuat, secara naturalnya, DAP akan lemah.

Tetapi fakta dan sejarah membuktikan, pada zaman era keemasan Umno daripada PRU1986 hingga PRU2004, Umno-BN berkuasa dengan purata 80% kerusi di parlimen, 'dap BN' juga semakin kuat. Pada kemuncak kegemilangan Umno-BN dengan 90% kerusi pada PRU2004, 'dap BN' juga sangat dominan dengan 72 kerusi.

Jadi, hujah menguatkan Umno demi untuk melemahkan DAP sebenarnya tidak terjadi. Terbukti, di kala Umno cukup dominan, 'dap BN' juga sangat dominan. Jadi bertambah kuatnya Umno tidak membawa apa-apa manfaat untuk mengekang baik DAP di luar BN atau 'dap dalam BN'.

Fakta 4 : DAP perlu dapatkan 61 kerusi untuk memerintah

Pada PRU2013, pembahagian kerusi untuk dipertandingkan antara parti komponen Pakatan Rakyat adalah: PKR 99, PAS 73, DAP 51.

Umum mengetahui, daripada 51 kerusi yang dipertandingkan, DAP cuma menang 38, yang kemudian menjadi 37 setelah kehilangan kerusi Teluk Intan dalam PRK.

Tuduhan yang sering di gemburkan kepada orang Melayu ialah, jika Umno kalah, DAP akan memerintah Malaysia (dan juga layak menjadi perdana menteri). Ditakdirkan, DAP cukup kuat dan semua DAP berjaya membolot kerusi majoriti pengundi Cina yang ditandingi, maksimum kerusi milik DAP cuma 51. Orang Melayu tidak sepatutnya risau dengan 51 kerusi yang sememangnya milik majoriti Cina ini, tetapi lebih utama untuk difikirkan ialah, ke mana perginya 171 kerusi yang tidak dimiliki DAP. Dan persoalan lebih penting ialah, jenis Melayu/Islam bagaimana yang orang Melayu harus hantar ke Putrajaya untuk mentadbir harta dan khazanah negara, dan menentukan masa depan anak cucu kita.

Dalam sistem majoriti mudah cara Malaysia, mana-mana pihak yang mendapat 112 kerusi dikira pemenang, dan layak menerajui tampuk pemerintahan.

Rakyat biasa pun tentu maklum, DAP tidak mampu berbuat apa-apa dengan 55 kerusi. Mereka masih memerlukan 61 kerusi yang terpaksa dirunding dengan mana-mana parti lain untuk ke Putrajaya. Paling tinggi status DAP selaku rakan kongsi minoriti dalam gabungan baru, jauh sekali menjadi parti majoriti, dan amat jauh sekali untuk layak menjadi perdana menteri. Itu pun kalau dibenarkan perlembagaan.

DAP hantu kepada Umno dan orang Melayu hantu adalah sesuatu yang sinonim dengan budaya dan kepercayaan orang Melayu.

Ringkasnya, segala wirid khurafat tentang bahayanya ancaman DAP jika Umno kalah, adalah satu ratib palsu yang diratibkan untuk menakutkan orang Melayu. DAP umpama hantu yang tidak ada jasad, dan tidak ada kaki, tetapi cukup gerun dan berkesan untuk menakutkan orang Melayu, dan terus mengundi Umno.

Terbukti wirid jika Umno lemah, DAP akan kuat adalah sesuatu yang melencong, dan DAP adalah satu lencongan untuk menakutkan orang Melayu. Dan terbukti juga, walaupun Umno bertambah kuat, 'dap BN' sebenarnya yang menjadi lebih dominan.

Untuk teman yang sedang bersidang, tidak lupa diucapkan selamat “berPAU”.

No comments:

Post a Comment