Saturday, December 12, 2015

Najib, jadilah negarawan sejati, bukan seorang pseudo demokrat – Nazri dan Mustaqim

Salah satu ciri seorang ahli politik yang berjiwa besar adalah, selepas terpilih sebagai wakil rakyat, beliau seharusnya berfikir sebagai seorang negarawan.

Berbeza dengan sistem Indonesia atau Amerika Syarikat (ketua negara mereka dipilih secara langsung oleh rakyat), perdana menteri kita dilantik berdasarkan protokol beliau sebagai ketua parti beliau yang menang mudah dalam sistem pilihan raya.

Selepas sah dilantik sebagai perdana menteri, beliau berperanan sebagai perdana menteri untuk seluruh rakyat, bukan untuk partinya sahaja.

Demi mengabsahkan legitimasi beliau sebagai perdana menteri untuk semua, beliau harus dilihat mewakili semua lapisan masyarakat, merentasi sempadan parti politik.

Perdana Menteri sebagai pejuang demokrasi

Bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, seorang Perdana Menteri bukan sahaja harus faham dan memperjuangkan prinsip demokrasi, tetapi harus dilihat memperjuangkan dan mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi.

Salah satu tunggak utama prinsip demokrasi adalah konsep “suara rakyat, kuasa rakyat”.

Ironinya dalam ucapan perdana menteri di Perhimpunan Agung Umno 2015 yang sedang berlangsung, presiden Umno itu menyatakan beliau tidak sesekali membenarkan mana-mana individu tertentu untuk melaksanakan sistem dwi-parti.

Perdana menteri juga menasihati perwakilan dan ahli Umno untuk tidak terperangkap dengan sistem dwi parti tersebut.

Penolakan serta ancaman terhadap pihak yang ingin mewujudkan sistem dwi-parti secara jelasnya menunjukkan beliau mengalami masalah kecelaruan pemahaman terhadap prinsip demokrasi dan nilai inklusif.

Demokrasi dan sistem semak dan imbang

Berbeza dengan sistem diktator dan rejim, cantiknya sistem demokrasi ialah ia memungkinkan hidupnya elemen semak dan imbang.

Blok pembangkang seperti PKR, DAP, dan Amanah merupakan parti yang disahkan penubuhannya serta operasinya diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Maka jika blok pembangkang tersebut bercadang untuk membentuk satu kesatuan ke arah sistem dwi parti yang berdaftar melalui RoS, maka ia bukanlah bercanggah dari segi undang-undang dan prinsip demokrasi.

Bahkan Barisan Nasional (BN) sendiri yang “inklusif” juga membentuk kesatuan bersama 13 parti komponen di bawah satu jenama.

Oleh itu, mengapa memilih kaedah inklusif terpilih dengan menafikan gabungan parti lain dalam satu jenama atas nama prinsip demokrasi.

Maka, usaha pencabulan terhadap prinsip demokrasi menunjukkan prinsip tersebut sekadar retorik dan bercanggah dengan gaya kepimpinan demokratik.

Hakikatnya Najib tidak pernah memahami demokrasi sebaliknya beriman dengan konsep demokrasi palsu atau “pseudo-democracy”.

Indikator preudo-democracy dapat diukur melalui kewujudan oligarki iaitu apabila sebilangan kecil individu menguasai sesebuah negara.

Maka, perdana menteri termasuk dalam ciri oligarki tersebut kerana beliau ditolak oleh veteran Umno, pemimpin Umno di pelbagai lapisan serta menjadi punca kepada kegagalan BN mendapat undi popular dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Tanpa dwi-parti, tidak ada ‘raison d'être’ buat Umno

Sistem dwi parti memberi jaminan terhadap semak imbang kuasa dalam pentadbiran serta mendukung nilai akauntabiliti serta ketelusan tersebut disanggah begitu sahaja.

Ianya umpama senjata dua mata. Jika disalah guna, harus melukakan tuan badan.

Kecenderungan Perdana Menteri terhadap sistem “single party”, buruk padahnya pada Umno. Umno sudah hilang sebab untuk wujud, “raison d'être” nya.

Dan adalah lebih baik jika Umno dibubarkan sahaja di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Dan ketika PRU2008 dulu, di Kedah dan Perak juga.

Malah, di Malaysia juga kerana Umno sudah hilang legitimasi akibat ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

Itulah hakikat pahit yang harus ditelan kerana Umno sudah hilang kelayakan untuk memerintah negara di samping menolak proses ke arah sistem dwi parti.

Demokrasi, transformasi dan ‘pseudo-democracy’

Herodotus menyebut “Democracy has fairest of all descriptions-equality in law. Offices are filled by lot, power is held accountable, and all questions are put up for open debate (Histories).

Persoalannya kini, adakah konsep demokrasi pada zaman “1 Malaysia” dan zaman slogan “transformasi” dilaungkan ini sudah berubah daripada idea awal demokrasi pada zaman Herodotus pada abad ke-5 sebelum Masihi dulu?

Jika benar berjayalah program transformasi yang dijayakan oleh perdana menteri sehingga berjaya mentransformasikan prinsip demokrasi.

Jika telahan ini silap maka pilihan yang ada adalah, Perdana Menteri tidak memahami prinsip demokrasi atau cuba mengaplikasikan konsep “pseudo-democracy” dalam pentadbiran.

Tepuk dada, tanya perdana menteri!

Perdana menteri, jadilah seorang negarawan sejati. Jangan jadi seorang Pseudo Demokrat.

No comments:

Post a Comment