Sunday, December 27, 2015

Apa maksud ‘Rahmatan lil alamin’ bagi Malaysia? – Nik Fatma Amirah Nik Muhamad

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Surah Al-anbiya`:107).

Tarikh Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW adalah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Setiap tahun pasti rakyat Malaysia menyambutnya dengan penuh kerinduan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan pelbagai tema, dan tahun ini bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.

Kita sudah sedia maklum perutusan Rasulullah adalah pembawa rahmah kepada sekalian alam. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita memahami prinsip rahmah itu dibawa Rasulullah dan apakah erti untuk kita sebagai umatnya?

Mengapakah sambutan ini masih eksklusif berlegar dalam kalangan masyarakat Islam, padahal Rasulullah adalah untuk umat keseluruhannya?

Pertama, saya tertarik apa yang diutarakan dan dikupas Dr Maszlee Malik di dalam bukunya Risalah Pemuda, bab 24, bertajuk “Nilai Sejarah dan Maulid”. Beliau mengupas:

Antara isu yang menjadi polemik ialah isu “Maulid al-Rasul”. Setiap kali kedatangan “maulid”, kini sudah mula polemik tentang bidaah atau tidaknya sambutan tersebut. Ada yang mempertahankan dengan mudah, menuduh lawan mereka tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Dan ada yang menentang pula melemparkan dakwaan lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) dalam mendewakan Nabi.

Jika diteliti, punca pertelingkahan tersebut berpunca daripada apabila mereka menganggap isu maulid itu sebagai sambutan “ritual-spiritual” atau sesuatu yang bersifat keagamaan. Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan. Bagi yang tidak merayakan, seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi.

Ternyata ada jalan keluar untuk isu ini, yang mana perayaan atau sambutan maulid perlu dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual yang ditanggapi selama ini.
Perayaan itu harus dilihat melalui kaca mata satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran. Pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuklah perayaan dan peringataan tarikh-tarikh tersebut.

Apakah yang akan dimanfaatkan umat Islam jika perayaan maulid ini dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya? Tentu banyak sekali manfaatnya, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apa kesannya.

Usaha mempromosi ajaran Nabi Muhammad SAW yang bersikap universal dan kemanusiaan perlu ditonjolkan. Keperibadiannya yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pahlawan perang yang berjaya dan pelbagai ciri kemanusiaan Baginda yang boleh diteladani.

Dan usaha memperingati Nabi Muhammad SAW sepatutnya tidak berlegar-legar dalam kalangan umat Islam semata-mata, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam.

Perayaan berunsur sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan eksklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan “kesempurnaan hidup manusia”.

Di penutup bab ini, Dr Maszlee Malik membuat kesimpulan sudah tiba masanya Islam dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan daripada kesempitan dogma dan acuan golongan jumud yang berkepentingan. Ialam sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat sekalian alam) perlu dijadikan inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan untuk umat Islam semata-mata.

Di dalam kupasan buku Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah karya Ustaz Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, menyebut Micheal H. Hart di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” mengulas mengenai Nabi Muhammad SAW dan meletakkan Baginda sebagai individu paling berpengaruh dengan komennya yang berbunyi:

“My choice of Muhammad to lead the list of the world`s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world`s great religions, and became immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive”.

Ini menunjukkan bukti sarjana dan cendekiawan barat juga memuji dan menghargai kehadiran seorang insan agung dan ia wajar dimanfaatkan orang Islam, khususnya para agamawan untuk menggunakannya bagi menyakinkan masyarakat bukan Islam tentang keistimewaan Baginda, dan ia bertepatan dengan mesej perutusan Rasulullah ke dunia ini sebagai rahmah kepada sekalian alam.

Kedua, bagaimana mesej rahmatan lil alamin dapat dimanfaatkan rakyat Malaysia adalah melalui teladan yang ditunjukkan Rasulullah melalui kebijaksanaanya dalam pengurusan dakwah.

Seperti mana yang kita ketahui, dakwah Rasulullah terbahagi kepada dua peringkat pertama ialah 13 tahun di Mekah dan tempoh kedua adalah selama 10 tahun di Madinah.

Kedua-dua peringkat ini dilalui Rasulullah dengan pelbagai pengurusan yang efektif dan strategi yang sangat bijaksana.

Di dalam buku yang sama, Ustaz Zahiruddin menekankan 5 aspek kekuatan dan kunci efektif dakwah Rasulullah, iaitu disiplin pengurusan wahyu, bijaksana dalam memberikan teladan, bijaksana dalam komunikasi, bijaksana dalam mendekatkan diri dengan pengikut dan bijaksana dalam pengkaderan dan perwakilan yang terpilih dan tepat.

Ketiga, kita juga perlu meneladani kebijaksanan Rasulullah dalam pengurusan politik.

Rasulullah adalah ahli politik terawal dalam sejarah Islam. Bermula dengan satu gerakan yang kecil kemudian Baginda mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah untuk membentuk satu pemerintahan atau dikenali negara Islam pertama di Madinah.

Selain itu, Rasulullah terlibat dengan perundingan, perjanjian dan sebagainya, dan Rasulullah menghadapi isu penentangan daripada kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin. Semuanya dilalui Rasulullah dengan amanah, qudwah yang baik, berdedikasi dan menepati janji.

Ketika Rasulullah menjadi ketua negara Madinah pada ketika itu, Baginda memberi hak kesamarataan sosial kepada semua masyarakat tidak kira Islam mahupun tidak, dan ini satu elemen yang penting yang perlu dimainkan setiap pemimpin kita untuk merealisasikan keadilan, di mana ia cabang daripada Maqasid Syariah dan perlu diletakkan sebagai asas dalam sistem pentadbiran negara.

“Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah Al-Ahzab: 21)

Salam Maulidur Rasul buat semua rakyat Malaysia!

Jadikan Rasulullah sebagai contoh dan teladan dalam pelbagai aspek kehidupan pengurusan, pentadbiran, perniagaan, dakwah, akhlak, politik, ketenteraan, dan keluarga.

No comments:

Post a Comment