Thursday, December 10, 2015

Vape bukanlah aspirasi anak muda – Faridunnaim

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan serbuan oleh kementerian kesihatan Malaysia ke atas kedai vape dengan merampas cecair e-rokok bernikotin ini. Ketidakpuasan golongan ultra kiasu ini semakin menjadi-jadi kerana ramai yang bangkit mempertahankan industri vape ini.

Dipetik sedikit sejarah vape, rokok elektronik @ vape yang digunakan sekarang dicipta oleh seorang ahli farmasi China yang bernama Hon Lik pada 2003 dengan menukar nikotin dalam bentuk wap yang dilarutkan dalam cecair “propylene glycol”.

Wap nikotin inilah yang disedut masuk ke dalam paru-paru seterusnya ke aliran darah. Tujuannya untuk memberikan dos nikotin kepada perokok supaya tidak perlu menyedut asap rokok yang lebih banyak bahan kimia bahaya.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah kata kalau kerajaan hendak kutip cukai terus terang sahaja, jangan membuat serbuan dan rampasan secara tiba-tiba. Ini menyebabkan kemarahan anak muda yang menjadikan vape sebagai “lifestyle” mereka sendiri.

Bagaimana KKM boleh buat serbuan dan rampasan sedangkan kabinet tidak mengharamkan vape. Ini yang menjadi tanda tanya kepada semua peniaga dan pengguna vape. Sekali gus memberi amaran Barisan Nasional bakal kehilangan 1 juta pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somansundaram menggesa kerajaan untuk mengikut nasihat KKM yang mengharamkan rokok elektronik.

Pada 30 Oktober 2013, Berita Harian melaporkan, pihaknya masih lagi dalam kajian dan perlu melalui prosedur yang ditetapkan dan akan diuar-uarkan keputusannya kelak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan rokok dan vape bukanlah aspirasi anak muda. Saya bersetuju aspirasi anak muda harus lebih besar dan lebih manfaat kepada orang lain.

Ada baik buruknya vape ini. Ada yang mengatakan vape mampu untuk menghilangkan ketagihan kepada merokok. Ada juga yang ingin menjadikan gaya hidup baru dan ada juga yang malangnya hanya menghabiskan wang ringgit dan pembaziran dengan hanya membeli vape dan menyimpan untuk dibuat koleksi.

Sedar atau tidak, bagi perokok tegar saya meraikan jika ini cara yang terbaik untuk mengurangkan ketagihan terhadap rokok tetapi bagi penghisap vape yang baharu daripada kalangan kanak-kanak, pelajar sekolah dan wanita, ini sangat merisaukan dan sangat menggambarkan kebiadaban mereka apabila mereka menayangkan adegan hembusan vape beramai-ramai.

Sebagai seorang lelaki, pilu dan sayu melihat suasana yang kurang baik di sekeliling sendiri. Sekiranya dahulu wanita Melayu dikenali dengan sangat pemalu, tetapi zaman dan era ini malu wanita sedang dicabuli dan dikotori oleh keseronokan karat-karat dunia.

Merekakah ibu-ibu yang akan melahirkan dan mendidik pemimpin yang akan menggegarkan dunia ibarat "tangan yang mengayun buaian mampu menggoncangkan dunia!".

Peribadi anak muda yang bagaimana?

Apa yang sebenarnya yang kita inginkan daripada anak-anak generasi kita pada hari ini. Sudah layukah mereka dek peredaran zaman yang penuh dengan kesulitan dan kejahilan. Inilah bakal pemimpin generasi masa hadapan yang bakal dilahirkan. Jiwanya kuyu hatinya tidak padu.

Di mana silapnya dalam mencorakkan anak muda hari ini untuk menjadi anak bangsa yang boleh dibanggakan dan diberikan tanggungjawab yang besar. Malu melihat anak muda yang seangkatan yang perjuangan mereka kecil. Negara ini perlu dibina. Negara ini perlu disatu. Negara ini perlu berdiri kukuh untuk kekuatannya.

Memetik kata-kata Soekorno yang merupakan Presiden Indonesia suatu masa dahulu pernah berkata “Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan ku cabut semeru dari akarnya, berikan aku seorang pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia” Nah, masakan tidak, pemuda mempunyai potensi besar untuk digembleng dan digunakan dalam membangunkan dan sebagai “game changer” kepada umat manusia. Seruan saya sebagai salah seorang rakyat.

Sepatutnya Kementerian Kesihatan perlu memberi amaran terlebih dahulu sebelum melakukan operasi serbuan. Kerajaan perlu ambil kira berapa jumlah peniaga vape dan pengguna vape serta berapa kerugian yang dialami oleh peniaga-peniaga vape ini. Hal ini kerana ada dalam kalangan mereka yang telah melaburkan wang mereka untuk memajukan perniagaan ini.

Adakah wang yang dilaburkan oleh mereka akan lebur begitu sahaja. Kerajaan sepatutnya menyediakan inisiatif baru untuk mereka yang telah berjinak-jinak dengan perniagaan ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga seharusnya mengadakan kempen besar-besaran mengenai penggunaan vape dan keburukan yang bakal dialami oleh penghisap vape.

Wahai anak-anak muda yang seangkatan dengan saya, untuk mengubah hidup itu memang payah. Memerlukan kesungguhan, keinginan dan dorongan. Ayuh bersama-sama kita membangun diri agar menjadi lebih baik dan lebih bermanfaat kepada orang lain.

Pembaziran yang berlaku tidak kiralah penghisap vape, rokok mahupun shisha, sangat-sangat tinggi nilainya. Jika sebulan boleh menghabiskan sebanyak RM200-RM300, inilah nilai pembaziran kita.

Tidak cukupkah dengan tekanan kenaikan harga minyak, tol, barang-barang harian dan rumah telah menyebabkan hidup kita serba kekurangan. Jangan ditambah lagi dengan pembaziran untuk yang sekalian kalinya lagi.

Akhir sekali, semua pihak memainkan peranan yang sama penting dalam mengubah masyarakat hari ini. Jangan hanya menuding jari kepada kerajaan dan peniaga mahupun penghisap vape semata-mata. Langkah ini langkah kita bersama untuk ditangani dengan segera.

No comments:

Post a Comment