Sunday, December 27, 2015

Mengimbau partisipasi PAS dalam politik Sarawak – Nazri Noor dan Jufazli S.A


PAS mula bertanding dan memasuki Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, mencuba nasib di Parlimen Batang Lupar, yang mana majoriti pengundinya ialah Bumiputera Islam-Sarawak.

Sekali imbas, ia kelihatan sebati dengan DNA politik PAS, namun ia berdepan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang paling dominan di negeri itu, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Hasilnya, PBB jauh meminggirkan PAS dengan peratusan undi majoriti sebanyak 70.7%, berbanding PAS yang hanya memungut 22.6%.

Pada PRU 2004, PAS sekali lagi mencuba nasib, kali ini memilih tempat baharu, Parlimen Batang Sadong, juga bertembung dengan PBB.

Hasilnya, PAS dengan undi popular 8.7%, jauh dipinggirkan PBB yang memungut 91.3% undi popular.

Pada PRU 2008 pula, PAS sekali lagi mencuba di Parlimen Batang Lupar buat kali ke-2 selepas tewas pertama kalinya pada 1999. Sekali lagi, PAS tercorot dengan defisit undi lebih 8,000. Dengan undi popular sekitar 20%.

PRU 2013, menyaksikan PAS dipertanggungjawabkan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk membuktikan diri mereka di 5 kerusi parlimen, Sibuti, Tanjong Manis, Batang Sadong, Kota Samarahan dan Igan.

Walaupun tsunami rakyat memihak kepada PR khasnya di Semenanjung Malaysia, PAS rata-rata dilihat gagal memberi sebarang nilai positif dalam arus politik Sarawak.

PAS teruk dibelasah di Parlimen Tanjong Manis. Calon PAS hilang wang deposit, selepas hanya mengutip 1,571 (11%) undi.

Dua calon lagi Di Batang Sadong dan Igan, nyaris selamat selepas berjaya melepasi tahap 12.5% undi popular dengan 2,017(13%) undi di Batang Sadong dan 1,747 (13%) undi di Igan.

Di Sibuti, walaupun gah dengan undi popular 35%, PAS tewas kepada PBB dengan 6,066 defisit, manakala di Kota Samarahan pula, PAS jauh di belakang PBB dengan defisit 17,401 walaupun dengan 21% undi popular.

Boleh dirumuskan di sini, dikumpulkan statistik penglibatannya dalam 4 PRU, tahap purata undi popular PAS berlegar di sekitar 17%.

Hal ini mengambil kira konteks PAS bertanding sebagai rakan kongsi dalam koalisi PR bukan secara bersendirian.

Pilihan raya negeri

PAS mula melibatkan diri dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 2001 dengan bertanding di 3 kerusi DUN; Semariang, Sadong Jaya dan Beting Maro.

Secara purata ia mengandungi hampir 90% pengundi Melayu/Melanau Islam. Hasilnya, PAS jauh ditinggalkan lawan tradisinya di Sarawak, PBB.

Pada pilihan raya DUN 2006 pula, PAS bertanding satu kerusi di Beting Maro dan sekali lagi tewas dengan parti PBB. 90.99% pengundi ialah pengundi Melayu atau pengundi Melanau Sarawak namun PAS masih gagal menyaingi dominasi parti PBB-BN di Sarawak.

Keputusan DUN Sarawak ke-10 (2011) menunjukkan PAS gagal memenangi sebarang kerusi daripada 5 kerusi yang ditandingi iaitu di kerusi DUN Tanjong Datu, DUN Muara Tuang, DUN Sadong Jaya, DUN Sebuyau dan DUN Beting Maro.

Dikumpulkan semua undi daripada semua calon PAS, jumlahnya kurang daripada 10 ribu. Jika dinisbahkan kepada sejumlah 980 ribu pengundi berdaftar di Sarawak, suara PAS ini tidak lebih daripada 1% sahaja.

Mengapa PAS tidak mendapat tempat di hati majoriti pengundi di Sarawak?

Hasil kajian Strata Centre, jumhur pendapat sarjana tempatan dan penganalisis politik di Sarawak secara kolektif merumuskan, PAS sememangnya tidak relevan lagi untuk bertanding di negeri itu.

Ini kerana, kedudukan masyarakat Bumiputera Muslim di Sarawak dijaga baik parti PBB-BN di Sarawak.

Faktor penaungan parti PBB-BN Sarawak ke atas masyarakat Bumiputera Islam Sarawak juga sudah berlangsung lebih daripada 33 tahun.

Oleh itu, apabila PAS terlalu bergantung dengan senjata “Melayu-Islam” semata-mata, amat sukar untuk menarik hati para pengundi yang pelbagai kaum di negeri.

Walaupun PAS menambah seberapa banyak jumlah kerusi Parlimen dan kerusi DUN, ia tetap tidak mengubah rekod kekalahan PAS dalam tempoh lebih 20 tahun bertapak di Sarawak.

PAS yang membawa nilai konservatif di negeri itu seperti isu hudud dan nilai Melayu-Islam hanya menunjukkan majoriti pengundi kurang mempercayai nilai tersebut.

Nilai progresif dalam sosio budaya pengundi di Sarawak yang lebih menekankan nilai keterbukaan iaitu tidak hanya bergantung dengan nilai-nilai Melayu-Islam semata-mata gagal dibaca dengan baik oleh PAS sendiri.

Mesej daripada analisis di atas, pakatan pembangkang perlu memahami, jika mahu kemenangan dan mengambil alih pemerintahan Umno-BN di Putrajaya, Sarawak tidak boleh diabaikan pada PRU ke-14 dan juga pilihan raya DUN pada 2016.

PAS, rakan tidak strategik

Jika PAS dirasakan sebagai rakan strategik bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi persaingan kuasa ini, kami merasakan ia adalah satu strategi yang salah kerana PAS, dengan imej, pendekatan dan mesej konservatifnya terbukti tidak ada tempat dalam politik Sarawak.

No comments:

Post a Comment