Tuesday, September 1, 2015

Patuh syariah, tidak mesra fitrah? – Syahir Nujaba’

Alhamdulillah, kesedaran terhadap syariah di negara ini sangat bagus dari sudut pendidikan serta hebahannya. Rakyat Malaysia bukan sahaja mendapat pendedahan syariah di sekolah, tapi juga mendapat pendidikan susulan di kuliah-kuliah ilmu yang dihidupkan oleh masjid dan surau seluruh negara.

Ditambah pula dengan wujudnya institusi kajian syariah, baik di peringkat universiti mahupun industri, ini memberikan nilai tambah terhadap kepatuhan sistem serta masyarakat terhadap syariah.

Istilah patuh syariah sebetulnya dimasyhurkan oleh agamawan dalam bidang perbankan Islam. Bagaimanapun, istilah ini akhirnya diguna secara meluas dalam bidang-bidang yang lain.

Kajian terhadap kepatuhan syariah hari ini membuka peluang kerjaya yang luas dalam industri, sekali gus melahirkan lebih banyak cendekiawan yang menceburi bidang ini.

Hal ini adalah perkembangan yang sihat kerana, setiap produk serta amalan Islam dibawa ke aras yang lebih teliti sebelum diiktiraf sebagai selari dengan kehendak syarak.

Pun begitu, idealisme patuh syariah kebelakangan ini dilihat tidak cukup untuk mensikapi permasalahan masyarakat. Pendekatan patuh syariah yang bersendiri dilihat tidak praktikal dengan situasi semasa.

Ini kerana, wujudnya kelompok agamawan yang sibuk menyeru kepada syariah sehingga menafikan unsur-unsur fitrah insaniah. Dengan sikap berang dan prejudisnya, masyarakat kini menjadi lebih takut untuk mendekati agama dalam menyelesaikan masalah dunia.

Agama kini dilihat tidak lebih sekadar ibadah, yang seterusnya membentuk sekularisme atas nama agama.

Fenomena ini berlaku kerana dua perkara. Pertama, sistem pendidikan agama di negara ini yang bersifat terasing daripada masyarakat dan lebih bersifat teori. Lihat sahajalah di peringkat rendah, pelajar agama bukan sahaja diasingkan daripada kaum lain, bahkan diasingkan mengikut jantina.

Bukanlah ini bermaksud sistem ini salah. Cuma, kurangnya pendedahan pelajar-pelajar ini dengan hubungan lain kaum dan jantina, akhirnya akan menjadikan mereka ini kelompok suci yang menghukum kesalahan kelompok kotor tanpa unsur fitrah.

Disebabkan mereka hidup dalam dunia yang tiada noda, mereka gagal untuk memahami punca tercetusnya sesuatu masalah. Sebaiknya di sebalik sistem pengasingan yang ada ini, program-program kemasyarakatan perlu didedahkan kepada bakal agamawan ini agar mereka lebih terbuka untuk melihat dunia sebenar yang lebih kompleks dari sekadar mengeluarkan fatwa di kamar berhawa dingin.

Faktor kedua yang menyebabkan agamawan suci ini terus bermaharajalela adalah, kurangnya pendedahan terhadap bacaan moden serta bidang ilmu selain syariah.

Kebanyakan pelajar agama ditekankan untuk membaca dan mengkaji kitab-kitab lama hasil warisan ulama tersohor seluruh dunia.

Ini bagi mengekalkan bentuk serta tradisi kajian syariah yang berpaksikan dalil daripada sumber primer, serta legasi menghormati pandangan ulama’ terdahulu. Pendekatan ini sekali gus membentuk satu disiplin ilmu yang mengawal agamawan daripada mencipta sesuatu yang baru di dalam Islam sesuka hati.

Sudah pastilah ia sesuatu yang positif kerana tanpanya, agama Islam akan terdedah kepada penyelewengan seperti apa yang berlaku di dalam agama lain.

Walaupun begitu, ia masih tidak mencukupi jika kita kembali kepada komponen ilmu syariah yang terdiri daripada ibadah dan juga muamalat.

Komponen muamalat yang juga mewakili unsur-unsur sivil dalam syariat Islam membutuhkan pembacaan yang lebih luas daripada pendekatan di atas. Isu-isu sivil yang lebih kompleks, tidak mampu ditanggapi dengan baik jika sekadar merujuk kepada kitab-kitab Arab klasik dari negara-negara timur tengah.

Ia juga tidak akan lengkap difahami jika tidak meluaskan bacaan terhadap bidang-bidang ilmu lain yang sebahagiannya lebih dikuasai oleh bukan Islam dari bukan negara Arab timur tengah.

Ilmu-ilmu seperti psikologi dan kriminologi dalam bidang jenayah, sosiologi dan sains politik dalam kemasyarakatan, ekonomi dan sistem kewangan dalam bidang perbendaharaan, serta undang-undang dan perlembagaan dalam isu-isu perlaksanaan, sepatutnya digabung jalin dengan dapatan-dapatan daripada teks-teks klasikal yang ada dalam kitab-kitab Arab.

Ini penting bagi membentuk fikah baharu dalam rangka membumikan wahyu mengikut situasi yang berbeza dengan dunia Arab.

Bahkan, sarjana Islam yang melalui fasa ini, menulis banyak karya tentang cabang ilmu syariah lain yang diperlukan bagi memastikan fatwa atau ijtihad yang dikeluarkan agamawan benar-benar jitu.

Antara cabang ilmu lain yang berkait adalah Fiqh al-Aulawiyyat (perlaksanaan syariah mengikut keutamaan), Fiqh al-Watan (hukum-hakam bersangkut pendekatan syariah dalam kerangka kenegaraan), Fiqh al-Ma’alaat (menimbang akibat sebelum mewartakan pendapat), Fiqh al-Aqaliyyat (mensikapi hukum-hakam di negara minoriti Muslim), dan Maqasid Syariah (menghalusi kehendak serta tujuan syara).

Kesemua ilmu di atas, baik yang berorientasikan Islam mahupun sistem lain, sangat diperlukan bagi membentuk sebuah pemikiran yang lebih praktikal dan terarah. Selari dengan keperluan zaman, kajian syariah yang terbatas dalam sempadan 4 mazhab, kini perlu diubah kepada kajian merentasi bangsa, negara dan agama.

Inilah yang kita sebutkan sebagai mesra fitrah. Tuntutan untuk agamawan bersikap mesra fitrah ini bukanlah usaha untuk menjadikan agamawan kita lebih liberal.

Jika kita memahami konsep serta falsafah keagamaan, titik temu antara syariah dan fitrah tidak boleh dipisahkan! Kegagalan kita dalam memahami Islam antara fitrah dan syariah, menjadikan kita malaikat-malaikat sekular yang menganggap diri sebagai suci tanpa menyedari kita sebagai agamawan pun menanam satu bentuk sekularisme agama dalam kalangan masyarakat.

Masakan tidak, masalah kenaikan harga barang hanya dikupas dari sudut aqidah, dan meninggalkan sudut ekonomi.

Demonstrasi jalanan ditanggapi dalam kerangka pengharaman menggulingkan khalifah, tapi tidak menyentuh tentang sistem demokrasi. Masalah tekanan hidup hanya disentuh dari sudut kekuatan iman, tidak menyentuh soal psikologi dan sosiologi.

Hudud dijaja dalam rangka teks-teks klasik tanpa melihat kepada sistem perundangan serta perlembagaan sedia ada. Hubungan antara kaum pula sering kali dikupas dalam konteks wilayah, terus meninggalkan aspek madaniyyah.

Berhadapan dengan agamawan sebegini, masyarakat perlu lebih bijak. Menguasai terlebih dahulu falsafah keagamaan dengan memahami kewujudan agama antara ruang lingkup fitrah dan syariah.

Selepas itu, proses-proses desakan perlu dikerah segenap pihak. Penulisan-penulisan daripada agamawan yang bersifat lebih holistik perlu diperbanyakkan agar pandangan agamawan sekular ini akan tenggelam sendiri.

Selain itu, gerakan daripada masyarakat juga mampu memberi impak yang besar terhadap kegelinciran pemikiran ini. Dengan cara memboikot pengisian atau penyampaian mereka, ketiadaan penyokong mampu memberi kesan mendalam terhadap ego mereka.

Usaha-usaha ini sudah pastinya terlebih dahulu perlu dipusatkan untuk membanteras cara fikir yang salah, bukan untuk menjatuhkan mana-mana peribadi. Ini juga adalah sebahagian daripada usaha dakwah dalam memerangi persepsi yang dibentuk oleh cara fikir agamawan yang sekular.

Ini juga adalah usaha untuk membantu rakan-rakan awam kita yang keliru, yang selama ini menganggap semua yang datang daripada ustaz-ustazah adalah benar belaka.

Dengan munculnya ramai asatizah yang berbeza pandangan, kini sudah tiba masanya masyarakat bertindak sebagai penilai dan terus menegur dan membetulkan kelompok agamawan suci ini daripada terus tergelincir dalam menyatakan pandangan mereka.

Kita mengharapkan suatu hari nanti, mereka bukan sahaja patuh syariah, tetapi juga mesra fitrah.

No comments:

Post a Comment