Thursday, January 28, 2016

7 persoalan terbuka kepada peguam negara - Jufazli S A

Yang Berbahagia Tan Sri Mohamed Apandi Ali,

Mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, "atas nasihat perdana menteri", memperkenankan pelantikan Tan Sri sebagai peguam negara persekutuan yang baharu, berkuatkuasa 27 Julai 2015.

Persoalan pertama saya, adakah arahan penarikan balik 3 kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) oleh peguam negara itu disebabkan pihak Tan Sri terhutang budi dengan perlantikan pada Julai tahun lalu?

Apakah indeks prestasi utama (KPI) yang perlu pihak Tan Sri wajib penuhi hasil perlantikan baharu ini?

Adakah salah satunya perlu menyelamatkan semua bukti sahih yang diberikan pemberi maklumat kepada badan berautoriti yang dikaji Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Adakah penarikan dan penutupan kes Datuk Seri Najib Razak ini ditutup atas alasan dia adalah "perdana menteri" Malaysia atau ia juga dinilai sebagai rakyat Malaysia seperti kami yang tidak kebal daripada pendakwaan pihak Tan Sri selaku peguam negara?

Siapakah pemberi derma RM2.6 bilion itu Tan Sri? Mengapa maklumat ini susah untuk diketahui kami selaku rakyat yang berhak mengetahui penama dermawan itu agar menghentikan lagi spekulasi yang merosakkan nama Najib dan nama Malaysia di pentas antarabangsa?

Saya buka portal rasmi Jabatan Peguam Negara 30 minit lalu. Saya cuba mencari kes siasatan yang disemak semula pihak tan sri di bahagian ruangan 'Maklumat Kes' dan 'Keputusan Kes Terkini'.

Ironinya, tiada maklumat yang diperolehi. Bolehkah Tan Sri memasukkan semula semakan kes derma RM2.8 bilion itu agar kami boleh membacanya sebagai rujukan penyelidikan di masa hadapan?

Mustahil kes siasatan yang begitu meragui integriti seorang rakyat Malaysia yang berjawatan tinggi begitu sempurna daripada kesalahan skandal kewangan yang antara tersenarai sebagai top 3 di peringkat dunia.

Kenyataan Tan Sri yang berpuas hati beliau tidak melakukan jenayah ini menambahkan keraguan rakyat kerana tiada proses transparen. Tiada satu nilai wang dermakah yang pihak Tan Sri "tidak puas hati"? Hatta sebesar zarah?

Apakah jumlah RM2.03 bilion yang dikembalikan itu bukan satu jenayah sehingga baki duit yang digunakan selebihnya untuk tujuan peribadi tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Apa bukti duit yang digunakan hasil derma peribadi ini tiada sangkut paut dengan salah guna kuasa dan percanggahan kepentingan yang menyebabkan Malaysia mendapat nama buruk di peringkat antarabangsa?

Mengapa Tan Sri termasuk dalam kumpulan Lembaga Pengarah Tabung Haji Malaysia selepas meminta siasatan ini ditutup? Adakah itu "derma" daripada perdana menteri kerana 3 kes siasatan diselesaikan di balik tabir kepentingan negara dan rakyat?

Sekian, itu sahaja soalan saya selaku rakyat marhaen di negara ini. Amat gembiralah saya jika soalan ini dijawab institusi Jabatan Peguam Negara yang berdekatan dengan Jabatan Perdana Menteri di kawasan Putrajaya itu. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment