Thursday, January 28, 2016

PAS, gerakan Islam pro demokrasi dan Isis – Maszlee Malik

Di antara isi ucaptama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu Multaqa Alumni al-Azhar yang lalu, beliau ada menegaskan demokrasi merupakan sistem yang paling hampir dengan syariat Islam.

Beliau turut menegaskan PAS komited dengan wahana demokrasi untuk mencapai cita-cita mereka. Malangnya, penegasan Hadi itu kurang dihargai signifikannya kerana dilitupi laporan retorik politik berkaitan perkongsian pentas di antara beliau dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Walhal, penegasan tersebut amat signifikan dan amat bermakna semasa dunia sedang menghadapi ancaman kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) atau Da’esh di waktu ini.

Komitmen PAS untuk memelihara sistem demokrasi di Malaysia melalui lidah presidennya itu merupakan petunjuk jelas PAS menolak Isis dan tidak sekali-kali boleh disamakan dengan Isis sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Malah kenyataan Datuk Ayub Khan, ketua penolong pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman sewaktu “Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan” di Universiti Teknologi Malaysia pada 13 Disember 2015 lalu mengenai bahaya doktrin Isis melalui pengajaran tauhid 3 di Malaysia adalah tuduhan tidak langsung terhadap Hadi dan PAS.

Ini memandangkan Hadi merupakan antara figura agama awal yang bertanggungjawab memperkenalkan doktrin “Tauhid 3’ (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyan dan Tauhid Asma wa Sifat) kepada rakyat Malaysia melalui karya terkenalnya “Mukadimah Aqidah Muslim” di awal tahun 80’an lagi.

Malah siri ceramah-ceramah Hadi mengenai kepentingan menegakkan syariah dan negara Islam adalah berpaksikan konsep Tauhid Uluhiyyah semenjak 4 dekad lalu.

Malangnya doktrin yang dibawa Hadi itu diserang hebat di dalam “Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan” berkenaan 2 orang penceramah lain, iaitu Zamihan Mat Zin dan juga Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.

Tuduhan yang dilemparkan antara lain ialah doktrin tauhid berkenaan merupakan ajaran Wahabi yang dibawa masuk graduan dari Arab Saudi seperti Hadi dan graduan Pakistan seperti kebanyakan aktivis PAS merupakan punca kepada faham ekstremis Isis di Malaysia.

Walaupun mereka tidak menyebut nama PAS, namun umum dapat memahami yang menjadi tumpuannya ialah Hadi dan PAS yang juga sebelum ini menjadi mangsa tuduhan beberapa tokoh lain.

Maka, penegasan Hadi di dalam multaqa berkenaan merupakan satu kenyataan signifikan untuk melawan mitos yang cuba mengaitkannya dan PAS serta ajaran tauhid 3 dengan Isis dan keganasan.

Hadi membuktikan pemahaman Islam berteraskan tauhid t3 boleh menerima demokrasi dan di atas dasar itu juga, PAS komited dengan prinsip tersebut.

Amat malang, di dalam multaqa tersebut, isu Isis tidak ditimbulkan sama sekali, malah isu keperluan komitmen serius melibatkan kerjasama Umno dan PAS untuk melawan pengaruh Isis di Malaysia juga tidak disentuh langsung.

Malang lagi, kerajaan Umno di dalam usahanya melawan pengaruh Isis juga tidak melibatkan Hadi dan pimpinan PAS lain secara serius untuk bersama bagi melawan naratif keganasan yang dibawa Isis.

Secara realistiknya, Hadi dan PAS mempunyai penawar bagi mereka yang bersimpati dan terpengaruh dengan doktrin keganasan Isis di Malaysia.

Kemampuan Hadi membuktikan demokrasi merupakan sistem yang paling hampir dengan Islam, dan juga betapa patuh syariahnya kebanyakan mekanisme sistem demokrasi untuk dijadikan landasan usaha penegakan syariat Islam merupakan satu idealisme yang perlu dihayati mereka yang mula terpengaruh dengan Isis.

Umum mengetahui mereka yang cenderung dengan Isis bermula dengan penolakan terhadap demokrasi dan juga sistem perubahan seacara aman.

Mereka sering mengemukakan hujah-hujah yang difahami secara literal dan bias di dalam menolak sistem demokrasi yang dianggap sebagai sistem kufur dan tidak Islamik.

Malangnya hujah-hujah mereka itu dapat dipatahkan Hadi di dalam karya-karya beliau, dan juga melalui penglibatan beliau dan PAS secara langsung dengan sistem demokrasi yang ada di Malaysia.

Maka, berdasarkan kredibiliti ini, Hadi dan juga kepimpinan PAS lain terutamanya ketua pemuda parti berkenaan, Nik Abduh sepatutnya dilibatkan secara langsung Kementerian Dalam Negeri di dalam usaha menangani pengaruh Isis di Malaysia, malah di Asia Tenggara.

Persefahaman bekerjasama di antara Umno dan PAS lewat multaqa itu perlu dijadikan titik permulaan untuk tujuan tersebut.

Keterlibatan gerakan Islam dan parti-parti Islam pro demokrasi untuk melawan naratif dan pengaruh Islam ekstremis bukanlah sesuatu yang baharu.

Dr Anas Tikriti dari Cordova Institute dan juga Dr Azzam al-Tamimi dari United Kingdom (UK) menyuarakan perkara ini, dan malah mereka sendiri terlibat di dalam usaha kerajaan UK untuk tujuan nyah-radikalisasi di kalangan pemuda Muslim yang terpengaruh dengan Isis.

Di negara-negara Eropah yang lain juga, kerajaan negara-negara berkenaan turut melibatkan organisasi-organisasi Islam pro-demokrasi untuk bersama melawan pengaruh Isis dan kumpulan pengganas yang seumpamanya.

Di negara-negara Islam pula, Tunisia, sebagai contoh, gerakan Islam utama di sana, Parti Ennahdah, menjadi tonggak utama usaha melawan doktrin Islam ekstrem dan juga pengaruh Isis. Hal yang sama juga berlaku di Maghribi, Kuwait dan Jordan.

Di Malaysia, kerajaan melalui Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman tidak boleh hanya berharap dengan sekerat dua figura tradisionalis yang kontroversial untuk menangani isu Isis ini.

Gerakan Islam sederhana pro-demokrasi seperti PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Haluan, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Teras Keupayaan Melayu (Teras) dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) perlu dilibatkan sama.

Gerakan-gerakan ini mempunyai pengaruh, kader-kader, mekanisme dan juga jentera untuk membanteras ideologi keganasan seumpama Isis dan lain-lain lagi.

Tambahan lagi, gerakan-gerakan ini juga terbukti menolak keganasan, menolak ekstremisme dan juga mampu menyumbang kepada pembinaan negara melalui ruang masyarakat sivil dan juga ruang demokrasi.

Adalah satu kesilapan besar jika pihak Bukit Aman menolak kerjasama gerakan-gerakan Islam pro-demokrasi ini.

Lebih silap lagi, jikalau mereka menjadikan gerakan-gerakan tersebut sebagai musuh ataupun menggolongkan mereka bersama di dalam kelompok Isis dengan alasan kesemua gerakan tersebut mengajarkan doktrin tauhid 3 di dalam usrah-usrah mereka.

Ternyata bukti empirikal menunjukkan doktrin tauhid 3 yang didokongi gerakan-gerakan berkenaan tidak menjadikan mereka pengganas, sebaliknya doktrin tersebut banyak menyumbang ke arah perkara-perkara positif, kebaikan sejagat, dan juga unsur-unsur kebajikan di dalam ruang demokrasi di dalam negara Malaysia.

Pihak Bukit Aman perlu bersikap inklusif dan profesional di dalam melibatkan seramai mungkin kawan di dalam menangani isu Isis ini secara serius.

Kepakaran dan juga pengkhususan gerakan-gerakan Islam sederhana pro-demokrasi perlu diintegrasikan dengan usaha-usaha sedia ada oleh Bukit Aman.

Kelebihan gerakan-gerakan tersebut ialah keupayaan mereka untuk mempengaruhi massa dan masyarakat sivil untuk menghayati Islam yang sederhana dan menghormati sistem yang ada.

Usahlah kawan disangka lawan, ia hanya akan menggadaikan usaha baik tersebut dan mensia-siakan tenaga dan bakat yang ada.

Lebih malang lagi, penolakan terhadap usaha sama gerakan-gerakan Islam sederhana pro-demokrasi itu juga ditakuti akan membawa kepada kesan slippery slope (keterbabasan) yang membawa akhirnya kepada fenomena Islamophobia di Malaysia.

No comments:

Post a Comment