Thursday, January 28, 2016

Lawan Mukhriz lawan – Muammar Qaddafi

Klimaks kemelut Umno Kedah hampir sampai ke tarikh akhir iaitu sebelum berakhir Januari sebagaimana dilaporkan media peralihan kuasa menteri besar kedah akan berlaku akhir bulan ini kepada Datuk Ahmad Bashah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun begitu Mukhriz bertindak menyerang balas melalui pendedahan beliau istana masih belum memberi kelulusan sebagaimana didakwa kelompok penentang beliau.

Rakyat juga dikejutkan dengan pendedahan Adun Kota Seputih beliau dikejar dan hampir terjatuh ke dalam laut oleh kumpulan yang dipercayai mahu sokongan beliau untuk menyingkirkan Mukhriz.

Pemerhati politik pastinya akan ternanti-nanti tindakan seterusnya Mukhriz kerana walaupun beliau berjaya mengekalkan kedudukan menteri besar namun ia jawatan tidak sah kerana secara umumnya 8 Adun secara terbuka menolaknya menjadikan beliau tiada lagi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri untuk kekal sebagai menteri besar yang sah.

Sebagai kumpulan minoriti dalam kem Adun Kedah, Mukhriz seharusnya memikirkan langkah jangka panjang untuk menyelamatkan karier politik beliau, sekiranya memilih sekadar tunggu dan lihat, maka nasibnya akan berakhir sama seperti Datuk Ahmad Said, bekas menteri besar Terengganu yang dipecat dipercayai kerana faktor hampir sama.

Beberapa langkah Mukhriz boleh pertimbangkan bagi meneruskan survival politik beliau, dan yang paling wajar ialah membubarkan DUN Kedah dan kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa lebih layak memimpin kerajaan negeri.

Berdasarkan pengaruh beliau dan bapanya dan dicanangkan kepada dunia rakyat Kedah begitu sayang kepadanya, pastinya beliau mampu sekali lagi menawan Kedah menggunakan lambang parti lain ataupun bebas atau sekurang-kurangnya beliau tidak memberi jalan mudah untuk penentang merampas kuasa daripada tangannya.

Mukhriz juga boleh membuka jalan kerjasama dengan Adun pembangkang di Kedah, jika ada 5 adun bersamanya maka beliau mampu membentuk kerajaan baru menggantikan Umno BN, namun langkah ini dipercayai kurang berkesan melihatkan rekod di Terengganu.

Karier politik Mukhriz mungkin akan tamat jika beliau tidak bertindak dengan berkesan. Mukhriz harus buktikan kepada rakyat beliau tidak boleh diperlakukan sedemikian sewenangnya, beliaulah yang bertanggungjawab membawa kembali Kedah ke tangan BN dan tindakan penentangnya adalah biadab dan tidak boleh diterima begitu saja.

No comments:

Post a Comment