Thursday, January 28, 2016

Bagaimana PAS bantu Umno – Muammar Qaddafi

Keputusan Majlis Syura PAS beberapa hari lepas memutuskan tidak akan berlaku kemasukan parti Islam itu sebagai komponen Barisan Nasional (BN) namun pada masa yang sama bersetuju untuk menjalin kerjasama antara kedua-duanya untuk perkara kebaikan.

Menilai dari satu sisi, tiada salahnya ketetapan ini bahkan usaha kerjasama bersama Umno untuk perkara kebaikan turut disebut sebut DAP dan PKR.

Apa yang menjadi persoalan pokok bukanlah soal kerjasama ke arah kebaikan, namun yang dibimbangkan adalah langkah PAS yang memberi keuntungan kepada Umno.

Antara langkah PAS yang bakal menguntungkan Umno BN sekali gus membantu parti pemerintah itu mengekalkan penguasaan di Putrajaya adalah mewujudkan sentimen anti DAP dalam kalangan orang Melayu.

Satu kajian yang dijalankan mendapati 70% orang Melayu kampung dan pedalaman menolak DAP kesan daripada kempen PAS dan Umno.

Seruan PAS ke arah perpaduan ummah yakni "ummah Melayu PAS Umno" dengan memainkan isu perkauman membawa orang Melayu kampung yang tidak mempunyai akses maklumat yang cukup untuk menolak DAP secara membuta tuli.

Ironinya, tindakan ini dianggap pelik kerana kawasan kampung yg menjadi sasaran kempen anti DAP, bukanlah tempat parti itu bakal meletakkan calon mereka.

PKR juga tidak pernah menyasarkan pedalaman sebaliknya mereka menumpukan Melayu bandar, jadi mungkin PAS cuba untuk menyasarkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang turut menjadi sekutu DAP dalam Pakatan Harapan.

Hudud

Musim terbaru eksploitasi hudud PAS lebih berbeza berbanding musim lain, jika sebelum ini mereka meletakkan Umno sebagai penghalang hudud, PAS pasca muktamar meletakkan Umno sebagai harapan untuk hudud dapat dilaksanakan.

Mesej ini akan dibawa masuk ke dalam kepala penyokong mereka untuk menghalalkan mereka memberi undi kepada Umno BN jika berlaku pertembungan 1 lawan 1 antara BN dan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang secara terbuka berpendirian untuk tidak menyokong usul hudud PAS.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya

Tahun ini akan menyaksikan berlakunya persempadanan semula kawasan pilihan raya, daripada maklumat tidak rasmi ia mungkin akan dilaksanakan pada April tahun ini dan PAS dijangka akan menyokong usaha ini dan pastinya dengan penyusunan kedudukan pengundi akan memberi kelebihan kepada Umno BN.

Tiada salahnya kerjasama ke arah kebaikan, persoalannya kenapa sekarang? Kenapa bila Umno menekan rakyat sehingga ke paras dasar sungai, saat rakyat sudah marah dan bersedia untuk menumbangkan Umno BN, lalu PAS cuba memberi tongkat sakti agar Umno sekurang-kurangnya dapat berkuasa untuk lebih lama lagi.

Adakah jika Umno terus berkuasa, maka hudud dapat dilaksanakan di Kelantan mahupun Malaysia? Atau jika Umno kekal berkuasa maka Kelantan akan dikembalikan hak royalti mereka? Atau jika Umno kekal berkuasa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan? Derita rakyat akan berkurangan dan keadilan akan diberi kepada mangsa penindasan?

Pada tindakan PAS terdapat 1,001 tanda tanya, penuh keraguan. Mungkin persoalan akhir pada artikel ini adalah,adakah kerjasama untuk kebaikan itu termasuk juga kerjasama politik antara PAS dan BN untuk menentang Pakatan Harapan?

No comments:

Post a Comment