Tuesday, July 28, 2015

Buktikan ini yang terbaik kalau boleh – Miqdam Rashid

Satu persatu berlaku hari ini. Saya tidak rasa isu yang berlaku hari ini perkara yang baik bahkan ia merupakan musibah yang memungkinkan malapetaka kepada Malaysia. Sedarlah wahai anak Malaysia.

Kini, kita dikejutkan lagi dengan Kabinet baharu yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak. Kawan 'seperjuangan' Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan perdana menteri bersama 4 menteri digugurkan daripada senarai. Takziah.

Jangan bilang ini satu 'strategi' ingin kekal berjawatan. Kemudian, menjadi tanda tanya sebab Peguam Negara Tan Sri Gani Patail turut 'diturunkan' dengan alasan keadaan kesihatan beliau. Satu perkara yang berada dalam minda saya bagaimana seseorang yang masih dalam pasukan penyiasatan 1MDB boleh ditukar dengan orang lain. Persepsi rakyat terhadap siasatan ini akan menjadi lebih teruk.

Saya tidak mahu jawab tapi saya yakin rakyat Malaysia sangat boleh memahami dengan sendiri. Suka untuk saya ingatkan kembali rakyat Malaysia itu sudah bijak, matang bahkan mampu menilai.

Rakyat itu bukan mahu membangkang selalu cuma menegur tapi kalau sudah menyebabkan rakyat bosan dengan keadaan politik begini ditambah beban rakyat dihimpit sara hidup tinggi, GST, hutang negara, 1MDB, isu Tabung Haji dan KWSP, kerajaan patut ambil kisah perkara ini.

Kepada rakyat Malaysia, teruskanlah setia dengan kebenaran kerana ini Malaysia ini negara yang kita sayangi. Generasi akan datang akan menyalahkan kita jika kita gagal membentuk negara dengan baik.

Akhir kata, jika ini barisan Kabinet yang terbaik, buktikan!

Kalau tidak mampu, saya kira rakyat pasti akan buktikan pula nanti. Semoga Malaysia menuju negara rahmah satu hari nanti.

Saya sayang Malaysia.

No comments:

Post a Comment