Sunday, July 19, 2015

Ustaz Hasrizal yang saya kenali - Shah Redza Rosli

Semalam (18 Julai 2015), saya telah membaca dua(2) artikel yang bertajuk “Seorang ustaz bernama besar berjiwa kecil” oleh Dr. Zuhdi Marsuki, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan “Mengenali Hasrizal menerusi tulisannya” oleh Dr. Mohd Hasan Bin Hamdan. Kedua-dua penulisan ini saya kategorikan sebagai artikel “character assassination” (pembunuhan karekter) tanpa hujah balas yang rasional, dan pastinya, emosional. Bagi saya,amatlah MALANG sekali sekiranya kedua-dua “artikel pembodohan dan pembunuhan” professional ini dihadam, ditelan dan diluakkan kepada mereka yang TIDAK mengenali SIAPA sebenarnya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Bagi saya, amat penting untuk kita mengenali Ustaz Hasrizal, akhlaknya, dan karyanya.

[1].Mula mengenali Ustaz Hasrizal
Saya mula mengenali Ustaz Hasrizal sekitar 2009 melalui karya sulungnya yang bertajuk “Aku terima nikahnya”. Selepas menyedari mesej,cara dan olahannya yang menarik di dalam buku itu, saya mula mengikuti rapat penulisan beliau melalui saifulislam.com, dan karya-karyanya yang menyusul selepas “Aku terima nikahnya” seperti Murabbi Cinta, Bercinta ke Syurga, Secangkir Teh Pengubat Letih, Rindu Bau Pohon Zaitun, Di Hamparan Shamrock ku seru nama-Mu, dan yang terbaru “Menalar Makna Diri”. Alhamdulillah, saya khatam dan hadam kesemua karyanya!
Sekitar 2011-2014,saya berkesempatan untuk berkhidmat di salah sebuah sekolah Swasta yang terletak di Bandar Baru Bangi di mana anak sulungnya, Saiful Islam bersekolah di situ di peringkat rendah(primary),dan saya pula mengajar di peringkat menengah (secondary). Memandangkan Saiful Islam merupakan ahli di dalam Kelab Badminton yang mana ketika itu saya juga merangkap Penasihat Kelab Badminton untuk Menengah dan Rendah, saya sentiasa memerhatikan tingkahlaku dan cara anaknya berkomunikasi, dan ini memberikan saya “lebih peluang” untuk lebih mengenali susuk yang sedang “diburukkan” ini. Pada akhir tahun 2014, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Mesir menemani isteri menyambung pengajiannya di Al-Azhar, namun itu tidak pernah menjadi penghalang kepada saya untuk lelah mengambil manfaat penulisannya melalui saifulislam.com.


2].Akhlaknya: Insiden “Tumpang Mesej ya”
Sekitar 2013, saya mengendalikan latihan mingguan badminton di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Di penghujung waktu latihan, menjadi kebiasaan untuk murid-murid ini meminta kebenaran daripada saya untuk menggunakan telefon bimbit kepunyaan saya untuk tujuan menghubungi ibu bapa mereka. Namun, Saiful Islam selalunya bertindak awal dengan meminta izin untuk memaklumkan abinya (Ustaz Hasrizal) untuk mengambilnya pada waktu dan tempat yang telah ditetapkan. Di pertengahan latihan, biasanya saya akan mengambil ruang untuk melihat telefon, bimbang kiranya jika ada mesej ataupun panggilan ibu bapa yang “terlepas pandang”. Saat itu, saya terlihat mesejnya yang pendek dan ringkas. Namun dalam tidak sedar, Ustaz Hasrizal telah menambahkan rasa hormatnya saya kepada beliau. Mesej beliau berbunyi:-
“Okey. Nanti abi ambil. Bagitahu Sir abi tumpang mesej ya”.
“Tumpang” itu sinonimnya meminta izin. Tidak pernah dalam sejarah hidup saya, ibubapa mesej meminta kebenaran untuk “tumpang mesej”. Sejak daripada itu, saya melihat Ustaz Hasrizal, sebagai ilmuwan dan agamawan yang akhlaknya, LULUS!


[3].Karyanya yang ber “emosi”.
Bagi saya, beliau telah berjaya memposisikan “emosi” ke dalam penulisannya. Karyanya tidak menafikan bahawa beliau juga manusia biasa. Pengalaman beliau mengembara dan berkelana disebabkan faktor-faktor tertentu membuktikan beliau juga insan seperti kita, yang ada masa JATUH, dan BANGUN. Ini menjadikan penulisannya hidup dan berjaya mempengaruhi pembaca untuk turut sama terjun, tanpa menafikan kebenaran dan terselitnya hujah yang konkrit! Bagi saya, karya yang paling berharga ialah “Menalar Makna DIri, sebuah Kembara ke Turki menjejak Imam Birgivi di Turki”.Karya ini mengajar saya erti MENCINTAI SEJARAH dengan lebih mendalam lagi. Bagi yang membenci beliau, telesurilah penulisannya. Ini baru SEBAHAGIAN dari karya-karyanya, belum lagi artikelnya yang sekarang sedang hangat diperkatakan seperti Gerhana Gerakan Islam: pada mengabaikan al-fahmu dengan “tagline” baru laman sesawangnya iaitu SETIA KEPADA KEBENARAN (jika dahulu ERTI HIDUP PADA MEMBERI) yang mana isinya PEDAS dan PANAS untuk sekumpulan pejuang yang kelihatannya AMAT SUKAR untuk menerima PERBEZAAN!


[4].Penutup
Semoga sedikit perkongsian yang tentang beliau ini dapat memberikan pencerahan kepada “awak-awak” yang tidak pernah mengenalinya, tetapi GIAN menyerangnya. Kerana, AMAT MEMALUKAN bagi yang menyerang peribadi Ustaz Hasrizal, tetapi tidak mengenalinya. Saranan saya, belajarlah MENGENALINYA melalui penulisannya. Kelak anda akan tahu siapa beliau,akhlaknya dan karyanya yang terselit emas dan permata ilmu.
Akhirnya, biarlah kita berakhlak di dalam berbeza pendapat, dan seterusnya menjadikan perbezaan pendapat ini sebagai medan “hujah dibalas hujah”. Cukup, cukuplah dengan segala “Serangan Peribadi” yang bersifat purba. Zaman ini, zaman hujah dibalas hujah. Bukan lagi, "anta Ulama, anta sahaja yang betul". Dan yang paling penting, Akhlak. Lebih baik belajar di peringkat sijil ataupun tiada sijil, tetapi akhlaknya “LULUS”. Dari bergelar “Ustaz” mahupun “Ulama”, tetapi akhlaknya “GAGAL”.







No comments:

Post a Comment