Sunday, July 26, 2015

Strategi badan-badan NGO ke arah parti politik gagal? – Arifin Hassan

Sejak akhir-akhir ini banyak kedengaran sebahagian dari badan-badan NGO seperti Ikram, Abim, Wadah dan Haluan ingin bertukar angin dengan menerjunkan diri ke dalam arena politik. Ini kerana penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) memberi peluang kepada NGO-NGO ini untuk mencorakkan hala- tuju politik negara. Soalannya, adakah mereka ini sesuai dijadikan barang dagangan dalam pasaran pollitik?

Seperti juga di dalam dunia bisnes, berniaga menjual kopi secara kecil-kecilan di warung, berlainan gayanya dari menyewa di food court di Suria KLCC. Bolehkah seorang jaguh dalam acara tenis di peringkat antarabangsa mengulangi kejayaannya dengan bermain bolasepak bersama Liverpool FC?

Satu konsep pengurusan yang dinamakan sebagai The Peter Principle, diperkenalkan Laurence J Peter mungkin mempunyai jawapan bagi persoalan di atas. Dalam kajiannya, seseorang itu dikatakan mempunyai had kejayaannya apabila dia diletakkan dalam suasana yang berbeza dan prestasinya tidak semestinya akan meningkat secara berterusan.

Mungkinkah, dengan kata lain, sesebuah NGO boleh berjaya dalam sesuatu bidang, tetapi ianya akan menemui kegagalan dalam arena politik. Berikut adalah mungkin perkiraan yang harus diambil berat semasa melakukan perancangan strategik dalam menceburkan organisasi dalam arena yang baru ini.

Siapa cepat dia dapat

Apabila gendang dipalu, badan-badan NGO perlulah mengambil satu pendekatan yang baru demi merebut peluang yang ada. Kalau dahulunya mereka berasa selesa dengan lenggok yang perlahan, ia sekarang harus berlari dan kadang kala perlu memecut selaras dengan perubahan semasa.

Ada juga yang menyatakan mereka perlu membuat beberapa penyesuaian dan “quantum leap” untuk berjaya dalam dunia yang baru diceburi ini. Ia perlu membuat anjakan paradigma agar tidak kelihatan sebagai jaguh kampung yang hanya mampu bersaing diperingkat lokal.

Jika dahulunya kenyataan media dikeluarkan hanya sebulan sekali, sekarang ianya hendaklah diadakan dengan lebih kerap, seminggu sekali sebagai contoh. Nah, bila ada parti politik, dua kali sehari pun tidak memadai! Sudahkah ia bersedia untuk perubahan ini?

Budaya kerja lama tak boleh pakai

Philip Kotler, seorang Professor Pemasaran Kellogg School of Management, Amerika Syarikat menyatakan, kejayaan dan budaya kerja mempunyai kaitan yang rapat. Dalam kajian beliau, didapati kejayaan sesuatu organisasi berpaksi kepada ‘cara ahlinya berfikir dan membuat kerja’ atau ‘how things are done around here’. Budaya kerja, pada hakikatnya adalah jatuh bangunnya sesuatu organisasi dan menjadi akar tunjang kepada kejayaan-kejayaan pada masa hadapan.

Semasa Rasulullah s.a.w berada di Mekah pada tahap awal dakwah, Baginda menggunakan strategi dakwah yang bersifat defensif. Namun begitu, peristiwa Hijrah ke Madinah melatih Baginda dan para sahabat r.a. untuk menjadi lebih ofensif & proaktif. Ini merupakan satu pembudayaan semula, a reculturisation of work yang dirancang rapi Allah.

Ahli-ahli dan para pemimpin, kalau dahulunya sudah terbiasa bekerja dari kerusi empuk bersama ahli kumpulannya sahaja, kini perlu keluar bersama-sama untuk turun padang dengan masyarakat. Mereka harus bermesra dengan orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza dan bergaul dengan semua lapisan komuniti.

‘It is good if you are good, but if you are good and people do not know that you are good, then that is not very good for politics’. Dalam arena moden ini, dunia politik sentiasa memerlukan dorongan yang mampu membuat kita berkhidmat secara konsisten. Disebabkan itu, setiap kematian, kenduri dan kelahiran bayi bahkan sambutan harijadi dari semua bangsa dan agama wajarlah disantuni dan diambil kira.

Sudahkan budaya politik berada dalam ahli- ahli NGO anda?

Masuk sekolah semula

Seorang pakar pengurus perubahan dari Harvard University, Professor John Kotter, menyatakan penglibatan sesebuah organisasi dari satu tahap ke tahap yang lain memerlukan ilmu dan kemahiran yang berbeza. Justeru itu, badan-badan NGO perlu mengambil beberapa langkah yang strategik kalau mereka ingin memimpin dan dikenali sebagai the game changer dalam dunia politik kini.

Untuk ini, ahli-ahli NGO wajarlah menghadiri semula latihan untuk ‘unlearn’ budaya yang negatif seperti bahasa badan yang tidak mesra media dan pendekatan negosiasi yang merugikan. Mereka perlulah di ‘retrain’ semula kefahaman ilmu terkini dalam pilihan raya, sebagai contoh teknik micro-targetting ala presiden Obama.

Strategi ini yang diperkenalkan Jim Messina semasa presidential election 2012 berjaya digunakan sekali lagi untuk memenangkan perdana menteri David Cameron dari Conservative Party, United Kingdom. Pilihan raya pada zaman kini menjadi semakin kompleks dan ilmu yang baru perlu dipelajari secara mendalam, selari dengan pepatah Inggeris yang berbunyi “You can never find a new island using an old map”.

Sudahkah badan-badan NGO mempunyai persediaan sedemikian?

Kadangkala, berundinglah untuk kalah…….

Jika dahulu sesebuah NGO terbiasa mengadakan negosiasi bersama sahabat handai dengan harga tawaran yang agak murah mengenai isu-isu lokal dan remeh, sekarang ini, ia harus berdepan dengan isu masa depan negara yang lebih mencabar.

“Ambillah selangkah kebelakang untuk maju ke hadapan di kemudian hari’’. Kata-kata dari Lao-Tsu, pemikir Cina lebih 2000 tahun yang lalu boleh menjadi iktibar kepada pemimpin badan-badan NGO. Sebagai contoh, pemain catur yang handal mengambil satu langkah dan strateginya mampu melihat tiga langkah ke hadapan.

Budaya kompromi dalam politik juga berjaya dicerminkan dalam Perjanjian Hudaibiyah pada 6 Hijrah antara Rasulullah dan Musyrikin Mekah. Justeru, NGO-NGO wajar mengaplikasikan pelan tindakan yang sama dalam menceburkan organisasi mereka dalam arena politik. Hal ini boleh menjurus kepada situasi ‘win-win’ dalam perundingan.

Adakah NGO sudah bersedia untuk berunding sedemikian?

Berharap yang terbaik, bersedia untuk terburuk.

Bidang politik merupakan satu perjalanan yang sangat jauh. Lim Kit Siang dan Tengku Razaleigh Hamzah memperuntukkan keseluruhan hidup mereka untuk politik dan sehingga ke hari ini, mereka masih belum nampak bersedia untuk bersara. Langkah Kajang yang mulanya nampak kecil sebenarnya memulakan satu rangkaian agenda politik yang lebih besar.

Bagi NGO yang tidak pernah melalui percaturan politik yang kompleks ini, stamina dan persediaan yang diperlukan untuk membaca dan mengharungi liku-liku perjalanan ini cukup mencabar. Sebagai contoh, Tun Musa Hitam pada masa mudanya merupakan pemimpin pelajar universiti yang disegani ramai pada awal tahun 1950an. Beliau merupakan pelajar yang mewakili Asia yang berpusat di Leiden, Belanda dan bersara awal dari politik apabila bertembung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sudah tidak dinafikan lagi, NGO-NGO akan mudah terkena sepak terajang politik seawal tertubuhnya parti politik. Bahkan ia harus bersedia dengan “siku dan lutut” yang datangnya dari kawannya sendiri yang kini pun berubah menjadi lawan.

Sudahkah NGO-NGO bersedia untuk bertembung dengan mereka ini?

Tidak ada kawan dan musuh politik yang kekal kecuali minat.

Henry Kissinger, penasihat politik kepada tiga presiden Amerika Syarikat pada tahun 70an hingga 80an pernah menyebut “There is no permanent friends or enemies, only permanent interest”

Perjalanan politik adalah penuh dengan liku-liku dan sahabat handai bakal bersilih ganti. Namun, tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang selama-lamanya. Justeru, ahli-ahli NGO perlu dilatih agar bersedia untuk berkawan dengan seramai mungkin, seeloknya dari semua lapisan masyarakat.

Sebagai contoh di Indonesia, seseorang dari Parti A ialah rakan politik koalisi pilihan raya tempatan bersama-sama Parti B. Namun di peringkat nasional, Parti A dan B merupakan musuh yang ketat. Justeru itu, ahli politik perlu dilatih dengan cekap untuk bermanis muka dan berkawan di satu suasana, berdepan dengan musuh berdasarkan prinsip yang utuh dan integriti.

Mampukah NGO kini berhadapan dengan suasana yang demikian?

Contohi yang terbaik

Pegawai-pegawai tentera Amerika dilatih di West Point Military Academy sejak ianya dibuka pada tahun 1802 lagi. Selama 4 tahun itu, mereka dilatih dalam teori ilmu ketenteraan, bidang akademik dan ilmu peperangan berdasarkan kajian kes.

Pengalaman digali dari General Hannibal yang hidup pada tahun 200 SM dan Napoleon Bonarparte yang menakluki Eropah sebanyak dua kali hinggalah ke strategi General Mac Arthur yang menakluki Jepun pada tahun 1945. Ahli politik juga boleh belajar dari tokoh militari di mana pembelajaran ini dikenalai sebagai “cross- industry benchmarking”

Dalam dunia politik, terdapat juga tokoh-tokoh besar yang mampu menjadi role model kepada bakal-bakal pemimpin. Badan-badan NGO seharusnya memberi focus kepada “lesson learnt” dari mereka.

Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., Omar al-Khattab, Tun Musa Hitam, Dr Burhanuddin Helmi, Soekarno, Churchill, Margaret Thatcher, Dr Mahathir, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Lee Kuan Yew, sekadar menyebut beberapa contoh yang wajar dipelajari dalam meningkatkan ilmu.

Rumusan

Kejayaan dalam penghijrahan mereka ke dalam dunia politik bergantung kepada tiga faktor utama. Pertama, keupayaan dalam menguasai ‘cross-culture’ atau intrabudaya dari NGO kepada politik dan penyesuaian yang cepat ke alam yang baru.

Bahkan, pengalaman badan- badan NGO dalam usrah, tarbiyyah dan dakwah mampu melonjakkan dan memberi impak yang besar.

Keduanya, pemilihan pemimpin yang tepat, ataupun “strategic-fit leaders” iaitu yang sesuai dengan keadaan semasa. Kegagalan dalam berbuat demikian akan menghasilkan parti politik yang dipandang lemah dan tidak dihormati.

Akhir sekali, badan- badan NGO haruslah menggunakan networking yang ada secara meluas di Malaysia dan antarabangsa. Dengan pengalaman yang sudah lebih 40 tahun, Abim dan Wadah mampu mengorak langkah ke hadapan.

Selain itu, Ikram dan sejarahnya yang terdahulu sejak tahun 70an juga mempunyai pengalaman yang luas pun mampu merancakkan dan menggerakkan parti politik.

No comments:

Post a Comment